08 Oktober 2010

Samsuri yang cukup menyenangkan

29 Syawal 1431 H
Oleh: Ahmad Lutfi Othman

Sepatutnya saya bertemu dan bersembang panjang dengannya ketika majlis jamuan menjelang Ramadan lalu di hadapan pejabat editorial Harakah, Jalan Pahang Barat. Sudah agak lama kami tidak berjumpa. Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung akhir April lalu, ada-ada saja rintangan yang menghalang.

Hari itu, saya tidak dapat lama melayani teman-teman yang datang. Pertama, masih uzur dan mudah penat kalau banyak bergerak. Kedua, disebabkan empat wartawan negeri turut hadir, saya memanfaatkannya untuk bermesyuarat ringkas. Tidak mudah untuk bersembang dengan mereka. Segera saya naik ke tingkat dua.

DIAJAK BERCERITA

Ketika kami berbincang santai, tertera panggilan dari Samsuri. Belum sempat menjawab, terputus. Saya mengharapkan Samsuri Roslan akan menunggu di bawah. Tentu ramai lagi kawan-kawan di Harakah yang boleh diajak bercerita.

Mesyuarat selalunya tidak memakan masa lama. Tapi, saya yang masih bercuti, leka berbual. Azan Asar mengejutkan saya bahawa ada rakan akrab yang menanti lama.

"Ana dah balik," jawab Samsuri, tetap dengan nada ceria apabila saya menelefonnya. Pastinya tiada siapa menduga bahawa saya baru saja terlepas peluang terakhir mendengar celoteh dan jenakanya.

Hinggalah pagi Rabu, 6 Syawal, saya mengusiknya lewat SMS: "Tak habis raya lagi ka?" Aidilfitri kali ini saya tahu Samsuri ke kampung isterinya, di Gerik, Perak.

Jawapan yang saya terima cukup mengejutkan: "Abah tidak sihat, kena stroke, sekarang di ICU Hospital Ipoh." Terpukul saya menerima khabar duka itu.

Tanpa membuang masa saya mencari seseorang yang boleh membawa saya segera ke Ipoh. Anak saudara, Rozani Morad, yang juga kenalan Samsuri, menyanggupi.

DESTINASI PALING JAUH

Ipoh hanya memerlukan dua jam untuk sampai, namun sepanjang empat bulan berehat panjang selepas "by-pass", destinasi paling jauh yang saya gagahi adalah rumah mentua di Kota Warisan, Sepang. Itu pun kaki agak bengkak di subuh raya pertama.

"Niat dan usaha yang baik tidak boleh ditangguhkan," kata pendorong isteri saya, memutuskan segala keraguan untuk menziarahi Samsuri. Saya risau keadaan tubuh yang uzur menghalangi.

Namun resah menampar lebih kuat jika saya hanya mendengar berita dari jauh tanpa bersemuka dengannya.

Unit Rawatan Rapi (ICU) kerap menyuntik kesedaran dan keinsafan. Wajah-wajah keluarga yang menunggu di luar wad tidak dapat menyembunyikan kegelisahan dan harapan yang cukup tinggi. Apatah lagi saudara dan teman rapat yang tidak putus-putus berdoa.

Seorang rakan pernah berkata: "Aku rasa masjid atau surau yang paling khusyuk adalah raung solat di hospital. Pergantungan kepada Allah cukup rapat dan dekat." Saya sempat menunaikan solat Asar di masjid baru berdekatan Hospital Ipoh.

MENEROPONG KEKERDILAN DIRI

Menatap Samsuri yang terlantar, masih tidak sedarkan diri di katil, seperti meneropong kekerkedilan diri. ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, terasa syahdu.

Lebih kurang 13 tahun lalu, saya berkejar dari Kuala Lumpur ke Ipoh, juga bersama Rozani yang baru berkahwin, selepas mendengar berita ayahnya, Morad Ismail meninggal dunia semasa memandu kereta untuk masuk ke sebuah masjid. Almarhum Morad ialah ayah Rozani, iaitu abang ipar yang juga sepupu saya.

Selama 135 hari lalu, selama tiga hari saya turut meniti detik-detik getir di ICU, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Isteri Samsuri, Siti Faizah Abu ternyata tabah dan cekal. Empat anak mereka, semuanya perempuan, memberi kekuatan buat Faizah. Dua daripadanya menuntut di utara semenanjung - Arau dan Sungai Petani. Yang tinggal bersama mereka di Taman Seri Puteri, Meru, anak paling kecil, 10 tahun dan seorang lagi pelajar tingkatan dua.

Faizah menjelaskan Samsuri "sihat-sihat aja" menyambut 1 Syawal di rumah keluarganya di Gerik, sehinggalah pada tengah malam raya ketiga. Beliau muntah-muntah sebelum diserang angin ahmar dan dikejarkan terus ke Hospital Gerik. Tanpa menunggu lama Samsuri dipindahkan ke Ipoh.

AYAT-AYAT SUCI

Samsuri tidak bergerak. Langsung tiada apa-apa reaksi apabila saya mengenggam erat tangan kanannya. Saya bisikkan ke telinganya kalimah Tauhid, ayat-syat suci dan kata-kata perangsang. Matanya dilihat berkedip, mungkin sebagai respons awal.

Saya beralih ke sebelah anggota kirinya. Genggaman saya seperti bersambut. Rozani memberitahu, air mata Samsuri menitik. Bacaan doa saya tersekat-sekat. Saya yakin rakan baik saya itu mendengarnya.

Hampir setiap hari selepas itu saya bertanya khabar melalui SMS ke telefon bimbit Samsuri. Meskipun jawapan anak-anaknya ringkas namun ia sarat dengan sejuta pengharapan. Mereka memaklumkan ada petanda kecil perubahan positif pada Samsuri.

Namun, Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakahdaily yang menziarahinya lima hari selepas saya, memaklumkan Samsuri masih koma. Tentunya saya dapat memahami impian tinggi anak-anak Samsuri agar abah mereka segera pulih.

"Saya yakin Samsuri cukup kuat semangatnya, apatah lagi keluarganya bagi hadapi saat-saat genting ini," SMS saya kepada anggota keluarganya.

Saya mula mengenali Samsuri ketika belajar di tahun akhir Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), Kuala Lumpur, 1985-86.

Gelodak perjuangan mahasiswa, terutama ketika saya menerajui Persatuan Mahasiswa (PMUTM) menentang tindakan keras universiti memecat sembilan pelajar wanita berpurdah menemukan kami; saya sebagai aktivis pelajar dan Samsuri wartawan akhbar politik, Watan. (Sebenarnya rakan sejawatnya, "seorang lagi Samsuri", iaitu Samsuri Mamat yang lebih banyak melaporkan "kegiatan nakal" saya).

TABIR DALAMAN

Beliau banyak membantu saya mengasah bakat penulisan dan mendedahkan kisah belakang tabir pergolakan dalaman Umno. Penulis muda seperti saya amat perlukan dorongan.

Sokongan moral paling kuat apabila tulisan kita yang penuh kelemahan tersiar. Samsuri dan beberapa rakan lain di Watan ketika itu, antaranya Daud Ibrahim, menyediakan ruang untuk saya bereksperimen.

Semasa di kampus, selain Watan, saya lebih kerap menyumbang artikel kepada tabloid Mingguan Bumi, yang diasas dan dikelola oleh Almarhum Pak Hussein Yaakob. Pak Hussein, atas nama pena Ibnu Muslim, kemudiannya menjadi kolumnis Harakah yang diminati ramai, termasuk ketika saya menerajui lidah rasmi PAS itu.

Tarikh 27 Oktober 1987 bukan saja merampas kebebasan lebih 100 aktivis masyarakat di bawah Operasi Lalang ISA. Sehari selepas itu, ia mencatat detik hitam buat wartawan Watan (yang diterbitkan dua kali seminggu), dan dua harian berpengaruh, The Star dan Sin Chew Jit Poh digantung penerbitan.

Yang pasti Watan dan The Star yang muncul selepas itu sudah tidak sama lagi, terbatas dengan pelbagai sekatan.

BUKU POLITIK POPULAR

Saya memilih untuk membuka syarikat penerbitan sendiri, dengan menumpang pejabat abang saya, Dinsman di Plaza Pekeliling, Jalan Tun Razak. Majalah tanpa permit, antaranya "Demokrasi Zaman Mahathir" dan "Selepas 3 Tahun Memali", tidak mudah menembusi pasaran. Ramai pengedar dan pekedai tidak bersedia berdepan risiko dirampas KDN. Saya kemudiannya memilih pendekatan buku-buku politik popular.

Secara tidak rasmi, Samsuri adalah pembekal maklumat dan pentafsir gerak politik yang kadang-kadang sukar ditelah. Darinya saya memperolehi scoop dan berani membuat ramalan - elemen yang amat diperlukan dalam penulisan buku politik.

Di antara buku awal ialah Anwar Lawan Ghafar?, yang saya mulakan penulisannya setahun sebelum bekas Menteri Kewangan itu secara rasmi mencabar Ghafar Baba dalam pertandingan Timbalan Presiden Umno.

Samsuri menemani saya mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Anwar di Bukit Damansara. Saya pergi semata-mata untuk menyerahkan naskhah awal buku itu kepada Anwar sendiri (akhirnya disampaikan kepada Khalid Jaafar di majlis berkenaan), yang saya kenali dengan lebih dekat semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan.

Pada awal 1986, surat tahniah saya sebagai Setiausaha Agung PMUTM atas perlantikannya menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, sekali gus berbau "ugutan" kepada Anwar, dijadikan tajuk depan Watan, dan kandungan warkah itu disiarkan sepenuhnya di muka dalam.

Surat itu sebenarnya dihantar ketika saya bersama pimpinan pelajar dari seluruh negara mengadakan pertemuan pertama dengan Anwar.

DIPECAT UTM

Seminggu selepas itu, sekali lagi saya dijadikan berita utama Watan apabila dipecat daripada UTM! Tidak hairanlah jika ramai yang mengandaikan saya dipecat ekoran kritikan terbuka kepada Anwar, walhal realitinya tiada berkaitan pun. Saya sebenarnya keuziran dan tidak dapat memasuki dewan peperiksaan akhir (tahun kelima kursus sarjana muda kejuruteraan awam).

Satu demonstrasi besar selepas solat Jumaat membantah pemecatan saya membabitkan ramai pemimpin pelajar sekitar Lembah Klang. Antara pemimpin pelajar yang hadir ialah Saifuddin Ismail Nasution, ketika itu Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Pertanian Malaysia (PMUPM).

Saya masih ingat, ia diadakan sehari selepas tarikh penamaan calon pilihan raya umum 1986. Kampus UTM hanya beberapa langkah daripada pusat FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan), yang siap bertindak untuk mematahkan apa juga demonstrasi yang dianjurkan.

Teriakan reformasi yang bergema pada awal September 1998 tambah mengeratkan lagi hubungan saya dengan Samsuri. Saya melepaskan jawatan di majalah Tamadun (yang memecah rekod kerana diulang cetak sebanyak tiga kali dalam edisi khas pemecatan Anwar sehingga mencecah 140,000 naskhah) dan bersama Samsuri menerbitkan semula majalah Detik yang dimilikinya. Permit Detik atas nama Samsuri.

FENOMENA DETIK

Samsuri menyerahkan sepenuhnya majalah itu kepada saya, dari segi editorial dan urusan bisnes. Meskipun berdepan kemungkinan tindakan represif KDN, Samsuri langsung tidak membayangkan "syarat-syarat tidak bertulis" kepada saya. Walhal beliau lebih dianggap dekat dengan Umno walaupun semasa bertugas di Watan, Samsuri banyak melaporkan aktiviti pembangkang.

Hampir setiap hari kami berlabun panjang di pejabat saya, Penerbitan Pemuda, Medan Idaman, Gombak. Kalau turun kedai mamak, Hameed atau Restoran Nasi Kandar Deen, tidak cukup dengan tiga gelas teh tarik. Juadah paling digemarinya adalah nasi kandar kambing, ditambah telur ikan. Dalam serius, terselit lucunya. Guraunya cukup menyenangkan.

Apabila berbual bersamanya, saya tanpa segan boleh berkongsi apa saja, baik impian, idea, harapan, cita-cita, angan-angan ... ya, segalanya. Ceritalah, dan dia akan sanggup mendengar walaupun sebahagiannya hanya impian yang mustahil untuk digapai.

Ketika gelisah, dia menenangkan. Ketika bimbang, dia menenteramkan. Ketika bosan, dia menceriakan. Ketika sedih, terutama masa kematian anak kedua saya, Nurul Syafiqah, 11 tahun, Samsuri yang paling awal menyabarkan.

Malah, dia telah menyiapkan satu bab panjang kenang-kenangan bersama Syafiqah, yang saya rancang untuk terbitkan dalam bentuk buku. Malangnya, buku itu berbengkalai dan tulisan Samsuri yang begitu menyentuh itu hilang bersama PC saya yang rosak.

Hampir setiap bulan, apabila saya menziarahi emak mentua di Bandar Baru Klang, kami pasti bersembang lama di kedai mamak berdekatan. Rumah Samsuri hanya 15 minit perjalanan dari situ.

NAFAS PENDEK

Majalah Detik hanya sempat setahun genap bernafas di bawah kelolaan saya. Keputusan pilihan raya umum ke-10, 29 November 1999, yang mengejutkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menamatkan riwayat majalah yang dilihat mendokong kuat gerakan reformasi itu.

Samsuri sudahpun membayar RM500 kepada KDN untuk pembaharuan permit Detik tetapi arahan politik boleh membatalkan apa jua keputusan pegawai kerajaan. Kontroversi Detik, yang dianggap majalah berat sebelah menyokong pembangkang, telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Memang benar kami banyak mengedarkan majalah itu secara percuma semasa tempoh berkempen pilihan raya umum ke-10.

Samsuri nampak tenang saja sedangkan saya gelisah diamuk amarah. Pengharaman Detik menggerakkan penubuhan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan lobi memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP). Bersama rakan-rakan kami menyiapkan "keranda" untuk menguburkan Detik.

Saya "menghasut" Samsuri supaya bangkit menentang namun dia tetap tersenyum: "Anta lawanlah dengan cara anta."

Pagi Ahad lalu, 3 Oktober, SMS saya bertanyakan perkembangan Samsuri lambat dijawab. Sebelah petangnya SMS itu mendapat respons dengan panggilan telefon.

Hairan juga saya. Belum sempat salam dilafaz, suara terputus. Ingat saya, anaknya mungkin tersalah tekan nombor.

Deringan ketiga membawa berita sedih. "Pakcik Lutfi ya? Abah baru meninggal sebentar tadi."

KEHILANGAN AMAT TERASA

Secepat itu saya kehilangan sahabat yang paling istimewa, anak kelahiran Kampung Raja Musa, Kuala Selangor, 48 tahun, anak kepada pasangan Roslan Sulaiman dan Suliah Siam.

Ibunya juga meninggal dunia selepas diserang angin ahmar. Samsuri sempat membawa saya menziarahi ibunya di Jengka, Pahang. Mereka berhijrah ke tanah rancangan Felda pada 1974.

Semasa mengucup dahinya buat kali terakhir selepas solat jenazah, air mata saya tumpah, tidak dapat ditahan lagi. Sebak. Pilu. Tetapi lebih sayu dan menghiris bila terpandang anak bongsunya yang masih menunggu kedua-dua kakaknya yang belum tiba dari utara.

Sahabat sebaik dan sehebat Samsuri sukar dicari ganti. Sungguh, ia ibarat satu dalam seribu. Samsuri cukup menyenangkan dan amat memahami.

PERBUALAN TERAKHIR

Dalam perbualan terakhir kami, saya banyak bercakap tentang kematian. Tapi saat itu saya membayangkan, saya yang selalu sakit akan pergi dahulu. Ajal maut tiada siapa dapat menduga.

Moga segala kesalahannya diampuni Ilahi dan keluarganya tabah menghadapi dugaan sukar ini. Mudah-mudahan amal baiknya diterima Allah. Usia memang terbatas namun kenangan bersahabat akan terpahat selamanya.

Ketika mahu menutup catatan ini, muncul mesej dalam facebook saya, dari Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad: "Saya juga terkenang Samsuri, yang sangat baik masa kerja di Watan dulu ... kenangan hebat dengan arwah, tapi lama betul tak jumpa. Sedih."

Saleeh teman sejawat Samsuri semasa Watan diketuai Mohd Khairune Ali. Ramai nama-nama besar wartawan politik bersama akhbar politik terkemuka itu.

Harakahdaily/-

Kemelut PKR tak akan jejas PAS pertahan Galas

28 Syawal 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

PAS menganggap pendedahan Rahimi Osman - bekas pembantu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - berhubung dua akuan bersumpah yang didakwanya "tidak tepat", tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, perkara berkenaan "tidak ada kena mengena dengan pilihan raya ini" kerana terdapat banyak isu tempatan yang boleh diketengahkan.

"Ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya ini. Banyak isu tempatan (yang boleh diketengahkan). Ia tidak ada masalah," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di ibunegara pagi ini.

Mustaffa menjawab soalan pemberita berhubung satu sidang akhbar - yang dipercayai ada kaitan dengan perbicaraan liwat terhadap Anwar yang sedang berjalan - oleh bekas pembantu ketua umum PKR itu.

Sidang akhbar itu sepatutnya diadakan di restoran Lotus di Klang pada jam 4 petang semalam, tetapi kemudiannya dibatalkan berikutan kemunculan sekumpulan lelaki yang membantahnya.

Rahimi bagaimanapun sempat memberitahu wartawan bahawa dia telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Klang berhubung dua akuan sumpah (SD) yang dibuat pada 2008 adalah tidak tepat dan beliau dipaksa berbuat demikian.

Mengenai pelantikkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya di Galas, Mustaffa berkata pelantikan yang dianggap sebagai 'senjata rahsia' Umno itu mungkin membawa padah.

Katanya, Razaleigh memang tidak dinafikan sebagai pemimpin berpengaruh Umno di Kelantan, namun beliau mempunyai banyak pandangan yang berbeza dengan Putrajaya.

“Beliau umpama pedang dua mata,” kata Mustaffa.

Sejak menganggotai Umno semula pada 1996, Razaleigh dilihat dipinggirkan oleh Umno tetapi dibiarkan 'berkuasa' di parlimen Gua Masang yang mana Galas terletak.

Sejak beberapa tahun itu, Razaleigh seringkali membidas Umno berhubung dasar parti dan kerajaan. Antara yang terbaru ialah keenganan kerajaan persekutuan memberikan royalti minyak kepada Kelantan.

"PAS menganggap Ku Li merupakan pemimpin yang paling berpengaruh (di Gua Musang). Kita hormatinya....Kita tidak boleh pandang mudah. Kita masuk pilihan raya ini, saya yakin Datuk Abdul Halim dan jentera operasi akan memainkan peranan," katanya.

Mustaffa merujuk kepada pengarah pilihan raya PAS pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang turut hadir bersama pada sidang media hari ini.

Abdul Halim pula berkata PAS optimis untuk mempertahankan kerusi DUN berdasarkan analisis dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam pilihan raya itu, menurutnya, jumlah pengundi di DUN Galas yang memilih calon BN sebanyak 3,826, manakala calon PAS mendapat 4,143.

"Dari segi (perangkaan) ini sahaja, Kalau Ku Li (Tengku Razaleigh) menjadi calon, dia (BN) akan kalah. Dari fenomena ini, tidak sukar untuk PAS mempertahankan kerusi itu," katanya.

Ditanya mengenai calon PAS, Mustaffa berkata parti itu dijangka bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan perkara itu selepas menerima senarai pendek calon yang layak daripada PAS Kelantan.

Malaysiakini/-

DAP dakwa penunjuk perasaan bukan ahlinya

28 Syawal 1431 H

Pengerusi DAP Cawangan Taman Pertama di Buntung, Tang Yaw Hooi berkata, sekumpulan kurang 20 lelaki yang berdemonstrasi di hadapan ibu pejabat DAP Perak di Ipoh, semalam bagi mendesak Timbalan Pengerusi DAP Perak, M Kulasegaran keluar daripada parti itu bukan ahlinya.

Menurut Tang, nama mereka itu tidak tersenarai dalam pendaftaran ahli DAP.Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh hari ini bagi meminta polis menyiasat latar belakang kumpulan itu.

Semalam, selain mendesak supaya Kulasegaran keluar daripada DAP dengan alasan pemimpin berketurunan India dalam DAP dipinggirkan, mereka juga mengecam kepimpinan DAP Perak.

Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan, yang mengiringi Tang membuat laporan itu, berkata bantahan itu dilakukan "kumpulan dalaman" yang cuba membuat kacau.

Katanya, Kulasegaran, yang kini berada di Nepal ketika dihubungi, menafikan pembabitan dengan kumpulan berkenaan.

Malaysiakini/-

PKR: Ada 'tangan' di belakang Rahimi

28 Syawal 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

Dua peguam yang didakwa memaksa Rahimi Osman membuat dua akuan bersumpah memberi amaran mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Peguam N Surendran berkata, kenyataan Rahimi itu jelas pembohongan dan fitnah terhadap dua anak guamnya Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli.

"Tanpa ragu, kami rasakan ia merupakah satu fitnah. Kami akan keluarkan surat peguam supaya beliau menarik balik kenyataan itu, membuat permohonan maaf terbuka atau menghadapi tindakan undang-undang," kata Surendran.

Ditanya sama ada beliau akan memberikan seminggu kepada Rahimi menarik balik dakwaannya semalam, Surendran berkata: "Lebih cepat daripada itu."

"Saya rasa dia tak perlu seminggu. Dia tahu dia berbohong. Hanya perlu 24 jam untuk tarik balik," katanya.

Semalam, Rahimi mendakwa akuan bersumpah kedua dipinda kandungannya untuk memalit dan memfitnah Najib dan Rosmah dalam konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat ketua pembangkang itu.

Beliau mendakwa telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah "yang tidak benar" tanpa diberikan salinannya.

Selari dengan kenyataan kepada polis

Menurutnya juga, selain membuat laporan polis dan menceritakan hal sebenar beliau telah membuat satu akuan bersumpah yang baru. Dokumen itu didakwa dikemukakan bersama laporan polisnya.

Sementara itu bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR tengah hari ini, Latheefa dan Saiful Izham secara rasmi menafikan dakwaan Rahimi bahawa lelaki itu dipaksa membuat akuan bersumpahnya yang mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah Mansor.

Menurut mereka, Rahimi (kiri) - rakan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat Anwar - sebaliknya membuat akuan tersebut dengan kerelaan.

Latheefa dan Saiful Izham - kedua-duanya pemimpin kanan PKR - juga mempersoalkan dakwaan Rahimi semalam memandangkan ia dibuat selepas dua tahun setengah.

Menceritakan sebab akuan bersumpah itu dibuat, Latheefa yang juga ketua penerangan PKR memberitahu ia bertujuan menghadapi kemungkinan Rahimi dipanggil sebagai seorang saksi dalam kes perbicaraan liwat Anwar.

Lagi pun, menurut Latheefa, maklumat yang diberikan Rahimi kepada mereka selari dengan dengan kenyataannya kepada pihak polis pada 23 Julai 2008.

"Beliau sahkan bahawa beliau tahu Saiful (Bukhari) telah menemui Najib dan Rosmah," kata Latheefa.

Sivarasa: Bab kedua lagi beberapa hari

"Beliau juga memberitahu polis bahawa dibawa oleh Mumtaz Jaafar, rakan baik Rosmah untuk menemuinya dan Najib.

"Rahimi kongsi maklumat ini dengan kami selepas memberikan keterangan kepada polis.

Manakala Saiful Izham pula yang mendakwa terkejut dengan berita

semalam mendakwa Rahimi membuat kenyataan media itu bagi memberikan kesan negatif terhadap perjalanan posiding melibatkan kes Anwar.

"Saya hairan, sekiranya dia ditahan, mana mungkin dia dengan parti selepas itu, turun berkempan dalam pilihan raya kecil, khususnya di Permatang Pauh," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR R Sivarasa pula berkata, pihaknya mengesyaki ada pihak lain di belakang Rahimi.

"Ada tangan di belakang dia yang merancang episod baru ini? Itu akan kita ceritakan (kemudian).

"Itu akan jadi bab kedua dalam beberapa hari lagi. Kami akan beritahu," kata Sivarasa masih berteka-teki.

Malaysiakini/-

Rahimi karut, manipulasi akuan bersumpah

28 Syawal 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

PETALING JAYA, 7 Okt: Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah menganggap laporan polis terbaru yang dibuat oleh Rahimi Osman adalah karut bagi memanipulasi akuan bersumpah.

Rahimi, bekas pegawai khas Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menuduh dua peguam - Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli memaksanya menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor pernah berjumpa Saiful Bukhari Azlan (saksi utama kes liwat) dalam akuan bersumpah (SD) keduanya pada 28 Jun tahun lalu.

Walhal katanya, Rahimi sendiri pada 23 Jun tahun lalu mempertahankan akuan bersumpah itu ketika memberi keterangan kepada polis.

"Ia suatu manipulasi fakta yang tidak benar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Manakala, Latheefa dan Saiful masing-masing turut menafikan dakwaan Rahimi kononnya memaksa diubah inti akuan bersumpah pertamanya di Quality Hotel sebelum ini.

Rahimi turut mengaku bahawa turut menyaksikan konsultansi Latheefa dan Saiful di Quality Hotel pada 28 Jun lalu memandangkan beliau merupakan kenalan paling akrab kepada Saiful Bukhari Azlan, saksi utama yang mengaku diliwat Anwar.

"Dari pemerhatian saya terhadap Rahimi, kedatangannya adalah untuk memberikan kerjasama kepada pihak kami (peguam).

"Saya boleh sahkan di sini bahawa tidak ada apa-apa paksaan ke atas beliau," tegas Sivarasa.

Disebabkan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Subang tidak menolak kemungkinan bahawa wujudnya satu lagi konspirasi untuk memburuk-burukkan parti serta Anwar, Ketua Umum PKR.

"Kita nampak ada tangan di belakangannya untuk merancangkan episod buruk ini," tegasnya.

Sebelum pada itu, Latheefa memberitahu bahawa Rahimi ketika akuan bersumpah kedua ditulis mengaku bahawa Mumtaz sebenarnya bertanggungjawab membawa Saiful Bukhari berjumpa Najib dan Rosmah.

Saiful Izham pula kemudiannya membangkitkan unsur keraguan yang tidak munasabah di sebalik kenyataan media serta laporan polis yang dibuat Rahimi itu.

"Yang menjadi kehairanan kami, sekiranya beliau ditahan oleh kami secara paksa, mana mungkin beliau bersama-sama dengan parti selepas dari itu untuk membantu kempen-kempen, khususnya di Permatang Pauh," ujar Saiful.

Manakala, peguam N. Surendren yang mewakili Latheefa dan Saiful Izham kemudiannya menuntut supaya Rahimi memohon maaf dalam masa 24 jam serta menarik balik tuduhan berunsur fitnah itu.

Tindakan undang-undang akan dikenakan, termasuk ke atas beberapa media arus perdana sekiranya Rahimi enggan berbuat demikian.

Harakahdaily/-

Manek Urai belum tunai, apa pula janji di Galas

28 Syawal 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Okt: PAS mengingatkan Umno Barisan Nasional agar tidak menabur janji pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas kerana janji mereka di Manek Urai dahulu belum ditunaikan.

Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Umno BN tidak wajar membuat janji baru selagi belum menunaikan janji lama.

"Janji di Manek Urai dahulu belum selesai, apa lagi yang mereka (Umno BN) nak janji di Gua Musang?" soal beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Dun galas dalam satu sidang media di Pejabat PAS Agung, Jalan Raja Laut, hari ini.

Abdul Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa juga berkata, PAS optimis untuk mempertahankan kerusi di Dun berkenaan berdasarkan analisis pada pilihan raya umum lalu.

Menurut beliau, pada pilihan raya itu, jumlah pengundi di Dun Galas yang memilih calon BN sebanyak 3,826 manakala calon PAS mendapat 4,143.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali pula ketika mengulas mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya di Galas berkata, perkara itu ada baik dan buruk kepada Umno BN dan PAS.

Beliau berkata, PAS mengakui Tengku Razaleigh merupakan pemimpin berpengaruh Umno di Kelantan, namun beliau juga mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan kerajaan pusat.

"Itu hak BN untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pengarah (pilihan raya) tetapi saya melihat Ku Li akan mempunyai tanggungjawab besar dalam pilihan raya ini dan menjadi 'pedang dua mata'.

"Memang PAS menganggap Ku Li orang yang berpengaruh atas isu royalti dan sebagainya tapi dari segi perspektif lain dia merupakan pedang dua mata.

"Kalau dia menjadi pengarah dan BN kalah itu satu satu perkara yang boleh digunakan Pakatan tapi kalau dia menang dia boleh menaikkan imej BN," kata beliau.

Ujarnya juga, PAS tidak memandang remeh PRK kali ini dan akan menyusun strategi sebaik mungkuin dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negeri.

"Kita tidak pandang mudah perkara ini sebab itu kita akan masuk PRK ini dan yakin Datuk Halim dengan pengalaman yang lama dan mengetahui politik di Kelantan ini akan bersama dengan pengarah jentera operasi akan dapat memainkan peranan yang terbaik dibantu oleh Pakatan Rakyat dari setiap negeri," katanya.

Menyentuh mengenai hari pembuangan undi yang jatuh pada hari berkerja, Mustafa berkata, ianya akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi namun yakin kedua-dua parti akan mengerahkan pengundi untuk melaksankan tanggungjawab itu.

"Oleh sebab hari mengundi pada hari berkerja, tidak akan berlaku maksimum keluar mengundi tapi kalau semua kerah mungkin peratusan keluar mengundi tinggi.

"Saya nampak kedua-dua parti akan kerah pengundi untuk keluar mengundi," katanya.

Abdul Halim pula berkata, faktor musim haji juga mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

"Yang keluar mengundi tidak akan sampai 80 peratus seperti dinyatakan SPR sebab orang sudah mula pergi Mekah. Walaupun saya belum buat analisis di Gua Musang tapi inilah realitinya samaada PAS atau Umno," katanya.

Sementara itu, Mustaffa memberitahu, pengarah pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun dilantik sebagai pengarah jentera operasi.

Mengenai calon yang akan bertanding, Mustafa berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu hadapan selepas menerima senarai pendek calon yang layak daripada PAS Kelantan.

Harakahdaily/-

PKR Yakin Dapat Tawan Johor

28 Syawal 1431 H
Oleh: ZABIDIE

SENAI - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kulaijaya, Zabidie Abas yakin parti itu dapat menawan Johor dengan perancangan dan strategi yang diatur secara berkesan.

Beliau berkata, PKR negeri ini akan memperkukuhkan dan memperkuatkan parti selain membuat perancangan bagi menarik golongan belia muda negeri ini sertai parti berkenaan.

“Kita dalam cubaan menarik warga Felda, Orang Asli dan juga bagi undi pos untuk memihak kepada kita dan ini adalah langkah permulaan PKR menawan Johor.

“Kita memerlukan masa untuk menawan belia muda sertai kami, namun saya pasti satu hari nanti kita akan berjaya mendapat sokongan yang ramai,” katanya kepada Sinar Harian selepas kunjungannya ke pejabat Sinar Harian di sini, kelmarin.

Menurutnya, hubungan parti itu sesama sendiri adalah baik dan ia perlu dikekalkan bagi memastikan nama baik parti tidak tercemar.

“Setakat ini seperti mana mesyuarat cabang yang baru selesai baru-baru ini, ia berjalan dengan baik dan apa yang kita harapkan ia akan terus berkekalan.

“Banyak juga yang telah kita cuba lakukan namun untuk menarik jumlah belia yang ramai ke dalam parti ini perlu mengambil masa dan kita akan terus berjuang bagi memastikan impian tercapai,” katanya.

Zabidie berkata, tidak mustahil untuk PKR menawan negeri ini satu hari nanti jika setiap pemimpin cabang memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuhkan parti selain melakukan pelbagai aktiviti dan memberi semangat belia untuk sertai parti berkenaan.

Batas Waktu Menyimpan Makanan di Peti Ais

28 Syawal 1431 H
Oleh: KALIMAJARO I


Mengawetkan berbagai jenis bahan makanan didalam peti ais, paling tidak kita harus mengetahui daya tahan tiap-tiap jenis makanan yang kita gemari. Berikut daftar daya tahan masing-masing jenis makanan:

Bahan

Pendinginan
Pembekuan

Golongan ikan
1-2 hari
90-180 hari

Tulang rusuk
2-3 hari
270 hari

Daging lembu
1-2 hari
90 hari

Daging ayam
2-3 hari
360 hari

Sosis
9 hari
60 hari

Telur segar
30-60 hari

Telur rebus
6-7 hari

Makanan bertin(belum dibuka)
360 hari

Susu
5-6 hari

Yogurt
10 hari

Kopi kotak(sudah dibuka)
14 hari

Pocai ( semacam sayur mirip bayam )
3-5 hari

Lobak, seledri
7-14 hari

Bit / umbi bit
7-12 hari

Buah limau dan oren
7 hari

Buah pir
1-2 hari

Labu
1-2 hari.

Tarikh sukarkan pengundi luar

28 Syawal 1431 H
Oleh: YB. Drs. Khalil Idham Lim

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Tarikh pengundian yang jatuh pada hari bekerja bakal menyukarkan para pengundi luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka, kata Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.

Justeru katanya, beliau amat berharap agar majikan para pengundi di Galas dapat berkompromi bagi memberi pelepasan untuk mereka menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di kawasan itu.

“Tentunya akan timbul masalah bukan saja untuk pengundi yang berada di luar Kelantan malah pengundi yang berada luar dari Gua Musang untuk ke kawasan itu bagi membuang undi.

“Saya mengharapkan kerjasama majikan memberi cuti kepada pengundi di Galas. Dari aspek petugas parti, kita tidak mempunyai masalah kerana mereka sentiasa bersedia bekerja bagi menjamin kemenangan parti,” katanya.

Beliau diminta mengulas pengumuman dibuat Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 26 Oktober (Selasa) depan manakala hari pengundian pada 4 November (Khamis).

Ditanya mengenai calon yang bakal menjadi taruhan parti itu di Galas, Nasharuddin berkata Pas Pusat dijangka menerima nama calon yang akan dicadangkan Pas Kelantan dalam masa terdekat.

“Dalam mesyuarat pusat 3 Oktober lalu kita sudah tetapkan untuk mengumumkan nama calon tidak lama selepas tarikh pilihan raya ditetapkan.

“Mungkin nama itu akan sampai ke Pas Pusat dalam tempoh satu atau dua hari lagi. Apa pun, jentera Pas sudah mula bergerak dan kami yakin untuk mengekalkan kerusi itu,” ujarnya.

Selepas 2 tahun : "Saya dipaksa sumpah"

28 Syawal 1431 H
Oleh: YB. Drs. Khalil Idham Lim

KLANG: Bekas Pembantu Khas Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhamad Rahimi Osman, semalam selepas 2 tahun membuat kejutan dengan membuat laporan polis mendakwa beliau dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008 berhubung kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dalam laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada jam 3 petang itu, Muhamad Rahimi, 25, mendakwa satu daripada akuan bersumpah itu dipinda dengan dimasukkan fitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam konspirasi mengaitkan Anwar dengan kes liwat berkenaan.

Sebelum ini tersebar dan beberapa facebook dan twitter pimpinan UMNO bahawa Rahimi akan membuat pengakuan dia juga diliewat oleh Anwar , namun dia muncul dengan pengakuan barunya itu.

Beliau yang berkhidmat dengan Anwar ketika itu juga meminta perlindungan sebagai saksi kerana mendakwa ada kemungkinan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat yang dihadapi Anwar ketika ini.

Muhamad Rahimi yang ditemani peguamnya, S Ravichandran ketika membuat laporan, menyatakan beliau memerlukan perlindungan polis kerana berpendapat keselamatan diri dan keluarganya terancam selain kemungkinan diganggu.

Berdasarkan salinan laporan polis yang diperoleh media, Muhamad Rahimi mendakwa pada Jun 2008, beliau dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah membabitkan Anwar dan seorang individu yang dinamakannya Saiful Bukhari.

Katanya, akuan bersumpah yang ditandatangani itu tidak benar dan bukan dikarang olehnya, selain terpaksa menurunkan tandatangan berikutan risaukan keselamatan diri kerana ketika itu ada ratusan penyokong dan orang kanan Anwar di Quality Hotel Shah Alam, tempat beliau menandatangani akuan bersumpah itu.

Muhamad Rahimi mendakwa, selepas Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis mendakwa diliwat oleh Anwar pada Jun 2008, orang Anwar dan peguamnya, Latheefa Koya serta Sailful Izham Ramli, memaksanya dan seorang rakan lain tinggal di hotel berkenaan, selama beberapa hari.

Antara kandungan laporan polis yang ditulisnya sendiri, Muhammad Rahimi menyatakan: “Saya ditahan di situ bersama seorang lagi rakan. Mereka kemudian telah meminta saya menurunkan tanda tangan kepada akuan bersumpah yang saya tidak langsung bersetuju dengan kandungannya.

Akuan bersumpah pertama ditandatangani pada malam 28 Jun 2008, dan akuan sumpah kedua yang telah dipinda kandungannya untuk memalitkan nama dan memfitnah Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor bahawa mereka terbabit merancang konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat ini.

“Akuan bersumpah kedua ini ditandatangani selepas beberapa hari saya ditahan di Quality Hotel Shah Alam di hadapan satu pesuruhjaya sumpah yang saya tidak kenali di Old Town Petaling Jaya. Kandungan kedua-dua akuan bersumpah itu adalah tidak benar sama sekali dan saya dipaksa untuk menandatanganinya.

“Saya juga tidak diberikan sebarang salinan kepada kedua-dua akuan bersumpah tersebut. Disebabkan akuan bersumpah itu tidak benar, saya sekarang ingin menceritakan perkara yang sebenarnya, maka saya telah membuat satu akuan bersumpah yang baru hari ini yang mengandungi cerita benar. Saya kemukakan akuan bersumpah tersebut dengan laporan saya.”

Muhamad Rahimi juga mendakwa, beberapa bulan lalu, beliau dihubungi Latheefa untuk menandatangani satu lagi akuan bersumpah yang baru berikutan akuan bersumpah yang ditandatanganinya sebelum ini hilang, tetapi beliau tidak melayani permintaan itu dan cuba sedaya upaya menjauhkan diri daripadanya.

Wo Xin Chang Dan

28 Syawal 1431 H

Tidur di Atas Kayu Api dan Mencecap Hempedu

Asal Usul:

Pada zaman Chunqiu atau Musim Bunga dan Gugur (tahun 770-476 Sebelum Masihi), negeri Wu telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap negeri Yue. Dalam serangan itu, raja negeri Wu tercedera parah, dan mangkat tidak berapa lama kemudian.

Putera raja tersebut, Fu Chai, ketika naik takhta, pun bersumpah akan membela kemangkatan ayahandanya. Sejak itulah, Fu Chai mula menjalankan latihan yang rapi bagi tenteranya, sehingga mereka menjadi sebuah pasukan penempur yang cukup hebat. Tiga tahun selepas itu,

baginda mengetuai tenteranya, melancarkan serangan ke atas negeri Yue sekali lagi, dan berjaya menangkap raja negera tersebut, Gou Jian.

Setelah pulang ke negeri Wu, Fu Chai meminta Gou Jian supaya tinggal di sebuah pondok usang yang berdekatan dengan makam ayahandanya untuk menjaga kuda. Gou Jian berpura-pura taat dan tunduk pada segala perintah Fu Chai. Namun, hatinya benar-benar penuh dengan perasaan untuk membalas dendam.

Beberapa tahun kemudian, Gou Jian telah dibebaskan. Setelah pulang ke negeri Yue, baginda segera mula menubuhkan sebuah pasukan penempur secara sulit. Untuk mengingatkan dirinya supaya jangan lupa akan penghinaan dan penderitaan yang dialaminya selama ini,

baginda pula memilih untuk tidur di atas timbunan kayu api. Setiap pagi setelah bangun dari tidur, dan setiap malam sebelum tidur, baginda akan mencecap hempedu yang pahit, sambil bertanya kepada dirinya,

"Apakah beta sudah lupa akan penghinaan dan penderitaan yang pernah beta alami?"

Lalu, baginda akan menjawab dengan suara yang lantang,

"Tidak, beta tidak pernah lupa!"

Di samping menyusun strategi berperang yang kemas, Gou Jian juga menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap urusan negeri. Dengan terlaksananya beberapa langkah untuk memajukan sektor pertanian, serta meningkatkan taraf pendidikan rakyat,

hanya dalam masa beberapa tahun sahaja, negeri Yue telah berkembang hingga menjadi sebuah negeri yang cukup kuat. Dengan persiapan yang demikian, Gou Jian akhirnya berjaya menumbangkan negeri Wu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Wo Xin Chang Dan" atau "Tidur di Atas Kayu Api dan Mencecap Hempedu" ini, membawa erti, menggembleng tenaga dan keupayaan diri, bertekad dan bersabar untuk mencapai suatu tujuan atau cita-cita, terutamanya untuk membalas penghinaan dan penderitaan yang telah dialami.

CRI/-

Sidang meja bulat `wanita pertama’ 10 Okt

28 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Solidariti Wanita Muda Malaysia (SWiMM) akan menganjurkan sidang meja bulat khas membincangkan isu perlabelan "wanita pertama" terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor.

Sidang bertajuk "Kewajaran Rosmah Mansor Sebagai Wanita Pertama Malaysia" itu akan diadakan pada 10 Oktober dengan menampilkan pakar perlembagaan Prof. Dr Aziz Bari yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai panelis.

Tiga lagi panelis bersama adalah wakil Ahli Parlimen wanita Pakatan Rakyat dan dua wakil dari NGO wanita negara.

SWiMM dianggotai beberapa pertubuhan wanita, manakala anjuran sidang meja bulat tersebut adalah dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat.

Menurut Ketua Koordinator program tersebut Aiman Atirah A-Jundi, penganjuran program tersebut bagi membincangkan kewajaran serta kesan penggunaan label "wanita pertama" isteri perdana menteri dari sudut perlembagaan, belanjawan dan adab susila rakyat negara ini.

"Kita bangkitkan isu ini bukan sebab Rosmah Mansor, tetapi kerana ianya satu pelanggaran kepada perlembagaan kita yang dah ada. Kita mengamalkan konsep raja perlembagaan bukan republik.

"Artilkel 32 (2) menyatakan bahawa pemimpin utama negara adalah Yang Di Pertuan Agung. Tidak ada ungkapan wanita pertama dalam perlembagaan, yang ada hanya Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, tempat program akan diumumkan kemudian dan akan diadakan di sekitar Lembah Klang.

Selain implikasi kepada sejarah negara, perbincangan meja bulat itu juga jelasnya akan menumpukan kesan terhadap bajet negara menanggung kos dan perbelanjaan program "wanita pertama".

"PM ke luar negara pun akan disentuh dalam bajet, dan tentunya sebarang program "wanita pertama" akan melibatkan peruntukan besar sedangkan ianya tidak termaktub dalam peruntukan bajet negara.

"Dan terbaru dia pergi ke Belgium atas sifat dia sebagai wanita pertama, adakah wang yang dibelanjakan itu dikira sebagai kos melepas belanjawan negara di mana rakyat lebih memerlukan?" soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa SWiMM akan mengadakan sidang media membuat bantahan rasmi ke atas perlabelan Rosmah sebagai wanita pertama.

Mereka berpendapat, tindakan Rosmah termasuk pihak yang mempromosikannya sebagai "wanita pertama" adalah derhaka dan secara tidak langsung membelakangi konsep raja perlembagaan dan Permaisuri Agung.

"Apa yang Rosmah Mansor buat ini adalah bukan konsensus dari rakyat dan tidak pun dibincangkan dan ini melanggari tata susila adab bangsa kita.

"Ini satu pelanggaran dan penghinaan yang didiamkan, dan atas rasa hormat kita kepada yang Permaisuri Agong, kita bangkit mempertahankan baginda.

Sebelum ini banyak pihak membantah penganjuran sidang kemuncak First Ladies oleh Rosmah yang dijadual berlangsung 11 hingga 13 Oktober ini yang disifatkan sebagai 'tidak sopan' dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Teguran sama sebelum ini juga pernah dibuat selepas iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah di akhbar New York Times pada April lalu.

Ianya sebagai ucapan tahniah kepada isteri perdana menteri itu dengan tajuk 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

Harakahdaily/-

Galas: Sokongan bukan Islam makin meningkat

28 Syawal 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 6 Okt: PAS yakin sokongan masyarakat bukan Islam khususnya Cina di Dun Galas terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat hasil perubahan 20 tahun dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata hasil dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan, masalah Islamofobia tidak wujud lagi di negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Markas 8 Briged Pengkalan Chepa, tengah hari tadi sebagai mengulas tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil Dun Galas yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Kehadirannya bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, disambut oleh Penglima 8Briged, Brigedier Jeneral, Abdul Rahim Abdul Mutalib.

Katanya lagi, tiada halangan untuk PAS menghadapinya memandangkan sokongan pelbagai pihak termasuk golongan itu semakin kuat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Tambahnya, PAS telah mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS untuk golongan bukan muslim atas permintaan mereka sendiri yang menunjukkan sokongan semakin meningkat.

Katanya, fahaman daripada teori Islamofobia oleh kalangan masyarakat itu kepada ke arah yang lebih baik.

“Perkembangan ini satu kemenangan kepada perjuangan Islam, bahkan tidak ada fahaman Islam fobia di Kelantan ini.

“Untuk itu, PAS bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas yang akan berlangsung 4 November ini,” ujarnya.

Beliau juga turut mendedahkan calon yang bakal bertanding juga telah dikenal pasti.

Mengulas kemungkinan Tengku Razaleigh Hamzah bakal bertanding, beliau berkata, PAS tidak menentang Umno atas sifat peribadi.

“Kita lawan Umno ni bukan kita lawan batang tubuh, tetapi lawan fikrah dia, lawan teori dia, politik lain, agama lain, ni salah, bahaya,” ujarnya.

Beliau menegaskan, PAS tidak akan beri kemenangan percuma kepada Ku Li sekiranya menjadi calon walaupun beliau menyokong tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan.

Menurutnya, tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza.

Tegasnya, PAS menentang perjuangan atau fikrah yang salah dan bukannya batang tubuh individu.

“Jangankan Umno yang diperjuangkan oleh orang Melayu, andai kata Umno ni diperjuangkan oleh orang Arab sekalipun PAS tetap akan menentangnya,” ujarnya lagi.

Katanya, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, sebelum ini tidak pernah mencalonkan dirinya untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negeri ini.

“Sepatutnya sewaktu menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang lebih layak jadi calon, tetapi dia (Umno) tak buat. Mungkin juga Ku Li tak mahu, kalau dia mahupun siapa boleh sekat sebab dia pengerusi,” ujarnya.

Kerana itu, tambahnya bukan taraf beliau (Ku Li) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, PAS menghormati keputusan Ku Li untuk bertanding dan akan berlawan sebagaimana biasa.

Harakahdaily/-

SPR didakwa bantu BN minimumkan pengundi

28 Syawal 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 6 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuba membantu BN meminimumkan penyertaan pengundi luar dalam Pilihan Raya Kecil Dun Galas.

Dakwaan itu katanya, munasabah memandangkan SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan membuang undi adalah pada hari bekerja iaitu penamaan calon pada Selasa, 26 Oktober manakala mengundi pada Khamis, 4 November depan.

"Pihak Barisan Nasional ingin menentukan bahawa orang-orang Kelantan di perantauan tidak dapat balik," ujarnya petang tadi di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam, di sini.

Menurut beliau, sepatutnya SPR menentukan hari pembuangan undi pada hari cuti, iaitu Sabtu.

"Sekiranya SPR ini suatu badan yang bebas, yang inginkan prinsip-prinsip demokrasi itu diamalkan serta dihayati, paling kurang hari mengundi diadakan pada hari Sabtu," ujarnya.

Ditanya tentang rancangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah jentera BN dan calon, beliau berkata rancangan itu menyerlahkan bahawa Umno tidak mempunyai kekuatan jentera untuk merampas kerusi Dun tersebut.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa pemimpin Umno dan BN sedang menghadapi fobia sekiranya rakyat Kelantan mempersoal janji politik dalam pilihan raya kecil Dun Manek Urai sebelum ini.

Beliau berkata, sekiranya Umno gah seperti yang diwar-warkan oleh Muhyiddin, sudah tentu jentera BN tidak bergantung sepenuhnya pada kekuatan peribadi Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang semata-mata.

"Mereka cakap sahaja besar, kalau benar-benar kuat mereka tidak bergantung pada Tengku yang mereka sendiri pernah ketepikan waktu veteran itu bercadang bertanding presiden (Umno)," ujarnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan Datuk Wira Abu Seman Yusop lebih layak menjadi Menteri Dalam Negeri ekoran keberanian timbalan menteri tersebut bersemuka dengan keluarga arwah Aminulrasyid Amzah semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, katanya seakan tidak berani untuk mengambil tanggungjawab apabila polis menuduh arwah sebagai suspek penjenayah.

"Surat jawapan semalam bukan dari Hishammuddin walaupun surat saya sebelum ini menuntut menteri ini bersemuka dengan keluarga mangsa.

Kalau dia (Hishammuddin) tak berani untuk bertemu rakyat sendiri, saya ingat Datuk Wira lebih layaklah sebab dia berani," ujarnya.

Harakahdaily/-

Galas: SPR pilih tarikh ikut kehendak Umno?

28 Syawal 1431 H
Oleh: M Faqih & Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 6 Okt: Ada ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu peratusan keluar mengundi lebih ramai, namun dalam masa yang sama hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas diadakan pada hari bekerja.

Ia seumpama kata orang cakap tidak serupa bikin. Malah ada pihak menggambarkan SPR mempunyai tuan yang lebih berkuasa iaitu pemimpin Umno.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamad Fadzli Hassan (kiri) berkata, SPR sepatutnya mengambil kira banyak situasi dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas termasuk persidangan Dun Kelantan.

“Ketika itu persidangan Dun Kelantan sedang berlangsung dan perasmiannya akan disempurnakan Al-Sultan Kelantan pada 1 November.

“Persidangan Dun diadakan bermula 1 hingga 8 November. Saya hairan mengapa SPR tidak mengambil kira perkara tersebut. Tentunya program besar seperti itu ada dalam pengetahuan mereka,” katanya di sini.

Hari ini SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas, Gua Musang diadakan pada hari Khamis, 4 November depan, manakala penamaan calon pada hari Selasa, 26 Oktober ini.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar di Putrajaya.

Pada pilihan raya tersebut SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010.

Jumlah pengundi seramai 11,553 orang, di mana 27 daripadanya merupakan pengundi pos.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, SPR sepatutnya mempamerkan sikap tidak berpihak dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil.

Bagaimanapun katanya, PAS tetap akan meneruskan cabaran bagi mempertahankan Dun tersebut dengan menggerakkan seluruh jentera PAS dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

”Kita tahu Umno akan menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan Malaysia bagi berdepan dengan PAS pada pilihan raya tersebut,” katanya.

Satu sumber pula memberitahu mesyuarat penyelarasan jabatan-jabatan kerajaan pusat bagi membantu kempen calon BN telah diadakan termasuk membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna.

Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamed berkata, tindakan SPR menetapkan hari pengundian pada hari bekerja tentunya akan menyukarkan orang ramai keluar mengundi.

”Saya pun hairan sebelum ini SPR berkempen supaya pengundi keluar mengundi, namun dalam masa yang sama ditetapkan hari mengundi di Galas pada hari Khamis,” ujarnya.

Menurutnya keadaan itu tentunya sedikit sebanyak menyukarkan pengundi keluar mengundi lebih-lebih lagi Dun Galas meliputi kawasan yang luas.

Naib Yang Dipertua PAS Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi (kanan) berkata, SPR tidak sensitif terhadap persidangan Dun Kelantan yang juga berlangsung pada hari tersebut.

Katanya, tarikh persidangan Dun sudah lama ditetapkan dan SPR mustahil tidak mengetahui perkara itu kalau merujuk terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

Namun kata beliau apa yang jelas SPR lebih mengambil kira perkembangan yang berlaku dalam Umno dalam menentukan segala tindakan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, tarikh penamaan calon dan hari mengundi di Galas bertindan dengan tarikh sambutan ulangtahun ke-20 kerajaan PAS Kelantan.

”Program itu merupakan satu program besar di peringkat negeri. Selain itu ia bertembung dengan tarikh persidangan Dun yang bermula 1 November ini,” katanya di Kota Darulnaim.

Menurutnya SPR hanya mengambil kira persidangan Agung Umno, sedangkan ia adalah urusan parti.

”Nampak sangatlah SPR tidak peka terhadap program kerajaan di Kelantan. Sepatutnya mereka lebih peka hal sebegini,” kata beliau.

Harakahdaily/-

Bayi mati diserang monyet liar

28 Syawal 1431 H

Seorang bayi perempuan berusia empat hari mati diserang seekor monyet liar di rumahnya berhampiran Happy Garden, Rasah di Seremban, petang ini.

Bayi yang belum diberi nama itu cedera parah di kepala, telinga, leher dan muka akibat dicakar dan digigit haiwan itu pada 1.15 petang tadi.

Datuk bayi itu, A Valayutham, 75, berkata cucunya diserang ketika bayi itu berada di ruang tamu rumahnya.

Katanya sewaktu kejadian beliau berada di dapur manakala menantunya B Revathy, 28, iaitu ibu bayi itu berada dalam bilik air.

"Pada mulanya saya berada di ruang tamu bersama cucu saya itu. Saya kemudian ke dapur untuk minum, namun apabila menantu saya keluar dari bilik air dia dapati bayinya tiada dan terdapat kesan darah.

"Menantu saya cemas dan meluru keluar rumah dan mendapati cucu saya berada di luar rumah dengan kesan darah di kepala dan badan. Jiran saya kemudian kejarkan cucu saya ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban namun didapati cucu saya telah meninggal dunia," kata Valayutham.

Beliau berkata monyet liar itu dipercayai memasuki rumahnya melalui pintu depan sebelum ke ruang tamu dan menyerang cucunya.

Pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Khairuddin Mohamad berkata sebaik anggota bomba sampai di tempat kejadian, mereka dapati dua ekor monyet berada di atas pokok di kawasan belukar di situ.

"Kita kemudian menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara negeri untuk menghantar petugas ke kawasan kejadian untuk tindakan lanjut," katanya.

Anggota Perhilitan kemudian menembak mati seekor daripada monyet itu.

Malaysiakini/-

Sewa rumah di Gua Musang naik RM10,000

28 Syawal 1431 H

Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini telah menyebabkan kadar sewa rumah di sekitar bandar Gua Musang kini melambung manakala gerai makanan mulai tumbuh dengan banyaknya.

Tinjauan Bernama mendapatI sewa rumah meningkat berpuluh kali ganda sejak awal bulan ini kerana penduduk mahu mengambil keuntungan besar seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Manek Urai tahun lalu.

Seorang penduduk, Ismail Dollah, 43, berkata harga rumah sewa yang kebiasaannya RM200sebulan kini meningkat kepada RM10,000 dan ada rumah banglo disewakan pada harga RM15,000 untuk tempoh pilihan raya kecil itu.

"Harga rumah naik setiap jam kerana kadarnya berubah mengikut siapa yang sanggup membayar harga yang mahal," katanya kepada Bernama di Gua Musang hari ini.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan bahawa penamaan calon ialah pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Tinjauan juga mendapati kadar sewa hotel turut meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.
Jika sebelum ini kadarnya RM150 sehari kini kadarnya ialah RM200 sehari.

Seorang peniaga, Norizan Ibrahim, 45, berkata pilihan raya kecil itu adalah peluang terbaik bagi penduduk mencari rezeki kerana terdapat ramai pengunjung luar.

Katanya walaupun sebelum ini terdapat banyak kedai makan di sekitar Gua Musang tetapi kemungkinan ia tidak mencukupi semasa kempen nanti disebabkan oleh kedatangan ramai pengunjung luar.

"Ini adalah peluang rezeki kepada kami," katanya.

Malaysiakini/-

MB Kedah serah SPRM siasat penyelewengan air

28 Syawal 1431 H

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat apa yang didakwanya sebagai penyelewengan berhubung isu air semasa Barisan Nasional memerintah negeri itu.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti banyak penyelewengan yang berlaku semasa pemerintahan BN membabitkan isu air dan setiap dakwaan adalah berasaskan fakta serta rekod.

"Kita tengok banyak penyelewengan dari segi harga contohnya pembinaan loji air di Lubuk Buntar (dekat Kulim) untuk 25 juta liter air, kos sebenar pembinaannya ialah antara RM25 juta hingga RM30 juta, tapi wang yang dibelanjakan ialah RM65 juta.

"Maklumat ini kita dapat secara tak rasmi, kalau nak yang rasmi SPRM kena cari," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad semalam bahawa pemimpin BN tidak takut dengan ugutan Azizan untuk mendedahkan mengenai penyelewengan berhubung isu air itu.

Azizan berkata bukan tugasnya untuk membuat laporan kepada SPRM sebaliknya sesiapa sahaja boleh berbuat demikian kerana beliau telah membuat pendedahan mengenai penyelewengan itu.

"Kerja lain banyak lagi nak buat. SPRM kan rajin, tengok (berdasarkan) kenyataan dalam blog pun mereka dah siasat," katanya.

Malaysiakini/-

PAS tetap tanding walaupun Ku Li calon Galas

28 Syawal 1431 H

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November depan.

Mursyidul Am PAS itu berkata jika Tengku Razaleigh ingin menjadi ADUN, pasti beliau telah bertanding ketika ahli parlimen Gua Musang itu menjadi pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz berkata PAS tidak akan memberi kemenangan percuma jika Tengku Razaleigh menjadi calon di Galas biarpun beliau pernah memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berhubung isu tuntutan royalti minyak.

"Tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Lapan Briged di Kota Bharu hari ini.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, di Kuala Lumpur akibat barah usus pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Mengenai tarikh mengundi pilihan raya kecil itu, Nik Abdul Aziz berkata jentera PAS telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

"Bagi PAS akan yakin menang juga sekalipun yang dicalonkan itu Tengku Razaleigh," katanya.

Mengenai pemilihan calon PAS, beliau berkata pihaknya sudah mempunyai calon yang sesuai untuk diketengahkan.

"Calon memang ada dan sekarang ini makin ramai orang layak jadi calon, kerana kita tunjuk secara fizikal dan praktikalnya di Kelantan, yang mneyebabkan orang Melayu, orang Cina pun sudah tertarik," tambahnya.

PAS sedia pilih calon Orang Asli di Galas

28 Syawal 1431 H

PAS sedia memilih calon daripada kalangan Orang Asli untuk bertanding dalam pilihan raya termasuk pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Galas pada 4 Nov ini, kata Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa.

Katanya ini tidak mustahil jika ada calon yang sesuai dan setelah diambil kira komitmen masyarakat Orang Asli terhadap PAS.

"Kita tidak menolak kemungkinan boleh memilih masyarakat Orang Asli sebagai calon, memandangkan mereka sudah mula menunjukkan minat dalam politik dan sikap mereka yang mula menerima arus pembangunan sebagaimana masyarakat moden," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan ketua masyarakat Orang Asli dari Galas, Pandak a/l Panjang Ey bahawa pihaknya mempunyai jentera gerak gempur parti sendiri untuk membantu kempen pilihan raya itu dan tidak mahu parti politik mengganggu dan masuk berkempen di kawasan penempatan Orang Asli.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS pada 27 Sept lalu.

Husam berkata sikap terbuka PAS menerima calon dari semua pihak dalam menghadapi pilihan raya selaras dengan dasar parti itu untuk semua.

Malaysiakini/-

Berlebihan

28 Syawal 1431 H
Oleh: Jarjani Usman

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan” (QS. Al An`aam: 141).

Ketika banjir menerjang tanaman atau harta benda lainnya, perasaan tidak enak, rugi dan sejenisnya kerap membalut pikiran manusia.

Padahal sebenarnya, banjir berasal dari air, suatu zat yang sangat penting bagi manusia.

Namun karena datangnya secara berlebihan dan menerobos pembatasnya bahkan secara serampangan, benda penting itu menjadi tak penting dan bahkan menimbulkan malapetaka.

Kalau mau, dari banjir kita bisa belajar. Antara lain, sesuatu yang berlebihan berpeluang menjadi malapetaka.

Makan atau minum sesuatu yang berlebihan, berbahaya bagi kesehatan manusia. Padahal makan dan minum itu sangat penting bagi manusia yang hidup di dunia ini.

Demikian juga dengan berbicara, jika berlebihan, maka bisa mendatangkan ketidakbaikan. Sama halnya, duduk berlebihan, akan berbahaya.

Bila tidak ingin berlebihan, sebaiknya kita menyempatkan diri untuk menelusuri jejak hidup Rasulullah. Dalam makan dan minum, misalnya, beliau tidak pernah berlebihan.

Bahkan, beliau senantiasa berhenti sebelum kenyang. Dalam berbicara juga tidak berlebihan. Yang dikatakannya adalah hal-hal yang penting dan bermanfaat bagi manusia.

Jika sekarang keadaan negeri kita terus kacau, maka bisa jadi itu karena perilaku kita yang berlebihan. Mulai dari berlebihan dalam mengeritik, hingga berlebihan dalam memperturutkan nafsu.

Karena itu, penting menjaga diri dari hal-hal yang berlebihan, agar selamat menempuh perjalanan hidup di dunia ini.

Musuh Allah

28 Syawal 1431 H
Oleh: Jarjani Usman

“Hai orang-orang beriman, janganlah kalian mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kalian mengingkari amanah-amanah yang dipercayakan kepada kalian sedang kalian mengetahui”(QS. al-Anfal: 27).

Sungguh keterlaluan bila seorang hamba yang telah diciptakan Allah dan menikmati rahmatNya setiap saat, kemudian berbalik menjadi musuhNya. Namun, hal ini tidak tertutup kemungkinan dilakukan oleh orang-orang yang telah dikaruniai akal.

Sebagaimana dalam suatu hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah telah berfirman: “Ada tiga jenis manusia di mana Aku adalah musuh mereka nanti di hari kiamat.

Pertama adalah orang yang telah membuat janji akan memberi atas nama-Ku (bersumpah dengan nama-Ku), kemudian ia tidak memenuhinya. Kedua, orang yang menjual seorang manusia bebas, lalu memakan uangnya.

Ketiga adalah orang yang menyewakan seorang upahan dan mempekerjakan dengan penuh, tetapi tidak membayar upahnya” (HR. Bukhari).

Kalau mau diakui, kiranya ketiga macam musuh Allah seperti yang ada dalam hadits tersebut banyak berdiam di muka bumi ini.

Betapa banyak orang yang berani bersumpah di awal jabatannya, namun dalam melaksanakan tugasnya sangat bertolak belakang dengan sumpahnya. Kedua, tidak sedikit yang mengatasnamakan orang lain, seperti rakyat, untuk memenuhi keinginan hawa nafsunya.

Padahal rakyat miskin, misalnya, hanyalah tunggangan belaka. Ketiga, gaji atau honor pekerja tidak dibayar sebagaimana layaknya.

Kalau berbuat demikian, suka atau tidak suka, siapapun orangnya akan menjadi musuh Allah.

Tentunya sangat disayangkan, apalagi sebahagian yang termasuk musuh Allah, sudah bertahun-tahun menghabiskan waktu dan tenaganya untuk menempuh pendidikan tinggi.