09 Mac 2013

Menantu Osama hadapi tuduhan di AS

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Sulaiman Abu Ghaith

Sulaiman Abu Ghaith
NEW YORK - Menantu lelaki Osama Laden ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan dihadapkan ke Mahkamah New York bersabit tuduhan perancangan Al-Qaeda untuk menyerang rakyat negara itu.

Sulaiman Abu Ghaith, 47, berasal dari Kuwit didakwa sebagai salah seorang ketua propaganda rangkaian Al-Qaeda itu bakal menghadapi tuduhan perancangan membunuh warga AS.

Peguam Negara, Eric Holder berkata, penahanan Sulaiman menunjukkan AS tidak pernah berkompromi dalam berusaha mematahkan kumpulan militan yang merancang melakukan serangan pada 11 September 2001 ke atas Bandaraya New York dan Washington.

“Halangan jarak atau masa tidak melemahkan kita untuk membawa musuh Amerika ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak boleh melarikan diri atau bersembunyi dan pihak berkuasa AS sentiasa memburu mereka kerana mereka dianggap membahayakan rakyat dan negara.

Akhar Turki melaporkan, Sulaiman ditahan di sebuah hotel di Ankara bulan lalu dan dihantar ke Jordan sebelum ke AS.

Bagaimanapun, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) enggan mengulas bagaimana menantu Osama itu ditahan dan dibawa ke negara itu.

Sementara itu, ahli Parlimen mengecam pentadbiran Obama kerana tidak menghantar suspek terus ke penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba.

Senator Lindsey Graham berkata, suspek tidak perlu didakwa di bawah tribunal khas tentera kerana tindakan itu akan mengancam keselamatan AS. - AFP

Sinar harian/-

Larangan mencela sesama Muslim

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Setiap orang Islam adalah bersaudara antara satu dengan yang lain. Umat Islam berkewajipan menolong saudara seagamanya yang ditimpa kesusahan dan tidak boleh mendedahkan keburukan saudaranya kepada orang lain bahkan dia wajib merahsiakannya. 

Islam ialah agama yang mengutamakan persaudaraan, tolong-menolong dan lindung-melindungi daripada kemungkaran. Islam memelihara hak masyarakat dan menyeru umatnya merealisasikan jaminan sosial dalam semua bentuk kehidupan bermasyarakat sama ada kebendaan atau rohani. 

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menolak kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi) 

Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan sangat dilarang Allah. 

Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. 

Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan itu sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak. 
Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Berita Harian/-

Hilang selepas teman lelaki jadi tunangan orang

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Hilang selepas teman lelaki jadi tunangan orang

Ismail menunjukkan gambar anaknya, Intan Sahira yang hilang lima hari lalu dan salinan laporan polis dibuat di Balai Polis Jaya Gading, Kuantan semalam.
Hilang selepas teman lelaki jadi tunangan orang

Teh menunjukkan gambar Siti Mazira dan berharap anak gadisnya itu pulang ke pangkuan keluarga. Gambar kecil: Siti Mazira
KUANTAN – Seorang bapa dari Taman Mahkota, Batu 12, dekat sini merayu anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga selepas lima hari menghilangkan diri.

Ismail Samad, 51, juga pesara tentera, berkata, Intan Shahira, 21, keluar dari rumah ketika awal pagi selepas mengalami tekanan perasaan apabila mengetahui teman lelakinya sudah menjadi tunangan orang.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki dia melarikan diri daripada rumah memandangkan segala dokumen peribadi, beg duit dan telefon bimbit ada ditinggalkan di dalam biliknya walaupun pada mulanya agak pelik kerana pintu rumah dibiarkan terbuka begitu sahaja.

“Kami menyangka Intan Shahira hanya pergi berjoging pada waktu Subuh seperti mana selalu dilakukannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Ismail berkata, setelah beberapa jam dia mula mengesyaki sesuatu berlaku kepada anaknya apabila masih tidak pulang walhal waktu sepatutnya dia ke pejabat sudah berlalu.

“Beberapa hari sebelum kejadian, Intan Shahira mengetahui bekas kekasihnya sudah bertunang namun tiada tanda kekecewaan melampau dipamerkan.

“Dia ada menceritakan sedikit sebanyak kepada ahli keluarga namun dia reda memandangkan mungkin tiada jodoh." katanya.

Kata Ismail, tiada tanda pelik yang dilakukan anaknya biarpun raut wajahnya ada sedikit sedih dan tertekan namun Intan Shahira masih dapat mengawal diri sebelum hilang dari rumah antara jam 3.45 dan 5.50 pagi, 4 Mac lepas.

Tidak bawa pengenalan diri

Menurutnya, lebih membimbangkan Intan Shahira yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik itu tidak membawa sebarang pengenalan diri, telefon bimbit malah keluar rumah sehelai sepinggang.

“Memandangkan dia begitu sahaja, agar sukar kami menjejakinya malah pakaian apa yang dipakai juga tidak diketahui berikutan dia keluar rumah ketika ahli keluarga sedang tidur.

“Walaupun kami sudah terputus hubungan namun keluarga tetap mencarinya di kawasan berhampiran tidak mengira siang dan malam termasuk di Batu 11, Taman Tas dan Pandan Damai," katanya.

Katanya, dia turut meninjau di kawasan rumah kawan anaknya itu yang dikenali, namun harapan untuk menemui Intan Shahira hampa.

Ismail berkata, perhubungan Intan Shahira dengan bekas teman lelakinya itu direstui keluarga.

“Antara kami anak-beranak memang langsung tidak ada pertelingkahan dan dia juga berkelakuan seperti biasa, cuma ada sedikit rungutan yang rasanya tidak menjejaskan hubungan kami.

“Malah saya juga ada berbincang dengan pihak lelaki tersebut untuk bersetuju menyatukan mereka berdua sekiranya ada jodoh dan mengikut cara yang betul,  tetapi malangnya tidak sangka juga niat suci ini tidak kesampaian,” katanya.

Katanya, susulan daripada kejadian tersebut beliau mengesyaki anaknya mungkin tidak pulang ke rumah berikutan tidak boleh menerima kenyataan bahawa lelaki tersebut sudah bertunang dengan orang lain.

“Pemeriksaan pada telefon bimbitnya yang turut ditinggalkan mendapati panggilan terakhir yang diterima adalah daripada bekas teman lelakinya itu.

“Kami sekeluarga amat risau dengan kehilangannya dan telah buat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading pada 5 Mac lepas, kami  harap Intan Shahira dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat," katanya.

Lebih menyedihkan kata Ismail, ibunya, Samsidar Sulaiman, 51, menghidap sakit buah pinggang dan sedang menjalani rawatan hemodialisis mula mengalami tekanan, tidak mahu bercakap kerana risau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya, Intan Shahira agar segera menghubungi Ismail menerusi talian 019-9121812 atau 014-8484264.

Tiga hari tidak pulang

Kebimbangan yang sama turut dirasai sepasang suami isteri dari Felda Lepar Hilir Tiga dekat sini kehilangan anak gadis mereka.

Mereka juga tidak menyangka sikap anak gadisnya yang mengurung diri di dalam bilik terjawab selepas anaknya keluar rumah seminggu selepas itu.

Lebih menyedihkan, anak keempat dari lima beradik itu disyaki keluarganya kini ada bersama seorang lelaki berusia 43 tahun yang pernah memberi khidmat rawatan tradisional kepada gadis itu lima bulan lalu.

Teh Darus, 56 berkata, anaknya, Siti Mazira, 21 memaklumkan ibunya, Siti Jaleha Saad, 57, bahawa dia keluar bersama rakan dikenal sebagai Ayu kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu.

Bagaimanapun, katanya, Ayu yang ditemui selepas itu memberitahu Siti Mazira tidak mahu ke rumahnya sebaliknya meminta rakan itu menghantarnya ke Lepar Hilir 1 untuk bertemu rakan lain.

Teh berkata, dia mengesyaki anaknya bertemu lelaki yang bernama Md Adam yang dikenali keluarga sebelum ini.

Berubat di gerai burger

Katanya, Siti Mazira dan Md Adam berkenalan beberapa bulan lalu ketika dia membantu kakaknya menjual burger di Kampung Selendang, Kuala Rompin.

“Siti Mazira ada beritahu saya dia diubati lelaki itu di kedai burger kakaknya. Md Adam kata anak saya sakit dan terus berubat di situ. Selepas itu mereka terus kenal,” katanya.

Menurutnya, sebaik pulang dari Kuala Rompin  dia menyedari anaknya mula mengalami kemurungan dan berkurung di dalam bilik pada 24 Februari selama seminggu sebelum keluar bersama Ayu.

“Saya cuba bertanya dan berubat tetapi keadaan tidak mengizinkan ketika itu dan tidak menyangka dia sudah keluar rumah,” katanya.

Sebagai bapa, dia berusaha berjumpa dan bertanya khabar semua rakan anaknya namun mereka juga tidak tahu lokasi Siti Mazira berada.

Teh juga mengakui pernah ke rumah Mohd Adam di Kampung Feri, Kuala Pontian sehari selepas Siti Mazira tidak pulang ke rumah dan isterinya memberitahu lelaki itu tiada di rumah.

“Mereka semua tidak pasti di mana Siti Mazira berada tetapi maklumat terakhir yang saya terima, dia berada di Mersing, Johor bersama seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Proton warna merah,” katanya.

Bimbang dengan kejadian itu dan demi keselamatan anaknya, Teh membuat laporan polis di Balai Polis Gambang Kuantansehari selepas Siti Mazira tidak pulang.

Menurut Teh, isterinya juga tidak lena tidur dan berharap anaknya pulang ke pangkuan keluarga.

“Ketika keluar rumah pun, dia tiada sebarang masalah dengan keluarga malah tidak pernah bermasam muka. Dia juga memberitahu ibunya untuk keluar rumah.

“Dia hanya memakai jeans hitam, baju belang hijau dan hitam dan bertudung biru,” katanya.

Teh minta orang ramai supaya menghubunginya menerusi talian 0139179041 atau terus menghubungi balai polis di Kuantan jika mengenali Siti Mazira atau mendapat  sebarang maklumat.

Sinar harian/-

Polis sahkan dua anggotanya cedera

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Polis sahkan dua anggotanya cedera

Salah seorang anggota polis terpaksa menahan sakit apabila belakang badannya cedera dibaling batu.
Polis sahkan dua anggotanya cedera

Cermin tingkap bas PR yang pecah akibat dibaling batu.
BUKIT KATIL - Polis mengesahkan dua anggotanya cedera dipercayai dibaling batu oleh penyokong sebuah parti ketika ceramah Jelajah Merdeka Rakyat yang dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Katil, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, dalam kejadian antara 10 dan 11.30 malam itu, kedua-dua anggota polis berusia lingkungan 30-an dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Salah  seorang cedera di kepala, manakala seorang lagi di belakang badan," katanya.

Menurutnya, seorang lelaki dipercayai penyokong sebuah parti turut mengalami kecederaan ekoran insiden berkenaan.

“Ekoran kejadian itu, seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Salehhudin juga kesal kerana kedua-dua pihak yang mengadakan ceramah gagal mematuhi Akta Perhimpunan Aman.

“Kalau mengikut akta ini, mana-mana pihak yang ingin berhimpun, haruslah memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah sebelum aktiviti itu berlangsung. Dalam hal ini, kedua-dua pihak tidak membuat sebarang makluman kepada polis.

“Kita cuma tahu pada sebelah petang tadi (kelmarin) akan ada perhimpunan dan kita telah menasihatkan mereka supaya mengawal penyokong masing-masing.  Tetapi di pertengahan program, kedua-dua pihak agak emosional sehingga terpaksa polis mengawal keadaan,” katanya.

Mengenai isu membaling batu ketika kehadiran Ketua Pembangkang itu, beliau berkata, polis sedang menyiasat pihak memulakan kekecohan tersebut dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

"Sebaik insiden berkenaan, polis telah mengarahkan kedua-dua pihak supaya menghentikan ceramah dengan serta merta,” katanya.

Beliau berkata, seramai 70 anggota polis termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah ditugaskan untuk mengawal keadaan.

Sinar Harian/-

Balak: Kenapa Kelantan dan Kedah, Pahang bagaimana?

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Tiba-tiba seorang kolumnis di akhbar Berita Harian, dalam tulisannya yang bertajuk “Pemimpin PAS undang bala amaran al-Quran”, teringatkan amaran al-Quran yang melarang kerakusan manusia melakukan pembalakan tidak terkawal sehingga memusnahkan hutan dan alam sekitar.

Penulis merujuk ayat 41 Surah Ar-Rum yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Kita akui bahaya ancaman itu, tetapi sayangnya amaran daripada kitab suci itu hanya ditujukan kepada Kedah dan Kelantan sahaja, kenapa tidak Pahang yang sinonim dengan penebangan balak dikaitkan?

Saya faham tulisan yang dibangkitkan itu semata-mata untuk menyokong isu-isu menjelang pilihan raya umum yang sedang dibangkitkan oleh media-media Umno, namun seelok-eloknyanya apabila menghukum biarlah adil. Itu juga tuntutan al-Quran.

Sebagai anak Pahang dan tinggal di negeri ini, saya sendiri masih ingat sejak kecil dan kini meniti ke usia separuh tua, tidak pernah putus-putus melihat deretan lori balak di jalan raya. Maka saya tidak dapat bayangkan sudah berapa ribu juta batang balak yang sudah ditebang.

Sebenarnya amaran yang disebutkan itu mungkin baru ditemui penulis, sedangkan amaran al-Quran itu sudah lama dibangkitkan termasuk daripada PAS. Masih ingatkah tragedi Highland Tower pada 11 Disember 1993 dan tanah runtuh Bukit Antarabangsa 6 Disember 2008?

Pada ketika itu ‘kegilaan’ kerajaan Umno-BN ialah menarah dan membangunkan perumahan mewah di kawasan bukit bukau terutama di pinggir ibu negara.

Ketika itulah para ulamak terutamanya daripada PAS, ke hulu ke hilir menerangkan betapa bahayanya apabila alam sekitar dinoda dan dimusnahkan. Tapi ada pemimpin Umno kisah?

Peliknya, kenapakah penulis menghalakan amaran itu kepada Empangan Pedu sahaja, sedangkan kerosakan yang berlaku di Tasik Chini, Pekan lebih kritikal lagi. Penulis tidak wajar mengkritik berdasarkan emosi dan prasangkanya sahaja sedangkan Tasik Chini telah disahkan oleh penyelidik akan lenyap musnah menjelang 2030.


Akhbar yang sama (Berita Harian) sebelum ini melaporkan, betapa Tasik Chini yang diiktiraf sebagai kawasan Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal musnah pada 2030 akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal di sekitarnya.

Perkara tersebut didedahkan oleh Felo Intelektual Awam Asia (API), Dr Hezri Adnan yang berkata tasik tersebut sedang ‘nazak’ hanya menunggu masa menjadi kering akibat pemendapan dasar tasik.

Barangkali Reeja Arbee tidak menemui artikel tersebut.

Bahkan Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tasik lagenda itu akan musnah lebih awal lagi akibat pencerobohan hutan dan pelombongan yang tidak terkawal. PAS percaya berdasarkan realiti, kemusnahan akan berlaku lebih cepat daripada itu (2030) jika terus dibiarkan kawasan tadahan air di sekitar Tasik Chini terus diceroboh dengan penebangan balak yang melanggar Akta Alam Sekitar.

Apa lagi 1,000 penduduk Orang Asli di sekitarnya juga bakal pupus kerana kehilangan sumber pemakanan, ubat tradisional dan kesan penggunaan air tercemar.

PAS berpandangan, bukan sahaja Tasik Chini  malah Tasik Bera dan Tasik Paya Bungor juga akan mengalami nasib yang sama kerana ternyata kerajaan negeri kurang prihatin. Sedangkan khazanah alam ini merupakan kurniaan Allah yang tidak ada di tempat lain.

Begitu juga dengan pencerobohan tanah tanpa kawalan di lereng bukit Cameron Highlands. Betapa lemahnya kerajaan Pahang dan kerajaan pusat membendung penyangak-penyangak alam sekitar yang merosakkan tanah tinggi di Cameron Highlands. Terdapat dua lokasi yang telah digondolkan oleh mereka iaitu berdekatan dengan Kampung Pos Terisu dan Sungai Palas yang berdekatan dengan ladang Teh Boh.

Jenayah alam sekitar tanah tinggi di Cameron Highlands bukanlah satu isu baru. Malah pernah disiarkan berita warga tanah tinggi itu tidak berpuas hati dengan kawalan pihak berkuasa lalu berdemonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Pahang.

Penebangan hutan simpan Lembah Klau, Raub untuk projek saluran air ke Selangor iaitu Loji Rawatan Air Langat 2 oleh kejaaan BN, lebih teruk lagi. Rata-rata berpendapat ia boleh menenggelamkan kawasan beribu hektar Hutan Simpan Kekal Lakum. Kesannya boleh mengorbankan kepentingan rakyat Pahang, selain menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Akibatnya, spesies habitat hidupan liar di sana pupus. Turut bakal terkorban, perkampungan Orang Asli suku Temuan di Bentong dan Orang Asli Sungai Temir kerana terpaksa ditenggelamkan bagi pembinaan Empangan Klau.

Sebab itu pembinaan empangan tersebut dianggap pemusnahan alam sekitar yang dahsyat sehingga dikritik hebat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta alam tempatan mahupun dan luar negara.

Begitu juga dengan pencerobohan hutan dara di sepanjang jalan ke Taman Negara, Jerantut. Pembalakan haram dah lama berlaku sama ada melalui Padang Piol mahupun jalan darat yang masuk ikut Felda Lepar. Isu tersebut pernah didedahkan dalam akhbar Harakah dan didedahkan juga oleh Tv3, namun tiada tindakan dibuat.

Pendek kata, jenuhlah pencinta alam sekitar dan para ulamak berteriak memberi amaran namun tiada dari pihak kerajaan yang menganggapnya serius ketika itu.

Perkara yang sama terjadi di hutan Bukit Ibam Rompin, hutan Lepar di Maran dan hutan Bebar, Pekan. Sebenarnya banyak pembalakan haram di kawasan tadahan air dan hutan simpan kekal di Pahang, malangnya berita tersebut tidak barangkali tidak ditemui oleh kolumnis ini.

Terbaru, rombongan PAS Pahang menyaksikan sendiri kerakusan pencerobohan Hutan Simpan Kemasul dalam Dewan Undangan Negeri Pelangai, Bentong iaitu dalam kawasan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri.


Tidak cukup dengan itu, ada satu lagi kegilaan kerajaan BN sekarang iaitu meluluskan begitu banyak operasi lombong besi. Mungkin ia tidak salah, tetapi tanpa pemantauan rapi boleh memusnahkan alam sekitar.

Harakahdaily pernah menyiarkan rungutan penduduk di Luit dan Sri Jaya, Maran yang terpaksa menghirup abuk debu-debu besi yang bertaburan sepanjang jalan menyebabkan ramai penduduk mengalami batuk-batuk, rumah mereka berhabuk selain terpaksa berdepan dengan pencemaran bunyi setiap hari termasuk pada hari.

Kegiatan melombong berhampiran rumahnya menyebabkan aliran sungai di kawasan tersebut musnah dan kesannya, penduduk kampung terdedah kepada banjir besar dan pencemaran air yang menjadi sumber minuman penduduk jika bekalan air terputus.

Sebenarnya terlalu banyak kes pencerobohan alam sekitar di Pahang tetapi ditangani begitu lemah oleh kerajaan dan pihak berkuasa.

Berbalik kepada artikel kolumnis tadi, saya fikir sesiapa sahaja akan berkongsi rasa terancam dengan pembalakan yang tidak terkawal sebagaimana disebutkan. Tetapi berdasarkan laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Jabatan Alam Sekitar, pembalakan di Kedah dan Kelantan masih diakui mengikut piawaian.

Kita harap pada masa akan datang, kolumnis yang sama akan mengulas juga isu-isu alam sekitar di negeri-negeri bawah pentadbiran BN termasuk Pahang.

Harakahdaily/-

Liwat II: Mungkinkah Najib tangguh lagi PRU13?

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Rakyat mengucapkan syukur dan menarik nafas lega apabila mendapat khabar gembira bahawa Azlan Mohd Lazim, bapa Saiful Bukhari tampil memohon maaf kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dengan mendakwa anaknya telah dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memfitnah Anwar dengan kes Liwat II.

“Lebih menarik lagi pendedahan beliau mengaitkan seorang pegawai Perdana Menteri sebagai perancang utama konsiprasi tersebut,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Katanya, perkembangan itu pastinya tambah memeningkan kepala Perdana Menteri dan hampir pastinya Pilihanraya Umum ke-13 akan tertangguh lagi buat kesekian kalinya.

Pendedahan Azlan Mohd Lazim adalah suatu kemenangan moral buat seluruh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, ujarnya lagi.

Menurutnya, dengan kemunculan Deepak Jaikishan serta pendedahan menggemparkan negara mengenai misteri pembunuhan Altantuya, serta kepulangan Balasubramaniam bagi meneruskan momentum skandal pembunuhan model Mongolia tersebut, pengakuan Azlan Mohd Lazim adalah pelengkap kepada kejayaan rakyat.

“Pengakuan Azlan membuktikan bahawa kejadian liwat II adalah suatu konspirasi jahat oleh pihak tertentu yang bertujuan mahu mengaibkan pemimpin dan gabungan PR umumnya,” katanya kepada Harakahdaily.

Baginya, politik fitnah melalui pelakuan lucah dan mengaibkan digunakan bagi menghalalkan segala tindakan mereka.

Kini, kata beliaukebenaran telah terserlah membuktikan bahawa segala yang berlaku adalah mainan politik kotor pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, ujarnya rakyat ternanti-nanti siapakah pegawai khas Perdana Menteri yang dikatakan merancang semua kejahatan itu.

“Perdana Menteri perlu tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan pegawainya terlibat dan bertanggungjawab terhadap kesemua tindakan pegawainya itu dan bagi membersihkan namanya, beliau mesti mengambil tindakan tegas terhadap pegawainya yang terlibat,” katanya lagi.

Menurutnya, imej Najib kebelakangan ini semakin merudum dengan penglibatan pegawai-pegawai kanan beliau dalam pelbagai skandal.

Riduan berkata, dua orang pengawal peribadinya terlibat dalam pembunuhan model Altantuya manakala bekas penasihat politik beliau, Abdul Razak Baginda juga pernah dikaitkan dengan kes yang sama meskipun dibebaskan oleh mahkamah kemudiannya.

Kini, ujarnya seorang lagi pegawai kanan beliau didakwa terlibat merancang konspirasi Liwat II.

Bagi beliau, Perdana Menteri dilihat sebagai gagal menunjukkan contoh kepada rakyat dengan peribadi yang mulia.

“Malah, beliau dianggap gagal mendidik pegawai-pegawai kanannya untuk menunjukkan tauladan yang murni kepada masyarakat sehingga mereka terjerumus dengan pelbagai kesalahan jenayah,” ujarnya.

Justeru, kata beliau rakyat perlu bertanya kembali, apakah pemimpin seperti itu layak dinobatkan sebagai pemimpin utama negara dan layakkah mandat terus diberi kepada pemimpin seperti itu.

Harakahdaily/-

50 TALI BARUT DITAHAN

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


  • Foto
  • Foto
    Senjata dan seragam jeneral pengganas (gambar kanan) yang ditemui pasukan keselamatan kelmarin.
Lahad Datu: Lebih 50 individu termasuk wanita, sebahagiannya dipercayai rakyat tempatan ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.

Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) yang digubal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 
Penahanan yang dilakukan di luar kawasan Ops Daulat itu hasil risikan dan serbuan pegawai serta anggota Cawangan Khas Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di beberapa rumah dan premis di seluruh Sabah. Kebanyakan mereka ditahan di Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu. 


Ops Daulat diteruskan pada hari keempat semalam, dengan tiga pesawat pejuang dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat berlegar di ruang udara pada sebelah pagi bagi memantau dan mengesan pergerakan musuh.

Letupan mortar juga didengari di Kampung Tanduo pada jam 2.30 petang dan 5 petang dipercayai dilepaskan dari kereta perisai pasukan keselamatan.

Tiga mayat pengganas

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di FELDA Sahabat 16, turut menunjukkan gambar tiga mayat pengganas yang dibunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu kelmarin dan baju ketua pengganas berpangkat jeneral. 

Bagaimanapun Ismail berkata, nasib ketua kumpulan pengganas, Agbimuddin Kiram belum diketahui, walaupun seorang daripada yang terbunuh itu memakai pakaian jeneral.

Berdasarkan gambar baju celoreng itu tertera ‘Royal Sulu Army’ tetapi nama pada bahagian depan sebelah kiri baju sudah dipadamkan.

Menurut sumber, persoalan sama ada lelaki dibunuh itu Agbimuddin sukar dipastikan kerana ada kemungkinan adik Jamalul Kiram III mengarahkan anak buahnya memakai baju itu bagi mengelirukan pasukan keselamatan. 

Ismail berkata, semua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan enam pegawai dan anggota polis Cawangan Khas yang terkorban dalam serangan hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna, 2 Mac lalu.

“Kami masih menjalankan siasatan sama ada mereka itu pengganas yang diburu pasukan keselamatan kita di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu,” katanya.

Zulkifeli berkata, sehingga petang ini, pihaknya masih menunggu Wisma Putra berkaitan dakwaan penceroboh akan menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.

“Kami menghubungi Wisma Putra dan masih tiada berita sejak pagi tadi (semalam)... tiada isyarat (serah diri dan letak senjata) daripada pihak berkenaan. Justeru, Ops Daulat diteruskan,” katanya.

Ditanya sama ada suspek terbabit memiliki MyKad atau dokumen Penduduk Tetap (PR), Ismail berkata: “Kami tidak boleh mengesahkannya kerana masih dalam siasatan.”

Berita Harian/-

Kepala murid perempuan terkena peluru besi

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Kepala murid perempuan kena peluru besi


Erdina yang cedera di kepala menerima rawatan di Hospital NCI Nilai.
SEREMBAN – Seorang murid perempuan tahun 4 di sebuah sekolah dekat Nilai, di sini, cedera di kepala selepas terkena balingan bola peluru besi ketika menjalani latihan sukan di sekolahnya, petang kelmarin.Erdina Ezalia Earman Eza, 10, mengalami pendarahan beku di kepala dan kini dirawat di Hospital NCI Nilai, di sini.
Menurut datuk mangsa, Ali Dina, 62, kejadian berlaku kira-kira 5 petang ketika cucunya sedang melakukan latihan sukan di padang sekolah.


“Ketika kejadian, kesemua murid sedang berehat selama lima minit di kawasan padang sekolah.



“Sekumpulan murid perempuan lain yang sedang bermain bola peluru besi itu telah membaling ke arah sesama mereka, menyebabkan satu daripada balingan itu tersasar lalu terkena ke kepala cucu saya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.



Ali berkata, cucunya menjerit kesakitan dan menangis sejurus terkena bola peluru besi itu sebelum kejadian itu diketahui seorang guru lelaki yang dipertanggungjawabkan mengawal pelajar di kawasan padang.



“Guru berkenaan merawat cucu saya dengan menuam kepala dengan ais dan meletakkan minyak gamat.



“Tapi, guru berkenaan membiarkan cucu saya pulang ke rumah dengan menaiki bas sendirian meskipun cucu saya masih lagi berasa sakit dan tidak selesa di kepala,” katanya.



Dia yang tinggal di Desa College, Bandar Baru Nilai, di sini, berkata, sebaik turun daripada bas di hadapan rumah, cucunya masih menangis dan meraung kesakitan.



“Anak saya kemudian melihat kepala cucu saya dan kelihatan bengkak di bahagian belakang kepala,” katanya.



Menurutnya, dia segera membawa cucunya itu ke hospital sebelum doktor melakukan pemeriksaan dan membuat imbasan.



"Doktor memberitahu terdapat darah beku di kepala cucu saya. Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak sekolah, namun sehingga kini masih belum mendapat sebarang penjelasan tentang perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.



Menurut Ali, dia kesal apabila guru sukan terbabit tidak memaklumkan insiden tersebut kepadanya dan juga ibu bapa Erdina.



“Sepatutnya, guru terbabit perlu memaklumkan perkara ini kepada saya kerana sudah melibatkan kecederaan.



“Saya difahamkan guru tersebut membiarkan cucu saya pulang sendirian kerana mempunyai urusan peribadi yang perlu didahulukan.



“Ini tidak patut berlaku kerana sebagai guru yang dipertanggungjawabkan, dia perlu memastikan keselamatan cucu saya terlebih dahulu,” katanya.

Sinar Harian/-

Peguam Anwar: Pendedahan bapa Saiful bukti konspirasi politik

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Kronologi kes Saiful - Anwar

Kronologi kes Saiful - Anwar
SHAH ALAM – Pendedahan bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim semalam, yang mendakwa anaknya dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu - mendalangi kes liwat kedua melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukti wujud konspirasi politik menjatuhkan Ketua Pembangkang itu.

Saiful membalas pendedahan bapanya lewat petang semalam, kira-kira tujuh selepas sidang media Azlan.

Salah seorang peguam pasukan Anwar, R Sivarasa berkata, pendedahan yang dibuat Azlan juga sangat penting dan membuktikan apa yang pihaknya cuba memberitahu bahawa ini satu kes yang direka cipta dari peringkat awal sampai sekarang.

“Pendedahan ini adalah penting kerana sebagai ayah, beliau sepatutnya tahu apa yang berlaku terhadap anaknya.

“Mungkin mengambil tindakan itu selepas sudah tidak tahan menanggung perkara yang beliau ketahui dan mengambil langkah untuk memberitahu dunia perkara sebenaranya iaitu anaknya dipergunakan,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful pada 9 Januari 2012. Rayuan akan didengar Julai ini.

Sivarasa menambah, pendedahan itu yang turut mengaitkan penglibatan pegawai khas pemimpin kanan negara juga menimbulkan persoalan yang besar bagaimana penglibatan pegawai khas itu boleh berlaku.

Kata Sivarasa, ayah Saiful tidak dipanggil sebagai saksi dalam kes tersebut.

Mengulas kesan ke atas kes rayuan, beliau berkata, pendedahan semalam tidak akan memberi impak ke atas proses rayuan dari segi undang-undang, sebaliknya hanya dari segi politik dan moral.

“Tetapi apa yang diperkatakan itu lebih penting daripada perbahasan awam, bukan yang berlaku dalam mahkamah.

“Bagaimanapun, ramai akan mempersoalkan tindakan Peguam Negara untuk meneruskan proses rayuan khususnya selepas pendedahan ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai tindakan lanjut yang akan diambil oleh pihak peguan Anwar, Sivarasa berkata, ketika ini pihaknya masih belum merancang sebarang tindakan khusus berhubung perkara ini.

Namun, katanya, peguam Anwar akan mengkaji pendedahan ini secara lebih mendalam minggu depan.

“Peguam Anwar akan menasihatkan beliau apa yang tindakan selanjutnya.

“Saya berharap Peguam Negara juga akan berbuat demikian. Adalah wajar rayuan ditarik balik walaupun bapa Saiful bukan saksi.

“Bagi saya pendedahan ini cukup mustahak dan membuktikan kezaliman yang besar berlaku kepada Anwar dan seluruh ahli keluarganya dan harap diperbetulkan pada Pilihan raya Umum ke-13  akan datang,” jelasnya lagi.


Sinar Harian/-

Sekolah di Semporna dibuka Isnin ini, Lahad Datu masih tunggu jaminan keselamatan

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Kesemua 49 sekolah di daerah Semporna, membabitkan 40 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah yang ditutup sementara berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu akan dibuka sepenuhnya Isnin ini, kata Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Jame Alip. 

Bagi lapan sekolah yang terbabit di Lahad Datu pula, Jame berkata keputusan sama ada membuka semula sekolah atau sebaliknya akan ditentukan hari ini selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pasukan keselamatan. 

Beliau berkata satu mesyuarat khas kumpulan kerja keselamatan negeri Sabah akan diadakan hari ini di Kota Kinabalu bagi mengetahui jaminan keselamatan di sekitar sekolah yang terbabit. 

"Hari ini kita akan dapatkan maklumat daripada pasukan keselamatan kerana semua sekolah terbabit terletak berhampiran kawasan gerakan ofensif terhadap kumpulan pengganas. 

"Jika pasukan keselamatan kata keadaan selamat, insya-Allah semua sekolah di Lahad Datu selain Semporna akan beroperasi seperti biasa Isnin ini," katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 yang disiar secara langsung, pagi ini. 

Lapan sekolah yang masih ditutup di daerah Lahad Datu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Lok Buani, SK Sahabat 14, SK Cenderawasih, SK Fajar Harapan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana. 

Selain itu Jame menasihati ibu bapa supaya membenarkan anak-anak kembali ke sekolah dan tidak perlu khuatir kerana pasukan keselamatan akan memastikan keadaan terkawal sepenuhnya. - BERNAMA