Selasa, 19 Mac 2013, menjadi salah satu hari penting
dalam hidup SB pada tahun ini. SB tidak pasti adakah sesuai untuk dikongsikan
di sini, tetapi SB sangat terharu dan berbangga untuk berkongsi dengan khalayak
semua.
Di sebuah lokasi di Pulau Pinang, pengalaman ini
tertitip dan menjadi kenangan paling berharga kerana SB diberi peluang
menyertai sesi tayangan filem yang sedang menjadi polemik warga politik tanah
air iaitu Tanda Putera.
Walaupun ramai yang melihat filem ini sebagai sebuah
naskah yang sarat dengan elemen politik pasca kemerdekaan negara atau lebih
tepat, ketika sebuah negara bangsa sedang gigih dibangunkan oleh sekumpulan
insan berjiwa besar dengan tema kekeluargaan, persahabatan dan setiakawan yang
sangat hebat, namun pada SB, ini naskah yang terlalu istimewa guna mencari dan
memaknakan perjuangan agama, bangsa dan tanah air (alif, ba, ta) ini.
Tahukah kita, ketika negara sedang berhadapan ancaman
komunis yang gasak, pemimpin negara pada waktu itu sedang diganasi kemelut
penyakit yang serius hingga meragut nyawa mereka dari dalam?
Tahukah kita, ketika seluruh dunia tidak endah pada
kita, tidak taruh harapan menggunung, tidak sandar peluang membentang, tetapi
kita punya pemimpin yang tegar siang malam mencari ilham menstabilkan tanah air
kita ini dengan segala kudrat dan keringat?
Nama-nama seperti Tun Dr. Ismail, Tun Abdul Razak dan
Tunku Abdul Rahman sendiri, telah memahatkan sejarah kegetiran itu dalam diri
mereka bukan untuk dibanggakan tetapi untuk dikecapi generasi hari ini, supaya
bangkit kita kini tak perlu membanting tulang untuk memulakan sesuatu yang
sebelumnya kita tidak pernah ada. Itulah jasa besar mereka yang kita sendiri
belum mampu insafi, tetapi hanya tahu kecapi sahaja. Jadi layakkah kita
perlekehkan mereka? Cukupkah dengan hanya membaca dalam buku-buku sejarah
lantas kita fikir sudah layak untuk kritik dan hina perjuangan mereka?
SB fikir tak perlulah SB catatkan kronologi peristiwa
dalam filem ini - atau disebut penggiatnya sebagai plot - kerana semua tahu
atau akan tahu juga (filem ini bakal ditayangkan selepas PRU 13 kelak) selepas
menontoninya sendiri, di sini. Ini ruang untuk SB kongsikan secebis dua
kelazatan filem ini. Seperti yang digembar-gemburkan, menerusi filem ini kita
berpeluang melihat sendiri kepayahan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail
mengemudi negara khususnya lewat tempoh darurat, sedang pada masa yang sama,
kedua-dua mereka sendiri menderita sakit yang akhirnya membawa maut.
Ia dimulakan – sebelum dari itu kita sudah disajikan
dengan kekalutan akibat kedurjanaan kaum komunis yang mahu huru-harakan negara
- dengan peristiwa Tun Abd Razak kehilangan sahabat baik dan orang paling
kanannya iaitu Tun Dr. Ismail, ketika Tun Abd Razak bertarung dengan sakit
leukemia yang parah. Tun Abdul Razak sendiri tidak pernah tahu sahabatnya itu
sakit, begitu juga ahli keluarga isteri Tun Dr. Ismail. Beliau pergi secara
tiba-tiba meninggalkan Tun Abdul Razak dalam keadaan yang sangat genting.
SB percaya, ramai yang akan menitiskan air mata
tatkala menelusuri babak ini, iaitu ketika Tun Abdul Razak berkeras mahu
jenazah sabahatnya itu disemadikan di Makam Pahlawan. Dalam ketegasan raut wajah
Tun Abdul Razak (ditangani dengan begitu jaya oleh Rusdi Ramlie), terona seribu
duka merauti garis-garis tua wajah lelaki itu. Tidak ada yang lebih membekas
pada kenangan beliau selain memberikan penghormatan tertinggi sebegitu kepada
arwah.
Getir episod baru menanti Tun Abd Razak, sendirian. Di
sebalik ujian demi ujian yang menimpa Tun, keluarga dan negara ketika itu,
tersedia di hadapannya juga ialah ujian yang sangat-sangat berat. Tun Abdul
Razak menyembunyikan sakit leukemianya berbulan-bulan. Hanya Tun Dr. Ismail dan
seorang doktor bangsa Inggeris bernama Macpherson sahaja mengetahui penyakit
yang ditanggung oleh beliau itu.
Sekali lagi emosi khalayak pasti diusik, apabila Tun
Rahah, isteri tercinta Tun Abd Razak menuturkan kata-kata ini, “Saya isterinya,
kenapa saya tidak diberitahu?” sejurus mengetahui kondisi sakit Tun Abd Razak. Itu
pun selepas kesihatan Tun Abd Razak sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Tun
akhirnya diterbangkan ke London untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum
menghembuskan nafasnya yang terakhir di sana, meninggalkan negara tanpa pengemudi buat seketika.
Ikhlas SB katakan, tidak ada satu pun babak yang boleh
disifatkan menghina atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak hingga
menghalang filem ini daripada masuk panggung. Inilah ruginya bangsa Malaysia
kerana masih ada masyarakat yang takut kepada sejarah silamnya. Ini ialah
naskah sejarah yang difilemkan. SB sendiri secara peribadi, memberikan
penarafan lebih tinggi kepada filem ini iaitu sebagai sebuah dokumen negara
bangsa yang hidup, segar lagi menyuburkan jati diri. Jika ada pihak yang
menentang filem ini ditayangkan kepada umum, itu tandanya mereka galuh kepada kebenaran
yang dipaparkan. Anehnya pula, pihak-pihak yang menentang ini tidak pula pernah
menonton filem ini tetapi begitu lantang memburuk-burukkan hasil kerja
sutradara Shuhaimi Baba yang turut menghasilkan filem Hati Malaya tak lama
dahulu.
Di manakah timbang akal sihat guna mencari hakikat
kita kalau sebuah filem yang sarat dengan mesej persaudaraan, setiakawan dan
perjuangan sebegini dilambakkan dalam raga politik, digaulkan semahunya
seolah-olah ia modal pilihanraya parti tertentu untuk menjahanamkan parti
tertentu yang lain?
Di manakah letak akal waras guna memakna kemerdekaan
kalau hal-hal yang mengakarkan peristiwa tercapainya kemerdekaan itu cuba
dinafikan kebenarannya hanya kerana mahu memenangkan sentimen politik sempit
sekelompok pihak atau parti semata?
Kita jangan tanya ahli politik tentang filem ini (kecuali
Tun Dr. Mahathir) kerana mereka akan membelit kembali fahaman kita sehingga
kita sendiri geruh mempercayai kebenaran sejarah itu. Mereka akan bercakap
mengikut kepentingan peribadi dan keuntungan politik parti dan diri mereka pula
ialah sukatan yang digunakan oleh mereka. Jadi apakah yang boleh kita harapkan
pada akhirnya?
SB tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi. Cukuplah
Shuhami Baba, krew projek ini, para pelakon, penaja dan pendananya bersuara. Negara
perlu iktiraf usaha jerih mereka menghidupkan dokumen sejarah negara ini ke
layar perak, bukan menghantar karya besar ini ke sudut-sudut tertentu di dalam
negara untuk dipertontonkan kepada sasaran penonton tertentu sahaja.
Kenapa mesti takut
menyebarkan kebenaran?