Showing posts with label Jambatan Kedua Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Jambatan Kedua Pulau Pinang. Show all posts

28 February 2014

JAMBATAN DIRAJA PULAU PINANG

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah

Salam 2 all.

Insyallah jambatan kedua Pulau Pinang dijangka akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak esok Sabtu 29 Rabi'ul Akhir 1435 bersamaan 01 Mac 2014.


Jambatan kedua Pulau Pinang bernilai RM4.5billion dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan politik diskriminasi, malah akan terus melaksanakan sesuatu projek atau pembangunan jika ianya membawa kebaikan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik, walaupun kerajaan Pulau Pinang ditadbir oleh Kerajaan DAP.

Tidak seperti di Selangor yang menghadapi krisis air antaranya kerana politiking melampau pembangkang, jambatan kedua Pulau Pinang adalah projek pembangunan yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan dan dijangka memberi menafaat kepada rakyat semua kaum dan agama.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan kepada Kerajaan supaya menamakan jambatan kedua Pulau Pinang ini dengan nama 'JAMBATAN SULTAN ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH'; iaitu sempena nama Yang DiPertuan Agong sekarang.

Saya mencadangkan sedemikian kerana:

1. Jambatan kedua Pulau Pinang telah siap disempurnakan semasa era pemerintahan Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai YDP Agong;

2. Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang diputerakan pada 28 November 1927 adalah juga Tuanku Sultan Kedah yang ke 27 iaitu semenjak tahun 1958;

3. Menurut sejarah, Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah Darul Aman sebelum diambil dan dipisahkan semasa penjajahan Inggeris di Tanah Melayu;

4. Baginda Tuanku Abdul Halim juga telah mencipta sejarah apabila menjadi Yang DiPertuan Agong dua kali selama hayat Baginda iaitu sebagai YDP Agong ke 5 pada tahun 1970-1975, dan sebagai YDP Agong ke 14 (mulai 13.12.2011 hingga sekarang), suatu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini;

5. Juga, menamakan jambatan Pulau Pinang sempena nama Baginda adalah selaras dengan Rukunegara Kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja & Negara;

Jambatan Tunku Abdul Rahman Putra
Sempena dengan itu juga, saya mencadangkan kepada Kerajaan supaya menamakan Jambatan pertama Pulau Pinang dengan nama 'JAMBATAN TUNKU PUTRA' atau 'JAMBATAN TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA' sempena nama Almarhum Perdana Menteri pertama Malaysia iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Cadangan ini saya kemukakan kerana:

1. Memandangkan kita menamakan jambatan kedua Pulau Pinang dengan nama DiRaja, maka adalah wajar jambatan pertama juga dinamakan sempena dengan nama PM pertama negara;

2. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, yang dilahirkan pada 08 Feb 1903 (meninggal pada 06 Disember 1990) adalah putera kepada Tuanku Sultan Kedah ke 24 iaitu Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah;

3. Tunku adalah Bapa Kemerdekaan Malaysia yang sangat dihormati lagi disanjungi oleh rakyat pelbagai kaum dan agama;

Saya berharap Kerajaan akan menimbang dengan serius cadangan ini.

Semoga pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan akan terus memberi menafa'at dan faedah kepada rakyat dan negara ini, sesuai dengan falsafah pemerintahan YAB Dato' Sri Najib '1-Malaysia: Rakyat DiDahulukan, Pencapaian DiUtamakan'.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
28 Rabi'ul Akhir 1435
28 Februari 2014