BUMI, menurut tafsiran yang khusus adalah
tanah tempat kita berpijak, manakala dalam erti yang luas mencakupi lautan,
udara, daratan dan segala isinya.
Oleh itu, ada istilah 'perut bumi' yang
mengandungi air, minyak dan batuan, yakni tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang
tertimbun selama jutaan tahun.
Allah SWT memilih bumi sebagai tempat
tinggal yang kaya dan subur untuk penghidupan manusia (rujuk al-Baqarah: 22;
ar-Ra'd: 3; Qaf: 53-54) dan diciptakan-Nya pula gunung untuk mengukuhkannya
agar manusia dapat hidup di atasnya tanpa ketakutan. (rujuk al-Naml: 61)
Bumi Allah
Di dalam surah az-Zumar, ayat 30, disebut
bahawa bumi Allah SWT itu luas. Makna yang terkandung dalam ayat ini adalah
kita akan mendapat kebaikan jika kita beriman, berbakti kepada Allah SWT dan
bersabar.
Perkara berlawanan bagi ayat di atas dapat
dibaca di dalam surah Taha, ayat 124 yang menyatakan bahawa siapa yang
berpaling ingkar daripada petunjuk Allah SWT, maka baginya kehidupan yang
sempit.
Katakanlah, 'Wahai hamba-hamba-Ku yang
beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu'. Orang yang berbuat baik di dunia ini akan
beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas.
(rujuk az-Zumar: 10)
Padang Mahsyar
Di bumi, manusia hidup dan mati, lalu dibangkitkan
kembali di Padang Mahsyar pada hari kiamat (rujuk al-A'raf: 25). Ertinya,
segala yang ada di bumi dijadikan manusia (rujuk al-Baqarah: 29), tetapi hanya
sebagai tempat sementara.
Dalam hadis riwayat Bukhari, daripada Ibnu
Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jadilah engkau di dunia
ini seolah-olah orang asing atau penyeberang jalan. Oleh itu, manusia
harus mengetahui erti dan tujuan hidupnya di bumi, yakni menyembah dan
beribadat kepada-Nya. (rujuk az-Zariyat: 56).
Tanggungjawab Manusia
Secara harfiah, surah az-Zumar, ayat 10,
boleh ditafsirkan bahawa bumi Allah SWT itu begitu luas, sehingga tidak ada
alasan bagi manusia untuk tidak berbuat baik dan berbakti. Kita digalakkan
menjelajah bumi dan meningkatkan rasa tanggungjawab serta martabat kita sebagai
manusia.
Di dalam al-Quran, ada kritikan terhadap
orang yang menyerah dan tidak mahu berhijrah untuk mendapatkan kehidupan yang
bertanggungjawab serta meningkatkan martabatnya. (rujuk an-Nisaa: 97)
Khalifah di Muka Bumi
Allah SWT mencipta manusia sebagai khalifah
di muka bumi (rujuk al-Baqarah: 30). Hanya manusia, bukan jin atau malaikat
yang diberi kepercayaan oleh Allah untuk memelihara bumi (rujuk al-A'raf: 56
dan 85), kerana hanya manusia yang memiliki akal serta fikiran untuk memahami
tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT di muka bumi (rujuk ar-Rum: 22).
Usia Bumi
Menurut ilmuwan, bumi berusia sekitar 4.5
ribu juta tahun. Di dalam al-Quran dan hadis, tidak ada keterangan tentang usia
bumi kerana wahyu tidak bertujuan untuk itu. Tetapi ada kisah metaforik ketika
ketika Nabi SAW melakukan Mikraj ke Sidratulmuntaha.
Baginda SAW melihat seorang tua yang tidak
bergigi, rambutnya banyak yang telah gugur, kulitnya kering, wajahnya
berkedut-kedut. Orang tua itu berjalan dengan langkah yang berat. Lalu Nabi SAW
bertanya kepada Jibrail, "Siapakah gerangan orang tua itu?" Jibrail
menjawab, "Orang tua itu adalah perumpamaan bumi yang sangat tua
usianya."
Kemusnahan Alam Sekitar
Memelihara bumi adalah antara petanda
keimanan (rujuk al-A'raf: 85). Betapa banyak sumber penghidupan yang dicipta
Allah SWT di bumi (rujuk al-A'raf: 10). Jika manusia memanfaatkannya dengan
sewajarnya, maka hidupnya akan makmur dan sentosa. Malangnya, ada manusia yang
cenderung membinasakannya.
Misalnya, mereka yang menebang hutan sesuka
hati sehingga rosak keseimbangan alam. Yang lain menggali tanah, pasir dan
galian lain tanpa peraturan sehingga terjadi tanah runtuh. Ada pula yang
membuang bahan buangan sewenang-wenangnya sehingga terjadi pencemaran air dan
udara yang menimbulkan berbagai-bagai penyakit.
Semua ini menyebabkan kerosakan di darat
mahupun di laut (rujuk ar-Rum: 41), padahal Allah SWT telah mengingatkan
manusia agar tidak membuat kerosakan di bumi, sesudah Allah menyediakan segala
yang membawa kebaikan padanya (rujuk al-A'raf: 56).
Manusia diberi kepercayaan untuk memelihara
dan memanfaatkan bumi sesuai dengan kehendak Pemberinya, iaitu Allah SWT.
Perlombongan minyak, satu bentuk kekayaan
bumi untuk dimanfaatkan bagi kepentingan manusia.