09 Mei 2009

Manoharan bebas selepas seminggu ugut letak jawatan

PUTRAJAYA, 8 Mei: Selepas kira-kira seminggu M Manoharan membuat cadangan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan di situ, Menteri Dalam Negeri mengumumkan beliau akan dibebaskan segera bersama 12 tahanan ISA yang lain.

Manoharan bakal dibebaskan bersama dua lagi pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf). Mereka adalah P Uthayakumar dan K Vasantha Kumar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu berkata, beliau akan menandatangani dokumen pembebasan itu hari ini.

"Mereka akan dibebaskan dalam masa dua atau tiga hari," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya di sini, hari ini.

Katanya, pembebasan tahanan tersebut bukan bermotifkan politik.

Selain ketiga-tiga mereka, sepuluh lagi yang dibebaskan termasuk tiga warga Malaysia, dua warga Indonesia dan lima warga Filipina.

Tiga warganegara itu adalah Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil and Adzmi Pindatun, manakala dua warga Indonesia adalah Zainun Rasyhid dan Aboud Ghafar Shahril.

Lima warga Filipina adalah Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih.

Bulan lalu, sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib umumkan pembebasan 13 tahanan ISA termasuk dua pemimpin Hindraf.

Ia dibuat menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.
Siasahdaily.

Polis cabul sidang Dun Perak , Sivakumar masih Speaker

SEMAKIN banyak pihak menimbangkan kesahihan perlucutan V Sivakumar daripada jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan pengundian pengganti beliau, R Ganesan, bekas Adun Sungkai, dan juga dua lagi usul.

Peguam dan juga Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Malik Imtaz Sarwar tidak bersetuju dengan pandangan Dato' Hafarizam Harun dan Dato' Muhammad Shafee Abdullah, yang dilaporkan berkata bahawa usul yang diluluskan 7 Mei adalah sah.

"Saya tidak bersetuju dengan pandangan Hafarizam dan Shafee. Saya tak nampai bagaimana it boleh menjadi sah," jelas Malik Imtaz kepada Malaysian Insider.

Prosidur diragui

Dia mendapati terlalu banyak persoalan berhubung prosidur di dalam ruang dewan, mengakibatkan kesahihannya diragui.

"Pertama, bagaimanakah persidangan itu boleh sampai ke peringkat di mana Hee mengambil alih persidangan?" beliau mempersoalkan, merujuk kepada Hee Yit Foong, Adun Jelapang merangkap Timbalan Speaker.

"Sekiranya Sivakumar berada di situ secara sah, bagaimana dia (Hee) boleh mengambil alih (tugas Speaker)?" tambah beliau, merujuk kepada penjelasan Hafarizam yang membuat rujukan kepada Perkara 36A(1)(b) Peraturan Persidangan yang membenarkan Timbalan Speaker mengambil tempat menggantikan Speaker.

Versi bercanggah

Kata Imtaz, dia mendengar versi yang bercanggah-canggah mengenai peristiwa 7 Mei, termasuk dakwaan kononnya pada satu ketika Sivakumar tidak berada di dalam kamar dewan sewaktu persidangan berlangsung.

Beliau juga mempersoalkan kehadiran pegawai polis berpakaian biasa di dalam kamar dewan.

"Polis tidak sama sekali mempunyai kuasa dalam kamar dewan," kata Imtaz, dan merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara pada Mac lalu selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Karpal Singh dikasari di Parlimen.

Syed Hamid dan Musa Hassan menegaskan bahawa pihak polis tidak boleh campur tangan dalam kamar dewan walaupun sekiranya terdapat pergaduhan dan hanya petugas dewan (sergeant-at-arms) mempunyai kuasa menangkap.

Polis bukan agen parti politik

"Polis telah bertindak tanpa kuasa. Mereka sebenarnya menjadikan diri mereka sebagai agen kepada sebuah parti politik dan bukan sebagai pelaksana bebas undang-undang," kata Imtaz, sambil menekankan bahawa Sivakumar adalah masih Speaker yang sah ketika itu.

Sementara menekankan pandangannya bahawa tidak bermakna Adun Pakatan Rakyat bebas daripada apa-apa perlakuan salah, Imtaz menolak penjelasan Dr Zambry Abdul Kadir yang mengatakan BN tidak mempunyai pilihan kecuali memanggil polis apabila keadaan menjadi semakin tegang.

"Mereka mengatakan mereka tidak ada pilihan tapi itu tidak benar. Mereka boleh sahaja memfail untuk mendapatkan perintah mahkamah dan menyebut Sivakumar sebagai menghina mahkamah. Mereka tidak melakukan demikian tetapi memilih untuk membantu diri-sendiri tetapi membantu diri-sendiri tidak dibenarkan di bawah sistem perundangan kita," jelas Imtaz lagi dengan nada marah.

"Bahkan, cara paksaan terpaksa digunakan - dengan menggunakan polis untuk memaksa Sivakumar keluar dari kamar dewan tanpa sebarang alasan-� ini adalah merupakan penunjuk yang mencukupi bahawa BN tidak mempunyai penyelesaian politik mahupun perundangan terhadap kesulitan yang mereka sendiri mulakan."

Beliau juga mempersoalkan: "Pada saat manakan persidangan sebenarnya bermula?"

Bila sidang bermula?

"Sekiranya perasmian persidangan bermula selepas titah Raja Nazrin, bagaimanapula mereka menjalankan sebarang urusan sebelum itu?" tanya Imtaz.

Beliau menekankan, Raja Muda Perak yang sepatutnya membuka persidangan, memasuki kamar dewan hanya pada kira-kira jam 3.00 petang, setelah berlaku perebutan kerusi Speaker dan setelah tiga lagi usul - pemilihan Ganesan sebagai Speaker, anggota baru untuk jawatankuasa sampingan dan kelulusan pengisytiharan pembatalan sidang Pakatan Rakyat terdahulu yang diadakan di bawah sebatang pohon.

Imtaz juga menegaskan persidangan tersebut juga melanggar beberapa lagi konvensyen, termasuk tidak mengadakan upacara mengangkat sumpah untuk Ganesan selaku Speaker. Ini, tegasnya, biasanya diadakan dalam satu upacara di masa lain di hadapan raja.

Terus buntu

"Inilah antara perkara yang menyebabkan saya merasa ragu tentang kesahan usul yang diluluskan," kata peguam yang baru-baru ini menjadi penerima anugerah hak asasi manusia antarabangsa.

"Akhirnya, terdapat kebuntuan di sini," katanya, dan menambah sekiranya Perdana Menteri Najib Razak "ikhlas tentang Satu Malaysia, dia tidak boleh membenarkan BN melakukan tindakan tersebut."

Bagi pensyarah undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Abdul Aziz Bari, "semuanya begitu jelas dan terpampang."

Katanya, dia bersetuju dengan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa persidangan 7 Mei adalah "haram dan tidak berperlembagaan".

Cara salah pilih Speaker

"Bagi saya, cara mereka memilih Speaker adalah salah. Speaker masih Sivakumar," jelas ahli akademik itu.

Beliau memerhatikan bahawa urutan peristiwa dari 5 Februari sehingga semalam - dari perbuatan melompat parti yang dilakukan wakil rakyat yang dipilih sehinggalah kepada keputusan mahkamah membatalkan keputusan Sivakumar untuk menggantung kehadiran Adun BN - membuatkan kesahihan usul cukup meragukan menurut pandangannya.

Seperti juga Malik Imtiaz, Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan bersetuju situasi di Perak sudah tiba pada titik di mana tidak ada jalan lain kecuali Sultan Perakmembubarkan dewan undangan dan membuka jalan untuk pilihan raya umum baru bagi membersihkan kemelut yang berlaku.

Undang-undang tak boleh selesai masalah

"Bagi kita, cara perundangan tidak akan dapat menyelesaikannya kerana setiap peguam mempunyai pendapat berbeza," katanya.

"Secara peribadi, saya rasa terdapat hujah yang memihak kepada kedua-dua pihak. Satu daripadanya bilakah persidangan itu sebenarnya bermula? Satu lagi apakah Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul yang hendak dibentangkan?"

"Tapi kini Pakatan Rakyat adalah pihak minoriti dan BN mempunyai majoriti stabil dengan 28 campur tiga bebas," jelasnya.

Ragunath menekankan cara terbaik untuk keluar dari permasalahan tersebut ialah membenarkan pengundi membuat keputusan.

"Saya tak fakir dalam demokrasi, untuk kembali semula kepada rakyat setelah baru sahaja mengadakan pilihan raya umum merupakan satu masalah," katanya. Harakahdaily.

BN rancang sidang hanya untuk singkir Sivakumar , dakwa Khalil Idham

IPOH, 8 Mei (Hrkh) - Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang diadakan semalam tanpa menunggu sebarang keputusan Mahkamah hanyalah helah BN untuk menyingkirkan Speaker Dun yang sah, V.Sivakumar.

Demikian telahan Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah ketika ditemui di Badanb Perhubungan PAS Perak selepas sidang kontroversi Dun Perak semalam.

BN katanya sengaja beberapa kali melengahkan perjalanan sidang, menafikan hak Sivakumar membuat arahan dan keputusan selaku speaker yang sah.

Malah sidang yang boleh disifatkan sebagai satu lagi usaha rampasan kuasa itu turut menggunakan polis bagi menekan Pakatan Rakyat, ujarnya.

Kata Khalil Ihdam lagi, polis sengaja dibiarkan menceroboh dengan jumlah yang sangat besar sehingga 400 orang semata-mata membantu untuk mengusung Sivakumar keluar dari kerusi Speaker dan menyorokkan Speaker itu di dalam stor tingkat dua.

Dalam pergelutan adun-adun Pakatan Rakyat mempertahankan Sivakumar, ramai yang dikasai polis dan akibatnya ada yang dipijak polis, katanya.

Beliau sendiri bergelut dengan polis menyebabkan ditarik keluar dengan cara yang paling tidakj bertamadun dan menyedihkan, katanya.

"Saya sebut nama Allah, Allah,cukup kuat tekanan ketika itu dan saya dihentam polis, ditolak dan tarik saya keluar, kita tidak mengalah tetapi sampai bila kami nak begelut, inilah kaedah BN dalam menidakkan demokrasi kepada kami,"katanya kesal.

Justeru kata Khalil Idham, secara keseluruhannya sidang pada hari tersebut adalah satu usaha dan bukti, satu hasrat untuk rampasan kuasa kerusi Speaker.

"Tindakan beberapa kali penangguhan itu dirancang untuk S.Ganesan (Wakil MIC bukan Adun) duduk di kerusi Speaker," katanya.

Sehubungan itu Khalil Idham menyifatkan tindakan itu satu perancangan yang dilakukan oleh BN untuksingkair dengan cara yang tidak beretika, ujarnya. Harakahdaily.

Sivakumar adu kekerasan di DUN Perak

V Sivakumar, Speaker DUN Perak hari ini membuat aduan polis berhubung kekecohan dan "pencerobohan polis" di persidangan DUN Perak semalam.

Diiringi beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu, beliau tiba di ibu pejabat polis daerah Ipoh kira-kira 11.30 pagi tadi, sejurus selepas sidang media di pejabat DAP Perak.

Dalam aduannya, Sivakumar berkata sepuluh ADUN - termasuk menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abd Khadir dan enam exconya - telah "mengengkari arahannya" melarang mereka memasuki dewan

Saya juga mengumumkan selagi sepuluh orang ini tidak meninggalkan dewan, sidang dewan tidak akan bermula. Bagaimanapun, sepuluh orang ini telah mengengkari arahan saya sebagai speaker.

"Malahan mereka membuat kecoh di dalam dewan dengan cuba mengemukakan usul walaupun sidang dewan belum bermula lagi," laporan polis itu dipetik.

Tindakan sekumpulan polis dan "beberapa lelaki yang disyaki sebagai samseng luar tanpa pas" memasuki dewan "tanpa kebenaran dan pengetahuan" beliau turut dinyatakan dalam laporan polis tersebut.

"Walaupun saya telah cuba sedaya upaya memberi amaran (supaya) jangan berlaku kekerasan dan jangan menghalang saya menjalankan tugas (sebagai Speaker), sekumpulan lelaki tersebut telah mencekik leher saya dan mengheret badan saya sampai ke atas lantai.

"Dan saya dibawa keluar (dari) dewan negeri dengan penuh kekerasan," katanya dalam laporan itu, sambil menambah beliau kemudiannya dikurung selama sejam selepas itu.

Kekecohan itu juga, tambah Sivakumar, menyebabkan beberapa ADUN - antaranya Thomas Su (Pasir Pinji), Seah Leong Peng (Pasir Bedamar) dan Chang Lih Kang (Teja) - mengalami kecederaan.

Selain itu, ADUN Jelapang Hee Yit Fong juga didakwa menyembur bahan pemedih mata terhadap ADUN Aulong Yaw Tian Woh.

"Berdasarkan kepada fakta di atas, saya mendapati mereka yang terlibat dalam kejadian (yang disebut) di atas telah melanggar Seksyen 124 dan 323 Kanun Keseksaan dan undang-undang lain.

"Dan dengan ini saya datang meminta pihak polis mengambil segala tindakan undang-undang yang wajar supaya membela kedaulatan undang-undang negara dan menegakkan keadilan," adunya lagi kepada polis. Malaysiakini.

Kenyataan Media ADUN Titi Serong

Berikutan dengan insiden malang dan memalukan dalam sejarah demokrasi di Perak dan di Malaysia dengan ini dengan rasa penuh tanggung jawab saya suka untuk mengeluarkan beberapa kenyataan atas nama seorang ADUN Negeri Perak dan sebagai Pengerusi kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat:

Kenyataan saya seperti berikut :

1. Saya mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan UMNO dan BN yang menggunakan pasukan Polis yang dibawa secara haram untuk mempertahankan tindakan haram mereka. Ekoran dari tindakan yang menyalahi undang-undang ini mengundang kekecohan dalam dewan negeri secara terancang dan menjayakan usaha BN untuk merampas kerusi Speaker secara tidak sah.

2. Sebagi orang yang diamanah untuk menjaga Kelab Penyokong saya juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan pasukan polis yang bertindak secara kasar dan ganas kepada tidak kurang dari lapan orang ADUN pakatan rakyat semasa pergelutan di meja Speaker sekitar jam 3 petang. Tindakan Polis yang menceroboh masuk ke dalam dewan sangat memalukan generasi m,uda yang mula mengenali dunia politik yang jelas telah melanggar undang-undang telah disusuli dengan tindakan ganas kepada orang yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk menggubal undang-undang dan perkara berkaitan dalam negeri Perak di dewan tempat mereka melakukan tugas rasmi itu..

3. Jika tidak ada pencerobohan dan membenarkan pergerakan ADUN dan siapa saja untuk hadir sidang seperti biasanya, saya yakin persidangan akan berjalan dengan lancar mengikut undang-undang yang telah diperuntukkan.

4. Suka saya mengigatkan kepada pihak yang tidak bertanggung jawab dalam mengeruhkan sidang kelmarin samada pihak BN dan UMNO, Setiuasaha kerajaan Negeri, dan Polis bahawa peraturan dan undang-undang yang sedia ada dalam mengawal selia perjalanan sidang negeri telah ada sejak kita mencapai kemerdekaan dan diguna dengan penambah baikkan dari masa ke semasa sehingga ianya boleh memberi satu keyakinan undang-undang itu sudah cukup praktikal dan ampuh bagi melahirkan sidang yang aman dan tenteram.

5. Saya juga sangat mengesali dengan tekanan yang diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan sperti bantara dan lainnya sehingga mereka semacam telah diarahkan supaya tidak mematuhi apa-apa arahan dari Speaker Perak, V.Sivakumar yang masih sah sehingga sekarang.

6. Saya berseru kepada semua penyokong dan rakyat di kawasan ADUN Pakatan Rakyat dan tidak terkecuali di kawasan DUN yang dikuasai oleh BN supaya melakukan Laporan Polis kepada kejadian 7 Mei kelmarin.

7. Harapan saya semuga semua PAS kawasan mengadakan solat hajat bagi memohon restu dan petunjuk dari Allah dalam menghadapi kemelut yang berpanjangan dalam siri tindakan dan kezaliman BN di malaysia khususnya di Perak.

8. Seruan saya juga saya sampaikan kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan keadilan, marilah kita memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat bersama wadah Pakatan Rakyat. Jangan sampain BN melakukan perkara yang lebih dasyat dari peristiwa semalam . Walaupun kita sudah fikirkan peristiwa "jakun" kelmarin sudah tidak masuk akal dan sangat memalukan , jangan sampai BN bertindak lebih tidak masuk akal sesudah dari ini.

Pada; * Mei 2009

Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong/
Pengerusi BBC Perak.

TERKINI 11.31 pagi: Laporan Polis

Saya bersama ADUN PR dalam perjalanan dari pejabat DAP-Ipoh ke IPD Ipoh untuk membuat laporan Polis mengenai insiden di DUN kelmarin.

Saya bersama ADUN-ADUN lain akan melaporkan mengikut Kanun Keseksaan Panel KOd 124 dengan tindakan mengasari ADUN kelmarin.

YB.Sivakumar bersama ADUN Sungkai, YB.Sivanesan sedang membuat laporan.


Speaker Perak sedang berada di IPD Ipoh membuat Laporan Polis mengenai insiden DUN Perak yang disaksikan seluruh dunia dan ia amat memalukan

ADUN Pakatan Rakyat berada di ruang legar IPD Ipoh.

Gambar aksi ADUN Jelapang menyembur mata terhadap ADUN Aulong

Saudara Muthu yang ditangkap,dipukul, digari dan dipulas tangan hingga cedera membuat Laporan polis di IPD Ipoh. Beliau dibawa ke kem FRU dekat stadium Ipoh dan dilepaskan jam 5 petang kelmarin. Di sebelah beliau ialah Ustaz Misbah dan ADUN Kepayang, YB Loke

KECOH DUN PERAK

Koleksi peristiwa dalam Dewan Negeri