Showing posts with label Jakim. Show all posts
Showing posts with label Jakim. Show all posts

25 September 2013

KHUTBAH ANTI-KRISTIAN?

Lailahaillallah















Apakah nama sebenarnya tuhan yang disembah oleh mereka ini?

Salam 2 all.

Padanlah ada parasit dan pelesit yang seperti cacing kepanasan mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di mimbar hari Jumaat 30 Syawal 1434 bersamaan dengan 06 Sept 2013. Khutbah yang disampaikan empat hari sebelum pendengaran rayuan kes kalimah ALLAH di Mahkamah Rayuan Malaysia pada 10 Sept 2013 memang akan memanaskan punggong para pengkhianat Islam.

Cuba bayang para parasit dan pelesit yang sedang khusyu' menutup mata melayari bahtera naum mereka tiba-tiba dikejutkan seperti halilintar membelah bumi mendengar khutbah seperti dibawah ini yang petikan sebahagiannya seperti berikut (teks penuh dilampir dibawah):

"Apa yang sangat mendukacitakan kita lagi ialah ada segelintir orang Islam yang langsung tidak sensitif berkaitan perkara ini, malah menganggap ini adalah hanya isu kecil serta sanggup mencadangkan supaya pengunaan kalimah-kalimah Islam termasuk kalimah Allah SWT dibenarkan penggunaannya oleh orang yang bukan Islam. Inilah contoh perbuatan mereka yang mengkhianati agama Islam dan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan agama Islam.

Mimbar amat bimbang cadangan tersebut boleh terjerumus dalam perbuatan syirik. Tiada faedah seseorang itu beribadah siang dan malam, jika imannya rosak dan dipengaruhi oleh unsur-unsur syirik, perbuatan syirik hanya akan menghalang seseorang mukmin dari mendapat keredaan dan syurga Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 72:
Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.” 
Ayat ini menjelaskan bahawa mereka yang melakukan syirik adalah berdosa besar dan tidak diampunkan oleh Allah SWT dan tempat mereka di akhirat nanti adalah di neraka".
Tetapi amat malang bagi para parasit dan pelesit yang mendengar khutbah peringatan ini, umpama mencurah air ke daun keladi.

Mereka menjadi seperti Firaun yang memekakkan telinga mendengar peringatan Nabi Musa a.s; seperti Namrud memekakkan telinga mendengar peringatan Nabi Ibrahim a.s; seperti Abu Lahab memekakkan telinga mendengar peringatan Nabi Muhammad saw! Mereka memekakkan telinga mendengar kebenaran khutbah itu!

Bukan sahaja mereka tidak mahu bermuhasabah diri dan bertaubat, sebaliknya mereka menjadi seperti Firaun mahu membunuh Nabi musa a.s, seperti Namrud mahu membakar Nabi Ibrahim a.s; seperti Abu Lahab mahu menghancurkan Nabi Muhammad saw! Mereka cuba membunuh khutbah tersebut dengan pelbagai alasan yang hampas kosong!

Mereka memekak dan melalak memaki hamun khutbah tersebut! Mereka mempercepatkan lagi proses untuk ALLAH melaknat mereka, na'uzubillah. Semoga ALLAH memberikan petunjuk dan hidayah kepada mereka ini!

Diwaktu yang sama, ada kalangan kristian yang telah dengan biaDap dan kurang ajar mengkritik secara terbuka khutbah tersebut dengan kenyataan kononnya ia "khutbah anti-kristian".

Dan lebih-lebih malang, ada parasit dan pelesit yang senada seirama dengan kenyataan pihak kristian ini mengutuk khutbah tersebut sebagai 'tidak wajar' dan 'mencetuskan api kebencian', dan boleh memecah-belahkan rakyat pelbagai agama dan kaum didalam negara ini, na'uzubillah!!!

Sebenarnya, kalau kita membaca teks penuh khutbah tersebut, langsung tidak ada unsur-unsur sedemikian. Malahan ianya sekadar mengingatkan umat Islam supaya mempertahankan aqidah dan keimanan, disamping berhati-hati dengan usaha gigih yang dijalankan oleh segelintir musuh Islam untuk merosakkan aqidah dan keimanan umat.

Dimana yang dikatakan anti-kristian? Dimana yang dikatakan mengapi-apikan sentimen keagamaan sempit? Dimana yang dikatakan memecah-belahkan umat dan rakyat pelbagai agama dan bangsa? Dimana???

Bak kata pepatah Melayu, "siapa makan cili, dialah yang terasa pedasnya".

Dalam bahasa undang-undang disebut res ipsa loquitur - things speak for itself.

Jadi untuk menafaat semua, dilampirkan dibawah teks penuh khutbah tersebut. Bacalah dengan jiwa yang tenang, hati yang lapang, pemikiran yang matang! Insyallah kamu akan temui kebenarannya!

Apapun tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YB Dato' Seri Mejar General (B) Jamil Khir Baharom dan para khatib sekelian yang berani menyediakan dan menyampaikan khutbah tersebut. Semoga ALLAH memberikan rahmat dan keberkatan insyallah. Ameen ya rabbal 'alameen.

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
19 ZulQaedah 1434
25 Sept 2013

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Teks khutbah JAKIM - 6 SEPTEMBER 2013/ 30 SYAWAL 1434H*
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “MEMPERTAHANKAN AKIDAH  UMMAH”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam Islam Allah adalah zat yang mencipta alam ini. Sebagai pencipta alam, maka Allah memiliki kesempurnaan sifatnya, ia tidak terikat dengan sebarang batasan, tidak terbatas tinggi rendah-Nya, tidak terbatas kekuasaan-Nya, tidak terbatas ruang waktunya dan segala-galanya tidak terbatas. Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT. Ini merupakan syarat mutlak sahnya kepercayaan kita terhadap adanya tuhan dalam Islam selain mengarah kepada mengesakan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.
Menurut Imam Ibnu Kathir seorang ulama tafsir yang terkenal bahawa sebab turunnya ayat ini ialah ketika orang Yahudi mengatakan “Kami menyembah Uzair anak Allah”. Orang  Nasrani mengatakan “Kami menyembah al-Masih anak Allah.  Orang Majusi pula mengatakan “Kami menyembah matahari dan bulan” dan orang Musyrikin pula mengatakan “Kami menyembah berhala. Maka Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai penjelasan bagi menangkis dakwaan yang salah  tentang hakikat tuhan yang sebenarnya. 
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, sesuatu yang gah namanya dan teguh kedudukkannya akan senantiasa dilanda ancaman dan percubaan untuk mengugat keagungannya. Demikianlah kedudukan agama Islam dan umatnya pada hari ini, diancam dari segenap sudut samada dari segi sosial, syariah dan akidah termasuklah isu penggunaan kalimah Allah SWT. Mereka ini melakukan pelbagai usaha bagi menimbulkan kekeliruan sehingga menimbulkan pandangan dan pentafsiran yang salah tentang agama Islam dan Allah itu sendiri. Lebih malang lagi mereka sanggup mempertikaikannya sehingga membawa isu ini ke mahkamah.
Sekali lagi mimbar yang mulia ini ingin menegaskan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah membahaskan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukkan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ingatlah, kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Sebagai umat Islam yang beriman kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam. Contohnya, adakah kita sanggup mendengar golongan bukan Islam memanggil gereja, rumah ibadat dan rumah berhala mereka sebagai rumah Allah?, memanggil tuhan dan berhala mereka sebagai Allah?. Bayangkan pula, apakah akidah generasi muda Islam jika fenomena ini berlaku di negara kita?. Sudah pastilah ramai yang akan keliru, terpesong dan berlakulah lautan murtad yang sedahsyat-dahsyatnya.
Oleh itu, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat  Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Perkataan Allah, solat, tauhid, Rasul, Kaabah ,Haji merupakan hak orang Islam yang tidak boleh di cerobohi oleh mana mana pihak kerana ianya akan memberi kesan kepada pemikiran dan akidah umat Islam.
Ingatlah bahawa semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72:
Bermaksud:“Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim. 
Persoalan besar timbul di sini adakah kita redha untuk menyatakan bahawa Allah SWT itu merupakan salah satu daripada tiga tuhan?. Sudah pasti kita sebagai umat Islam tidak redha malah yakin bahawasanya Allah SWT itu Maha Esa. Ketahuilah bahawa kalimah Allah adalah nama khas bagi tuhan yang Maha Esa. Oleh sebab itu, tidak boleh menterjemahkan perkataan God dalam bahasa Inggeris kepada kalimah Allah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Syirik adalah perbuatan menyamakan atau menyekutukan Allah SWT dengan makhluk dalam apa jua bentuk sama ada perkataan, kepercayaan, perbuatan dan iktikad. Para ulama membahagikan syirik kepada dua kategori iaitu syirik akbar (besar) dan syirik asghar (kecil). Syirik besar seperti menyekutukan Allah SWT secara terang-terangan termasuk menyembah sesuatu selain Allah atau menyamakan kuasa Allah dengan makhluk. Manakala syirik kecil seperti riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia dan sebagainya.
Apa yang sangat mendukacitakan kita lagi ialah ada segelintir orang Islam yang langsung tidak sensitif berkaitan perkara ini, malah menganggap ini adalah hanya isu kecil serta sanggup mencadangkan supaya pengunaan kalimah-kalimah Islam termasuk kalimah Allah SWT dibenarkan penggunaannya oleh orang yang bukan Islam. Inilah contoh perbuatan mereka yang mengkhianati agama Islam dan meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan agama Islam. Mimbar amat bimbang cadangan tersebut boleh terjerumus dalam perbuatan syirik. Tiada faedah seseorang itu beribadah siang dan malam, jika imannya rosak dan dipengaruhi oleh unsur-unsur syirik, perbuatan syirik hanya akan menghalang seseorang mukmin dari mendapat keredaan dan syurga Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 72:
Maksudnya: Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.” 
Ayat ini menjelaskan bahawa mereka yang melakukan syirik adalah berdosa besar dan tidak diampunkan oleh Allah SWT dan tempat mereka di akhirat nanti adalah di neraka.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sebagaimana yang diketahui umum bahawa isu kalimah Allah akan didengar sekali lagi di Mahkamah Rayuan pada 10 September ini. Justeru, sebagai umat Islam marilah sama-sama kita menolak apa jua usaha yang mencabar hak-hak kita sebagai umat Islam. Percayalah bahawa Allah SWT menyatukan kita semua pada hari ini di dalam saf-saf dan seterusnya kita akan menunaikan solat di atas satu akidah, di atas satu takbir, dan di atas satu salam, perkataan, ungkapan dan bacaan yang sama. Justeru, marilah bersama-sama kita bersatu hati mempertahankan kebenaran, rapatkan barisan, meneguhkan kekuatan dan persediaan, menggerakkan segala usaha dengan penuh keberanian demi agama yang tercinta ini.
Mimbar juga mengesa pihak yang berwajib agar mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang cuba memporak-perandakan pegangan dan akidah umat Islam. Perjuangan bagi mempertahankan kalimah suci Allah dan menegakkan agama Allah serta hak-hak eksklusif umat Islam merupakan perjuangan yang suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.
Menjadi tanggungjawab mimbar menyeru semua pihak, marilah sama-sama kita mempertahankan dan memantap akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang berkaitan akidah, menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya. Percayalah mempertahankan kesucian  Islam dengan tidak membenarkan pihak lain menghinanya adalah sesuatu yang di tuntut. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 65:
Maksudnya: “Dan sesungguhnya telah diwahikan kepadamu dan Nabi-nabi sebelummu: Sesungguhnya! Jika engkau mempersekutukan Allah tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang yang rugi”.
* Terimakasih kepada sahabat saya Tuan Haji Abdul Karim Omar yang telah memberikan link laman ini serta menyiarkan teks penuh khutbah ini di laman sesawang beliau di www.akarimomar.wordpress.com. Sila layari laman sesawang beliau untuk kupasan dan pendedahan lebih banyak isu-isu berkaitan gerakan kristianisasi dan isu aqidah.

18 September 2013

WALAN TARDHO*

Firman ALLAH swt Surah Al-Maidah:72-73

"Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata 'Sesungguhnya ALLAH ialah Isa Al-Masih ibnu Maryam'. Pada Isa Al-Masih sendiri berkata,'Wahai Bani Israel, sembahlah ALLAH, Tuhanku dan Tuhanmu, bahawa sesiapa yang menyengutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain, maka ALLAH pasti mengharamkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka. Sesungguhnya tiada seorang pun penolong bagi kaum yang zalim.

Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata,'Bahawasanya ALLAH ialah satu daripada tiga tuhan.' Padahal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH Yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang yang kafir antara mereka akan dikenakan azab yang pedih".

Salam 2 all.

Saya merujuk kepada kenyataan oleh Pengerusi Churches Federation of Malaysia (CFM) Pastor Eu Hong Seng yang mengkritik JAKIM berkaitan khutbah Jumaat pada 6 Sep 2013 berkaitan isu kalimah ALLAH yang didakwa sebagai khutbah anti-kristian.

Saya mengutuk keras campurtangan mana-mana pihak asing dalam hal ehwal umat Islam. Pada saya ini satu sikap dan perlakuan biadap dan kurang ajar yang wajib dikenakan tindakan sepatutnya.

Adalah menjadi tanggungjawab Jakim dibawah perundangan negara untuk mentadbir dan menyelia hal ehwal berkaitan Islam didalam negara ini.

Dalam isu kalimah ALLAH, adalah menjadi tanggungjawab Jakim untuk mempertahankan pendirian yang telah diambil oleh Kerajaan dan pihak berkuasa Islam iaitu:

1. Pendirian Raja-Raja Melayu yang jelas tidak membenarkan kalimah ALLAH digunapakai oleh kristian bagi maksud agama mereka;

2. Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang menegaskan kalimah ALLAH tidak boleh digunapakai oleh kristian bagi maksud agama mereka;

3. Peruntukkan Enakmen Negeri-Negeri yang melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh mana-mana pihak untuk tujuan selain Islam;

4. Peruntukkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang dakyah agama lain kepada orang Islam;

5. Malahan pendirian Majlis Syura PAS sendiri yang melarang penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian.

Jadi adalah jelas bahawa Jakim bertanggungjawab memastikan umat Islam sedar bahawa isu kalimah ALLAH membabitkan aqidah umat Islam dan perlu dipertahankan tanpa sebarang kompromi. Dan institusi khtubah adalah medan yang terbaik untuk isu fundamental ini disampaikan kepada umat Islam dihari Jumaat saiyyidul ayyam yang merupakan perhimpunan terbesar umat Islam.

Sayugia juga saya mengingatkan Pastor Eu bahawa penglibatan beberapa gereja di Malaysia dalam isu membabitkan gejala murtad adalah jelas; antara contohn ya adalah saperti berikut:

1. Penglibatan secara langsung gereja Church of Our Lady Fatima di Brickfield yang membaptiskan Azlina Jailani menjadi kristian dengan nama Lina Joy;

2. Penglibatan gereja Damansara Utama Methodist Church (DUMC) dalam menyebarkan dakyah kristian kepada orang Islam sehingga disiasat oleh pihak JAIS;

3. Penglibatan sebuah gereja dalam menyembunyikan Nor Aishah Bukhari yang telah dimurtadkan dengan nama kristian Felicea;

4. Kes murtad Jamaludin Osman dan dijadikan pastor dengan nama Father Joshua sehingga beliau dikenakan tindakan tahanan dibawah ISA;

5. Penglibatan secara aktif paderi-paderi kristian dalam dan luar negara dalam kempen PRN Sarawak membantu pembangkang.

Kita juga melihat keghairahan beberapa gereja dan kumpulan missionari menganjurkan program-program yang diselindungkan kononnya atas nama wacana, seminar, forum, dialog dan lain-lain bentuk yang pada hakikatnya menyentuh isu dan persoalan mengenai Islam termasuk kalimah ALLAH.

Pihak gereja sepatutnya belajar menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dalam negara Malaysia.

Dalam isu kalimah ALLAH, pihak gereja juga sepatutnya belajar menghormati proses perundangan negara memandangkan semua pihak sedang menunggu keputusan oleh Mahkamah Rayuan tidak lama lagi.

Sebenarnya kami umat Islam sedang memerhati dan memantau gelagat segelintir missionari kristian yang akhir-akhir-akhir ini begitu galak dan ghairah menyebarkan dakyah agama mereka, termasuk membawa masuk pendakyah-pendakyah daripada luar negara.

Kita mendesak kepada kumpulan pengacau keharmonian ini supaya menghentikan segera segala tindak-tanduk mereka yang ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan umat Islam dalam negara ini.

Saya juga mendesak supaya Pastor Eu segera memohon maaf kepada Jakim atas kenyataan biadap dan kurang ajar beliau yang dilihat cuba mencampuri urusan umat Islam, apatah lagi mempertikai institusi khutbah. Sikap biadap ini sudah pasti akan menimbulkan rasa kurang senang dikalangan umat Islam apatah lagi menyentuh institusi khutbah Jumaat yang sangat dimuliakan.

Kita tidak mahu keamanan dan keharmonian antara pelbagai agama dinegara ini terjejas dan tercemar akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor!

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
12 ZulQaedah 1434
18 Sep 2013

* 'Walan tardho'  yang menjadi tajuk artikel ini adalah permulaan kepada ayat 120 surah Al-Baqarah bilamana ALLAH menegaskan sesungguhnya Yahudi dan Kristian tidak akan redha dan bersetuju dengan kita umat Islam selagi kita tidak mengikut agama dan cara kehidupan mereka.