31 Oktober 2021

Kerajaan mampu bayar semula pinjaman

 Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail NSTP

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan berupaya untuk membayar semula pinjaman walaupun had hutang statutori dinaikkan kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata peningkatan had hutang statutori itu adalah bagi membolehkan kerajaan mempunyai lebih banyak ruang untuk membiayai defisit bajet dalam jangka sederhana serta menampung pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kewangan kekal stabil supaya sentiasa bersedia dan berupaya melaksanakan langkah kitaran balas sekiranya situai krisis berlaku.

"Saya ingin tekankan walaupun had hutang perbelanjaan nampak besar, yang penting adalah kemampuan kerajaan untuk bayar semula pinjaman itu.

"Ini kerana kalau kita menarik brek terlalu cepat atau kita tidak berbelanja banyak atau membuat polisi fiskal mengembang ekonomi tidak memulih lebih cepat dari apa yang kita harapkan," katanya dalam temubual secara di Astro Awani dan Bernama TV bertajuk 'Bajet 2022 Dari Rakyat Untuk Rakyat', malam ini.

Pada masa sama Tengku Zafrul berkata, unjuran hasil kerajaan bagi 2022 adalah tidak mencukupi untuk membiayai semua program diumumkan dalam Bajet 2022 semalam, terutama bagi projek besar.

Oleh itu katanya, kerajaan akan mempunyai defisit sebanyak 6.0 peratus berdasarkan pertumbuhan KDNK sekitar 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada tahun depan.

"Ini kurang daripada defisit tahun ini yang diunjurkan 6.5 peratus tetapi oleh kerana KDNK kita dijangka bertambah baik pada tahun depan, ini membantu menurunkan kadar defisit walaupun kita mempunyai polisi fiskal mengembang dengan jumlah peruntukan RM332.1 bilion.

"Oleh itu, 6.0 peratus ini lebih kurang RM100 bilion defisit yang perlu kita biaya melalui hutang, ...kita mempunyai keupayaan untuk meminjam pada tahun depan," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, langkah kerajaan mencadangkan pelaksanaan Cukai Makmur dalam Bajet 2022 yang diumumkan semalam, berupaya membantu membiayai kos kesihatan negara yang tinggi dalam meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19.

Keputusan itu juga diambil selepas kerajaan menjalankan kajian teliti selain turut mendapat persetujuan kalangan pakar dalam bidang berkenaan.

"Kita mahu mengambil pendekatan yang holistik (menyeluruh). Di negara lain, ia digelar sebagai cukai progresif atau kemakmuran, ...jadi kita hanya lihat kepada syarikat yang mendapat keuntungan luar biasa ketika pandemik itu," katanya.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata susulan kajian itu, kerajaan berpendapat bahawa syarikat yang meraih keuntungan melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus secara 'one-off' bagi tahun taksiran 2022.

Bagi RM100 juta pertama, cukai pendapatan sebanyak 24 peratus dikenakan kepada syarikat tempatan terbabit.

Menurutnya, cadangan cukai itu juga merupakan hasil daripada beberapa sesi perjumpaan Kementerian Kewangan dengan pelbagai pihak termasuk golongan belia yang membangkitkan aspek pungutan cukai serta kaedah pelaksanaannya.

"Antara cadangan yang diterima termasuk keperluan cukai keuntungan luar biasa dan cukai keuntungan modal dan kita telah menimbang kedua-duanya.

"(Namun) cukai keuntungan modal itu agak susah sedikit untuk dilaksanakan kerana memberi kesan buruk terhadap pasaran saham dan kita juga mempunyai pelabur asing serta pelabur tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd, Tabung Haji dan Lembaga Angkatan Tentera," katanya.

Negara jiran juga tidak mengambil pendekatan mengenakan cukai keuntungan modal ke atas syarikat tempatan masing-masing.

Mengulas cukai keuntungan luar biasa, beliau berkata ini juga antara cadangan yang dibangkitkan pada sesi perjumpaan kementerian.

"Ada yang mencadangkan supaya ianya dikenakan ke atas syarikat pengeluar sarung tangan.

"Bagaimanapun, jika kita lihat dari segi prinsip, (tindakan) mengenakan cukai keuntungan luar biasa ke atas satu-satu industi ini akan menjejaskan kemasukan FDI (pelaburan langsung asing).

"Ini kerana pelabur-pelabur asing akan berfikiran bahawa mereka akan turut dikenakan cukai sekiranya mendapat keuntungan yang berlebihan," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: