Showing posts with label PRK Bkt Gelugor. Show all posts
Showing posts with label PRK Bkt Gelugor. Show all posts

21 May 2014

POLITIK 3-SUKU

Peluru musuh Islam tidak membezakan diantara UMNO atau PAS, Hamas atau Fatah! Bagi tiap jiwa yang mempersaksikan 'Tidak ada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu Pesuruh Allah' adalah musuh qati'e bagi Iblis, syaitan dan dikalangan manusia yang memusuhi Allah & Islam!
Salam 2 all.

Nak hudud cari UMNO, nak kerusi cari DAP? Nak Islam cari UMNO, nak politik cari DAP!

Adakah PAS menjadi pengamal POLSAS - politik suku agama suku?

Saya melihat PRK Bkt Gelugor & PRK Teluk Intan sebagai bukti amalan POLSAS ini.

Dalam keadaan PAS sibuk mendesak Ahli Parlimen UMNO menyokong usul hudud PAS Kelantan; tetapi diwaktu yang sama mereka menyokong dan mengundi calon-calon DAP bagi PRK Parlimen Bkt Gelugor dan Teluk Intan yang terang-terang menentang hudud PAS!

Malahan PAS cukup kuat mengutuk dan mengecam mana-mana wanita Melayu Islam yang tidak bertudung, tetapi mereka menyokong dan mengundi calon DAP PRK Teluk Intan yang bukan sahaja tidak bertudung malah menentang hudud PAS!

Sebab itu saya rasa iblis sendiri pun akan menangis melihat politiking hipokrit dan melampau PAS ini! Sebab jahat-jahat iblis pun dia berterus terang dengan pendirian dia depan Allah menolak Nabi Adam a.s, sedangkan PAS mempertopengkan agama Allah untuk kepentingan politik kepartian mereka!

Baru-baru ini saya berkesempatan berjumpa seorang pemimpin kanan PAS yang juga seorang yang dikenali sebagai Ustaz. Malahan kekadang dia dikenali dan dipanggil sebagai ulamak walaupun bagi saya beliau hanya seorang penggemar nasi lemak.

Saya bertanya kepada Ustaz ini satu soalan;

"Enta desak Ahli Parlimen UMNO sokong hudud PAS, tetapi enta sokong calon DAP bagi Parlimen Bkt Gelugor dan Teluk Intan yang terang-terang menolak dan menentang hudud PAS! Bukankah ini paradoks politik dan sifat hipokrit yang sangat serius".

Jawab Ustaz ini, "hudud soal agama sheikh, PRK soal politik. Enta kena bezakan antara perlaksanaan hudud dan pilihanraya".

Saya menjawab dengan bertanya balik, "bukankah itu bermakna enta memisahkan antara agama dan politik. Hudud agama, pilihanraya politik. Ini bermakna amalan politik suku agama suku? Bukankah atas tuduhan politik suku agama suku inilah PAS mengkafirkan UMNO?".

Pada pandangan saya, inilah sikap politik hipokrit PAS yang Allah dedahkan melalui PRK Bkt Gelugor dan PRK Teluk Intan.

Kalau benar perjuangan PAS berdasarkan Al-Quran & Sunnah sebagaimana yang selalu dimomokkan kepada orang Melayu, sudah tentu mereka akan menentang calon DAP bagi PRK Bkt Gelugor dan Teluk Intan.

Tetapi yang pelik calon ahli PAS sendiri bagi PRK Bkt Gelugor Haji Mohamed Nabi Bux yang jelas perjuangan dia mahu membantu PAS melaksanakan hudud, bukan sahaja tidak disokong dan dibantu oleh PAS, malahan beliau dimaki dan dicaci nista.

Sampai ke peringkat PAS tidak mahu mengaku beliau sebagai ahli walaupun ada sijil keahlian yang ditandatangani sendiri oleh Almarhum Ust Fadil Nor, mantan Presiden PAS!

Sebaliknya PAS bermati-matian membantu dan menyokong Ramkarpal Singh yang terang-terang menyatakan jika dia menang menjadi Ahli Parlimen, dia tetap dengan pendirian mendiang bapanya sendiri Karpal Singh akan menentang RUU hudud PAS jika dibentangkan didalam Parlimen nanti!!!

Malah Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang turut hadir menyambut Ramkarpal Singh dalam perarakan pada hari penamaan calon!

Didalam PRK Teluk Intan, secara jelas lagi sarih calon DAP yang tidak bertudung ini menegaskan bahawa jika dia menjadi Ahli Parlimen, dia sama sekali tidak akan menyokong usul RUU Hudud PAS Kelantan, malah akan menentangnya.

Sekali lagi PAS mengambil sikap menyokong dan membantu calon DAP ini untuk memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan. Malah pimpinan PAS turut sama berarak meraikan calon tidak bertudung penentang hudud ini pada hari penamaan calon!

Dan bila ditanya kepada kepimpinan PAS kenapa sokong calon DAP yang terang-terang menentang hudud, pasti mereka akan menjawab membantu DAP adalah strategi politik tahalluf siasi, melaksanakan hudud adalah kewajipan syariah.

Bantu DAP siasah, buat hudud syariah!

Bukankah itu namanya politik suku agama suku?

Adakah PAS sudah lupa Amanat Hadi yang dibuat di Kg Banggol Pradong, Kuala Terenganu pada tahun 1981? Adakah PAS lupa bahawa, "PAS menentang UMNO kerana mengamalkan politik suku agama suku".

Atau adakah PAS sudah sampai ke peringkat politik tiga suku?

Kepada ahli-ahli PAS yang saya percaya cukup ikhlas mahukan Islam, sedar dan insaflah kalian semua daripada kesesatan politik yang sedang dibawa oleh kepimpinan kalian, terutama daripada kalangan parasit yang sudah meresap menguasai PAS yang berpendirian mempertuhankan kerusi dan demokrasi!

Bangkitlah melakukan jihad mengembalikan PAS kepada perjuangan menegakkan sebuah Daulah Islamiyyah dan melaksanakan syariat Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, semoga kita semua diberi kekuatan dan sifat istiqomah dalam perjuangan in insya-Allah, ameen!

Aamantu billah summastaqeem - intan surullah hayan surkum, wayusabbit aqdaamakuum!

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
21 Rejab 1435
21 Mei 2014

16 May 2014

PAS TOLAK NABI?

Sudah tiba masanya wajib bagi PAS memilih antara menjadikan Islam sebagai alat untuk politik atau menjadikan politik sebagai alat untuk Islam, antara menjadikan hudud sebagai alat mendapatkan undi atau menjadikan undi sebagai alat mendapatkan hudud.
Salam 2 all.

Adalah sesuatu yang sangat pelik lagi menghairankan apabila PAS beriya-iya mendesak UMNO membantu dan menyokong mereka untuk melaksanakan hudud, tetapi diwaktu yang sama langsung tidak mahu membantu dan menyokong, malah menentang ahlinya sendiri Haji Mohammed Nabi Bux sebagai calon PRK Bukit Gelugor yang mahu melaksanakan hudud!

Ini politik hipokrit namanya yop!

Saya merujuk kepada kenyataan beberapa pimpinan PAS yang melemparkan fitnah konon calon bebas bagi PRK Bkt Gelugor, Haji Mohammed Nabi Bux bukan ahli PAS, sebaliknya seorang ahli UMNO yang ditaja untuk menjadi calon.

Malahan sudah timbul desas-desus menyatakan bahawa Haji Mohammed Nabi Bux akan dipecat keahlian PAS!

Penolakan pimpinan PAS terhadap pencalonan Haji Mohammed Nabi Bux sangatlah dikesali.

Sedangkan Hj Nabi adalah seorang ahli PAS yang berdaftar dengan sijil pendaftaran keahlian ditandatangani sendiri oleh Allahyarham Datuk Fadhil Nor semasa beliau menjadi Presiden PAS.

Hj Mahammed Nabi dalam kenyataannya jelas bahawa tujuan beliau untuk bertanding adalah kerana mahu membantu PAS melaksanakan hudud.

Ini sudah tentu sinonim dengan perjuangan masakini PAS yang mahu membentangkan Rang Undang-Undang Private untuk Perlaksanaan Hudud di Kelantan.

Tidakkah tambahan seorang lagi Ahli Parlimen akan menguatkan lagi kedudukan PAS dalam Dewan Rakyat daripada 21 ahli kepada 22?

Tidakkah ini akan memberikan PAS tambahan undi untuk membentangkan RUU Hudud itu?

Dengan 22 MP PAS, ditambah dengan sokongan UMNO sebanyak 88 kerusi, menjadikan jumlah 110, hanya kurang 2 sahaja lagi untuk majoriti mudah yang diperlukan?

Jadi adalah tidak menasabah untuk kepimpinan PAS menolak Hj Mohammed Nabi sebagai calon, sedangkan calon DAP Ramkarpal Singh anak lelaki mendiang Karpal Singh telah secara terang-terangan menyatakan akan menolak RUU Hudud PAS tersebut.

Adakah kepimpinan PAS menolak Hj Mohammed Nabi hanya untuk memuaskan hati rakan sekongkolnya DAP?

Sehingga PAS membuat kenyataan sanggup menangguhkan rancangan membentangkan RUU Hudud dalam sidang Parlimen Jun akan datang ini, adakah semata-mata untuk memastikan isu hudud tidak menganggu calon DAP dalam PRK Bukit Gelugor / PRK Teluk Intan?

Adakah tahap penjilatan politik kepimpinan PAS sudah sampai ke peringkat kronik sehingga sanggup menafikan keahlian ahli sendiri?

Persoalan lebih besar ialah adakah rancangan pembentangan RUU hudud PAS sekadar mainan dan retorik politik semata-mata?

Kerana kalau benar PAS ikhlas mahukan kerjasama Ahli Parlimen UMNO menyokong RUU Hudud PAS tersebut, bukankah kemenangan Hj Mohammed Nabi di Bukit Gelugor akan menambah kerusi sokongan untuk PAS?

Sepatutnya kepimpinan PAS mengerahkan seluruh jentera PAS membantu Hj Nabi untuk memastikan kemenangan beliau!

Sepatutnya PAS mengerah seluruh jentera pilihanraya mereka memastikan calon DAP Ramkarpal Singh anak lelaki mendiang Karpal Singh yang terang-terangan menolak RUU Hudud PAS tewas dalam PRK Bkt Gelugor ini.

Jadi agak kehairanan dengan sikap kepimpinan PAS yang bukan sahaja tidak mengaku Hj Mohammed Nabi sebagai ahlinya, malahan langsung tidak mahu membantu beliau sedangkan perjuangan Hj Mohammed Nabi jelas untuk melaksanakan hudud yang diimpikan oleh PAS!

Kalau PAS tidak sanggup membantu dan bekerjasama dengan ahlinya sendiri yang mahu melaksanakan hudud, adalah ironis dan menghairankan PAS berani mendesak UMNO membantu & berkerjasama dengan mereka untuk melaksanakan hudud di Kelantan!

Ini sikap hipokrit politik yang kita tidak boleh terima dan menimbulkan persoalan keikhlasan PAS dan niat sebenar mereka konon mahu melaksanakan hudud di Kelantan!

Wallahua'lam & Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
16 Rejab 1435
16 Mei 2014

11 May 2014

MCA TARIK DIRI?

MCA sepatutnya menggunakan medan PRK Bukit Gelugor untuk mendesak DAP supaya menasihatkan PAS melaksanakan undang-undang jenayah syariah terhadap Anwar untuk membuktikan keikhlasan PAS mahu melaksanakan kanun jenayah syariah di negara ini!
Salam 2 all.

Saya tertarik dengan kenyataan Setiausaha Agong MCA Ong Ka Chuan semalam yang mengumumkan bahawa MCA tidak akan meletakkan calon menentang Ramkarpal Singh dalam PRK Bkt Gelugor.

MCA memberikan alasan mahu menumpu kepada isu perlaksanaan hudud yang mahu dibentangkan oleh PAS sebagai krisis nasional yang perlu ditangani.

Pada saya alasan MCA itu hanyalah satu gimik dan retorik politik semata-mata, kerana mereka tahu calon MCA tidak boleh memenangi sebarang pertandingan menentang DAP.

Dan pada saya, MCA tidak mahu membuka pekong bahawa kaum pengundi Cina telah menolak mereka; dan mendedahkan sebarang ungkapan konon pengundi Cina sudah kembali kepada MCA adalah retorik politik semata-mata.

Ini terbukti didalam PRK Kajang baru-baru ini dimana calon hebat MCA, Naib Presidennya sendiri Chew Mei Fun tumbang ditangan calon PKR. Malahan jumlah undi yang diperolehi MCA semasa PRU-13 di Kajang semakin menurun didalam PRK Kajang!

Jadi meletakkan calon di kubu kuat DAP di Bkt Gelugor akan sekadar menjadi medan pembantaian kepada survival politik MCA. Silap-silap mahu hilang deposit calon MCA!

Pada saya adalah hak MCA untuk tidak mahu meletakkan calon dalam PRK Bkt Gelugor.

Tetapi MCA tidak ada hak untuk berselindung disebalik isu perlaksanaan hudud oleh PAS sebagai alasan tidak mahu bertanding!

Pada saya ini kenyataan paradox politik yang self-contradictory.

Sepatutnya DAP yang wajar khuatir dan risau dengan cadangan perlaksanaan hudud oleh PAS, kerana PAS adalah rakan sekongkol mereka.

Kalau menggunakan logik MCA, sepatutnya DAP lah yang tidak meletakkan calon dalam PRK Bkt Gelugor. Sepatutnya DAP lah yang sepatutnya menarik diri dan membuat kenyataan mahu menumpu dan fokus kepada menghalang PAS daripada melaksanakan hudud.

Malah MCA sepatutnya menggunakan sepenuhnya peluang didalam PRK Bkt Gelugor untuk menyerang DAP yang kelihatan tidak mampu mengekang rakan sekongkolnya PAS daripada melaksanakan hudud.

Kalau benar MCA mahu menentang perlaksanaan hudud oleh PAS, PRK Bkt Gelugor adalah medan tempur terbaik untuk MCA membelasah DAP; bukan dengan menarik diri daripada bertanding. MCA sepatutnya meyakinkan pengundi Cina bahawa kredibiliti dan kewibawaan DAP tercalar dan tercabar kerana membiarkan PAS melaksanakan hudud.

Malah tag-line politik yang terbaik bagi MCA di Bkt Gelugor ialah "DAP membiarkan PAS melangkah mayat Karpal!".

Jadi tidak masuk akal bagi MCA tidak mahu meletakkan calon dalam PRK Bkt Gelugor kononnya kerana mahu fokus kepada isu perlaksanaan hudud oleh PAS!

Adakah MCA takut dengan bayang-bayang sendiri?

Atau adakah MCA mempunyai agenda politik lain?

Apa pun, bagi saya MCA tidak ada hak untuk menuding jari kepada YAB Perdana Menteri dan kepimpinan Barisan Nasional dan menghalang BN daripada meletakkan calon bagi PRK Bkt Gelugor, kononnya itu adalah kerusi tradisi MCA!

Kalau MCA sendiri memungkiri tradisi BN dengan enggan mahu bertanding dalam satu PRK, maka MCA tidak ada hak untuk menghalang BN daripada memungkiri tradisi dengan meletakkan calon daripada parti komponen lain atau BN-Friendly untuk bertanding dalam PRK Bkt Gelugor - kerana adalah menjadi tradisi BN untuk meletakkan calon dalam mana-mana pilihanraya!

Dan dengan keadaan kesahihan pencalonan Ramkarpal Singh sebagai calon mewakili DAP boleh dicabar kerana kasahihan CEC DAP tidak diiktiraf oleh ROS, ada kemungkinan calon BN boleh menang tanpa bertanding dan merampas semula kerusi Bkt Gelugor.

Ini peluang BN memecah kerusi tradisi DAP; dan MCA tidak patut menghalang hanya kerana kononnya Bkt Gelugor adalah kerusi tradisi MCA.

Apapun, saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut ulangtahun ke 68 kepada UMNO yang menyambut ulangtahun penubuhannya sejak 11 Mei 1946 hari ini.

Sempena ulangtahun ini, mungkin UMNO perlu mempertimbangkan untuk keluar daripada kepompong politik tradisi dengan meletakkan calon menentang Ramkarpal Singh.

Mana tahu berkat ulangtahun ke 68 ini, dan dengan niat jelas mahu bersama umat Islam melaksanakan hudud Islam sebagai mencari keredhaan Allah, mungkin kubu kuat DAP di Bkt Gelugor boleh bertukar menjadi kerusi UMNO, insya Allah!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

ZulkIfli bIN Noordin
Ahad
11 Rejab 1435
11 Mei 2014

DAP - DADDY ANAK PARTY

Ah Foo, itu kelusi Kitua Mentili nanti mau kasi sama lu punyia cucu kah? Aya Ah Cheng, lu luluk liam-liam ma, nanti wa kasi atur tengok apa maciam?
Salam 2 all.

Sahih DAP adalah Daddy-Anak-Party!

Lim Guan Eng anak lelaki Lim Kit Siang merangkap Setiausaha Agong DAP (jawatan yang dipegang oleh bapaknya Lim Kit Siang dahulu) telah mengumumkan pencalonan Ramkarpal Singh anak lelaki Karpal Singh sebagai calon DAP bagi PRK Bukit Gelugor yang dijadualkan pada 25.05.2014 ini.

Tanpa sebarang niat mempertikai mendiang Karpal Singh sebagai tokoh hebat DAP, atau mempertikai Ramkarpal Singh sebagai pewaris pusaka mendiang Karpal; pada saya pencalonan Ramkarpal Singh sebagai calon PRK Bkt Gelugor adalah bukti jelas pembangkang termasuk DAP adalah pengamal politik warisan keluarga.


PARTI ANAK BERANAK

Kita melihat dalam PKR sendiri bagaimana bapak, ibu dan anak memegang jawatan utama parti. Mana ada dalam dunia ini Bapak jadi Ketum - Ketua Umum, Mak jadi Presiden, anak jadi Naib Presiden? Saya ingat Presiden Mugabe di Zimbabwe pun tak jadikan jawatan parti dan kerajaan sebagai warisan keluarga.

Malah dalam PRK Kajang terbukti amalan politik anak-beranak dalam PKR apabila penamaan Anwar sebagai bakal calon diserah-ganti pula kepada isterinya Wan Azizah setelah dia disabitkan hukuman penjara 5 tahun kerana meliwat pembantunya Saiful.

Begitu juga didalam DAP dimana jawatan Setiausaha Agong DAP yang berpuluh tahun dipegang oleh Lim Kit Siang diperturunkan pula kepada anaknya Lim Guan Eng.

Adakah nanti jawatan Setiausaha Agong, kerusi Parlimen Bagan dan kerusi Parlimen Gelang Patah akan diwariskan kepada cucu Lim kit Siang pula?


PENGHINAAN KEPADA AHLI

Kini kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang dipegang oleh mendiang Karpal Singh selama dua penggal diperturunkan pula kepada anaknya Ramkarpal Singh!

Pada saya, amalan demokrasi warisan keluarga ini satu penghinaan kepada ahli DAP dan PKR. Seolah-olah DAP dan PKR sudah ketandusan kepimpinan pelapis sehingga terpaksa jawatan dan kedudukan dalam parti dijadikan warisan pusaka anak-beranak pemimpin sedia-ada.

Begitu juga pengekalan Wan Azizah, isteri Anwar Ibrahim  sebagai Presiden PKR dalam satu licik-politik yang menyaksikan ura-ura Azmin Ali untuk mencabar jawatan Presiden terbantut adalah jelas satu penghinaan kepada ahli PKR yang mahukan satu transformasi politik daripada kongkongan kekeluargaan Anwar kepada demokrasi tulin akar umbi.

Kekangan solid-grip kekeluargaan Anwar dalam PKR yang jelas sehingga memaksa Azmin Ali mengeluarkan kenyataan bahawa PKR bukan milik Anwar dan adalah sangat perlu bagi ahli PKR melangkau keluar daripada bayangan Anwar! Satu kenyataan yang menunjukkan kematangan berpolitik daripada Azmin yang telah di check-mate oleh mainan licik-politik Anwar.


KETANDUSAN PEMIMPIN PELAPIS

Malahan, amalan politik anak-beranak ini membuktikan bahawa kepimpinan DAP-PKR ini seolah-olah tidak mempercayai kebolehan ahli-ahli lain. Malah pada saya ianya satu penghinaan kepada pengorbanan dan komitmen ahli-ahli lain.

Sudah tentu dikalangan ahli DAP dan PKR kini tertanya-tertanya, adakah kriteria untuk menjadi pemimpin dan menduduki jawatan utama parti perlu ada nilai-tambah politik; iaitu mesti ada  Bin Anwar, atau pun Anak Lelaki Kitsiang?


PENGHINAAN KEPADA PENGUNDI DAN RAKYAT?

Malahan bagi saya, pemilihan Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh sebagai calon bagi PRK Bkt. Gelugor adalah satu penghinaan kepada pengundi Bkt Gelugor khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Seolah-olah kerusi Parlimen dan jawatan amanah untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat dijadikan warisan pusaka anak-beranak bagi kepimpinan pembangkang ini.

Saya berharap pengundi di Bukit Gelugor khasnya dan rakyat Malaysia amnya akan membuka mata melihat gelagat politik pembangkang terutama DAP-PKR ini dan memberi mesej jelas rakyat menolak politik warisan keluarga ini dengan menolak mereka dalam PRK Bkt Gelugor nanti.


CALON TAK-SAH

Satu perkara yang ingin saya sentuh disini ialah kesahihan pencalonan Rampkarpal Singh sebagai calon mewakili parti DAP bagi PRK Bkt. Gelugor.

Adakah sebarang watikah calon yang akan dikeluarkan oleh DAP atas nama Setiausaha Agong Lim Guan Eng sah dan boleh diterima oleh Pegawai Pilihanraya Bkt Gelugor? Bolehkah nanti Ramkarpal Singh bertanding atas lambang dan logo DAP?

Ini adalah kerana Pendaftar Pertubuhan - ROS - telah mengeluarkan notis kepada DAP memaklumkan pemilihan CEC DAP adalah tidak sah dan tidak diiktiraf kerana aduan sebahagian ahli DAP yang mempertikai keabsahan proses pemilihan dan pengundian CEC DAP dalam Perhimpunan Khas yang diadakan.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan oleh ROS itu, maka kedudukan semua anggota CEC adalah tidak sah, termasuk kedudukan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agong. Dalam keadaan itu, Lim Guan Eng tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan atau menandatangani watikah calon bagi Ramkarpal Singh untuk bertanding sebagai calon DAP bagi PRK Bkt. Gelugor.

Sekiranya mereka berdegil, ada kemungkinan kertas penamaan calon Ramkarpal Singh nanti akan dtolak oleh Pegawai Pilihanraya Bkt. Gelugor!

Saya sarankan kepada mana-mana calon yang akan bertanding menentang Ramkarpal Singh supaya mengemukakan bantahan bertulis kepada Pegawai Pilihanraya semasa proses penamaan calon 13 Mei ini. Silap-silap menang tanpa bertanding yop!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkfli Noordin
Sabtu
10 Rejab 1435
10 Mei 2014