Menteri KPDNKK, Dato' Seri Ismail Sabri menikmati juadah Menu Rakyat bersama mahasiswa UKM baru-baru ini. |
Langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperkenalkan kad diskaun untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ternyata amat melegakan mahasiswa dan para pelajar pengajian tinggi di seluruh negara.
Kad diskaun tersebut yang dijangkakan akan diedarkan secara berperingkat bermula bulan depan kepada 1.4 pelajar IPT awam dan swasta termasuk maktab perguruan dan politeknik akan melibatkan penyertaan lebih 20 syarikat perdagangan dan barangan keperluan harian mahasiswa.
Tahniah diucapkan. Langkah ini sebenarnya lebih rasional dan praktikal dari pelbagai sudut jika dibandingkan dengan tuntuan mahasiswa pro-pembangkang supaya pendidikan tinggi diberikan percuma kepada rakyat Malaysia.
Melalui kad diskaun ini, para pelajar bukan sahaja dapat meringankan kos sara hidup masing-masing malah turut memberi peluang menguruskan kewangan dengan lebih baik dan mengurangkan tekanan pembelajaran yang dihadapi.
Antara produk dan perkhidmatan yang telah disenaraikan dalam kad diskaun tersebut termasuklah alatan sukan, optikal, klinikal, alat tulis dan buku, makanan dan minuman, kecantikan serta pengangkutan yang akan memberikan manfaat segera kepada mahasiswa kelak.
Inilah yang dikatakan kepimpinan yang bertanggungjawab, bukan retorik semata-mata. Setiap perkara dipertimbangkan dari segenap sudut supaya semua pihak mendapat manfaat bersama.