بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.
Tuesday, July 31, 2012
Hidup tenang bila diri dihiasi takwa
Pemimpin tawaduk tak khianati amanah, kuasa
Ketika Abu Dzar Al-Ghifari meminta nasihat Rasulullah SAW, kata Rasulullah SAW
kepadanya: “Saya wasiatkan kepadamu, bertakwalah engkau kepada Allah kerana
takwa itu adalah pokok dari segala perkara.”
Umumnya, ulama mendefinisikan takwa sebagai
menjaga diri daripada perbuatan maksiat, meninggalkan dosa syirik, perbuatan
keji dan dosa besar, serta berperi laku dengan adab syariah. Takwa adalah
melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
"Barang siapa yang menghiasi dirinya
dengan ketakwaan kepada Allah, maka dia akan hidup dengan penuh keyakinan dan
kekuatan. Dia pun akan berjalan di muka bumi ini dengan penuh ketenangan dan
kedamaian" - Riwayat Abu Nu’aim
Firman Allah SWT:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)
Firman-Nya lagi:
“Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Surah Al-A’raf, ayat 26)
Tiada niat lakukan kejahatan
Orang yang bertakwa selalu memikirkan apa yang akan diucapkan dan berhati-hati
ketika melakukan sesuatu perkara. Tidak ada niat di hati Muslim sama sekali
untuk melakukan kejahatan yang boleh merugikan dan memudaratkan orang lain,
apatah lagi merugikan masyarakat serta negara.
Orang yang menjadikan takwa sebagai hiasan hidupnya tidak mungkin mengkhianati
amanah dan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga atau kroninya. Kuasa
kepemimpinan adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan kepada masyarakat,
bangsa dan terutama kepada Allah SWT.
Islam lahir ramai pemimpin bertakwa
Islam melahirkan ramai pemimpin bertakwa yang memimpin umat Islam dengan penuh
keadilan. Contohnya, Saidina Ali bin Abi Talib yang bersifat tawaduk dan patuh
terhadap keputusan Kadi, meskipun tuntutannya terhadap baju besi dimiliki
seorang Yahudi, dibatalkan di sidang pengadilan.
Saidina Ali membawa saksi iaitu Saidina Hasan, puteranya sendiri dan Qanbar,
pembantunya. Namun Kadi Syuraih sebagai seorang kadi yang jujur dan tegas telah
menolak saksi dari kaum kerabat kerana dianggap boleh menimbulkan berat sebelah
kepada Saidina Ali.
Akhirnya, Kadi telah memberikan keputusan yang adil dengan memberikan
kemenangan kepada Yahudi dan Khalifah Ali menerimanya dengan ikhlas.
Sikap tawaduk yang lahir dari takwa ini telah membuka pintu hati Yahudi itu
untuk menerima Islam sebagai pegangan hidupnya.
Yahudi berkata: “Wahai Amirul Mukminin, Tuan telah membuat aduan mengenai saya
kepada Kadi yang juga orang bawahan tuan, tapi dia telah memberikan kemenangan
kepada saya. Maka dengan ini, saya bersaksi bahawa ini adalah kebenaran dan
saya bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.”
Peroleh ketenangan di dunia, akhirat
Akhirnya, apabila takwa menjadi perhiasan hidup dalam setiap gerak gerinya, dia
akan memperoleh ketenangan dan kedamaian yang hakiki di dunia serta akhirat
nanti.
Maka benarlah Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menghiasi dirinya
dengan ketakwaan kepada Allah, maka dia akan hidup dengan penuh keyakinan dan
kekuatan. Dia pun akan berjalan di muka bumi ini dengan penuh ketenangan dan
kedamaian.” (Hadis riwayat Abu Nu’aim)
Takwa adalah bekalan hidup paling berharga dalam diri seorang Muslim. Tanpanya
hidup menjadi tidak bermakna dan penuh kegelisahan. Sebaliknya, seseorang akan
merasai hakikat kebahagiaan hidup, baik di dunia mahu pun akhirat apabila dia
berhasil menjadi seorang yang bertakwa.
Oleh Dr
Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Monday, July 30, 2012
Lidah Humban Manusia Ke Neraka
Budaya keji mengeji dan gurauan melampau
berbentuk penghinaan atas kekurangan seseorang seakan-akan menjadi hiburan oleh
sesetengah orang dan menjadi dosa yang tersembunyi tanpa kita sedari.
Begitu hebat anggota badan yang diciptakan Allah SWT dan dinamakan sebagai
lidah ini.
Selain dapat merasa pelbagai nikmat rasa seperti manis, masin, masam dan pahit,
lidah juga memainkan peranan penting dengan membantu kita untuk berbicara dan
berkomunikasi.
Lidah juga sering menjadi punca kepada segala perbalahan dan permulaan kepada
pertelingkahan yang mengundang kepada dosa.
Lihat saja sebuah laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang lelaki ditembak
oleh rakannya ketika selesai menonton perlawanan akhir bola sepak.
Semuanya bermula akibat provokasi dan gurauan melampau serta rasa tidak puas
hati akibat diejek berikutan pasukan yang disokongnya kalah.
Akibat tidak dapat menahan sabar kerana diejek rakan sendiri, suspek melepaskan
empat das tembakan yang hampir meragut nyawa rakannya.
Ini yang dikhuatirkan kerana sesuatu bencana itu sering dilihat berpunca
daripada lidah.
Antara dosa yang disebabkan lidah ialah mengumpat, mengeji, mengadu domba,
fitnah dan menghasut .
Kerana itu Rasulullah SAW menyatakan, lidah itu boleh membawa kepada keburukan
dan bala kepada seseorang sepertimana dalam hadis bermaksud: “Tidaklah hasil
tuaian lidah manusia itulah yang menghumbankan muka mereka ke dalam neraka.”
Namun memang sukar mengawal lidah kerana sering tutur bicara kita mendahului
fikiran.
Setelah bercakap baru menyesal, tetapi bak kata pepatah, “terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata buruk padahnya’.
Kerana itu, Allah SWT dan Rasul-Nya banyak memberi peringatan dan bimbingan
dalam soal menjaga lidah.
Daripada Abu Hurairah RA, diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang
bermaksud:
“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (hadis riwayat Imam Tirmidzi)
Menurut Rasulullah SAW, ada tiga golongan manusia di dunia, iaitu yang mendapat
pahala, selamat daripada dosa dan binasa.
Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan
solat dan sebagainya.
Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang
binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya
dengan baik.
Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya.
Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal baik saja, tidak menyakiti hati
orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka
mengawal lidah.
Bak kata pepatah Arab: “Kata-kata yang lembut bisa meruntunkan jiwa pendengar,
dan kata-kata keras nista bisa membakar dan meledakkan hati.”
Begitulah besar kesan yang dibawa oleh satu organ yang tidak bertulang, yakni
lidah.
Tidak hairan mengapa lidah dikatakan boleh menentukan nasib seseorang itu
apabila di Padang Mahsyar nanti sama ada ke syurga atau neraka.
Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Tirmidzi dan Ibnu Majah, bahawasanya Abu
Hurairah RA menceritakan, apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang
membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan
akhlak yang baik.”
Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka,
Rasulullah SAW menjawab: “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08
Ibadah uji keimanan, benteng kawal hawa nafsu

Orang yang berpuasa seharusnya menyedari bahawa ibadah puasa yang mereka laksanakan dengan penuh keinsafan dan penghayatan akan menjadi perisai bagi dirinya. Bukan hanya menjadi perisai di dunia, malah di akhirat nanti.
Orang yang berpuasa harus juga menyedari bahawa puasa menjadi perisai
dalam kehidupan dunia dalam erti kata mendinding diri daripada terjebak dalam
kancah dosa dan maksiat, lebih-lebih lagi sesudah berlalunya Ramadan, saat kita
terdedah dengan 11 bulan penuh mencabar dan sangat menguji keimanan serta
kesabaran.
Puasa itu perisai daripada api neraka seperti perisai (benteng) salah seorang kamu dalam peperangan. (Puasa akan menjadi perisai) selama mana dia tidak merosakkannya dengan kata-kata dusta dan umpatan”. - Riwayat Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Majah
Serangan nafsu dan syaitan secara kombinasi
sangat hebat. Tipu helah mereka datang dari segenap arah. Bayangkan, jika puasa
tidak berupaya menghasilkan ‘benteng’ ampuh seperti diharapkan, maka jadilah
kita kala itu ‘bahan’ sepak terajang nafsu dan syaitan.
Puasa yang hebat bukan saja menjadi pendinding untuk sehari dua bahkan dapat
menjadi perisai melindungi diri setiap masa sehingga bertemu Ramadan yang akan
datang.
Manakala di akhirat nanti, ibadah puasa turut menjadi perisai daripada
terjerumus ke dalam api neraka. Inilah kurniaan yang sangat besar kepada hamba
berpuasa.
Nabi SAW bersabda:
“Puasa itu perisai dari api neraka seperti perisai (benteng) salah seorang kamu dalam peperangan. (Puasa akan menjadi perisai) selama mana dia tidak merosakkannya dengan kata-kata dusta dan umpatan.” (Riwayat Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Hikmah agung
Sesungguhnya ibadah puasa difardukan Allah SWT mempunyai pelbagai hikmah agung
bertujuan membuktikan ketaatan kepada Allah SWT dan mampu melahirkan manusia
yang benar-benar menghayati sifat kehambaan dan dapat membina keperibadian diri
muslim sejati.
Justeru, kewajipan kita bukan sekadar menerima puasa sebagai satu perintah
daripada Allah, bahkan kita turut berkewajipan melaksanakannya dengan rasa
penuh keikhlasan. Hanya puasa yang dibina atas tapak keikhlasan saja yang
sampai kepada Allah.
Puasa dalam kategori inilah yang dijanjikan Allah bakal memperoleh ganjaran
pahala tiada tolok bandingnya. Bukannya berpuasa kerana manusia atau
kepentingan duniawi yang bersifat sementara.
Ikhlas laksana ibadah
Rasulullah SAW sangat mengambil berat dan memberi peringatan tegas mengenai
keikhlasan melaksanakan perintah Allah.
Daripada Syaddad bin Aus, ia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa berpuasa demi mencari pujian (nilaian) manusia, sesungguhnya ia telah berbuat syirik, barang siapa solat demi pujian (nilaian) manusia, maka sesungguhnya ia telah berbuat syirik dan barang siapa yang membayar zakat demi pujian (nilaian) manusia, maka sesungguhnya dia juga telah berbuat syirik.” (Riwayat Tabrani)
Puasa dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah adalah puasa yang gemilang dan
penuh kekuatan. Pada hari kiamat nanti puasa yang gemilang berkilauan akan
tampil di hadapan Allah SWT dan berkata: “Izinkanlah aku memberikan syafaat
kepadanya.”
Inilah yang katakan rahmat Allah SWT yang tiada bertepi luasnya. Daripada
Abdillah ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda:
“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba di hari kiamat nanti. Puasa berkata: Wahai Tuhanku! Aku telah menegahnya dari makan dan menuruti nafsu syahwat (semasa menjalani ibadah puasa), maka izinkanlah aku memberikan syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: (Wahai Tuhanku) Aku telah menegahnya dari tidur di sebelah malam, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya. Maka kedua-duanya (puasa dan al-Quran) diizinkan (Allah) memberikan syafaat itu.” (Riwayat Ahmad, Tabrani, Ibnu Abid Dunya dan Al-Hakim)
Peluang berharga
Tidak terhenti dengan kurniaan pahala yang tidak bertepi, mukmin berpuasa
kerana Allah diberi kurniaan tambahan iaitu doanya dijamin mustajab, pasti
didengari dan dikabulkan. Peluang berharga ini, janganlah disia-siakan.
Hakikatnya di dunia ini, berapa ramai orang yang berdoa, berbuih-buih mulutnya
bukan sehari tetapi bertahun-tahun, namun Allah belum berkenan memakbulkannya.
Keadaan sebaliknya bagi orang yang benar-benar berpuasa.
Bukan sekadar Allah akan memakbulkannya bahkan Allah juga rindu dan
ternanti-nanti doa dan rintihan hamba-Nya yang berpuasa.
Sabda Rasulullah SAW:
“Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir.” (Riwayat Bukhari)
Oleh : Asri Md Saman @ Osman - Pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut
Pendidikan Guru Kampus Darulaman.
Rebut kelebihan Ramadan

Pada Ramadan, masyarakat Islam digalakkan
memperbanyak bersedekah, menyediakan juadah berbuka puasa dan menghulurkan apa
juga bantuan yang terdaya bagi mencontohi perbuatan Baginda Nabi SAW yang
sangat pemurah.
Begitu juga kewajipan bersegera menunaikan
fardu zakat fitrah bagi yang berkemampuan tidak harus dilengah-lengahkan.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesiapa daripada kalangan mukmin memberi makanan kepada mukmin yang kelaparan maka Allah SWT akan memberinya makanan buah-buahan syurga pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan mukmin memberi minuman kepada mukmin yang kehausan maka Allah SWT akan memberinya khamar syurga yang termeterai bekasnya pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan mukmin memberi pakaian kepada mukmin yang tidak berpakaian maka Allah SWT akan memberinya pakaian syurga yang berwarna hijau.” (Riwayat al-Tirmiziy dan Abu Daud)
Baginda SAW pernah ditanya sedekah yang
paling afdal dan Baginda menjawab, sedekah pada Ramadan.
Selain itu kelebihan, Ramadan juga dibahagi-bahagikan kepada nikmat beroleh
rahmat Allah SWT pada 10 hari pertama, ganjaran pengampunan dosa pada 10 hari
berikut dan akhirnya pembebasan daripada api neraka di 10 terakhir.
Kelebihan Ramadan jadi motivasi muslimin beramal
Semua kelebihan ini motivasi untuk muslimin beramal memenuhi Ramadan dengan
aktiviti bermanfaat. Diriwayatkan juga apabila tiba Ramadan, pintu langit,
pintu syurga, pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan
dibelenggu.
Masyarakat Islam diseru berusaha bersungguh-sungguh memenuhi seluruh Ramadan
dengan pelbagai kegiatan ibadah yang memiliki ganjaran hebat. Ganjaran
bertadarus al-Quran contohnya mampu memberi ketenangan dan menarik rahmat Allah
SWT.
Ini dinyatakan dalam riwayat:
“Tidaklah berkumpul suatu kaum di rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat Allah SWT, malaikat akan menyertai mereka dan Allah SWT membanggakan mereka di kalangan malaikat yang ada di sisinya.” (Riwayat Abu Daud)
Ramadan juga bulan pengampunan dosa yang memberi peluang individu Muslim
melipatgandakan usaha memohon keampunan seterusnya bertaubat dan tidak lagi
mengulangi dosa itu.
Kelebihan yang tiada tolok bandingnya terdapat pula pada malam lailatulqadar.
Berjihad mencari lailatulqadar adalah kemuncak daripada segala amal kebajikan
dilakukan sejak hari pertama Ramadan.
Pada malam itu dosa sesiapa beristighfar diampunkan, doa dan permohonan kepada
sesiapa yang ikhlas menadah tangan kehambaan diperkenankan.
Malah pahala beribadah menyamai 1,000 bulan iaitu seolah-olah 83 tahun umur
manusia bakal diraih insan terpilih beroleh nikmat beribadah pada malamnya. Ini
juga peluang keemasan yang perlu diraih setiap Muslim.
Ia tiba setahun sekali dan tiada sesiapa yang boleh menjangka akan memperoleh
lagi kenikmatan seperti ini pada tahun mendatang.
Oleh Mohd Ali Muhamad Don - Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus
Bandaraya Johor Bahru.
Saturday, July 28, 2012
Al-Quran Biru
AL-QURAN merupakan kitab suci umat Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibrail a.s. Kebanyakan teks al-Quran di zaman awal Islam ditulis di atas kertas kulit yang dikenali sebagai velum menggunakan tulisan kufik. Di dalam bidang seni penulisan al-Quran terdapat sejenis al-Quran yang dikenali sebagai al-Quran Biru.
Al-Quran Biru mempunyai set penulisan teks yang seragam dan ini menjadi ciri-ciri unik yang dimiliki oleh al-Quran ini. Al-Quran Biru dihasilkan dengan menulis ayat al-Quran di atas kertas kulit yang telah diwarnakan dengan pewarna biru.
Tulisannya ditulis dengan dakwat emas dalam 15 baris teks bagi setiap helaian kertas kulit yang digunakan. Setiap naskhah al-Quran Biru yang dihasilkan mempunyai sebanyak 650 helaian kertas kulit.
Berdasarkan kepada ciri-ciri unik dan mewah di atas, ia mengehadkan penaung kepada pengeluaran al-Quran Biru ini kepada golongan khalifah dan pembesar istana sahaja kerana kos untuk menyiapkan senaskhah al-Quran Biru adalah amat mahal pada abad ke-8 hingga abad ke-13 Masihi.
Penghasilan al-Quran Biru bermula dengan proses penyediaan kertas kulit yang diambil daripada kulit kambing. Bulu-bulu halus yang terdapat pada kulit kambing akan dibersihkan dan seterusnya ia di regang pada bingkai kayu dan dipaku untuk tujuan pengeringan.
Setelah kulit kering, ia akan disapu dengan bahan pewarna indigo yang menghasilkan warna biru dengan menggunakan berus. Ia juga mungkin direndam ke dalam cecair indigo untuk jangka masa yang lama bagi mendapatkan warna biru gelap.
Selepas proses mewarna, kulit akan dikeringkan sebelum proses menulis. Kertas kulit yang telah kering akan dipotong mengikut saiz yang diperlukan.
Kebiasaannya helaian Al-Quran Biru dihasilkan dalam bentuk melintang. Kemudian penulis khat akan menyediakan garisan bagi memastikan ayat-ayat Al-Quran yang ditulis adalah lurus.
Penulis khat akan menggunakan kapur atau mata pen yang tumpul untuk menghasilkan garisan teks. Setelah garisan yang diperlukan siap, penulis khat akan mula menulis aya-ayat al-Quran menggunakan dakwat berwarna emas.
Al-Quran Biru dihasilkan bukan untuk tujuan praktikal malah ia lebih kepada tujuan hiasan. Tulisan kufik yang digunakan tidak mempunyai baris dan titik.
Mengikut dapatan kajian yang dijalankan oleh pengkaji seperti Neumier, ia dijadikan sebagai hadiah yang bukan sahaja melambangkan kekayaan pembuatnya malah ia juga melambangkan status kuasa yang dimiliki oleh seseorang pemerintah.
Selain biru, terdapat naskhah al-Quran yang ditulis dengan tulisan perak di atas kertas kulit berwarna seperti coklat dan ungu. Al-Quran ini merupakan antara koleksi manuskrip Islam di Masjid Kasba di Tunisia daripada Khalifah Al-Mutawakkil pada abad ke-15 Masihi.
Dua buah masjid besar yang mempunyai naskhah al-Quran ini di dalam simpanan mereka ialah Masjid Besar Khairouan dan Masjid Besar Cardoba. Selain masjid, naskhah atau helaian al-Quran Biru ini turut dimiliki oleh beberapa buah muzium tersohor seperti Muzium Metropolitan, Muzium Sackler di Harvard, Chester Beatty Library dan di Malaysia helaian al-Quran yang cantik ini boleh dilihat di Muzium Kesenian Islam Malaysia.
Muzium Kesenian Islam Malaysia mempunyai sehelai muka surat al-Quran Biru yang dihasilkan pada abad ke 9 - 10 Masihi di Afrika Utara. Ia merupakan antara artifak terbaru yang dipamerkan di dalam Galeri Al-Quran dan Manuskrip.
Peringatan Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ALLAH SWT telah menyebut keadaan dunia, iaitu Dia mendahulukan keadaan orang yang taat (Rasulullah SAW dan umatnya) berbanding keadaan orang yang derhaka.
Sebelum perintah dan larangan yang berhubung dengan Rasulullah SAW dikeluarkan, Allah SWT telah memerintahkan agar baginda SAW bersabar terhadap gangguan kaumnya yang alami beliau.
Ini adalah untuk menghilangkan kesedihan Rasulullah SAW serta menguatkan hati baginda, sehingga berlapang hati mendepaninya.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya mereka (orang kafir) menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak memperdulikan kesudahan mereka, pada hari yang berat (hari akhirat). (al-Insaan: 27)
Al-Maraghi berkata: Jangan kamu mengikut rentak orang kafir dan kerjakanlah ibadah kerana mereka telah meninggalkan akhirat untuk dunia iaitu mereka mengutamakan dunia dan kagum dengan perhiasannya sehingga mereka tenggelam dalam kelazatan yang bersifat sementara. Mereka juga meninggalkan amalan yang dapat menyelamatkan mereka daripada azab serta bala bencana.
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT memberikan penolakan terhadap orang-orang kafir dan yang serupa dengan mereka dalam mencintai serta mengejar dunia dan meninggalkan kehidupan akhirat jauh di belakang mereka.
Sayid Qutub berkata: Orang-orang kafir itu hidup dengan cita-cita yang dekat dan kecil sahaja. Minat dan cita-cita mereka hanya tertumpu dalam lingkungan hidup dunia sahaja dan mereka tidak menghiraukan hari akhirat yang amat berat tanggungjawabnya dan amat berat akibatnya serta amat penting di dalam neraca hakikat.

Firman Allah SWT: Kami telah menciptakan mereka dan menguatkan persendian tubuh mereka, apabila kami menghendaki, kami sungguh-sungguh mengganti (mereka) dengan orang-orang yang serupa dengan mereka. (al-Insaan: 28)
Mendekatkan diri
Al-Maraghi berkata: Bagaimana mereka lalai kepada Kami, padahal Kami telah mencipta mereka dan meneguhkan ikatan sendi-sendi, urat-urat serta saraf-saraf mereka? Apakah selepas ini Kami juga akan membiarkan mereka begitu sahaja? Jika Kami kehendaki, pasti Kami akan binasakan mereka dan kami datangkan pengganti yang lain bagi menggantikan mereka yang dibinasakan itu.
Ibnu Abbas, Mujahid dan lain-lain mengatakan: Yakni penciptaan mereka.
Ibnu Zaid dan Ibnu Jarir berkata: Yakni, jika kami mahu maka akan Kami datangkan kaum lain selain mereka.
Sayid Qutub berkata: Mereka tidak berkuasa melawan Allah SWT dengan kekuatan mereka kerana Allahlah yang menciptakan mereka dan memberi kekuatan kepada mereka. Dan andainya Allah SWT memberi tempoh kepada mereka dan tidak menukarkan mereka dengan orang-orang yang lain dari mereka, maka itu merupakan kemurahan dan kebaikan daripada-Nya sahaja dan juga merupakan keputusan dan hikmah daripada-Nya sahaja.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya (ayat-ayat) Ini adalah suatu peringatan, Maka barang siapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya) nescaya dia mengambil jalan kepada Tuhannya.(al-Insaan: 29)
Al-Maraghi berkata: Barang siapa yang menginginkan kebaikan bagi dirinya di dunia dan akhirat hendaklah dia mendekatkan diri kepada Tuhannya dengan ketaatan. Begitu juga hendaklah mengikut apa yang diperintahkan Allah SWT kepadanya dan berhenti daripada apa yang dilarang untuknya agar dia mendapat pahala dan dijauhkan daripada azab Allah SWT.
Ibnu Kathir berkata: Surah ini menjadi peringatan, barang siapa mahu maka dia boleh memperoleh petunjuk daripada al-Quran.
Semoga Allah mengurniakan kita segala sifat mahmudah yang melayakkan kita menghuni syurga-Nya. Amin.
Hidup bersederhana
ISLAM adalah agama yang mementingkan kesederhanaan hidup dalam segala aspek. Sifat sederhana ini mencerminkan kemurnian iman dan kesyukuran kepada Allah atas limpah nikmat kurnia-Nya yang tidak terhingga yang tidak terhitung banyaknya.
Sesuai dengan falsafah dan hikmah puasa yang mengajar manusia menahan diri daripada makan dan minum di siang hari kerana melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah. Melaluinya secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah dan bilangan kekerapan makan dan minum secara teratur. Lantaran itu, perbelanjaan seharian akan lebih berhemat dan selamat daripada membazir atau boros.
Islam juga amat menekankan tentang bimbingan kepenggunaan dan mendidik agar sederhana dalam berbelanja terutama di bulan Ramadan. Bulan puasa sewajarnya mendidik umat Islam supaya menahan nafsu mata dan nafsu perut agar tidak boros berbelanja. Sifat dan amalan sederhana dalam makan dan perbelanjaan sangat digalakkan oleh Islam kepada umatnya.
Sempena Ramadan lagi sudah terdapat pelbagai tawaran harga murah dan juadah dijual di bazar Ramadan yang menguji iman. Sifat sederhana adalah sifat hamba-hamba Allah yang dekat dengan-Nya.

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. (Al-Furqaan 25:67)
Jelaslah sifat sederhana ini amat dititikberatkan dalam kehidupan umat Islam. Seseorang yang bersifat sederhana tidak mudah ditimpa kesusahan dan kepapaan. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap kesusahan orang lain yang harus dibantu.
Jadikan kesederhanaan sebagai cara hidup yang baik dan sihat. Tidak akan melarat sesiapa sahaja yang mengamalkan cara hidup yang sederhana.
Melalui sifat kesederhanaan akan lahirlah rasa syukur, sabar, tawakal dan insaf di hati seseorang. Sifat-sifat ini juga banyak membawa kebahagiaan hidup kepada pengamal sifat ini terutama dalam suasan ekonomi meleset dan harga barang melambung tinggi.
Cerdik pandai Islam pernah berkata, kesenangan hati dan ketenangan jiwa adalah lebih berharga daripada kesenangan kerana pangkat dan kekayaan yang melimpah ruah. Apabila manusia tidak memerdekakan jiwanya daripada harta benda, maka harta benda yang dimilikinya itu akan menguasainya.
Oleh itu, carilah kesenangan hati dan ketenangan jiwa di bulan Ramadan dengan mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja. Godaan nafsu mata seperti kata peribahasa, 'rambang mata' ketika membeli-belah haruslah dikawal bagi mengelakkan pembaziran. Belilah barang atau makanan yang perlu sahaja supaya tidak melakukan pembaziran.
Imam Abu Hanifah pernah berkata, sepotong roti, segelas air dan sehelai kain yang diperoleh dengan jalan halal, lebih baik daripada hidup mewah yang kemudian menimbulkan penyesalan.
Sikap sederhana ini ditekankan apabila barangan menjadi berkurangan sewaktu musim kemarau dan kelaparan. Inilah yang telah diceritakan dalam al-Quran dalam kisah Nabi Yusuf a.s., yang telah mengurangkan penggunaan barangan sepanjang tujuh tahun yang subur untuk disimpan buat menghadapi musim kemarau.

Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (Yusuf 12:47)
Dalam hal hidup sederhana Nabi SAW bersabda: "Makanlah, minumlah, pakailah dan bersedekahlah, jangan berlebih-lebih (boros) dan janganlah untuk bermegah-megah." (riwayat Abu Daud dan Ahmad).
Jaga adab berpuasa

Oleh IBRAHIM ABDULLAH
HABIB Abdullah bin Alwi al-Haddad, dalam kitabnya Nashaihud Diniyyah wal Washaayal Imaniyyah berkata: "Orang yang berpuasa mempunyai adab-adab yang puasanya tidak menjadi sempurna, kecuali dengan adanya adab-adab itu. Yang terpenting daripadanya ialah menjaga lidahnya daripada dusta dan ghibah serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya. Ia menjaga kedua mata dan telinganya daripada mendengarkan dan memandang sesuatu yang tidak halal baginya serta sesuatu yang dianggap berlebihan."
Seterusnya, ia menjaga pula dirinya daripada memakan makanan haram dan subahat, khususnya ketika berbuka puasa. Ia berusaha dengan sangat berhati-hati untuk tidak berbuka puasa, kecuali dengan memakan makanan halal lagi tayyibah.
Ulama Salaf berkata: "Apabila engkau berpuasa, lihatlah makanan apa yang engkau makan ketika berbuka dan di tempat mana engkau berbuka. Hal itu merupakan dorongan agar berhati-hati mengenai makanan berbuka puasa."
Begitu pula orang yang berpuasa harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih.
Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.
Nabi SAW bersabda bermaksud: Banyak orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga. (riwayat Muslim).
Meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati dan lebih wajib.
Nabi SAW bersabda bermaksud: Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Termasuk adab orang berpuasa ialah tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya.
Hendaknya orang yang berpuasa menjauhi kesenangan hawa nafsunya serta kenikmatan melampau. Latihan dan menjauhi keinginan nafsu menimbulkan pengaruh besar dalam menerangi hati dan secara khusus dituntut di bulan Ramadan.
Adapun orang -orang yang menjadikan bersenang-senang dan hidup mewah di bulan Ramadan, hal itu merupakan tipu daya syaitan agar mereka tidak merasakan keberkatan puasa mereka.
utusan
utusan
Friday, July 27, 2012
Tazkirah Ramadhan 1433 H
Ketika nabi SAW menaiki tangga mimbar,
"Malaikat Jibril datang kepadaku dan
berkata: "Kecewa dan rugilah ya Muhammad orang yang ketika namamu disebut dia tidak
mengucapkan shalawat kepadamu". Lalu aku berkata : "Amin". "Rugi dan kecewalah ya Muhammad orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak
dimasukkan ke syurga". Aku berkata : "Amin". Jibril berkata
lagi: "Rugi dan kecewalah orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi
Allah tidak mengampuni dosa-dosanya". Lalu aku
mengucapkan : "Amin". Hadis Riwayat Imam Ahmad
Banyakkan ke majlis Ilmu.. Banyakkan bertadarus..
Bazar Ramadhan.. fenomena baik daripada segi eknomi tapi kita kena hati-hati bila nak beli juadah
Makanan ada dua nilai yang mempengaruhi kita.. jika tak baik makanan itu menjadikan kita tak baik.
Ramadhan bulan jihad .. Ramadhan bulan turunnya al-Quran.. jangan anggap bulan Ramadhan melemahkan kita. Mari kembali kepada Islam supaya semuanya selamat.
Mudah-mudahan dengan puasa, qiayamullail dan mujahadah serta muhasabah diri.. dan kita berjaya meningkatkan ketakwaan..
Wednesday, July 25, 2012
Syeikh Soleh bin Muhammad
AL-'Allamah al-Imam Syeikh Soleh bin
Muhammad bin Soleh bin Muhammad bin al Rifa'i adalah seorang ulama unggul yang
bersambungan nasabnya dengan Sayyiduna Ja'far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir
bin Ali Zainal Abidin bin al-Husain bin Ali dan Fatimah al-Zahra' binti
Sayyiduna Muhammad SAW. Dilahirkan pada hari Khamis 10 Jamadilakhir tahun 1328 Hijrah di Dunqula, Sudan.
Ramai yang menyangka dan tersalah faham
mengenai perkataan al Ja'fari pada penisbahan dirinya dan namanya sehingga
menyangka bahawa beliau adalah pengikut mazhab Syiah al Ja'fariah sedangkan
beliau berakidah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Maliki
dalam ilmu Feqah. Manakala penisbahan kepada al Ja'fari hanyalah kepada
keturunan dan datuk moyangnya sahaja.
Bapanya adalah seorang petani yang
bersungguh-sungguh dalam menguruskan kerja perladangan demi menyara
keluarganya. Manakala pada waktu malam beliau bangun dan beribadat kepada
Tuhannya sehingga hampir waktu solat Subuh. Beliau pergi awal ke masjid, sama
ada pada musim panas atau sejuk lalu membuka pintu masjid dan menyalakan
lampu-lampu, menunggu para jemaah, menjadi bilal dan mengimamkan solat. Beliau
beristiqamah dalam ibadahnya, sentiasa solat berjemaah dan duduk di dalam saf
yang awal sepanjang umurnya yang melebihi 90 tahun.
Semenjak kecil lagi Syeikh Soleh memiliki
perasaan belas ihsan dan kasih sayang kepada masyarakat sekitarnya. Apabila
datang fakir. Beliau akan memberi barangan tanpa mengambil sebarang bayaran
daripada mereka. Semenjak kecil lagi, beliau sibuk menuntut ilmu, berdamping
dengan mushaf al-Quran serta menghafaznya ketika berusia 14 tahun di Masjid Dunqula, Sudan.
Beliau sentiasa pergi ke masjid dan
sekiranya ditanya, ibunya sering menjawab: "Soleh berada di masjid
menghafaz al Quran."
Ketika tidur, beliau meletakkan mushaf di
sisinya dan apabila terjaga pada bila-bila masa pada waktu malam, beliau akan
membacanya.
Di antara guru yang bertanggungjawab dalam
pentarbiahan rohaninya ialah Sayyid Muhammad al-Syarif iaitu cucu kepada ulama
dan wali Allah yang masyhur iaitu Sayyid Ahmad bin Idris. Syeikh Soleh duduk di
bawah pentarbiahannya semenjak berusia 19 tahun.
Belajar di al-Azhar
Syeikh Soleh pergi ke al-Azhar ketika
berumur 16 tahun untuk menuntut ilmu daripada para ulama di sana.
Beliau pernah bermimpi melihat Sayyid Ahmad
bin Idris berkata kepadanya: "Allah bersamamu, bacalah Feqah mazhab yang
empat."
Salah seorang syeikhnya berkata,
"Sekiranya mimpi ini benar, bermakna engkau akan pergi ke Universiti al
Azhar."
Pemergiannya ke Mesir mengalami banyak
kesulitan kerana jarak perjalanan dari Sudan
amat jauh dan merumitkan dengan terpaksa menempuh padang pasir dan bukit-bukau.
Di al-Azhar beliau belajar dengan penuh
kesungguhan dalam keadaan meninggalkan tanah air, keluarga dan anak-anak.
Beliau tidak pernah mensia-siakan waktu dengan perkara yang tidak berfaedah
walaupun seketika.
Syeikh Soleh juga tidak pernah meninggalkan
syeikh-syeikhnya walau sekali melainkan sering bersama dan duduk dalam majlis
pengajian mereka. Beliau berjaga malam untuk menuntut ilmu, berzikir, membaca
al-Quran dan beribadat.
Beliau berkata: "Tidak ada suatu
kelazatan yang setanding dengan kelazatan beribadat."
Beliau juga menggunakan tasbih dengan
seribu biji sering duduk di al-Azhar dengan bertasbih kepada Allah sehingga
solat Subuh. Ketika usia mudanya, beliau mampu mengkhatamkan al-Quran sebanyak
tiga kali sehari dengan taufik daripada Allah.
Ketika menuntut di al-Azhar, bapanya
mengirim sebanyak 10 Pound Mesir setiap bulan. Pada era tahun 30-an, nilai
tersebut adalah besar.
Akan tetapi Syeikh Soleh membelanjakan wang
tersebut dengan bersedekah kepada pelajar miskin di al-Azhar.
Beliau hidup dan makan makanan yang ringan
bersama mereka, bahkan seringkali tidak makan beberapa hari dan tidur dalam
kelaparan.
Semasa pengajian, Syeikh Soleh amat
bersungguh-sungguh dan banyak bertanya untuk mengambil segala manfaat dan ilmu
tambahan daripada syeikh-syeikh yang mengajarnya. Pengajianya tidak hanya
terhenti di al-Azhar, bahkan beliau berusaha untuk mencari ilmu di tempat lain
seperti, pengajian Syeikh al-Syubrawi di Masjid al-Nur Mesir.
Di sana
terdapat ramai syeikh yang telah mencurahkan faedah ilmiah, ijazah dan barakah
kepada Syeikh Soleh sehingga menjadikan beliau bintang yang bersinar gemilang
di kalangan jaguh-jaguh ulama Ahli Sunnah Wal Jama'ah.
Antara mereka ialah Syeikh Muhammad Ibrahim
al Samaluti, Syeikh Muhammad Bakhit al Muti'i, Syeikh Habibullah al Syanqiti ,
Syeikh Ali al Sya'ib, Syeikh Yusuf al Dijwi, Sayyid Ahmad al Ghumari, Sayyid
Abdullah al Ghumari, Syeikh Hasan al Masysyat, Sayyid Abdul Khaliq al Syubrawi,
Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf dan ramai lagi.
Setelah menghabiskan seluruh usia dan
kehidupan pada jalan ilmu, amal dan dakwah, beliau kembali menemui Ilahi pada
petang Isnin 18 Jamadilawal 1399 Hijrah dan disemadikan Hadiqah al-Khalidin, al
Dirasah Kaherah.
Jangan Lepaskan Kebaikan Ramadhan
Bismillahirrahmanirrahim.
Syukur kepada Allah kerana menganugerahi Ramadhan kepada kita semua.
Ramadhan yang menjanjikan 1001 rahmat buat kita.
Oleh itu marilah kita sama-sama cuba meramadhankan diri melalui
ibadat yang wajib dan sunat.
Amat malang jika kita merasakan
Ramadhan sebagai bebanan dan kesukaran.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadhan ini, Rasulullah SAW bersumpah: Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan
yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadhan dan tidak kepada munafik
lebih teruk daripada bulan Ramadhan. Sesungguhnya Allah SWT menulis pahala
ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan
sebelum masuknya bulan Ramadhan." (riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi).
Sebenarnya orang yang beriman melihat
kepada laba dan keuntungan pahala yang dianugerahkan Allah kepada yang beriman
dan beramal bersungguh-sungguh pada bulan Ramadhan seperti berpuasa dengan
sepenuh hati, melakukan qiamullail, terawih, witir dan lain-lain.
Sedangkan orang munafik melihat kepada
habuan nafsu dan syahwat. Justeru, perasaan pertama terlintas kepada mereka
bila Ramadhan mengunjunginya dengan perasaan lapar, dahaga, letih, penat,
mengantuk, malas, susah, banyak terganggu dan tergendala program kehidupan
mereka selama 11 bulan.
Atas asas inilah mereka merasa sukar dengan
munculnya Ramadhan yang membawa 1001 rahmat dan kelebihan.
Daripada Abi Mas'ud al-Ghifari, katanya
Rasulullah SAW bersabda: "Kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan
yang terdapat pada bulan Ramadhan, nescaya mereka bercita-cita supaya bulan
Ramadhan berlaku sepanjang tahun." (riwayat al-Tabarani, Ibnu Khuzaimah dalam
sahihnya dan al-Baihaqi.
Disebabkan tiada kefahaman
yang mendalam, golongan yang merasakan kesukaran dalam bulan Ramadhan membiarkan diri mereka hanyut dalam kehidupan sehingga lalai
untuk beribadat.
Akhirnya mereka hanya melihat puasa sebagai
amalan ritual atau semata-mata kewajipan tanpa memahami kelebihan yang begitu
banyak dalam bulan tersebut.
Oleh itu kita hendaklah cuba
menghayati kelebihan Ramadhan dan keistimewaannya untuk kita lakukan acara
ibadat dengan sebanyak mungkin. Jadikanlah Ramadhan kali ini lebih baik daripada
Ramadhan lalu dari sudut laba dan keuntungan akhirat. Penuhilah masjid dengan
beriktikaf dan solat serta menghadiri majlis pengajaran ilmu.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang
benar-benar melaksanakan ibadat yang wajib dan sunat agar kita meraih takwa di
sisi Allah SWT. Amin.
Rujukan : Ramadhan Bukan Beban
Rujukan : Ramadhan Bukan Beban
Tuesday, July 24, 2012
Didik anak seronok berpuasa
01:01:10 AM
Puasa menjadi kewajipan apabila seorang
Islam baik lelaki atau perempuan mencapai akil baligh, dan mematuhi beberapa
syarat lain. Hukum ini terpakai juga kepada ibadah lain dalam Islam.
Mencapai akil baligh bermaksud lelaki dan perempuan yang mencecah usia tertentu
serta mengerti tugasnya sebagai muslim yang diperintah bersolat dan berpuasa
semata-mata kerana Allah.
Kita disyorkan melatih anak-anak melaksanakan perintah Allah seperti bersolat dan berpuasa apabila mereka
berusia tujuh tahun. Malah, sesetengah kita mula melatih anak bersolat seawal
usia tiga dan empat tahun.
Anjuran laksana ibadah
Rasulullah SAW bersabda: “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat ketika berumur
tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun. Dan
asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat
Abu Daud)
Persoalan adakah kanak-kanak digalakkan atau sememangnya diperintahkan berpuasa
sebelum mencapai umur baligh? Kebanyakan kita menyandarkan hadis solat itu bagi
melatih kanak-kanak berpuasa.
Umumnya, jawapan terbaik untuk soalan ini adalah apa yang disebut hadis riwayat
Imam Bukhari: “Nabi SAW mengirim utusan ke kampung golongan Ansar pada siang
hari Asyura (untuk menyampaikan): Bahawa siapa yang tidak berpuasa sejak pagi
hari maka dia harus menggantinya pada hari lain, dan siapa yang sudah berpuasa
sejak pagi hari maka hendaklah dia melanjutkan puasanya. Dia (Ar-Rubai' binti
Mu'awwidz) berkata: Selepas itu kami selalu berpuasa dan kami juga mendidik
anak kecil kami untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka semacam alat
permainan diperbuat daripada bulu serigala, apabila seorang daripada mereka ada
yang menangis meminta makan maka kami beri dia permainan itu. Demikianlah terus
kami lakukan hingga tiba waktu berbuka.”
Waktu terbaik berpuasa
Jelas sahabat Nabi SAW ketika itu melatih anak mereka berpuasa walaupun belum
mencapai usia akil baligh kerana menyedari pentingnya jiwa kanak-kanak dilatih
memahami tanggungjawab berpuasa apabila mencapai usia akil baligh.
Kebanyakan cerdik pandai setuju kanak-kanak digalakkan berpuasa jika mereka
dapat menanggung kesusahan ibadat itu. Bagaimanapun, ada perbezaan pendapat
kalangan ulama berkenaan waktu terbaik kanak-kanak memulakan latihan puasa.
Sebahagiannya mencadangkan pada usia tujuh tahun atau 10 tahun seperti dalam
kes solat. Berbeza bagi Imam Ahmad bin Hanbal yang mencadangkan ia bermula pada
usia 10 tahun, manakala ulama lain menyebut titik permulaan latihan adalah pada
usia 12 tahun.
Ulama Maliki mempunyai pandangan berbeza yang mencadangkan kanak-kanak tidak
perlu digalakkan berpuasa. Bagaimanapun, pandangan itu tidak disokong bukti
sahih. Cuma satu alasan diberikan Mazhab Maliki, mereka menganggap amalan
penduduk Madinah adalah petunjuk sah dan boleh diterima dalam Islam.
Madinah adalah tempat lahirnya masyarakat Islam dan kebanyakan sahabat
Rasulullah tinggal di situ dan terus berada di sana untuk masa lama, malah
hingga sekarang.
Namun, Imam Bukhari menunjukkan kepada kita penduduk Madinah juga menggalakkan
kanak-kanak berpuasa menerusi satu riwayat. Kisahnya, suatu hari Umar
al-Khattab dihampiri seorang lelaki yang mabuk ketika Ramadan. Lalu Umar
berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami
berpuasa.” (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)
Pujuk anak berpuasa
Amalan menggalakkan kanak-kanak berpuasa ketika Ramadan juga amalan dilakukan
penduduk Madinah pada zaman Umar. Justeru, menggalakkan kanak-kanak berpuasa
menjadi pendapat dipegang majoriti ulama.
Kemungkinan juga, usia kanak-kanak yang dilatih berpuasa pada zaman Rasulullah
lebih muda daripada tujuh, 10 atau 12 tahun, kerana dalam hadis golongan Ansar
dinyatakan wanitanya membuat barang mainan lembut untuk memujuk dan mengalih
perhatian anak mereka yang kelaparan.
Mainan seperti itu, tidak memberi erti bagi kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun
pada masa itu. Jadi kanak-kanak yang mesti dipujuk adalah mereka yang berusia
lebih muda.
Menggalakkan kanak-kanak berpuasa, tidak perlu kita memaksa mereka
menghabiskannya sehingga sebulan. Ibu bapa sepatutnya menggunakan cara lebih
santai dan bijak dalam mendekatkan diri anak kepada ibadah dituntut dalam
Islam. Cari jalan supaya anak seronok berpuasa.
Subscribe to:
Posts (Atom)