بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Showing posts with label Saidina Umar Ibnul Khattab. Show all posts
Showing posts with label Saidina Umar Ibnul Khattab. Show all posts

Saturday, October 6, 2012

Belajar daripada Umar bin Khattab



Setiap individu memikul tanggungjawab dan kewajipan tertentu.  Tanggungjawab itu harus dilaksanakan dengan baik. Daripada tanggungjawab itulah manusia dinilai, diukur dan diklasifikasikan sebagai manusia yang ada kredibiliti atau manusia yang tiada kredibiliti.

Apabila masyarakat memiliki kredibiliti yang baik, tentu sistem kehidupan masyarakat tersebut akan berjalan dengan baik, harmonis, indah dan menenteramkan. Ibarat sebuah motor, ketika lampu depan tidak berfungsi, maka perjalanan akan terganggu ketika menyusuri jalan pada malam hari.

Demikian juga dengan kehidupan kita, apabila ada orang yang tidak disiplin, tentu akan sangat mengganggu sistem kehidupan bermasyarakat kita. Apalagi jika yang tidak berfungsi itu ialah orang yang memegang amanah rakyat, makin tidak keruanlah keadaannya.


Siapa yang tidak kenal Umar bin Khattab, sahabat Nabi s.a.w yang terkenal sangat berani. Tidak seorangpun daripada kalangan orang-orang Quraisy yang berani menghalang Umar tatkala dirinya menyatakan kepada seluruh warga Makkah bahawa esok hari dia akan hijrah ke Madinah dan bergabung bersama barisan kaum Muslimin.

Keberanian Umar sungguh sangat luar biasa. Namun demikian Umar juga punya rasa takut sangat luar biasa. Pernah suatu ketika, dia sedang meronda pada malam hari, dia menjumpai sebuah rumah yang di dalamnya terdengar suara tangisan anak-anak. Umar pun segera masuk dan bertanya keadaan apa yang menyebabkan si anak itu menangis.

Setelah mengerti bahawa ternyata seharian anak-anak itu tidak makan, Umar bergegas menuju Baitulmal, mengambil dan memikul sekarung gandum pada tengah malam gelap gelita. Ketika pengawalnya menawarkan diri untuk memikulkannya, dengan singkat Umar menjawab, “Apa kamu sanggup memikul dosa-dosa Umar pada hari kiamat?” Langkah Umar ini patut kita teladani.

Bagaimana kita berupaya menjalankan segala tanggungjawab yang merupakan kewajipan kita? Sebagai seorang khalifah, bukan Umar tidak punya menteri, pasukan, atau kenderaan untuk mengangkat gandum itu. Juga bukan bererti salah jika Umar meradang, lalu mengumpulkan seluruh menteri dan stafnya untuk diberi taklimat tentang tugas-tugas seperti itu.

Tapi Umar sedar bahawa dirinya menjadi khalifah ialah amanah daripada Allah SWT. Umar sangat takut kalau Allah murka padanya kerana dia tidak mahu bertindak dan berbuat sesuatu sebaliknya hanya suka marah kepada orang bawahan tanpa memberikan penyelesaian konkrit atas kepemimpinannya.

Keputusannya meronda dan menyiasat pada malam hari untuk mengetahui situasi dan keadaan sebenar masyarakatnya juga merupakan satu tanggungjawab yang sangat luar biasa. Bahkan kerana rasa takutnya yang luar biasa kepada Allah SWT, Umar sempat menyatakan bahawa, “Apabila ada anak kambing terperosok kerana jalan rosak, Umarlah yang bertanggungjawab di dunia dan akhirat.”

Sumber : Buka Minda MIDI oktober 2012

Monday, June 13, 2011

Saidina Umar Memeluk Islam



KISAH Saidina Umar yang berdepan dengan adiknya, Fatimah yang telah memeluk Islam yang dikira sebagai satu penghinaan kepadanya amat diketahui umum. 

Namun sebelum itu, dikisahkan bahawa Umar telah ditegur oleh lelaki dari Bani Zuhrah atau Makhzum, bernama Nu'aym bin Abdullah yang memecahkan rahsia mengenai adiknya yang telah memeluk Islam itu. 

Dalam sesetengah riwayat yang lain, dikatakan Nu'aym sebenarnya terdiri dari kalangan kafir Quraisy, bukan yang telah memeluk Islam seperti yang disebutkan sebelum ini. 

Maka Nu'aym bertujuan menyindir Umar mengenai Fatimah yang memeluk Islam ketika Umar tergesa-gesa dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad. Apapun niat sebenar Nu'aym itu, menyebabkan Umar mengamuk setiba di rumah adiknya itu. 

Umum mengetahui bahawa Fatimah dan suaminya Saad adalah kalangan yang terawal memeluk Islam malah dikatakan kekuatan iman suaminya itu antara 10 orang yang dijamin memasuki syurga. 

Ketika Umar sampai ke rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang sedang membaca al-Quran. Iaitu Fatimah dan suaminya sedang belajar membaca al-Quran dengan dibantu oleh seorang sahabat mereka, Khabbab bin Arat. 

Khabbab dikatakan dihantar sendiri oleh Nabi Muhammad untuk membantu atau mengajar Fatimah dan Saad membaca al-Quran. 

Apabila terdengar mereka membaca al-Quran, kemarahan Umar tidak boleh ditahan-tahan lagi lalu dia mengamuk di hadapan pintu rumah Fatimah.

Semua yang ada dalam rumah itu begitu terkejut dan wajah masing-masing pucat lesi. Namun Fatimah dengan segera menyembunyikan Khabbab dan membuka pintu untuk menghadapi apa juga kemungkinan yang akan berlaku apatah lagi abangnya itu terkenal dengan sikap kejam, tegas dan garang tanpa mengira sesiapa.

Tanpa banyak soal Umar terus bertanya kepada Fatimah: "Apa yang aku dengar tadi?" 

"Tidak ada apa-apa!" Kata Fatimah dengan wajah yang agak selamba.

"Aku telah mendengar tadi, jangan bohong! Adakah bacaan yang aku dengar tadi adalah dari Muhammad?" Bentak Umar. 

Adik dan ipar Umar menjadi serba salah untuk menjawab.

Lalu Umar bertanya terus kepada iparnya: "Adakah kalian sudah murtad?"

Tanpa sebarang ragu-ragu Saad pun menjawab dengan tenang: "Kami tidak murtad wahai Umar tetapi kami semua telah masuk Islam."

Belum sempat Saad menyudahkan kata-katanya itu, satu tamparan yang kuat telah singgah ke mukanya sehingga berdarah hidung suami Fatimah itu.

Malah dalam sesetengah riwayat yang lain, Umar bukan sahaja menampar adik iparnya itu malah diterkamnya Saad lalu dihenyak-henyak dengan kakinya sehingga berdarah-darah. 

Melihat suaminya teruk dicederakan Umar, Fatimah pun cuba menghalang abangnya itu daripada terus mencederakan Saad. Ini menyebabkan Umar bertambah marah malah adik kesayangannya itu turut menjadi mangsa.

Fatimah juga menurut riwayat Ibnu Ishaq telah teruk dipukul oleh abangnya sehingga cedera dan berdarah. Kejadian teruk dipukul oleh Umar ini menyebabkan Fatimah menangis, bukan kerana menanggung kesakitan tetapi sedih mengenai sikap abangnya itu yang begitu kuat memusuhi Islam.

Sehinggakan adik dan ipar sendiri sanggup dipukul malah dibunuh jika tidak menjadi halangan.
Tangisan Fatimah itu akhirnya menyebabkan hati Umar bertukar menjadi sayu, lembut dan simpati terhadap adiknya itu.
Lalu Umar berkata: "Baiklah, tunjukkan kepada aku helaian yang kamu baca tadi!"

Tetapi Fatimah berkeras tidak mahu menyerahkan helaian-helaian yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran kerana akan diapa-apakan oleh Umar.

Ini menyebabkan Umar terpaksa bersumpah: "Demi Latta dan Uzza, aku tidak akan buat sesuatu yang tidak baik terhadap apa yang kamu baca sebentar tadi!"

Apabila Fatimah melihat Umar semakin lembut, dia pun akhirnya terpaksa berterus terang kepada abangnya itu: "Wahai saudaraku, helaian ini merupakan kata-kata Allah. Oleh kerana engkau bukan kalangan dari orang Islam malah seorang yang masih syirik sedangkan syirik itu merupakan najis.

"Kalau benar engkau hendak membacanya maka hendaklah kamu mandi terlebih dahulu kemudian barulah engkau boleh membacanya."

Oleh kerana Umar begitu tertarik untuk membaca apa yang telah dibacakan oleh adiknya itu, lalu Umar menuruti sahaja permintaan adiknya itu. Beliau segera mandi membersihkan diri dan bersiap sedia untuk membaca surah-surah al-Quran itu. 

Umar yang tidak lagi menunjukkan sikap untuk terus berseteru kemudian diberikan satu helaian yang mengandungi sebahagian dari surah al-Taha. Iaitu ayat 14 yang bermaksud: Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiku.

Sejurus membaca ayat itu, Umar pun berkata: "Tidak sepatutnya yang empunya kata-kata ini disekutui. Alangkah indah dan mulianya kata-kata ini."

Umar yang telah bertukar nada 360 darjah itu kemudiannya meminta untuk berjumpa sendiri dengan Rasulullah. Khabbab yang sedari tadi menyorok di rumah Fatimah itu pun keluar dan menawarkan diri untuk membawa Umar bertemu Nabi Muhammad.

"Terimalah berita gembira wahai Umar, sesungguhnya aku sentiasa mengharapkan doa Rasulullah agar engkau memilih jalan Islam akan menjadi satu kenyataan juga akhirnya," kata Khabbab.

Lalu mereka menuju ke Darul Arqam, rumah milik seorang lagi sahabat, iaitu Al Arqam bin Abi Arqam yang menawarkan kediamannya sebagai pusat pengajian mengenai Islam yang diketuai dan dipimpin oleh Rasulullah.

Masih berpakaian baju perang lengkap pedang tersisip di pinggang, Umar dan Khabbab pun tiba di Darul Arqam yang dikatakan terletak agak tersorok di lereng Bukit Safa yang ketika itu telah tersebar berita mengenai baginda bakal diserang atau dibunuh oleh Umar.

Bersiap sedia

Maka seluruh para pengikut dan sahabat yang berada dalam Darul Arqam itu telah bersiap sedia untuk mempertahankan baginda lebih-lebih lagi bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul Mutalib. Tanpa mereka mengetahui apa yang telah terjadi di rumah adik Umar, Fatimah sebentar tadi.

Sebaik sahaja tiba, Umar pun mengetuk pintu dan menyatakan hajat untuk menemui Rasulullah.

Serentak itu juga, Hamzah bangun dan cuba untuk menghunuskan senjata.

"Biar aku yang bunuh Umar ini dengan pedangku ini," tegas Hamzah.

Hamzah merupakan satu-satunya lawan atau seteru yang dikatakan boleh mengalahkan Umar walaupun di seluruh kota Mekah, Umar dikatakan seorang yang sangat gagah dan perkasa. 

Seperti yang kita selalu baca sebelum ini ketokohan dan kegagahan Hamzah tiada tolok banding malah sanggup menggadaikan nyawa sehingga terkorban demi mempertahankan Islam. Tidak sekadar Nabi Muhammad itu merupakan anak saudaranya. 

Namun baginda meminta supaya Hamzah tidak bertindak melulu sehinggalah baginda sendiri membuka pintu dan mempersilakan Umar masuk.

Hamzah terpaksa patuh dan masing-masing seperti menahan nafas apabila Nabi Muhammad memberanikan diri membuka pintu tanpa sebarang pengawal kerana mereka tahu Umar seorang yang sanggup melakukan apa sahaja, menurut nafsu dan amarahnya itu. 

Sebaik sahaja Umar melangkah masuk dengan perawakannya yang gagah itu, beliau terus mendekati Nabi Muhammad. Lalu baginda terus memegang hujung baju Umar dan disentapnya dengan kuat sehingga Umar jatuh terduduk di hadapan Rasulullah. 

Sambil duduk berhadapan dan bertentang mata dengan Umar, baginda pun bertanya: "Bila lagi kamu hendak menerima Islam wahai Ibnu Al Khattab? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah? Sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Umar bin Al Khattab, Ya Allah muliakan Islam dengan Umar bin al Khattab ini!" 

Tanpa sebarang banyak pertanyaan apatah lagi cuba melawan lalu Umar pun melafazkan kata-kata yang sangat mengejutkan semua pihak. 

"Aku menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau Muhammad adalah Rasulullah!"

Betapa bersyukur seluruh alam apabila Umar yang keras bak batu itu akhirnya tunduk kepada keesaan Allah.
Pengislaman Umar itu tentunya menimbulkan pelbagai reaksi selain begitu mengejutkan orang ramai. 

Ikuti keluaran akan datang, bagaimana pengislaman Umar itu memberikan impak yang sangat besar terhadap perkembangan Islam itu sendiri.

Sebelum itu, ingin mengenali Umar dengan lebih dekat lagi? 

Seperti yang dipetik dari buku Sejarah Khalifah Rasulullah karya Prof. Dr. Amin Qudah (Terbitan PTS 2009) Umar seperti yang diceritakan sendiri oleh anaknya Abdullah. 

"Beliau seorang lelaki yang berkulit putih kemerah-merahan, tinggi dan botak kepalanya. Seorang yang sangat berbadan besar, apabila dilihat pada ketinggiannya itu seakan-akan nampak seperti orang yang sedang menaiki kenderaan. Bapa seorang yang kidal dan mempunyai suara yang kuat dengan kewibawaan yang sungguh jelas dan ketara".

Sumber : Utusan

Wednesday, May 4, 2011

Kejujuran Umar


Khalifah Umar pemimpin jujur, tegas tangani kewangan negara
Oleh Ibrahim Abdullah

2011/05/04
UMAR al-Khattab berkata: “Demi Allah, sekiranya tidak ada hari kiamat nescaya keadaan seperti yang kamu saksikan.” Apa yang dikatakan Umar, andai tidak ada hari kebangkitan, yang kuat menindas yang lemah, orang zalim akan bermaharajalela dan penguasa berbuat sesuka hati tanpa henti.

Justeru, mereka akan terus melakukan kerosakan di muka bumi kerana berpendapat segala perbuatan tidak akan dihukum. Sedangkan apabila tiba hari akhirat nanti, tiada manusia yang terlepas daripada amal perbuatannya.

Umar al-Khattab jujur dalam doanya. Setibanya di Madinah, sebahagian sahabat berkata: “Wahai Amirul Mukminin, anda berharap mati syahid di Madinah? Orang yang menginginkan mati syahid mesti pergi ke medan pertempuran. Umar menjawab: Begitulah aku bermohon. Semoga Allah memakbulkan permohonanku itu.” 

Pada suatu malam, Umar bermimpi seekor ayam mematuknya tiga kali. Beliau lantas menanyakan mimpi itu kepada orang yang ahli menakwilkan mimpi. Mereka memberitahunya: “Anda akan dibunuh oleh seorang lelaki bukan Arab.”

Kemudian, Umar menitipkan diri kepada Allah dan pergi melaksanakan solat Subuh dan saat itulah Umar ditikam di mihrab dan mati syahid. Di tempat yang paling bagus dan sedang melaksanakan kewajipan paling mulia.

Ibnu Masud berkata: “Masuknya engkau ke dalam Islam adalah kemenangan, hijrahmu adalah penaklukan dan pemerintahanmu adalah rahmat. Engkau bertindak sebagai orang yang sadiq (benar).”

Umar al-khattab begitu tegas dan serius mengurus kewangan negara. Beliau juga amat tegas meneliti pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Setiap pegawai dilantik akan diminta melakukan deklarasi harta dan peningkatan hartanya akan disemak dengan kerap. 

Jika peningkatan berlaku, Umar akan mengambil separuh untuk baitulmal dan dalam beberapa keadaan Umar mengambil semuanya. Selain itu Umar turut melakukan lawatan mengejut ke rumah pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah.

Ketika gabenor kerajaan Islam di Mesir, ‘Amr bin al-‘As, dilaporkan membuat mimbar khas untuk dirinya di Mesir, Umar marah lalu menghantar surat menyebut: “Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar supaya boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu.”

Begitu juga Abdul Rahman Umar al-Khattab, salah seorang anak Umar di Mesir dan dilaporkan melakukan kesalahan meminum arak. Beliau kemudian meminta Amr bin al-‘As melaksanakan hukuman terhadap anaknya.

Namun, Amr al-‘As berasa serba salah kerana dia anak khalifah, lalu menjatuhkan hukuman mencukur kepalanya dan disebat secara tertutup dalam rumahnya. Sepatutnya hukuman meminum arak mesti dicukur dan disebat pada waktu yang lama di hadapan khalayak ramai.

Peristiwa itu diketahui Umar, lalu beliau menghantar surat yang antara lainnya menyebut: “Engkau telah menyebat dan mencukur Abdul Rahman di dalam rumahmu dan kamu tahu ia bertentangan dengan apa yang aku harapkan (hukuman seperti orang lain). Abdul Rahman adalah salah seorang warga di bawah tanggungjawabku (di akhirat), dan kamu beralasan dengan mengatakannya adalah anak khalifah sedangkan kamu tahu aku tidak sesekali berkompromi dengan sesiapapun dalam melaksanakan amanah terhadap Allah SWT.”

Umar pernah melawat pegawainya di Syria dan kemudian Yazid Abi Sufian menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan.

Umar mula mengambilnya sambil berkata: “Barang ini boleh digunakan rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas.

Semua tindakan Umar itu bagi mengelak jawatan dijadikan peluang untuk meraih kekayaan. Ibnu Taimiah memberi hujah beberapa tindakan Umar itu bagi membuang segala keraguan rakyat terhadap pendapatan gabenor dan pegawainya yang mungkin menjadi kebiasaan diberi hadiah disebabkan jawatannya. 

Wednesday, April 27, 2011

Surah al-Haaqqah Cairkan Umar Al-Khattab

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


pedang-pedang milik empat sahabat besar Rasulullah dengan pedang milik Saidina Umar bertatah batu-batu permata bersarung warna merah darah.
SEBELUM memeluk Islam, seperti yang disebut sebelum ini Saidina Umar Al Khattab bersikap keras dan kejam terhadap Islam. Beliau tidak pernah berlembut terhadap pengikut-pengikut agama itu. Sehinggalah pada suatu hari beliau mula merasakan kesayuan apabila mendengar ada di kalangan pengikut Islam yang hendak berhijrah ke Habsyah itu terdiri daripada para sahabat dan saudara maranya sendiri.

Peristiwa ini ditunjukkan pada suatu malam, apabila beliau terserempak dengan salah seorang sahabat Nabi Muhammad, iaitu Ummu Abdullah yang keluar dari rumah dan sedang menuju untuk bertemu dengan anaknya untuk sama-sama melarikan diri ke Habsyah.

Umar bertanya: “Ke mana kamu hendak pergi wahai Ummu Abdullah?”

“Kamu seksa kami, kamu ganggu kami, kamu tidak mahu lagi kepada kami, biarlah kami keluar dari Mekah. Kamu tidak rugi apa-apa kalau kamu biarkan aku keluar dari Mekah ini,” jawab Ummu Abdullah.

Lalu Umar pun berkata: “Kalau begitu, ini perpisahan antara kita wahai Ummu Abdullah. Semoga keselamatan menyertai perjalanan kamu.”

Kebetulan Umar dan Ummu Abdullah mempunyai hubungan persaudaraan maka beliau tidak menyekat saudaranya itu meninggalkan Mekah.

Inilah kali pertama Umar berlembut yang menyebabkan Ummu Abdullah sendiri terkejut kerana sebelum ini Umarlah orang yang paling keras terhadap Islam. Umar pernah menyeksa dengan begitu azab terhadap seorang hamba perempuan daripada Suku Muammilah. Walaupun Umar bukan daripada suku tersebut tetapi kerana tidak berpuas hati terhadap Islam, beliau sanggup menawarkan diri untuk menyeksa hamba itu. Lalu di pukulnya hamba itu sehingga beliau sendiri jemu.

Apabila Ummu Abdullah bertemu anaknya, Abdullah lalu diceritakan pertemuannya dengan Umar yang menyebabkan si anak kehairanan.

“Bagaimana ibu boleh melepaskan diri daripada Umar?” Tanya Abdullah.

“Itulah yang berlaku, Maha Besar Allah. Bukan sahaja dilepaskan aku, bahkan didoakan untuk keselamatan kita dalam perjalanan ini kelak,” kata Ummu Abdullah.

“Mungkin kerana ibu sangat berharap agar Umar memeluk Islam” kata Abdullah.

“Benar, demi Allah, aku berharap sangat Umar menerima dan memeluk Islam,” kata si ibu.

Namun si anak berkata: “Wahai ibu, demi Allah, Umar tidak akan mengucap dua kalimah syahadah selagi keldainya sendiri tidak mengucap dulu. Mustahil bagi Umar untuk memeluk Islam!”

Memang benar pada masa itu seperti yang dikenali, Umar yang keras hati dan kepala ini tidak akan sekali-kali tunduk terhadap Islam. Beliau berlembut terhadap Ummu Abdullah atas dasar hubungan darah sahaja. Apabila pulang semula ke rumah, dia mula berfikir bagaimana boleh berlaku semua ‘bencana’ ini, pecah-belah di kalangan Quraisy dan penduduk Mekah, amnya. Apabila orang mula sanggup meninggalkan Mekah, Siapakah punca semua ini berlaku?

Setelah puas berfikir, akhirnya Umar percaya bahawa Nabi Muhammad yang menjadi punca semua itu.

Lalu dia bertekad untuk terus membunuh Nabi Muhammad supaya selesai semua masalah dan penduduk Mekah kembali bersatu atas nama agama nenek moyang yang dipertahankan selama ini. Dia terus menyarungkan pedang keluar menuju mencari baginda Rasulullah SAW.

Namun sebelum itu, adakah Umar tidak pernah bersemuka sendiri dengan Rasulullah? Atau sekurang-kurangnya berada hampir dengan baginda?

Dalam setengah riwayat yang lain, di kisah pada suatu malam Umar keluar dari rumahnya menuju ke Kaabah.
Ketika itu juga dikatakan baginda Rasulullah turut berada di situ untuk mendirikan solat sambil membacakan ayat-ayat al-Quran daripada surah al-Haqqah.

Umar terus memasang telinga untuk mendengarkan apa yang dibaca oleh Nabi Muhammad dan dikatakan Umar terus merasa takjub dengan susunan gaya bahasa ayat-ayat yang dibaca oleh Rasulullah itu. Lebih-lebih lagi apabila dibacakan di tengah-tengah malam sunyi, maka bacaan itu begitu mudah menusuk ke dalam hatinya.

Lalu Umar berkata: “Aku berkata pada diriku sendiri pada masa itu bahawa demi Allah bahawa Muhammad ini merupakan seorang penyair sebagaimana yang diperkatakan oleh orang ramai.”

Namun dengan takdir Allah, bacaan baginda sampai kepada ayat yang bermaksud berikut: Bahawa sesungguhnya al-Quran ialah wahyu daripada Kami yang disampaikan oleh seorang Rasul yang mulia. Dan bukanlah al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan tetapi sayang amatlah sedikit kamu beriman. (al-Haqqah: 40 – 41)

Lalu Umar yang terkejut kepada ayat-ayat yang seperti ditujukan kepadanya itu menganggap pula Nabi Muhammad itu sebenarnya seorang pawang. Ini kerana hanya pawang sahaja yang tahu apa yang bermain dalam fikiran seseorang dan apa yang berlaku di sekelilingnya.

Namun Umar bertambah terkejut apabila mendengarkan ayat-ayat seterusnya yang dibacakan oleh Nabi Muhammad. Dan juga bukanlah al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan). Tetapi sayang amatlah sedikit kamu mengambil peringatan (al-Quran itu) diturunkan Allah, tuhan sekalian alam. (al-Haqqah: 42-43)

Sehinggalah Nabi Muhammad membaca surah itu sehingga ayat terakhir, Umar mengakui bahawa ada cahaya dari Islam itu mula menyerap dalam dirinya.

Begitupun akibat terlalu taksub, cahaya yang telah menyerap masuk itu masih tidak memberikan apa-apa makna yang besar terhadap Umar. Beliau tetap untuk mempertahankan agama nenek moyangnya itu dan tetap meneruskan niat untuk membunuh Nabi Muhammad walaupun baginda telah ‘menjelaskan’ siapa dirinya sebagaimana yang didengar sendiri pada malam itu.

Di pertengahan jalan untuk mencari Nabi Muhammad itu, Umar telah ditegur oleh lelaki daripada Bani Zuhrah atau Makhzum, yang bernama Nu’aym bin Abdullah. Nu’aym dikatakan telah memeluk Islam tetapi disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa terutamanya Umar bagi mengelakkan daripada sebarang kesusahan kepada dirinya.

Apabila beliau melihat Umar dalam berpakaian seperti hendak berperang dan lengkap bersenjata dan muka yang jelas seperti dalam keadaan marah, lalu dia memberanikan diri menegur Umar.

“Kamu hendak ke mana wahai Umar,” tanya Nu’aym.

“Aku mahu pergi membunuh orang yang memecahbelahkan kaumku dan menghina datuk nenekku.

“Maksudku, aku ingin membunuh si Muhammad!” tegas Umar.

Nu’aym begitu cemas mendengarkan jawapan Umar itu kerana ia benar-benar satu petanda buruk kerana mengenali Umar selama ini, tidak mustahil dia akan melakukan apa sahaja, hatta membunuh orang sekalipun.

“Wahai Umar, adakah kamu rasa kamu boleh terlepas daripada suku Abdul Mutalib kalau kamu membunuh Muhammad?” Tanya Nu’aym.

Umar menjawab dengan tegas: “Walaupun aku akan dibunuh oleh suku Abdul Mutalib, aku tidak peduli.”
Ini membuatkan Nu’aym perlu melengah-lengahkan Umar atau perlu menggagalkan sahaja rancangan Umar untuk membunuh Rasulullah.

Namun tugas ini tentunya tidak mudah namun Nu’aym tidak ada cara dan jalan lain, kecuali terpaksa mendedahkan satu rahsia yang selama ini tersimpan baik.

“Kalau begitu kamu mulakan dulu dengan keluarga kamu, kerana itu adalah lebih baik!”

Umar pun bertanya: “Siapakah yang kamu maksudkan?”

“Adik perempuan kamu, Fatimah!” kata Nu’aym dengan penuh rasa bersalah.

Umar begitu terkejut mendengarkan adiknya sendiri sanggup membelakangkannya yang selama ini begitu anti terhadap Islam.

Lalu tanpa membuang masa, Umar menukarkan langkahnya menuju ke rumah Fatimah. Hasrat untuk membunuh Nabi Muhammad itu ditangguhkan terlebih dahulu.

Fatimah dan suaminya, Saad bin Zaid merupakan antara yang terawal memeluk Islam tanpa diketahui oleh Umar.

Di saat Umar sedang menuju ke rumahnya itu, Fatimah dan suaminya sedang belajar membaca al-Quran daripada seorang lagi sahabat yang telah mahir mengenai kalam-kalam Allah itu, iaitu Khabbab bin Arat.

Malangnya, suara mereka membacakan ayat-ayat suci al-Quran sebenarnya telah didengari oleh Umar.

Umar semakin panas hati mendengarkan itu semua, tanpa membuang masa beliau terus mengetuk pintu rumah Fatimah dengan kuat!

Berita Harian

Monday, April 4, 2011

Keberanian Umar dikagumi

Susunan SITI AINIZA KAMSARI 
MASJID Saidina Umar di Jerusalem (Baitul Maqdis) yang terletak berhampiran Gereja the Holy Sepulchre yang dibina bersempena Saidina Umar pernah bersolat di atas tapak masjid itu.

Siapakah sahabat Nabi Muhammad yang sanggup membunuh sesiapa sahaja yang berani mengatakan bahawa baginda Rasulullah telah wafat?

Akibat tidak dapat menerima hakikat, orang yang paling dikasihi akhirnya pergi menemui Allah, Saidina Umar Al Khattab menghunuskan pedang dan mengamuk sekeliling kota Mekah.

Sehinggalah beliau berjaya dipujuk dan ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq supaya menerima hakikat kewafatan Rasulullah itu tiada bezanya seperti manusia-manusia yang lain.

Kata Abu Bakar: "Sesiapa yang mengikuti Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah SWT ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati!"

Barulah Umar akur dan tunduk kepada ketentuan Allah yang berat itu, tidaklah lagi beliau mengamuk malah mengajak umat Islam yang lain juga menerima hakikat pedih itu dengan iman dan tabah.

Begitulah Umar, masih tersisa sifat peribadinya yang tegas, tetap pendirian dan sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan pendiriannya itu.

Sungguhpun begitu beliau sering dijadikan bahan perumpamaan. Ini apabila Umar diumpamakan seperti sebongkah batu yang sangat keras dan tidak mungkin sesiapa dapat memecahkannya. Tetapi jika sudah ditakdirkan Allah beliau akhirnya tunduk memeluk Islam, terbukti batu yang keras pun boleh dileburkan.

Namun pengislaman Umar yang mempunyai kisah tersendiri itu bukan sahaja berfaktorkan hidayah tetapi mungkin juga berkat doa dari Rasulullah.

Menurut Al Mubarakfuri dalam buku sirah Nabawiyyah SAW, Rasulullah sering meminta dan berdoa kepada Allah: "Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang lelaki yang paling Engkau suka, sama ada Umar bin al Khattab atau Abu Jahal bin Hisham".

Ini mungkin kerana di zaman jahiliah kejahatan Umar dan Abu Jahal begitu melampau terhadap Islam yang seolah-olah tidak mampu lagi dihadapi oleh baginda. Itu menyebabkan baginda sering berdoa. Ternyata Allah lebih 'menyayangi' Umar dan diberikannya hidayah dan cahaya Islam.

Sehingga tidak dinafikan tanpa sumbangan dari Umar, perjalanan dakwah baginda Rasulullah mungkin adalah lebih sukar daripada apa yang kita dapat bayangkan!

Umar lebih dikenali sebagai Umar Al Faruk. Iaitu seseorang yang tahu memilih dan membezakan antara yang hak dan batil, antara benar dan palsu.

Gelaran ini diberi oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaga para jemaah itu daripada gangguan orang-orang Quraisy.

Nabi Muhammad SAW juga memanggil Umar dengan panggilan 'Abu Hafs' kerana kegagahannya itu.

Daripada seorang yang sangat petualang kepada Islam di zaman jahiliahnya, tetapi di zaman Islam beliau seorang pejuang Islam yang paling gigih, kental dan sejati.

Tiada siapa dapat menafikan hakikat itu. Sehingga dapat menakluk wilayah-wilayah bagi meluaskan jajahan dan empayar Islam dari Timur ke Barat dan sehinggalah pada tahun 637 beliau berjaya mengembalikan semula Baitul Maqdis kepada Islam.

Dikisahkan selepas pengepungan Baitul Maqdis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut yang diketuai oleh panglima Islam Abu Ubaidah ibn al-Jarrah.

Namun Paderi Besar Baitul Maqdis iaitu Sophronius enggan menyerah diri kecuali kepada Saidina Umar sendiri.
Lalu Umar mengembara dari Madinah dan apabila bertemu, Paderi itu menyerahkan sendiri kunci kota itu kepada Saidina Umar.

Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak. Sebaliknya beliau solat tidak jauh dari gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian.

Di samping tidak mahu ada pihak yang salah faham bahawa jika Umar melakukan solat di gereja itu bermakna khalifah Islam itu hendak menawan gereja untuk dijadikan masjid.

Sehinggalah 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar solat.

Begitulah antara moral atau akhlak Umar yang unggul dan sukar ditemui pada mana-mana pemimpin dunia yang lain.

Justeru mengapa tidak kita kembali mengenali Umar kerana segala sifat-sifat yang ada pada beliau itu wajar sekali disegarkan kembali dalam ingatan. Setelah kembali segar, mengapa tidak beliau kita contohi?

Sifat-Sifat Peribadi
Seorang yang bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan agama Islam juga seorang yang tegas dan adil.

Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah SWT. Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan amanah.

Pernah menyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika itu beliau memegang jawatan khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya.

Malah beliau sendiri yang mengangkat guni-guni gandum dan minyak untuk diberi kepada golongan yang memerlukan.

l Berfikiran terbuka
Menerima pendapat sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat.

Menerima pendapat seorang perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan mas kahwin mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat biasa.

l Berani
Sebelum memeluk Islam dengan begitu kuat menentang Rasulullah SAW sehingga menyebabkan beliau sangat ditakuti dan digeruni oleh orang yang memeluk agama Islam. Namun apabila 'berani kerana benar' beliau tidak gentar mengisytiharkan dirinya memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai.

Satu-satunya Muslim yang berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai.

Beliau jugalah yang mencadangkan Rasulullah SAW supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka. Sebagai jaminan beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah SAW daripada berpindah ke Madinah.

Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran al-Faruq.

l Adil
Seorang pemerintah yang adil dan bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya. Beliau tidak memilih bulu dan mengetepikan soal status diri dan sesiapa yang didapati bersalah, tetap akan dihukum.

Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.

Jasa-jasa dan sumbangan besar Umar terhadap Islam begitu dijanjikan kepadanya akan syurga. Bagi Umar segala kebaikan yang beliau lakukan selepas memeluk Islam seolah-olah masih tidak membayar segala dosa dan kesalahan beliau yang lampau itu.

Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW pernah ditanya: Siapakah orang yang paling mulia? Jawab baginda: Orang yang paling bertakwa. Kata mereka: Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Jawab Nabi: Kalau begitu, tentang siapakah orang Arab yang paling mulia yang kamu ingin tanyakan kepadaku? Sesungguhnya orang paling mulia di kalangan kamu pada masa jahiliah, dia jugalah yang paling mulia di antara kamu di dalam Islam sekiranya dia tafaqquh fiddin. (riwayat Bukhari)

Tepat sekali jika yang dimaksudkan oleh baginda itu antaranya Umar al Khattab. Lebih-lebih lagi setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti hatta oleh syaitan.

Apakah rahsianya Saidina Umar Al Khattab boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar tafaqquh fiddin (faham agama).

Mukmin yang tafaqquh fiddin memang lebih ditakuti oleh syaitan dibandingkan dengan orang yang banyak beribadat tetapi jahil tentang selok belok agama.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: Ertinya: Seorang Faqih (orang yang tafaqquh fiddin) adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'abid (orang yang banyak beribadat). (riwayat Tarmidzi, Ibnu Majaah dan al-Baihaqi)

Nama penuh sahabat besar Nabi ini ialah Umar bin Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab.

Dilahirkan pada tahun 583M daripada Bani Adi iaitu salah satu puak dalam kabilah Quraisy yang dipandang mulia, megah dan berkedudukan tinggi.

Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti. Umar memeluk Islam pada tahun keenam selepas kerasulan nabi.

Utusan 01/02/2010
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...