"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)." (al-Baqarah [2] : 255)
Ayat Kursi mempunyai keagungannya sehingga jika dibaca untuk
melawan syaitan dan iblis, nescaya makhluk yang dilaknati oleh Allah SWT itu akan terbakar. Ayat Kursi sangat ditakuti oleh syaitan dan iblis, malah ketika ayat ini diwahyukan
kepada Rasulullah SAW seluruh syaitan dan iblis menjadi resah gelisah.
Ada riwayat mengatakan bahawa ketika membawa wahyu ayat
Kursi kepada Rasulullah SAW, malaikat Jibril as. diiringi oleh 40,000 malaikat,
manakala ada riwayat lain pula mengatakan Jibril diiringi oleh 80,000 malaikat.
Dengan diiringi oleh sedemikian ramai malaikat, maka sudah tentulah ayat Kursi
bukan sebarangan ayat, pastinya ada keistimewaan dan kehebatan di sebaliknya.
Sebaik sahaja menerima wahyu ayat Kursi, Rasulullah SAW
segera memanggil Zaid bin Thabit untuk menuliskannya.
Pada saat ayat Kursi diwahyukan kepada baginda junjungan
besar Nabi Muhammad SAW, syaitan dan iblis menjadi kelam-kabut dan keluh-kesah,
malah tidak keruan tanpa diketahui punca yang menyebabkan kejadian begitu.
Lantas ketuanya memerintahkan kepada sekalian syaitan dan
iblis menjelajah ke setiap pelosok langit dan bumi bagi mencari punca dan sebab
yang menjadikan mereka dilanda kegelisahan dan kepanasan.
Dalam penjelajahan dan penyiasatan yang dibuat, syaitan dan
iblis mendapati punca kegelisahan mereka adalah disebabkan daripada bahang
panas ekoran turunnya ayat Kursi di Madinah, ayat yang jika umat Islam yang
mantap iman dan takwa menjadikannya sebagai senjata melawan syaitan dan iblis,
pasti syaitan dan iblis akan tumpas, malah akan terbakar.
Demikianlah betapa agung dan hebatnya ayat Kursi yang patut
dijadikan ayat yang semestinya dibaca dalam semua keadaan, kecuali ketika
berada di tempat-tempat yang tidak suci.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa
membaca ayat Kursi selepas tiap-tiap sembahyang fardhu, nescaya Allah
mengurniakan mereka hati orang-orang yang bersyukur, amalan orang siddiqin,
pahala para nabi dan menghampirkan ke atasnya rahmat dengan limpah kurnia Allah
yang mana tiadalah yang menegahnya daripada memasuki syurga selepas mati."
Baginda juga bersabda yang bermaksud: "Tiadalah yang
menetap atas amalan membaca ayat Kursi selepas tiap-tiap sembahyang fardhu itu
melainkan orang-orang siddiqin atau ahli-ahli ibadah" (daripada Ali bin
Abi Talib)
Sesungguhnya ada hadis baginda Rasulullah SAW yang
menyebutkan bahawa ayat Kursi adalah penghulu kepada ayat-ayat al-Quran.
Justeru kenapa kita tidak mengambil kesempatan ini untuk memanfaatkan keagungan
dan kehebatan ayat Kursi itu.