Umat Islam hanya bersujud kepada Allah SWT, tidak kepada yang lain. - Gambar hiasan |
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SAYID Qutub berkata: "Penjelasan yang
berikut merupakan cerita penjelasan jin dan mungkin firman Allah SWT dari awal
lagi yang menerangkan sujud atau tempat sujud iaitu masjid hanya untuk-Nya
sahaja."
Di sanalah ditegakkan tauhid yang bersih
dan di sanalah lenyapnya bayang (kebesaran dunia). Seluruh suasana dan
perhambaan di sana hanya untuk Allah sahaja.
Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya
masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu menyembah
seseorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah.(al-Jin: 18)
Maksud perkataan masjid-masjid itu adalah
kepunyaan Allah ada empat pendapat:
* Iaitu solat kerana Allah seperti pendapat
Ibnu Syajarah.
* Segala anggota yang digunakan untuk sujud
kerana Allah SWT seperti pendapat al-Rabi'.
* Semua masjid merupakan rumah Allah untuk
didirikan solat seperti pendapat Ibnu Abbas.
* Setiap tempat yang dilakukan solat kerana
ia untuk sujud. Justeru, dinamakan masjid.
Ibnu Kathir berkata: "Dahulu, jika
orang Yahudi dan Nasrani memasuki gereja dan biara mereka, lalu menyekutukan
Allah SWT. Lantas Dia memerintahkan nabi-Nya agar mereka mengesakan-Nya."
Sufian meriwayatkan daripada Khusaif
daripada Ikrimah: "Ayat berkenaan turun dengan seluruh masjid."
Sa'id bin Jubair mengatakan ayat ini
berkenaan dengan anggota sujud, iaitu semuanya milik Allah SWT sehingga tidak
boleh menggunakannya untuk bersujud kepada selain-Nya.
Menurut Qatadah, orang Yahudi dan Nasrani
apabila memasuki gereja dan kuil, mereka mempersekutukan Allah SWT dengan
sembahan mereka yang lain. Menerusi ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada
kita agar mengikhlaskan ibadah kepada Allah SWT semata-mata setiap kali kita
memasuki masjid.
Al-Hasan berkata: "Masjid-masjid yang
dimaksudkan di sini ialah setiap tempat yang menjadi tempat sujud di seluruh
bumi, sama ada tempat itu disediakan untuk sujud atau tidak, sebab seluruh bumi
adalah masjid bagi umat ini."
Firman Allah SWT: Dan bahawasanya
tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembah-Nya (mengerjakan ibadat),
hampir saja jin-jin itu desak mendesak mengerumuninya. (al-Jin: 19)
Al-Hasan dan Qatadah berkata:
"Sesungguhnya ketika Nabi Muhammad SAW menyampaikan risalah agar menyeru
manusia kepada Allah SWT (yang bertentangan dengan orang musyrik dalam bentuk
peribadatan mereka kepada berhala-berhala), lalu orang kafir pun bekerjasama
dan tolong-menolong untuk memusuhi Nabi Muhammad SAW secara berkumpul atau
berpuak-puak."
Muqatil berkata: "Sesungguhnya orang
kafir Mekah mengatakan kepada Nabi SAW: "Sesungguhnya kamu telah membawa
urusan yang besar dan kamu juga telah memusuhi semua manusia, maka kembalilah
kamu daripada yang demikian ini."
Firman Allah SWT: Katakanlah:
Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku dan aku tidak mempersekutukan
sesuatupun dengan-Nya. Katakanlah: Sesungguhnya aku tidak kuasa mendatangkan
sesuatu kemudaratan pun kepadamu dan tidak (pula) suatu kemanfaatan. (al-Jin:
20-21)
Ibnu al-Jauzi berkata: "Orang-orang
kafir Mekah berkata kepada Nabi SAW sesungguhnya apa yang kamu bawa adalah amat
besar kesannya yang tidak pernah didengar sebelumnya. Justeru, kembalilah
kepada asal. Lantas turun ayat ini."
Al-Mawardi dalam menafsirkan tidak memiliki
mudarat dengan tiga pendapat;
* Azab yang tiada kenikmatan.
* Kematian yang tiada kehidupan.
* Kesesakan yang tiada petunjuk
Al-Maraghi berkata: "Di sini terdapat
ancaman besar kepada mereka dan perintah bertawakal kepada Allah SWT kerana
hanya Dia sahaja yang mampu memberi balas kebaikan dan keburukan terhadap
perbuatan mereka."
Ayat ini juga mengandungi petunjuk bahawa
Baginda tidak meninggalkan tugas menyampaikan risalah (tabligh) sekalipun
mereka bekerjasama untuk memusuhinya.
Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang
mampu melindungi aku daripada-Nya, jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya.
Kemudian Allah SWT menjelaskan perihal orang yang menderhaka Allah SWT dan
Rasul-Nya.
Firman Allah SWT: Katakanlah:
Sesungguhnya aku sekali-kali tiada seorang pun dapat melindungiku daripada
(azab) Allah dan sekali-kali aku tiada akan memperoleh tempat berlindung selain
daripada-Nya. Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) daripada Allah
dan risalah-Nya. Dan barang siapa yang menderhakai Allah dan rasul-Nya maka
sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya. Sehingga apabila mereka melihat azab yang diancamkan kepada
mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan
lebih sedikit bilangannya. (al-Jin: 22-24)
Berkenaan dengan sebagai penyampai daripada
Allah dan risalah-Nya ada tiga pendapat;
* Aku tidak memiliki kemudaratan dan
petunjuk kecuali menyampaikan risalah Allah. Inilah pendapat al-Kalbi.
* Tiada seseorang yang dapat
menyelamatkanku daripada Allah jika aku tidak menyampaikan risalah-Nya. Inilah
pendapat Muqatil.
* Tatkala jin berbai'ah kepada Rasulullah
pada malam tersebut yang jumlah mereka melebihi 70,000 dan selesai bai'ah
ketika hampir menyingsing fajar. Inilah pendapat Makhul.
Sayid Qutub berkata: "Ini satu amaran
dan ancaman terbuka kepada orang-orang yang sampai dakwahnya kepada mereka
tetapi menentang dan tidak mengikutinya walaupun diberitahu kepadanya bebanan
yang akan ditanggung."
Andainya kaum musyrikin berbangga dengan
kekuatan dan bilangan yang ramai dibandingkan dengan kekuatan Nabi SAW dan yang
bersama dengan Baginda, maka di akhirat mereka ini akan diseksa dan diazab bagi
menjelaskan yang mereka sememangnya sangat lemah dan puak yang telah tewas.
Hamka berkata: "Oleh itu telah
dijelaskan oleh Nabi SAW kewajipan dia menghukum bukan mencaci dan memaki
hamun. Kewajipan padanya ada dua; Pertama, menyampaikan dan kedua, melaksanakan
misi dan visi dengan menunjukkan teladan dan akhlak yang mulia."
Ia semuanya terdapat dalam risalah yang
dibawa olehnya dan sifat tersebut merangkumi sidiq, amanah, tabligh, fatanah.
Apabila semuanya diaplikasikan, maka mustahil untuk Baginda menjadi pendusta.
Mereka menganggap orang yang beriman lemah
dan menghinanya sehingga mereka melihat pelbagai azab yang diancam kepada
mereka. Kemudian akan jelas bagi mereka siapakah sebenarnya orang yang lemah
itu? Sama ada orang yang beriman mengesakan Allah SWT atau orang musyrik yang
tidak mempunyai penolong dan pelindung?
Kesimpulannya, orang musyrik itu tidak
mempunyai penolong. Jumlah mereka lebih sedikit jika dibandingkan dengan
tentera-tentera Allah SWT.
Semoga Allah menjadikan kita di kalangan
hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta sentiasa mengikatkan hubungan hablun
mina Allah dan hablun mina an-Nas.
Sumber : Utusan