Nama Noramfaizul kini diabadikan di Musim Kewartawanan di Washington DC. |
Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, wartawan BERNAMA TV yang terbunuh akibat ditembak oleh penyerang hendap ketika membuat liputan di wilayah bergolak di Somalia tahun lepas, menjadi wartawan terbaru diabadikan namanya di Musium Kewartawanan Amerika Syarikat.
Allahyarham yang pernah dianugerahi pingat Bintang Gagah Perkasa (BGP) oleh Kerajaan Negeri Melaka juga menjadi wartawan pertama dari Malaysia diabadikan di muzium khas untuk wartawan seluruh dunia itu.
Peristiwa Pembunuhan Allahyarham Noramfaizul
Perdana Menteri dan Timbalannya turut menziarahi jenazah Allahyarham Noramfaizul sebelum upacara pengkembumian. |
Pada bulan September 2011, Noramfaizul yang bertugas sebagai jurnalis dan jurukamera di Bernama telah menandatangi tugasnya seperti biasa dan kali ini, beliau menyertai Kelab Putra 1Malaysia ke Somalia dalam satu misi kemanusiaan.
Ketika dalam perjalanan pulang ke markas selepas menjalankan salah satu misi pada hari kejadian, konvoi mereka telah diserang hendap dengan senjata berkaliber tinggi sewaktu berhenti di satu persimpangan jalan di Kilometer 4 di tengah-tengah Bandar Mogadishu. Dalam serangan tersebut, Noramfaizul telah ditembak di bahagian rusuk dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Serangan itu telah mencetuskan kontroversi kerana ada saksi yang melihat kenderaan tentera African Union di tempat kejadian dan mengesyaki ia dilakukan oleh pihak tentera sendiri. Ia juga telah menarik simpati komuniti wartawan dan jurnalis seluruh dunia sehingga berita kematian Noramfaizul menempati sebahagian besar muka surat akbhar di mana-mana saja.
Noramfaizul sebelum ini juga pernah menyertai pelbagai misi ke wilayah bergolak termasuk di Gaza, Pakistan dan New Zealand bersama krew Bernama yang lain. Sementara itu, The Committee To Protect Journalists (CPJ) telah menyenaraikan Noramfaizul sebagai wartawan ke-35 yang terkorban ketika menjalani misi di Somalia sejak tahun 1992.
Rakyat Malaysia khususnya mahasiswa-mahasiswi yang sedang mengikuti kursus jurnalisme dan kewartawanan harus mengambil semangat Noramfaizul dan jadikan sebagai inspirasi untuk berjaya dalam bidang anda. Noramfaizul bukan calang-calang wartawan. Namanya kini sudah diabadikan di Melaka sebagai Pahlawan dan diangkat sebagai Hero Malaysia dalam bidang kewartawanan. Dengan pengiktirafan terbaru dari Newseum, Washington ini, diharapkan dapat meningkatkan juga keupayaan wartawan dari Malaysia!
Al-Fatehah..