Menurutnya, Tajol Rosli sepatutnya lebih terbuka dengan datang berjumpa dengannya untuk menyerahkan tugas Menteri Besar itu sebaik sahaja kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya umum lepas.
Kata beliau, sikap bekas Menteri Besar itu yang sehingga sekarang tidak mahu berbuat demikian di- anggap tidak gentlemen (bersifat lelaki budiman) malah jauh berbeza dengan bekas Menteri Besar Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.
‘‘Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang), bekas Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo) dan Menteri Besar lama Kedah (Datuk Seri Mahdzir Khalid) semuanya bersalam dan serah tugas secara rasmi kepada penggantinya. Tetapi sampai sekarang orang ramai tidak pernah tengok pun bekas Menteri Besar Perak bersalam dengan saya serah tugas, apa salahnya jumpa saya seperti bekas Menteri Besar lain,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis jamuan rakyat sempena lawatan kerja ke daerah Hulu Perak di sini hari ini.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri juga kecewa dengan sikap Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana masih belum membenarkannya ke udara menerusi saluran radio Perak FM.
Jelas beliau, selaku Menteri Besar dan wakil kerajaan negeri yang mendapat mandat rakyat serta perkenan Sultan Perak, RTM sepatutnya memberi penghormatan kepada kerajaan negeri sekarang.