

Harakahdaily |
|
Hazayani Zakaria |
|
KUALA LUMPUR, 5 Jun: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat membayangkan saf kempipinan baru PAS yang dipilih pada muktamar ke-57 parti itu semalam menjadikan jalan menuju ke Putrajaya 'makin jelas'.
Bercakap ketika ditemubual Harakah dan Harakahdaily hari ini, beliau yakin kabinet baru PAS itu mampu melakar masa depan baru untuk PAS khususnya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
"Jalan menuju Putrajaya makin jelas.
"Jangan ada jual kad pengenalan, bagi kepada warga asing mengundi insyaAllah."Kalau demokrasi dijalankan dengan betul, maka tidak ada sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh sampai ke Putrajaya," katanya.
Pada pemilihan semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding menerima timbalan baru iaitu Mohamad Sabu.
Mohamad menang jawatan itu terhadap penyandangnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon bertanding, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bagi tiga jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.
Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.
Mengulas penyertaan Mohamad Sabu yang dilihat bakal memberi energi baru dalam saf hadapan kepimpinan PAS, beliau memberi analogi begini.
"Mohamad Sabu ni macam enjin la, drivernya Tuan Guru Haji Hadi, dan kita semua adalah penumpangnya.
"Kereta tak jalan walau enjin buka, kena driver tekan minyak juga,"katanya.
Berhubung isu ulama-profesional yang dimainkan media Umno pula, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ianya petanda kabinet baru itu digeruni Umno BN.
Sejak keputusan pemilihan semalam, media pro Umno sama ada internet dan media cetak, tidak putus-putus memainkan isu kepimpinan ulama dalam PAS tidak lagi diterima.
Majoriti tajuk akhbar mereka hari ini juga menggambarkan PAS tidak lagi islamik kerana mendakwa pemimpin utama didominasi kelompok profesional.
"Sebut Islam mesti berkait politik. Bila politk mesti ada kerajaan. Maka untuk ada kerajaan mesti ada profesional.
"Dalam PAS, sebut kata ulama automatik profesional, sebut profesional mesti berjiwa ulama.
"Yang menduakan barang satu ini adalah Umno, sebab dia ada profesional sahaja tiada ulama. Ulama dalam Umno kena singkir," jelasnya.
![]() Catatan sejarah membuktikan kejatuhan kerajaan Parsi dan Rom bukan sahaja kerana kekuatan umat Islam, tetapi juga kerana kezallman pemerintahnya terhadap rakyatnya sendiri, walaupun kedua-duanya merupakan kuasa besar dunia pada masa lalu. Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN juga pasti akan mengalami nasib serupa suatu masa nanti ekoran kezalimannya terhadap rakyat sejak sekian lama. Menurut beliau, ini terbukti dengan pelbagai tindakan buruk Umno BN terhadap rakyat dengan menaikkan harga petrol dan barangan keperluan utama sehingga rakyat hidup dalam keadaan amat terhimpit. Katanya, selain itu, Umno BN turut mengabaikan perintah Allah dalam pemerintahannya sehingga menyebabkan munculnya pelbagai gejala sosial di tanah air. "Untuk kepentingan sendiri termasuk untuk menyekat kebangkitan rakyat bersama PAS dan Pakatan Rakyat, para pemimpin Umno BN juga sanggup menggunakan wang rakyat," katanya ketika menyampaikan ceramah perdana malam tadi. Dalam ceramah yang diadakan di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, beliau menegaskan, PAS sebenarnya tidak mahu berkelahi dengan Umno, tetapi hendak membawa Umno ke jalan selamat. "PAS menyertai demokrasi pilihanraya untuk mendidik manusia ke arah kebaikan kerana membawa manusia ke jalan kebaikan itu walaupun seorang, pahalanya berpanjangan hingga ke akhirat sampai bila-bila," tegasnya. Kini, menurut beliau, rakyat sendiri boleh menilai perbezaan Umno BN dan PAS bersama Pakatan Rakyat dengan hasrat PAS untuk memerintah negara ini dengan negara berkebajikan. "Bagi umat Islam yang buta sejarah, mereka tentu berasa asing dengan negara berkebajikan.Tetapi bagi pemerintahan Islam, ia tidak terpisah dengan negara berkebajikan," katanya. Konsep negara berkebajikan, jelas beliau, bagaimanapun telah dilaksanakan di negeri-negeri yang pernah diperintah oleh PAS beberapa tahun lalu iaitu di Terengganu dan Perak dan kini turut dilaksanakan di negeri-negeri yang berada dalam Pakatan Rakyat. "Hasilnya di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, walaupun disekat dari bantuan kewangan oleh Kerajaan Pusat, tetapi tetap ternyata lebih baik dari negeri- negeri yang berada di bawah Umno BN," katanya. Untuk membolehkan rakyat di negara ini mengetahui perkara itu dengan lebih jauh, katanya, rakyat perlu memberi peluang kepada PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara ini hanya untuk satu penggal. "Kami akan tunjukkan buktinya dengan apa yang kami kata. Kepada Umno pula, bertaubatlah dan marilah bersama-sama dengan kami untuk memperjuangkan dasar Islam," ujar beliau. Bob Lokman salahkan Umno Sementara itu, bekas pelakon, pelawak dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman dalam ceramah ringkasnya di tempat yang sama menyuarakan kekesalannya dengan tindakan Umno yang menyesatkan umat Islam di negara ini. "Disebabkan Umnolah, saya jauh dari PAS sehingga 25 tahun. Tapi kini saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan kesempatan berada dalam PAS untuk bersama-sama berjuang di jalan Allah," tegasnya. Beliau diberikan peluang berucap oleh pihak penganjur ceramah sempena Muktamar PAS Ke-57 yang berlangsuing di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, bagi melancarkan derma jihad. "Inilah kali pertama saya berucap di Taman Melewar ini yang dulunya Markas Tarbiyah PAS Pusat, tapi kini dah menjadi Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad. "Tak sangka pula saya diminta berucap di sini malam ini. Saya hanya hadir untuk berrsama kawan-kawan dalam PAS di sini pada malam ini untuk mendengar ceramah," katanya bersahaja. Antara yang turut berucap di majlis itu malam tadi termasuk Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS yang baru, Datuk Husam Musa dan dua orang Naib Presiden PAS terdahulu yang terus dipilih, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. Manakala antara yang turut hadir termasuklah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang baru, Siti Zailah Mohd Yusof dan Timbalan Ketua DMPP yang baru, Dr Siti Mariah Mahmud. Kira-kira 10,000 ahli PAS hadir di majlis tersebut sehingga menyebabkan orang ramai bukan sahaja sekadar memunuhi dewan, tetapi bertaburan di tepi-tepi jalan raya di sekitar Kolej yang mulai dihias cantik itu. Harakahdaily |
![]() GOMBAK, 5 Jun: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Umno sedang diserang hantu jembalang ekoran kenyataan pemimpin mereka yang sudah haru biru. Menurutnya, ketika PAS bermuktamar dengan tema Membangun Negara Kebajikan, Umno menuduh PAS sudah lari prinsip perjuangan parti. Katanya, pemimpin seperti Ali Rustam menyatakan PAS sudah hilang pedoman kerana sudah tidak bercakap tentang Negara Islam sebaliknya mula perjuangkan Negara Berkebajikan. "Inilah haru birunya pemimpin Umno dalam menilai perjuangan PAS, kita konsisten dengan dasar dan hadaf perjuangan," tegasnya. Beliau meminta ahli-ahli PAS mengambil panduan dari konsistennya pejuang lama seperti Pak Yazid Jaafar yang turut hadir. Negara Kebajikan sebati dalam Negara Islam Sementara itu di dalam ucapannya, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menjelaskan perjuangan Negara Kebajikan adalah sebati dalam Negara Islam. Menurutnya, sebelum muktamar media massa memberikan liputan besar dengan harapan PAS akan berpecah. "Syukur apa yang media pro Umno harapkan PAS berpecah tetapi ahli dan pimpinan parti kita tidak dapat diganggu gugat," tegasnya. Husam menyebutkan banyak program berkebajikan dilaksanakan di Kelantan dan rakyat terbanyak dapat merasai nikmatnya. Katanya, dengan kesungguhan pemimpin PAS, anggota masyarakat dan rakyat dapat melihat program berkebajikan telah dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Sementara itu, beliau menyeru semua ahli dan pemimpin Umno di peringkat cawangan segera tinggalkan parti bermasalah itu. "Jika Najib merayu golongan muda wajib pertahankan Putrajaya bererti ia bakal jatuh bila-bila masa dalam PRU13 nanti. "Jangan tunggu bangunan rumah runtuh dulu baru hendak menyelamatkan diri," tegasnya. Artis sertai PAS Naib Presiden PAS yang mendapat undi terbanyak, Haji Salahuddin Ayub berkata, golongan artis jangan bimbang untuk sertai PAS kerana Islam benarkan hiburan beracuan Islami. Beliau mengulas kesudian selebriti terkenal Bob Lokman sanggup hadir dalam majlis ceramah malam ini. Dalam hal ini, artis masih boleh menghasilkan karya-karya hebat seperti pernah dibuktikan oleh Negara Islam Iran. Malah, ujarnya, hasil filem mereka telah mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Salahudin juga berkata, rakyat terbanyak sebagai pengundi sah dalam negata ini, sedang menunggu masa sahaja untuk membuat perubahan wajah politik negara dalam PRU13. |
![]() KUALA LUMPUR, 5 Jun: Keputusan yang dibuat oleh para perwakilan dengan memilih Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru akan memberikan keuntungan besar kepada PAS. Dengan pemilihan itu, para pemimpin Umno BN diyakini tidak akan lena tidur kerana bimbang dengan kekuatan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Mohamad Sabu sememangnya merupakan pemimpin PAS yang dibenci oleh Umno kerana memiliki kehebatan tersendiri. Menurut beliau, antara kehebatan Mohamad Sabu termasuklah kekentalan semangat, ketabahannya dalam perjuangan dan kesetiaannya yang jitu terhadap PAS. Katanya, perkara itu terbukti setelah Mohamad Sabu diuji dengan beberapa ujian besar termasuk setelah dua kali ditahan di penjara di bawah ISA. "Namun Mohamad Sabu tetap tidak lari dengan perjuangannya, tetap tidak memilih Umno, malah tetap terus berada dalam PAS," katanya ketika menyampaikan ceramah perdana di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, malam ini. Selain mempunyai sikap-sikap itu, menurut beliau, Mohamad Sabu turut diketahui oleh para pemimpin Umno sebagai pemimpin PAS yang berbisa. "Sebab itulah dengan pemilihan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru, Umno tidak akan tidur lena selepas ini. "Kita bersyukur dapat seorang timbalan presiden yang dibenci oleh Umno. Kita doakan semoga Mohamad Sabu terus diberikan perlindungan oleh Allah," katanya. Para pemimpin Umno seperti yang dilaporkan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia mengatakan, para perwakilan PAS telah melakukan kesilapan besar memilih para pemimpin yang dikatakan dari kalangan profesional bagi menjawat jawatan timbalan dan Naib Presiden PAS pada Muktamar PAS Ke-57. Dengan pemilihan itu, lapor media Umno, ahli-ahli PAS kini ternyata telah menolak golongan ulama untuk memimpin PAS yang tentunya tidak selari dengan dasar perjungan PAS dan konsep kepimpinan Ulama yang diketengahkan dalam PAS. Menurut Nik Aziz, tuduhan Umno itu ternyata meleset kerana realiti dalam PAS sendiri tidak timbul soal golongan ulama dan profesional, malah kesemua pemimpin dan ahli-ahlinya tetap terus dengan dasar perjuangan parti untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air tercinta ini. "Walaupun dikatakan bukan dari golongan ulama, tetapi Mohamad Sabu ternyata jauh lebih baik dari orang-orang lepasan Al-Azhar terutama yang berada dalam Umno," katanya. Beliau juga tidak hairan dengan tuduhan Umno itu kerana ia melambangkan ketakutan para pemimpin Umno sendiri dengan pemilihan terhadap Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS. "Ini melambangkan Umno semakin cemas dan makin terdesak sebab itulah mereka memainkan isu itu untuk memecahbelahkan dan melemahkan PAS. "Namun itu semua tak akan terjadi. Malah pemilihan ke atas Mohamad Sabu pasti menguntungkan PAS sendiri termasuk dalam soal tarikan ke atas golongan non Muslim kepada PAS," katanya. Mohamad Sabu, katanya, diketahui semua pihak sebagai pemimpin yang disukai oleh orang-orang Cina dan India. Dengan pemilihan ke atas Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS, pasti akan memudahkan beliau mendekati golongan non Muslim. "Dengan itu, Mohamad Sabu pasti akan lebih mudah mendedahkan ajaran Islam kepada golongan non Muslim, sejajar dengan usaha kita untuk suburkan fahaman Islam dalam masyarakat," tegas beliau. Harakahdaily |