TUMPAT: Laman Warisan Kampung Laut dan Masjid Kampung Laut berusia 300 tahun berpotensi untuk dicalonkan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan serta Objek Warisan kerana keunikan tersendiri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kedua-dua projek itu juga berpotensi untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO kerana memenuhi kriteria pencalonan dan pihaknya menyokong penuh untuk usaha ke arah itu.
"Saya menyokong penuh perancangan untuk pencalonan Laman Warisan Kampung Laut sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Masjid Kampung Laut sebagai Objek Warisan," katanya pada sidang media hari ini.
Pembangunan semula Kampung Laut dan kembalinya Masjid Kampung Laut adalah bertepatan dengan pendekatan baharu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mana seni dan budaya diberi keutamaan sebagai elemen utama produk pelancongan.
"Elemen itu adalah penting dalam usaha untuk mempromosi Malaysia, selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang baru sahaja kita lancarkan pada 26 Oktober lalu," katanya.
Terdahulu beliau hadir dalam majlis penyerahan projek pembangunan semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan Warisan (Pakej 1: Laman Warisan Serunding) daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kepada MOTAC, hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Sementara itu Ahmad berkata, Laman Warisan Serunding yang bakal menempatkan 11 pengusaha itu dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung kerana Pakej 2 projek pembangunan semula Kampung Laut bakal menyusul.
"Pakej 2 projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang dijangka siap awal tahun depan terdiri daripada Laman Warisan Seni Kampung Laut yang akan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk mempamer serta menjual hasil seni dan kraf tangan mereka.
"Kita harapkan masyarakat setempat dapat beri kerjasama baik dalam usaha menyambut kedatangan pelancong kerana selain untuk industri pelancongan, penduduk sekitar juga akan dapat manfaat," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan