29 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Fakta PRU13 membuktikan bahawa majoriti rakyat telah menolak kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri serta ketuanan Umno BN di negara ini.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor berkata, hakikatnya Umno hanya memenangi kerusi yang mempunyai seribu satu kontroversi dan misteri tetapi gagal menambat hati rakyat keseluruhannya.
“PR pula sebenarnya telah berjaya memenangi hati rakyat meskipun tidak berjaya membentuk kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Sentimen api perkauman yang cuba ditiup oleh Perdana Menteri dan Umno serta ditambah oleh media milik mereka usai PRU13 amat membahayakan perpaduan rakyat di negara ini.
Kenyataan pendek ‘Tsunami Cina’ yang dicetus oleh PM serta kenyataan daripada lidah rasmi kerajaan, Utusan Malaysia yang menulis ‘Apa lagi orang Cina mahu’ jelas mempunyai mesej yang cuba memporak perandakan keharmonian kaum di negara ini.
PM dan UMNO seperti tidak menerima kenyataan bahawa mereka telah ditolak oleh golongan kaum Tionghua dalam PRU13. PM seperti hilang akal apabila memikirkan mereka telah menghabiskan beratus juta ringgit dengan menggunakan pelbagai instrumen kerajaan termasuk media hanya memenangi 133 buah kerusi parlimen berbanding 89 Pakatan Rakyat sementara mereka hanya memenangi 275 kerusi DUN berbanding 229 yang dimenangi oleh PR. Jelaslah prestasi BN merudum teruk dengan kehilangan 7 kerusi parlimen serta hilang 71 kerusi DUN seluruh negara.
PM tidak wajar menyalahkan kaum Cina atas dasar penolakan mereka terhadap UMNO-BN. Ini kerana mereka yang selama ini memainkan sentimen perkauman dengan membakar api permusuhan terhadap bangsa lain. Antara tindakannya ialah membiarkan NGO seperti Perkasa dan Jati meniupkan semangat perkauman yang menebal selama ini. Sekarang ini, setelah tamat PRU13, mengapa pula UMNO mahu memusuhi kaum Cina?
Kenyataan PM jelas melanggar dasar dan prinsip perjuangan UMNO-BN yang mereka laungkan. Slogan 1Malaysia dijaja dengan pelbagai sepanduk bertebaran di merata tempat di seluruh negara.
Apakah PM akan menukar slogan baharu setelah tamat kempen PRU ke 13 daripada 1Malaysia yang berteraskan perpaduan kaum kepada agenda lain? Apakah juga ia bermaksud kempen 1Malaysia Datuk Seri Najib yang menelan berjuta ringgit telah gagal?
Sebenarnya, bukan setakat pengundi Tionghua, malah PM dan UMNO telah ditolak oleh pengundi Melayu bandar, terutama golongan muda. Ini menandakan golongan cerdik pandai terutama golongan profesional serta celik maklumat menolak kepemimpinan UMNO-BN di negara ini.
Dari segi poluariti pula, BN hanya memperolehi 5,237,699 berbeza dengan PR yang mendapat 5,623,984. Dari segi peratusnya adalah PR meraih 49.96% berbanding 46.53% yang diraih BN. Ini bererti BN sebenarnya sudah tidak popular malah kempen mempopularkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menelan belanja berjuta ringgit juga telah gagal.
Fakta PRU13 membuktikan bahawa majoriti rakyat telah menolak kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri serta ketuanan UMNO-BN di negara ini.
Hakikatnya UMNO hanya memenangi kerusi (yang mempunyai seribu satu kontroversi dan misteri) tetapi gagal menambat hati rakyat keseluruhannya. PR pula sebenarnya telah berjaya memenangi hati rakyat meskipun tidak berjaya membentuk kerajaan.
Adalah lebih baik PM dan UMNO menyelidiki kelemahan diri daripada menuding jari kepada komuniti lain terhadap kegagalan mereka. Sebaiknya, PM menginsafi diri dengan meletak jawatan dan memberikan laluan kepada muka baru mengemudi negara.
Rakyat lebih berpuas hati dengan PM baharu yang akan memberikan komitmen baharu daripada PM lama yang menyalahkan kaum lain atas kegagalan mereka serta ditolak oleh rakyatnya sendiri!
Harakahdaily/-