30 Oktober 2012
Bekas timbalan menteri jangka BN tewas PRU13
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Yahya Lampong meletakkan keyakinan yang sangat kuat bahawa BN akan gagal mengekalkan kuasanya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Menurutnya, daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen di seluruh negara, beliau menjangkakan 118 kerusi akan dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 kali ini dan 104 kerusi sahaja akan diperoleh BN.
Beliau yang telah keluar BN dan mengumumkan menyertai PKR baru-baru ini berkata, asas pengiraannya adalah dengan formula (82 + 20 + 16 = 118)
82 katanya adalah jumlah kerusi yang telah dimenangi oleh gabungan PAS,PKR dan DAP pada PRU12, 2008 yang lalu dan dijangka jumlah itu akan kekal pada PRU akan datang.
20 pula adalah jumlah kerusi parlimen yang majoritinya adalah pengundi Cina dan India yang dimenangi BN dalam PRU12 yang sudah tentu pada jangkaannya akan menolak BN pada PRU akan datang.
Asas kekalahan BN itu juga jelasnya, turut disandarkan pada keyakinan bahawa lebih separuh kerusi parlimen Sabah - selama ini menjadi 'tempat berpaut' BN untuk mengekalkan kuasa termasuk pada PRU12 lalu - akan 'swing' kepada Pakatan Rakyat.
Kata Yahya, sekurang-kurangnya 16 dari 25 kawasan parlimen di Sabah bakal dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 akan datang.
Kawasan itu masing-masing adalah 13 kerusi dari kawasan majoriti pengundi Kadazan, Dusun, Murut (KDM) dan Cina (KDM-C) dan tiga lagi dari kawasan campuran KDM-C dengan pengundi Islam.
Tiga kawasan campuran KDM-Cina dengan pengundi Islam adalah di Beaufort, Papar dan Kota Belud.
Di Papar dan Kota Belud katanya, jumlah peratusan pengundi KDM-Cina adalah 40 peratus dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 15 peratus sahaja lagi sokongan pengundi Islam bagi memenangi kedua-dua parlimen tersebut.
Bagi Beaufort pula, parlimen itu diyakini akan dimenangi Pakatan Rakyat apabila bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas Ketua Umno Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin disebut-sebut bertanding di situ.
Lajim juga adalah timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Dan jika benar jangkaan Yahya ini berlaku, bermakna Pakatan Rakyat sudah boleh menguasai Putrajaya dengan 118 kerusi tidak termasuk kerusi perlimen dari Sarawak.
"Pakatan hanya memerlukan 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
"Justeru, Pakatan Rakyat sudah berupaya membentuk kerajaan dengan sokongan rakyat Semenanjung dan Sabah. Maka kawasan parlimen Sarawak adalah Bonus," katanya.
Harakah Daily
MCA bantu dedahkan Umno yang sebenar
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka menentang Syariat Islam, khususnya undang-undang jenayah hudud, adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar. Perlu diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi sudah pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini selama lebih dari lima puluh tahun.
Hakikatnya ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam - yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO,dan ada menteri penjaganya, di samping diwujudkan Institut Kefahaman Islam (IKIM), Fakulti Pengajian Islam di beberapa universiti, di peringkat negeri pula ada Jabatan Agama Islam masing-masing dan ada Exco Agama daripada UMNO juga tetapi segala-galanya ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi ditempat yang sebenarnya dalam urusan negara Malaysia ini dan dinegeri yang dipimpin oleh UMNO. Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas dalam lingkungan sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan dengan keselesaan UMNO yang menjadi penunggunya.
Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa?
Dalam hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan, kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan Islam. Manakala hukum hudud pula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan Islam yang dianut oleh ahli MCA. Parti UMNOlah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa Nelayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana banyaknya urusan Islam di dalam tubuh parti UMNO serta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat dan negeri.
PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku, kerana UMNO adalah Parti Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi. Sifat individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan individu. Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat, banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan sebanyak-banyaknya dan sebagainya. Tetapi ahli UMNOi tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk menegur atau menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.
UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lain, dalamgabungan parti-parti komponen Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah sekadar menjadicabang yang berteduh dibawah semangat Barisan Nasional. Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia boleh bercakap apa sahaja termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu jahil kerana bukan agamanya.
Hudud
Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayah dalam syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan “Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah dinaskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan “Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”.Hanya yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu.
Allah berfirman maksudnya:“Dan tidaklah harus bagi seseorang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab: 36)
Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya secara jelas. Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya. Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.
Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut. Penjenayah lebih digalakkan bertaubat sebelum dibawa ke mahkamah. Hukum Hudud tidak boleh diampun setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi memelihara rukun kehidupan bermasyarakat. Lucunya, terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan menentukan sama ada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan. Bukti-bukti jenayah ini mungkin cukup untuk dibawa kes ke perbicaraan takzir – di mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud. Dalam bahasa mudah difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.
Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan istiqamah dengan Islamnya, seterusnya bertindak sama ada memecat MCA daripada Barisan Nasional atau UMNO dipecat atau keluar daripada Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO beramai-ramai.
PAS dan DAP
PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza, kerana PAS tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al Maidah yang diturunkan di Madinah, terdapat di dalamnya undang-undang jenayah, di antaranya Hudud. Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu. Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan sejarah Islam.
PAS berijtihad memilih demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum hudud, kerana pendekatan demokrasi secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang. Maka proses pelaksanaan undang-undang termasuk Hudud dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, dibentang dan dibuka kepada proses soal jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya. Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi. DAPpula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas oleh kekayaan MCA, MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.
Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri Pakatan Rakyat adalah berpandukankepada hukum Tahaluf Siyasi dalam Feqah Siyasah. Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan rakyat seluruhnya.
PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya dan DAP pula tegas dengan perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil.
Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam. Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional. Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasa Melayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.
----------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Presiden PAS yang juga anggota Parlimen Marang.
Harakah Daily
Jangan salahkan rakyat jika turun lagi ke jalan raya
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta jangan persalahkan rakyat jika mereka turun sekali lagi ke jalan raya jika tuntutan mereka untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil tidak diendahkan.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Mohamad Hatta Ramli (gambar) berkata, langkah itu kadang-kadang terpaksa diadakan ekoran kedegilan kerajaan.
Dr Hatta berkata demikian dalam wawancaranya bersama Harakah menjelang perhimpunan 3 November ini yang akan diadakan di Negeri Sembilan.
Baca sepenuhnya dalam Harakah Jumaat ini.
Harakah Daily
Khalid Menteri Besar terbaik
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - PERDANA Menteri menunggu Datuk Seri Anwar menobatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang terbaik dengan segala hujahnya.
Pertama dia ada integriti dan tidak rasuah dan tidak menjadikan pangkat dalam politik untuk mencari kekayaan. Malah dia bukanlah orang politik sangat, tetapi dia orang yang bekerja.
Jika Anwar katakan Khalid Menteri Besar/Ketua Menteri yang terbaik di seluruh negara sejak merdeka pun boleh bersetuju secara umum sebelum dibuat auditan untuk semua.
Kerana itulah kalau Anwar memberi kuasa kepada saya untuk menyusun kabinet bayangannya saya akan namakan Khalid sebagai calon menteri kewangan seperti yang saya tulis dalam Harakah dua minggu lalu.
Selepas saya namakan dia calon menteri kewangan, Anwar pula kata dia Menteri Besar Selangor yang terbaik. Maka sebagai Menteri Besar yang terbaik, boleh ditimbangkan dia untuk menjadi calon terbaik bagi menjadi menteri kewangan.
Selepas Perdana Menteri Mahathir ada tiga orang menteri kewangan – Tengku Razaleigh, Daim Zainuddin dan Anwar Ibrahim – Barisan Nasional sudah tidak jumpa orang untuk menjadi menteri kewangan lalu semua Perdana Menteri menjadi menteri kewangan. Sejak tahun 1999 hingga PRU13 kita tidak ada menteri kewangan khusus dan penuh masa. Malaysia ada menteri kewangan sambilan saja.
Malaysia kini adalah sebuah negara yang kucar kacir politiknya, ekonomi, kewangan dan pentadbirannya. Maka Perdana Menteri menunggu memerlukan seorang menteri kewangan yang lebih hebat dari Tun Tan Siew Sin.
Siew Sin jadi menteri kewangan pada masa negara baru merdeka yang masalahnya darurat dan ancaman komunis bersenjta saja. Rasuah tak ada, orang melarikan wang negera tiada selain dari penjajah kaut. Kewangan yang British tinggal tiada banyak masalah. Cuma ekonomi saja belum dibangunkan. Siew Sin tidak banyak masalah menyambung tugas yang Inggeris tinggalkan.
Tetapi negara yang Pakatan Rakyat hendak ambil ialah sebuah negara yang penuh dengan beban hutang, mata wang yang tidak kukuh, inflasi, rasuah, penyelewengan dll, maka tugas menteri kewangan adalah berat bagi menghadapi sistem pemerintahan yang porak peranda itu.
Negara memerlukan seorang menteri kewangan berwatak kuat macam Al-Marhum Tun Dr. Ismail yang tidak suka bermuka-muka. Orang yang tidak banyak politiking yang ada pengalaman boleh mengawal pentadbiran, kewangan dan sebagainya.
Tentu Selangor juga merasa perlu wibawa sepertinya bagi menentukan reformasi pentadbiran dapat diteruskan. Apabila Selangor beroleh Menteri Besar terbaik tentulah ia berhadapan masalah mendapatkan ganti sebaiknya.
Seperti zaman Dato Harun Idris menjadi Menteri Besar, mungkin dia tidak sebaik Khalid, tetapi dia terlalu popular. Selangor berdepan dengan masalah untuk mencari penggantinya hinggalah datang Khalid Ibrahim. Selangor bertuah beroleh Khalid. Payahlah mencari ganti sepertinya.
Jika Selangor boleh dapat pengganti, maka dia adalah calon pertama paling sesuai jadi menteri kewangan.
Saya kenal Khalid sebelum saya kenal Ustaz Hadi, Anwar dan Lim Kit Siang. Masa jadi guru sementara sebelum masuk universiti, saya sudah kenal dia. Saya kenal neneknya, ayahnya, emaknya dan semua adik beradiknya. Maka saya tahu dan yakin dengannya.
Ketika dia mula bekerja di PNB sebelum jadi CEO, dia cerita pada saya kerja yang sedang dibuatnya. PNB belum ada apa-apa. Saya tanya bolehkan dia buat? Lepas itu dia jadi CEO. PNB jadi gergasi yang sebelumnya adalah Awang Kenit.
Kerana itu saya terasa kementerian kewangan perlukan orang sepertinya.
Harakah Daily
Pengunjung pantai berdegil
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUANTAN – Bendera merah diletakkan pihak berkuasa sebagai tanda amaran merbahaya di sekitar Pantai Balok, di sini, sedikit pun tidak dihiraukan oleh pengunjung yang degil dan mereka tetap mandi di pantai walaupun risiko berlaku kejadian tidak diingini amat tinggi.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan mendapati beberapa bendera merah dan tanda amaran dipacak tertera perkataan “Bendera Merah, tidak selamat untuk berenang”.
Berdasarkan pemerhatian pengunjung sedar tentang kewujudan bendera merah berkenaan tetapi mengambil mudah amaran yang disampaikan.
Gelagat pengunjung yang bersuka-ria mandi air laut seolah-olah mereka tidak sayangkan nyawa dan keluarga.
Sekitar jam 4 hingga 6 petang, kelihatan ramai pengunjung mandi-manda dengan seronok tanpa memikirkan bahaya.
Sebilangan besar ibu bapa tanpa rasa bimbang membawa dan membenarkan anak-anak mereka mandi.
Seorang pengunjung, Suriani, 31, berkata, dia bersama keluarga hanya datang untuk mengambil angin pantai dan tidak berniat untuk mandi kerana bimbang tentang keselamatan.
Menurutnya, walaupun bendera merah dipasang ramai pengunjung menunjukkan sikap degil dan tetap mandi-manda berseronok di pantai.
“Kami sekeluarga datang untuk bersiar-siar sahaja dan menyedari tentang kewujudan bendera merah yang diletakkan.
“Kelihatan ramai pengunjung yang mandi sedangkan tanda amaran sudah diletakkan dan mungkin mereka menganggap tidak ada apa-apa akan berlaku.
“Mungkin juga mereka fikir mandi di kawasan tepi pantai yang airnya cetek tidak merbahaya sedangkan jika kes-kes tidak diingini banyak berlaku sekarang, bahkan sekarang musim hujan.
“Walaupun cuaca nampak elok tetapi sebarang kemungkinan boleh berlaku dan saya sebagai pengunjung tidak mahu mengambil risiko bahaya itu,” katanya kepada Sinar Harian
Agency
Penyeludup putih mata
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - PASIR MAS - Pemilik sebuah kereta berdepan kerugian kira-kira RM15,000 apabila kenderaan tersebut hangus terbakar dalam kejadian di Lubok Jong, petang kelmarin.
Lokasi kebakaran terletak hanya beberapa meter dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas.
Kenderaan berkenaan dipercayai milik penyeludup minyak berikutan terdapat beberapa tong dalam kereta Waja itu.
Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian kira-kira jam 7.06 minit petang.
Menurutnya, beliau ke tempat kejadian bersama empat anggota bomba untuk memadam kebakaran.
“Ketika sampai di tempat kejadian, kereta tersebut sudah terbakar 100 peratus.
“Api berjaya dipadam sepenuhnya jam 7.40 petang,” katanya.
Azuhan berkata, berdasarkan kedudukan kereta tersebut, dia percaya kenderaan itu dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang.
Menurutnya, pemilik Waja berkenaan dapat dikesan.
Agency
Tiada tindakan baiki kabel
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - TAIPING – Kabel telefon sepanjang 30 meter yang jatuh dan terbiar di atas jalan raya sejak 10 hari lalu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk di Lorong Reban Ayam, Batu 6, Jalan Simpang, di sini.
Pengerusi Masjid Al-Ikhwaniah, Simpang, Yahaya Md Yusof menjelaskan, rasa kurang senang penduduk timbul apabila tiada tindakan daripada pihak bertanggungjawab berkenaan masalah itu sungguhpun aduan telah dibuat.
Menurutnya, keadaan itu seolah-olah menampakkan sikap tidak ambil berat oleh pihak berwajib dan seumpama sengaja membiarkan kabel berkenaan dicuri.
"Saya sendiri telah tiga kali mengadukan perkara berkenaan secara terus kepada syarikat berkenaan. Selepas kabel berkenaan jatuh ke atas jalan, dua hari saya pergi ke pejabat syarikat itu untuk melaporkan kejadian.
"Bagaimanapun tiada tindakan diambil dan saya kemudian sekali lagi menghubungi syarikat itu melalui panggilan telefon. Namun tetap tiada tindakan diambil," jelasnya ketika ditemui, kelmarin.
Yahaya mendakwa, kakitangan syarikat berkenaan seolah-olah enggan memulihkan keadaan berkenaan dan dia risau keadaan kabel itu mungkin mendatangkan bahaya kepada penduduk terutama penunggang motosikal.
"Kabel ini jatuh kerana ditimpa sebatang pokok manggis yang tumbang pada 19 Oktober lalu. Kejadian berkenaan turut dilaporkan oleh seorang jiran yang membuat panggilan ke bahagian kecemasan syarikat tersebut," tambahnya.
Sementara itu, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Roslan memaklumkan, aduan yang dibuatnya telah diterima syarikat berkenaan serta satu nombor siri aduan diberikan.
Menurutnya, sehari selepas aduan, operator serta kakitangan syarikat berkenaan telah menghubunginya untuk bertanyakan status masalah itu, sama ada telah diselesaikan atau belum.
"Pertanyaan itu membuat saya berang. Seolah-olah kakitangan syarikat berkenaan bergantung kepada penduduk untuk memantau keadaan dan tidak boleh turun melihat sendiri masalah yang berlaku.
"Sikap berkenaan menunjukkan mereka tidak ambil berat sedangkan pegawai tinggi syarikat berkenaan menyatakan syarikat itu kerugian berjuta ringgit setahun kerana kecurian kabel," dakwanya.
Dalam pada itu, Roslan menggesa agar syarikat berkenaan mengambil tindakan segera ke atas setiap aduan yang dibuat daripada orang ramai sebagai tanda menghargai kerjasama yang diberikan.
Agency
Gangguan anjing menyalak malam
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - PONTIAN - Kehadiran anjing liar pada waktu malam di Kampung Sinar Harapan, dekat sini nyata membimbangkan penduduk sejak kebelakangan ini.
Meskipun tiada lagi sebarang gangguan berlaku sehingga mencederakan individu setakat ini, namun kehadiran binatang tersebut secara berkumpulan pada waktu malam, menakutkan penduduk untuk keluar dari rumah.
Wakil penduduk, Mohd Fadzil Ghani, 26, berkata, tiada apa yang boleh dilakukan penduduk kampung melainkan hanya duduk di dalam rumah.
“Saya pernah intai melalui tingkap rumah dan melihat anjing-anjing liar itu cukup besar dan menakutkan.
“Walaupun sudah dibaling batu, anjing-anjing liar ini tidak takut, malah terus menyalak membuatkan suasana menjadi bising,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk juga terpaksa menyimpan kasut dan selipar mereka di dalam rumah kerana dikhuatiri diambil oleh anjing –anjing liar apabila menemuinya.
“Begitu juga dengan sampah atau sisa-sisa makanan tidak boleh diletakkan di luar rumah pada waktu malam yang juga akan dijadikan sasaran anjing liar sebagai tempat makanan mereka,” katanya.
Jelasnya, ancaman anjing liar ini selalu berlaku pada waktu tengah malam di antara jam 12 tengah malam sehingga pagi.
Bagi Azman Mohd Nor, 56, gangguan anjing liar ini telah lama berlaku memandangkan kedudukan kampung yang terletak berhampiran dengan ladang ternak ayam dan kebun kelapa sawit.
Namun sejak akhir-akhir ini katanya, bilangannya agak banyak sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.
Dia berkata, gangguan anjing liar ini juga membimbangkan orang ramai yang menggunakan jalan baru daripada Sinar Harapan ke Serkat terutama pada waktu malam apabila terserempak dengan binatang tersebut.
“Berhampiran kampung kami terdapat banyak kebun kelapa sawit serta beberapa ladang ternak ayam yang memungkinkan anjing liar tersebut datang dari arah tersebut,” katanya.
Katanya, penduduk berharap agar pihak-pihak berkenaan dapat mengambil tindakan supaya tiada sebarang kejadian tidak dingini berlaku ke atas mereka.
Agency
Pengusaha nira dianggap gila
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - PERLIS - Dicaci dan dikhianati. Itulah yang terpaksa ditempuhi seorang pengusaha nira apabila usahanya untuk membina taman nipah dianggap sia-sia dan gila oleh sebahagian individu yang tidak bertanggungjawab.
Namun, Khipli Sulaiman, 52, kini mampu tersenyum bangga apabila usahanya menanam 2,000 pokok nipah sejak tahun 2000 membuahkan hasil sehingga taman nipahnya dikenali umum, bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.
Menurutnya, dia pernah dianggap gila oleh segelintir masyarakat kerana menanam pokok nipah di kawasan rizab, namun semangatnya tidak pernah luntur untuk meneruskan usahanya menanam pokok nipah itu di tanah seluas satu hektar.
Jelasnya, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori, namun disebabkan kesihatannya yang tidak mengizinkan dia mengambil keputusan untuk membersihkan sebidang tanah rizab berhadapan rumahnya untuk menanam sayur-sayuran.
“Saya dan isteri, Rafilah Abdul Ghani, 45, bertungkus lumus membersihkan kawasan rizab ini, sebelum kami tanam nipah kami pernah mencuba menanam pelbagai tanaman lain tetapi hasilnya tidak begitu menggalakkan lalu saya nekad menanam nipah kerana terfikir tanaman itu banyak faedahnya.
“Setelah melihat pokok nipah, saya mendapat idea untuk menjadikan kawasan ini sebagai taman nipah di mana pengunjung bukan sahaja dapat menikmati kesegaran nira, malah pada masa sama dapat menikmati keindahan taman nipah,” katanya kepada Sinar Harian di Taman Nipah miliknya dekat sini.
Pelbagai cabaran
Tambahnya, bukan mudah baginya dan isteri untuk mengecapi kejayaan terbabit kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang dilakukan segelintir individu tidak bertanggungjawab dan iri hati terhadap kejayaan yang dicapainya.
Khipli terpaksa menanggung sejumlah kerugian apabila 40 mayang nipah miliknya yang mencapai usia matang dan boleh dituai untuk dijadikan nira dipenggal pihak terbabit.
Katanya, dia mula menyedari kejadian itu kira-kira jam 2.30 pagi semasa sedang mengumpul nira dan mendapati 40 tandan buah nipah berselerak dipercayai dipotong dan menyebabkan pendapatannya terjejas.
“Bukan itu sahaja, bukan itu sahaja, tanaman nipah saya pernah dipotong dan diracun menyebabkan saya terpaksa menanam semula. Pernah juga racun dimasukkan ke dalam plastik nira saya.
“Namun dengan kekuasaan yang Maha Esa, nira bertukar warna kebiru-biruan dan saya mengesyaki mereka cuba menakut-takutkan saya supaya berhenti mengusahakan perniagaan saya,” katanya.
Katanya, disebabkan pelbagai perbuatan khianat itu, Khipli membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya individu terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.
Nikmati hasil
Kini Khipli sekeluarga gembira kerana hasil usaha mereka sejak 12 tahun lalu, taman nipah mereka menjadi tumpuan umum dan destinasi pelancongan di negeri ini.
“Baru-baru ini, taman nipahnya menjadi antara lokasi pilihan penggambaran sempena ‘Islamic Fashion Festival’ di Perlis, malah ada juga kumpulan penuntut dari institusi pengajian tinggi (IPT) memilih taman nipah saya sebagai rujukan dan kajian.
“Alhamdulillah berkat kesabaran saya dan isteri kejayaan milik kami dan kami akan terus berusaha memperkenalkan kelebihan nipah di mata umum.
“Nipah adalah tumbuhan yang mempunyai pelbagai kegunaannya, airnya bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga malah ianya juga boleh dijadikan cuka, manisan dan sebagainya,” katanya.
Agency
Pemuda PAS gesa OIC tegas tangani konflik Syria
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lebih tegas dan proaktif dalam menyelesai kemelut berdarah di Syria yang sudah berlarutan hampir 23 bulan.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, tindakan segera dari OIC mampu menyelamatkan rakyat negara itu khususnya umat Islam daripada dibunuh askar regim Basyar Al Assad.
"OIC tidak boleh hanya mengambil langkah tunggu dan lihat dengan rakyat Syria setiap hari disembelih dan dibunuh dengan kejam meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan di negara tersebut menjelang perayaan Aidil Adha.
"Umat Islam mengharapkan supaya OIC berperanan penting bagi mengembalikan keamanan ummah di negara tersebut bahkan di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Sehingga kini, kemelut Syria telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa yang kebanyakannya orang awam.
Raja Ahmad yang juga Naib Ketua DPPM berkata, pihaknya turut menolak keras campurtangan asing khususnya Amerika Syarikat serta negara lain seperti Iran, Rusia dan China dalam kemelut Syria ini.
"DPPM menegaskan, hanya rakyat Syria berhak menentukan kehidupan dan pemimpin negara mereka tanpa campurtangan kuasa dan negara asing.
"Justeru, kerajaan Syria perlu berusaha mengembalikan keamanan di negara tersebut melalui kaedah perdamaian," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mendesak kerajaan Jordan memberikan jaminan perlindungan keselamatan terhadap rakyat Syria di kem-kem pelarian di sempadan Jordan yang kian bertambah.
Harakah Daily
Teras gesa semak status semua Tanah Rizab Melayu
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa semua kerajaan negeri menyemak semula dan mengeluarkan laporan audit status Tanah Rizab Melayu (TRM) secara terperinci dan yang terkini.
Mengikut data dari sumber JKPTG 2009 yang dikemaskini, jumlah TRM yang digazet di bawah Enakmen Rizab Melayu negeri-negeri ialah 4.08 juta hektar.
Namun data tersebut adalah data dalam rekod JKPTG. Belum ada pecahan data bagi setiap daerah disetiap negeri yang menyatakan secara terperinci mengenai keluasan, tanah kategori apa dan dimana lokasi TRM.
Kami mendapati bahawa isu TRM sangat serius kerana aset orang Melayu dalam soal hartanah sangat meruncing apatah lagi bila banyak kawasan perkampungan Melayu sama ada di bandar mahu di desa sudah diambilalih dan berpindah milik kepada bukan Melayu sepanjang tempoh selepas kemerdekaan dicapai.
Trend TRM semakin terhakis amat ketara apabila pembangunan yang diluluskan dan dilaksanakan oleh kerajaan telah mengakibatkan TRM telah dikeluarkan dari warta dan TRM yang diambilalih itu tidak pula diganti.
Fenomena pengincupan TRM di negeri-negeri tidak didedahkan secara telus. Oleh kerana itu terdapat catatan TRM yang ada di dalam rekod pejabat tanah, namun bila disemak di kawasan yang sebenar tanah tersebut sudah dimilikki oleh bukan Melayu.
Adalah dikhuatiri rekod TRM yang ada di pejabat tanah bukan status sebenar kerana walaupun tanah TRM masih ada mengikut rekod akan tetapi di lokasi sebenar tanah tersebut sudah pun dimiliki oleh orang bukan Melayu.
Demikian pula dalam soal penggantian TRM yang dikeluarkan dari warta. Terdapat banyak kes, ia tidak diganti sebagaimana sepatutnya mengikut Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perlembagaan jelas melupuskan dari warta Enakmen Rizab Melayu perlu diganti dengan saiz dan jenis yang sama.
Demikian pernyataan dalam syarat-syarat pengisytiharan Enakmen Rizab Melayu (ERM) iaitu "Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah. [ Rujuk Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan] "
Akibat kepesatan pembangunan sejak negara mencapai kemerdekaan, kebanyakan TRM menjadi sasaran untuk ditukar syarat dan dipindah milik kepada status tanah bebas sehingga dorongan untuk menjual tanah kepada bukan Melayu menjadi sangat berleluasa.
Setakat ini masyarakat tidak pernah mendapat maklumat secara telus mengenai status TRM di negeri-negeri. Pada hal memantau status TRM sangat penting kerana ia boleh mengambarkan kedudukan hartanah orang Melayu dari sudut saiz, nilai dan lokasi serta kesan sosio-ekonomi dan politik yang bakal berlaku.
Kami memandang serius kedudukan TRM yang terhakis bila kerajaan sendiri cenderung menggalak orang Melayu menjual tanah apabila nilai tanah dianggap sudah mencapai kadar yang tinggi. Kerajaan sendiri yang sering menekankan pembangunan sangat perlu, lantaran itu orang Melayu diminta berkorban untuk memberi laluan kepada pembangunan.
Apatah lagi Akta Pengambilan Tanah 1960 telah memperluaskan kuasa kerajaan untuk mengambil semula tanah atas alasan pembangunan ekonomi.
Logik yang sering diutarakan oleh kerajaan yang bersekongkol dengan pihak swasta ialah bila pembangunan dilaksanakan maka nilai tanah milik Melayu akan naik harga dan dengan itu orang Melayu sepatutnya jangan menghalang sebarang pembangunan.
Padahal begitu banyak kes yang berlaku bila pampasan yang dianugerah kepada tuan tanah Melayu jauh lebih rendah dari kadar yang sepatutnya. Sebaliknya setelah TRM ditukar kepada tanah komersial, tanah itu dijual pula dengan harga yang berlipat kali ganda.
Ditambah lagi bila orang Melayu kehilangan TRM yang tergadai kerana hutang dan akhirnya terpaksa melepaskan tanahnya akibatnya tindakan undang-undang yang diambil ke atasnya.
Kami khuatir kehilangan TRM akan memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang kepada nasib orang Melayu. Realiti orang Melayu akan menghadapi krisis "miskin tanah" akan mengakibatkan keadaan menjadi lebih parah.
Sejak tanah bukan lagi dilihat sebagai tapak warisan dan khazanah pembangunan tamadun, orang Melayu banyak mengambil jalan pintas untuk menjadi kaya dengan dengan menjual tanah walhal wang tunai yang diperolehi tidak boleh bertahan lama untuk disimpan.
Akibat dari itu, TRM turut menjadi komoditi yang dijual dan akhirnya mengakibatkan hartanah milik Melayu semakin berkurangan. Kini oleh kerana akses kepada kawasan TRM lebih mudah, nilainya meningkat dari sebelumnya. Malah bila ia dikeluarkan dari warta TRM, nilai tanah menjadi berlipat kali ganda sehingga pemilik terdorong untuk menjualnya.
Dari segi ekonomi mungkin kerana wang tunai yang akan diperolehi dianggap lebih bermakna, akan tetapi dalam jangka masa panjang orang Melayu akan menghadapi krisis yang serius kerana hartanah semakin berkurangan dan tapak penempatan orang Melayu akan pupus.
Kami berpendirian sudah sampai masanya kedudukan TRM diaudit dengan terperinci untuk memastikan data dalam rekod pejabat tanah di negeri-negeri yang ada, selaras dengan kenyataan sebenar.
Kami menggesa supaya semua kerajaan negeri mendedahkan status TRM terkini supaya krisis yang mungkin tercetus akibat orang Melayu yang kehilangan TRM dapat diatasi segera.
Sebarang pembangunan yang melibatkan TRM hendaklah disemak semula untuk menilai sama ada kesan kepada kehilangan TRM akan merugikan orang Melayu dalam jangka masa panjang.
Penulis ialah Presiden Teras Pengupayaan Melayu.
Harakah Daily
PAS gesa siasat blogger dedah dokumen 'rahsia'
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - IPOH: PAS Perak menggesa pihak polis menyiasat butiran yang didedahkan oleh dua blogger pro-Umno berhubung isu Rumah Perak di Batu Feringgi, Pulau Pinang.
Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Negeri berkata, Blog ‘PerakCyberTrooper.com’ dan ‘Bicara Perjuangan’ telah mendedahkan butiran yang dikatakan perjanjian usaha sama antara Kerajaan Negeri Perak dengan sebuah syarikat untuk menguruskan Rumah Perak selama 30 tahun.
Salman berkata, jika ianya benar butiran perjanjian tersebut adalah sulit serta terikat dan tertakluk atas Akta Rahsia Rasmi (OSA) bermakna ianya tidak boleh didedahkan kepada umum.
Katanya, tindakan mendedahkan dokumen ini ternyata bertentangan dengan akta tersebut dan ianya boleh didakwa.
“Kami hairan bagaimana dokumen rasmi boleh didedahkan secara umum oleh blogger tersebut.
“PAS mempersoalkan bagaimana blogger pro-Umno ini mendapat dokumen tersebut yang diklasifikasikan sulit dibawah kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh baru-baru ini.
Beliau yang juga Setiausaha Pemuda PAS Negeri menjelaskan, butiran dokumen tersebut tidak diketahui kesahihannya.
Justeru, Salman berkata, PAS Perak menggesa Kerajaan Negeri Perak yang diketuai Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengesahkan adakah butiran dokumen yang didedahkan oleh blogger tersebut adalah benar atau palsu.
“Kami menggesa pihak polis menyiasat pendedahan ini dan mendakwa kedua-dua blogger itu jika penjanjian tersebut adalah dibawah Akta Rahsia Rasmi.
“Kami mahukan kesahihan butiran dokumen itu kerana ianya membabitkan soal urus tadbir dan harta negeri,” tegas beliau.
Hadir sama membuat laporan polis ialah Ahli Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Negeri, Safarizal Saleh; Peguam Pemuda PAS Negeri, Mohd Fitri Asmuni; dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Negeri, Muhammad Basyir.
Harakah Daily
Iran kutuk Zionis serang Gaza
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - TEHERAN - Menteri Luar Iran, Ramin Mehman-Parast kesal terhadap serangan udara rejim Zionis ke atas Gaza, semalam, dan menggesa badan antarabangsa serta pertubuhan hak asasi manusia mendesak Israel supaya menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Kami mengutuk keras serangan ke atas penduduk Palestin yang tidak berdosa dan terus menjadi mangsa,” katanya.
Serangan dilancarkan selepas tentera rejim Zionis mengepung penduduk di Gaza sebelum melakukan serangan di Qarara, berhampiran bandar selatan Khan Yunis.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak mengancam melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza.
“Jika kita memerlukan operasi darat, akan ada operasi udara,” katanya dalam satu kenyataan.
Laporan turut menyebut, Israel bertindak sedemikian bagi membalas dendam terhadap serangan roket di selatan Israel, minggu lalu. - AP
Agency
Suspek tembak Malala diburu
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - LONDON - Polis Pakistan giat memburu tiga lagi suspek yang menembak aktivis pendidikan, Malala Yousufzai, 9 Oktober lalu.
Malala, 15, kini berada dalam keadaan stabil dan masih menjalani rawatan hospital Queen Elizabeth, Birmingham, Britain.
Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rehman Malik berkata, suspek utama dikenali sebagai Attaullah Khan, 23, seorang pemegang ijazah sarjana dalam bidang kimia dipercayai masih bersembunyi.
“Minggu lalu pihak berkuasa menahan enam lelaki berkaitan kes ini dan dalam tempoh 24 jam, kesemua suspek dikenal pasti dan operasi memburu giat dilakukan,” katanya. - ANI
Agency
New York lumpuh akibat Taufan Sandy
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - NEW YORK - Semua pengangkutan awam New York, Amerika Syarikat seperti kereta api bawah tanah, bas dan kereta api antara wilayah dihentikan berikutan ketibaan badai Taufan Sandy, yang disifatkan sebagai paling membahayakan.
Pihak berkuasa tempatan arah sistem pengangkutan ditangguhkan kerana dikhuatiri berlakunya banjir dan kerosakan angin akibat taufan yang dijangka melanda pantai timur laut Amerika.
Manakala, pihak berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey, yang mengendalikan lima lapangan terbang di wilayah New York turut melakukan tindakan sama dengan membatalkan semua jadual penerbangan domestik dan antarabangsa mulai semalam.
“Kami jangkakan akan berlaku gangguan teruk dan berterusan sehingga Rabu,” katanya.
Sementara itu, semua pasaran saham AS juga ditutup awal semalam, bagi menghentikan segala urusan pelaburan.
Semua penduduk juga giat melakukan tebing penghalang dengan menggunakan beg pasir yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan serta menerima bantuan makanan dan minuman bagi bekalan kecemasan.
Taufan Sandy yang mengancam selatan AS, memaksa beratus ribu penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Laman web perkhidmatan ramalan menunjukkan angin berkelajuan 120 kilometer sejam bakal melanda beberapa bandar di timur AS hari ini dengan purata ombak setinggi 3.4 meter. - Reuters
Agency
Jualan Hyundai meningkat
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - HYUNDAI Motor Company, syarikat pengeluar automotif Korea Selatan menjual 3,183 juta unit seluruh dunia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, mencatatkan peningkatan 7.9 peratus, tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, jualan domestik Korea menurun 5.6 peratus kepada 481,403, berikutan penurunan keyakinan pengguna dan kekurangan pengeluaran. Hyundai menjual 2,702,113 unit di luar pasaran domestik, meningkat 10.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Hyundai turut menyasarkan untuk menjadikan kesukaran peluang dengan meningkatkan asas syarikat dan mengukuhkan kecekapan dengan mengikuti pertumbuhan kualitatif berdasarkan pengurusan kualiti.
Untuk berbuat demikian, Hyundai akan memberi tumpuan dalam melancarkan model strategik untuk pasaran tempatan dan mengukuhkan rangkaian peniaga subsidiari jualan di Eropah.
Hyundai kini berusaha untuk menstabilkan operasi kilang ketiga di China dan kilang terbaru di Brazil, di mana kedua-duanya memulakan pengeluaran tahun ini, bagi menjamin kedudukan daya saing dalam pasaran baru muncul, sekali gus bertindak balas kepada permintaan global yang berubah-ubah.
Selain itu, Hyundai merancang membangunkan dan menjual model lebih cekap bahan api dan mesra alam.
Agency
AirAsia Jepun perkenal laluan sulung ke Seoul
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - AIRASIA Jepun, penerbangan kos rendah (LCC) terbaru yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita memulakan operasi antarabangsa dengan penerbangan sulung ke Seoul, Korea, kelmarin.
AirAsia Jepun memulakan operasi penerbangan harian dari Narita ke Seoul dan penerbangan sulung berkenaan menyaksikan beban penerbangan 80 peratus, sekali gus menandakan satu permulaan yang baik ke destinasi antarabangsa pertama AirAsia Jepun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kazuyuki Iwakata berkata, AirAsia sangat gembira terhadap kesedaran laluan antarabangsa yang pertama dengan hanya selepas tiga bulan sejak operasi domestik bermula.
Untuk kemaskini lanjut mengenai inovasi terbaru AirAsia, serta promosi, aktiviti dan pertandingan melalui twitter.com/AirAsia) atau facebook.com/AirAsia.
Agency
Kenapa perasmian Hari Koperasi tiada sambutan?
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan diminta menyatakan kenapa dan apakah puncanya majlis perasmian Hari Koperasi Negara yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 14 Julai 2012 tidak mendapat sambutan yang menggalakkan serta kehadiran peserta yang tidak ramai seperti majlis perasmian yang lain.
Datuk Mahfuz Omar [PAS-Pokok Sena] mengemukakan soalan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli-ahli PAS Parlimen yang turut mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan hari ini seperti di bawah.
Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah penambahbaikan dan pindaan dalam polisi atau undang-undang yang telah atau akan dilakukan oleh Kerajaan untuk menyelesaikan masalah kutipan yuran penyenggaraan (maintenance fees) dan "sinking fund" dari pemilik yang dihadapi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC) hartanah hak milik strata.
Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Pelajaran menyatakan bilakah projek pembinaan sekolah di kawasan U10 Shah Alam akan dimulakan dan siapakah kontraktor yang telah dipilih.
Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan bilakah penyelarasan gaji pensyarah pelatih perubatan dan pergigian gred DU45 dan DUG 45 hendak dilakukan supaya selaras dengan rakan-rakan mereka di Kementerian Kesihatan.
Datuk Dr Mohd Hayati Othman [Pendang] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah peruntukan Persekutuan yang disalurkan khusus untuk pembangunan Daerah Pendang sejak 2008 dan berapakah projek yang telah dilaksanakan dan telah disiapkan.
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [Bukit Gantang] minta Menteri Kewangan menyatakan kenapa sehingga sekarang setelah 55 tahun merdeka, Pekan Trong, dalam DUN Trong, Parlimen Bukit Gantang tidak ada sebuah bank pun, kenapa Bank Simpanan Nasional pun tidak berminat untuk menubuhkan cawangan di Pekan Trong ini.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang [Marang] minta Menteri Pelajaran menyatakan apakah status Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari segi kelayakan memasuki Universiti al-Azhar, Mesir, setelah universiti tersebut memperkenalkan Ujian Kemasukannya (Imtihan Qabul) sendiri.
Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta Perdana Menteri menyatakan kos selenggara kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari tahun 2008 hingga 2011.
Harakah Daily
Rokok seludup dirampas
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas rokok seludup bernilai RM31.5 juta tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata, jumlah itu hasil rampasan lebih 400 juta batang pelbagai jenis rokok seludup sejak awal tahun ini dengan nilai cukai RM193.34 juta.
Beliau berkata, rokok itu secara purata dijual pada harga RM10 sekotak di negara ini, namun lebih murah di negara Asean lain iaitu RM1.02 sekotak di Kemboja, Filipina (RM2.30), Indonesia (RM3.67), Vietnam (RM2.75) dan Thailand (RM4.62).
Selain faktor harga tinggi, Matrang berkata, penyeludupan rokok berleluasa di negara ini kerana mudah diseludup melalui pesisir pantai dan dijual di kedai runcit, warung serta pasar mini.
Menurutnya, penurunan aktiviti penyeludupan rokok itu adalah ekoran usaha berterusan membanteras kegiatan tersebut melalui kempen kepada umum agar tidak membeli rokok seludup, penguatkuasaan melalui operasi penyeludupan dan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain. - Bernama
Agency
Polis cari empat lelaki
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes 1,407 unit telefon pintar jenis Samsung Galaxy Note II bernilai kira-kira RM3.2 juta yang hilang di kawasan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Oktober lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti empat lelaki berusia 22 hingga 32 tahun itu.
“Keempat-empat lelaki berkenaan dikenali sebagai U Chalan, J Aravindan, J Pratib dan N Selvakumar. Tiga orang daripada mereka beralamat terakhir di Nilai, Negeri Sembilan, manakala seorang lagi alamat terakhir di Jalan Klang Lama,” katanya.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai salah seorang perancang kepada sindiket berkenaan telah tampil menyerah diri bersama peguamnya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang, semalam.
“Individu berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan kes pecah amanah dan penipuan,” katanya.
Syed Ismail berkata, pihaknya turut menahan 12 orang termasuk tiga wanita dalam 11 serbuan berasingan di kawasan kargo KLIA, Puchong, Nilai, Sepang dan sebuah pusat membeli belah di ibu kota pada 23 hingga 25 Oktober lepas.
“Kami turut menahan enam individu yang membeli telefon pintar berkenaan dengan harga RM1,850 berbanding harga pasaran.
“Kesemua yang ditahan itu berusia 22 hingga 43 tahun. Kami juga berjaya menemui 71 unit telefon pintar berkenaan,” katanya.
Syed Ismail berkata, seramai sembilan orang yang ditahan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini.
Menurutnya, anggota dari Bahagian Risikan dan Operasi Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang masih meneruskan siasatan berhubung kes itu.
Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, anggota sindiket berkenaan menyamar sebagai wakil sebuah syarikat untuk mengambil barangan tersebut yang baru tiba daripada Korea.
Sindiket berkenaan dipercayai turut mendapat bantuan daripada beberapa pekerja syarikat penghantaran kargo.
Agency
Arroyo mengaku tidak bersalah
14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - MANILA - Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo mengaku tidak bersalah di mahkamah atas dakwaan menyalah guna AS$8.8 juta (RM27 juta) dalam dana loteri awam.
Arroyo, 65, yang mengalami sakit leher dibawa polis ke mahkamah dari hospital tentera di bandar berkenaan dengan kerusi roda dan memakai pendakap leher.
Beliau dimasukkan ke hospital beberapa hari sebelum mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya bagi dakwaan rasuah ketiga awal bulan ini dan mengarahkan dia dikurung di bawah kawalan.
Media tempatan melaporkan, ketika pertuduhan dibacakan Arroyo masih mengekalkan kenyataan tidak mengaku bersalah atas segala pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau. - AP
Langgan:
Catatan (Atom)