SETIAP makhluk yang dijadikan Allah tidak
sesekali akan terlepas daripada kematian waima dia seseorang nabi, rasul atau
orang mukmin. Setiap daripadanya tetap merasai saat hembusan nafas terakhir
seperti mana disebut dalam ayat 185 surah ali-Imran.
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati,
dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.
Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka
sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini
(meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Kehadiran kematian amat menggerunkan dan
menakutkan jika mendapat khabar berita bahawa salah seorang rakan paling hampir
dengan kita dipanggil menyahut seruan Ilahi meskipun baru sahaja bertemu dengan
individu berkenaan.
Hidup kita di muka bumi ini cukup singkat
dengan nyawa dicabut tanpa mengira umur pada bila-bila masa oleh malaikat
Izrail.
Sebaik disahkan kematian, bagi memenuhi
tanggungjawab fardu kifayah, jenazah itu dimandikan, dikapankan,
disembahyangkan dan dikebumikan seperti mana dituntut dalam syariat Islam.
Bagaimanapun di sebalik kegerunan tersebut,
wujud persoalan dalam kalangan umat Islam berhubung saat menjelangnya kematian.
Terdapat kalangan mereka bertanyakan bagaimana keadaan manusia sebelum
menjelangnya kematian. Bahkan timbul kekeliruan destinasi roh selepas nyawa
berpisah dari badan.
Maka wujud pelbagai pandangan, antaranya
menyatakan roh berlegar-legar di kediamannya selama 44 hari selepas si mati
meninggal dunia.
Malah ada mengatakan roh pulang pada bulan
Ramadan. Selain itu, berlakunya amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan
ajaran Islam.
Perkara tersebut dibimbangi menyebabkan
akidah umat Islam terpesong kerana kepercayaan samiyat (alam ghaib)
sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya mengikut pemikiran
manusia.
Bagaimanapun persoalan roh tidak wajar
diperbahaskan terlalu panjang kerana sebagai umat Islam kita perlu
menitikberatkan persiapan bekalan amalan sebelum menuju alam abadi bahkan
perkara alam samiyat merupakan urusan Allah.
Hujah demikian berpandukan ayat 85 surah
al-Isra':
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan
roh itu adalah urusan tuhanku dan tiadalah diberi kepada kamu ilmu pengetahuan
kecuali sedikit.(Surah al-Isra' [17] : 85)
Pun begitu, bagi menjernihkan persoalan
alam kematian agar umat Islam tidak terkeliru, para ulama telah mengarang
tulisan berdasarkan nas sahih agar ilmu persiapan menuju destinasi kekal abadi
berlandaskan akidah Islam.
Saat nazak
Perkara yang berkaitan dengan samiyat (alam
ghaib) tergolong dalam satu cabang rukun iman iaitu percaya kepada hari kiamat.
Maksudnya, persoalan alam akhirat hendaklah
berpandukan nas sahih dan tidak boleh sesekali mengikut kefahaman manusia
sendiri.
Hal itu termasuklah saat-saat menjelangnya
kematian atau juga dikenali sebagai nazak.
Menurut Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan
Akademi, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),
Mohammad Nidzam Abdul Kadir, keperitan dan kesakitan sakaratulmaut hanya
diketahui oleh orang yang mengalaminya.
Jelas Mohammad Nidzam, kenyataan tersebut
berdasarkan ayat 83 sehingga 85 surah al-Waqi'ah:
Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang daripada kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkong. Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. Dan kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.(Surah al-Waqi'ah [56] : 83 - 85)
Mohammad Nidzam berkata, menerusi ayat
tersebut, selain para ulama menafsirkan taubat manusia diterima selagi mana roh
tidak sampai di bahagian halkum dan sanak-saudara berada di sekelilingnya hanya
dapat menyaksikan kepayahan sakaratulmaut itu tetapi mereka tidak merasai
kesakitan berkenaan.
Ketika menjelaskan dakwaan berlaku
tanda-tanda menjelangnya kematian seperti dahi berdenyut, mata berkelip-kelip
atau keluar peluh berwarna emas hasil pemerhatian sanak-saudara yang melihat
seseorang sedang nazak, beliau berkata, itu merupakan perkara majhul (tidak
diketahui hakikatnya). Lihat ayat di bawah:
Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang
tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang
mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang
mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan
diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat
mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.(Surah Luqman [31] : 34)
"Berdasarkan ayat berkenaan, jelas
menunjukkan Allah sahaja mengetahui bila tarikh kematian. Kita tidak boleh
meneka waktu kematian akan kunjung tiba kerana perkara berkenaan adalah urusan
Allah, hatta Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah pun tidak mengetahui bila
baginda akan wafat.
"Jangan cuba berteka-teki alamat
kematian. Paling utama kita mesti melakukan persiapan daripada segi bekalan
pahala pada bila-bila sahaja," kata Mohammad Nidzam.
Mengenai dakwaan bahawa orang sedang nazak
mengetahui destinasi seterusnya sama ada diletakkan ke dalam syurga atau
dicampakkan ke neraka, Mohammad Nidzam menjelaskan dengan menyebutkan sepotong
hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: "Sesiapa yang menyebut kalimah Lailallahillah sebelum
akhir hayat akan masuk syurga."
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa
amalan soleh bakal membantu selain memberi syafaat di alam seterusnya.
Ujar Mohammad Nidzam, seseorang sedang
nazak menyedari dan yakin ganjaran seperti mana dijanjikan oleh Allah dan
Rasulullah kepada orang beriman. (rujuk An-Naĥl [16] : 31-32)
(Untuk mereka) Syurga-syurga " Adn
", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai;
mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah
membalas orang-orang yang bertaqwa, (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh
malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat),
sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu;
masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan".(Surat An-Naĥl [16] : 31-32)
Lain pula nasib menimpa orang yang ingkar,
nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan dahsyat dengan dijelaskan oleh Allah
dalam ayat 28 surah al-Nahlu
Iaitu mereka yang diambil
nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan
kekufurannya). Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil
berkata): Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan. (Malaikat menjawab): Bahkan
(kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu
telah kerjakan.(Surat An-Naĥl [16] : 28)
"Terdapat pula dakwaan yang mengatakan
ibu bapa datang menjemput orang sedang nazak. Hal ini dijelaskan oleh Imam
Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah dengan beliau menyatakan bahawa yang
datang itu bukanlah ibu bapa tetapi syaitan menyamar sebagai manusia. Syaitan
datang untuk menggoda keimanan manusia.
"Bagi menggelakkan perkara itu
terjadi, kita digalakkan mentalkin orang sedang nazak dengan kalimah Lailallahillah agar
ditetapkan keimanan dengan Allah," jelas beliau.
Mohammad Nidzam antara lain turut
menyarankan adalah lebih baik mengajarkan kalimah di atas kepada mereka yang
sedang nazak itu daripada sanak-saudara, ahli keluarga, ibu bapa, anak, isteri
meraung kerana tindakan berkenaan merupakan amalan jahiliah.
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR