DAKWAAN ramai pihak yang mengatakan
pengganas Kiram mengamalkan ilmu kebal ketika bertempur dengan pasukan
keselamatan negara mungkin tidak boleh dipercayai kerana merasakan ia mustahil
berlaku.
Kemungkinan besar dalam kalangan kita juga
tidak mempercayainya kerana tidak melihat sendiri di hadapan mata dan juga
menganggap ia perbuatan syirik.
Tetapi itulah yang terjadi dan diceritakan
sendiri oleh beberapa anggota polis dan tentera yang terlibat dalam Op Daulat
kepada wartawan Sinar Harian sejak kami menjejakkan kaki di sini.
Ramai antara mereka berkata, pengganas
Kiram masih boleh melarikan diri walaupun ratusan peluru mengenai badan mereka
sehingga pakaian tertanggal dan tubuh berasap.
Namun, kekebalan pengganas Kiram sedikitpun
tidak menggentarkan pasukan keselamatan negara, malah ia memberi semangat yang
lebih untuk menghapuskan musuh ini dari bumi Sabah.
“Kami berperang dengan syaitan. Seperti
filem zombie, kami mesti tembak di kepala barulah pengganas ini rebah,” kata
salah seorang anggota polis kepada Sinar Harian.
Akhirnya, bukti kekebalan pengganas Kiram
kami temui semasa masuk ke Kampung Tanjung Batu semalam. Sepasang baju dan
seluar tentera yang pernah digunakan pengganas menjadi bukti kepada
cerita-cerita yang disampaikan anggota keselamatan kepada kami.
Di belakang baju tersebut, terdapat lambang
keris Sulu dan bulan sabit, serta warna hijau, putih dan kuning.
Kami difahamkan oleh penduduk kampung
lambang itu adalah lambang Tentera Diraja Sulu, entiti yang pernah
diisytiharkan oleh individu yang menabalkan dirinya Sultan Sulu, Jamalul Kiram
ketika awal pencerobohan Februari lalu.
Memeriksa baju itu, kami mendapati ia
dipenuhi kesan peluru. Robek di sana sini. Namun amat menghairankan apabila
tiada langsung kesan darah.
Penduduk, Darwin Abd Rajin, 45, berkata,
pakaian tentera itu memang sudah ada di hadapan rumahnya sejak dia kembali pada
Ahad lalu.
Katanya lagi, dia tidak berani menyentuh
pakaian itu kerana bimbang disalahtafsir sebagai bersubahat dengan pengganas
Kiram.
“Saya sudah melihat baju ini sejak pulang
ke rumah. Saya tidak berani pegang kerana ia baju pengganas,” katanya.
Ditanya sama ada baju di rumahnya hilang
kerana pengganas mahu menyamar menjadi penduduk kampung, kata Darwin, memang
banyak baju lelaki di rumahnya lesap.
“Ya, baju saya banyak yang hilang.
Kemungkinan mereka gunakan untuk menyamar,” katanya.
Kelmarin, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri
dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Salleh Mat
Rashid menasihati penduduk kampung melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika
ada orang asing masuk ke kampung mereka.
Katanya, ia kerana pengganas Kiram disyaki
sudah menyamar menjadi orang awam selepas pihak berkuasa bertindak segera
dalam melumpuhkan kegiatan pengganas.
Dipetik daripada laporan Sinar Harian bertarikh 3 April 2013.