Showing posts with label Tuanku Faris. Show all posts
Showing posts with label Tuanku Faris. Show all posts

14 September 2010

DAULAT TUANKU

Salam 2 all.

Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas permasyhuran YTM TengKu Muhammad Faris Petra (42), Tengku Mahkota Kelantan sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahanda baginda Tengku Ismail Petra berkuatkuasa hari ini Isnin 04 Ramadhan 1431 bersamaan 13 Sept 2010.

Pemasyhuran YTM Tengku Muhammad Faris Petra oleh YAB Dato' Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan tengahari tadi menamatkan kemelut yang melanda Istana Kelantan sejak lebih setahun lalu apabila bekas Tuanku Sultan Kelantan kegeringan akibat serangan angin ahmar dan sakit jantung.

Saya berharap pemasyhuran Tuanku Faris akan membuka lembaran baru kepada pemerintahan di Kelantan yang akan menyaksikan hubungan lebih mantap diantara Istana dan Kerajaan Negeri. Umum mengetahui betapa sukarnya YAB To' Guru mentadbir Kerajaan Negeri apabila hubungan dengan istana dahulu dikatakan agak "sejuk" atas sebab-sebab yang tertentu.

Saya juga berdoa dan berharap rakyat Kelantan dan semua pihak berkaitan akan menghormati pemasyhuran Tuanku Faris kerana ianya dibuat menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan dan mematuhi semua peruntukkan undang-undang yang ada. Di Negeri Kelantan, sebagaimana negeri-negeri lain, pemasyhuran seseorang raja adalah hak mutlak Majlis Perajaan Negeri. Tiada mana-mana pihak boleh mempersoalkan pemasyhuran tersebut. Dan Majlis Perajaan Negeri Kelantan telahpun membuat keputusan. Menurut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, tiada mana-mana orang atau Mahkamah boleh mempersoalkan pemasyhuran dan pertabalan Tuanku Faris tersebut!

Inilah uniknya sistem beraja yang kita 'amalkan sekarang. Mungkin ada pihak yang tidak bersetuju, tetapi itu soal kedua. Pada saya, sistem perlantikan tersebut memastikan bahawa kedaulatan dan keutuhan institusi Raja-Raja Melayu akan kekal dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak. Apatah lagi dalam keadaan orang Melayu yang makin berpecah dan kuasa Melayu/Islam makin terhakis akibat politikng melampau oleh segelintir orang Melayu, maka tanggungjawab menjaga dan memelihara serta mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu menjadi semakin penting.

Kita dapat melihat dalam satu kes apabila ada cubaan menceroboh kuasa perlantikan ketua sebuah institusi Islam dengan cubaan melantik seorang balaci politik digagalkan atas kebijaksanaan dan kewibawaan seorang Raja Melayu yang bertindak mempertahankan kesucian Islam daripada menjadi mangsa kerakusan politik sempit.

Saya juga ingin menasihatkan mereka yang mempertikaikan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan dengan ugutan ianya mungkin satu "contempt of Court" (kerana konon cerita ada kes sudah difail di Mahkamah); bahawa kamu sendiri mungkin boleh dikenakan tindakan penderhakaan kepada seorang Sultan yang telah ditabal dengan sah mengikut undang-undang. Ingat, mempertikaikan kedaulatan seorang Sultan sama dengan memerangi Tuanku. Dan Seksyen 121 Kanun Kesiksaan memperuntukkan hukuman mati kepada mereka yang memerangi mana-mana Raja Melayu!!

Saya ucapkan selamat bersemayam kepada Tuanku Sultan Muhammad Faris Petra, semoga pemerintahan Tuanku diberi petunjuk dan kepimpinan oleh ALLAH, serta diberi keberkatan berpanjangan. Semoga Tuanku diberi kesihatan yang baik, dan mendapat hidayah ALLAH untuk membawa Kelantan kearah negeri yang toyyibah.

Daulat Tuanku!!!

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
04 Syawal 1431
13 Sept 2010