(Kelihatan penumpang wanita yang selesa dengan koc khas wanita KTMB)
Salam 2 all.
Alhamdulillah akhirnya usul yang telah saya bawa beberapa kali di Parlimen berkaitan dengan perlaksanaan koc khas untuk wanita akhirnya menjadi kenyataan. Saya ucapkan tahniah kepada pihak pengurusan KTMB yang telah melaksanakan "Koc Khas Wanita" bagi perkhidmatan komuter mulai semalam. Saya telah menulis panjang berkenaan perkara ini dalam entri di blog ini bertajuk "Koc Khas Wanita" bertarikh Jumaat 17 Rabi'ul Awal 1431 bersamaan 02 April 2010.
Semoga usaha murni kearah menerapkan nilai Islam dalam cara hidup umat ini akan diberi keberkatan oleh ALLAH. Apa yang lebih membanggakan ialah wanita-wanita bukan Islam juga mengalu-alukan dasar baru KTMB mengadakan koc khas ini. Moga-moga dengan cara itu, mereka akan lebih menghargai nilai kehidupan menurut syariat Islam, dan insyallah akan lebih mendekati Islam dan moga terbuka hati mereka untuk menerima cahaya dan petunjuk Islam.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
14 Jamadil Awal 1431
29 April 2010
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(Petikan daripada akhbar Harian Metro bertarikh Khamis 02.04.2010)
'Kami lega'
2010/04/29
KUALA LUMPUR: Pengguna komuter terutama wanita boleh menarik nafas lega berikutan pelaksanaan sebuah gerabak dikhaskan untuk golongan itu mula beroperasi, semalam.
Penumpang, Shahirah Mohd Shariff, 24, berkata pengasingan gerabak boleh mengelak berlaku gangguan seksual terhadap penumpang wanita terutama dalam keadaan sesak pada waktu puncak.
“Sebelum ini, rakan baik saya pernah diraba seorang lelaki ketika berhimpit-himpit dalam tren dan pengalaman ngerinya itu membuatkan saya trauma menggunakan perkhidmatan ini.
“Bagaimanapun, saya lega kerana gerabak khas wanita disediakan dan kini saya boleh ke tempat kerja tanpa perlu berasa bimbang kejadian sama berlaku,” katanya.
Bagi Aishah Omar, 42, dengan adanya gerabak yang khusus untuk kaum wanita, peluang warga emas, wanita mengandung dan yang membawa anak kecil mendapat tempat duduk lebih cerah.
“Pendekatan KTM ini sangat bertepatan berikutan ramai rakan wanita yang merungut tidak selesa kerana terpaksa bersentuhan dengan lelaki jika tren terlalu sesak selain pengalaman melihat sendiri seorang gadis diraba warga asing,” katanya.
Pekerja swasta, Ruby Hanim Sohana Ariffin, 45, pula menyifatkan pengasingan itu memberi kemudahan kepadanya malah dia kini tidak perlu berebut dan berdiri lama dalam tren berikutan bilangan penumpang berkurangan kerana gerabak itu tidak mempunyai penumpang lelaki.
Bagi seorang penumpang, Nor Amirruddin Nordin, 24, pengasingan gerabak itu langkah tepat bagi mengurangkan risiko wanita menjadi mangsa gangguan seksual dan penyeluk saku.
“Ia memberi kelebihan kepada wanita kerana mereka tidak perlu bimbang bersentuhan dengan berlainan jantina. Begitu juga lelaki kerana tak semua antara kami selesa jika terpaksa berhimpit dengan wanita,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter, Mohd Hider Yusoff@Othman, berkata gerabak khas itu boleh dikenal pasti melalui pelekat merah jambu ditampal di setiap cermin tingkapnya dan kain rentang dipasang di setiap platform selain pengumuman mengenai pengasingan itu dibuat di beberapa stesen.
“Bagaimanapun beberapa penumpang lelaki agak keliru dan ada masih menggunakan gerabak khas itu hari ini (semalam),” katanya mengiringi wartawan membuat tinjauan, semalam.
Mohd Hider berkata, ia akan mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk melatih orang ramai mematuhi arahan kerana pihaknya akan selaraskan peraturan baru itu dimulai laluan dari stesen Sentul ke Port Klang dahulu.
Katanya, tempoh percubaan akan dilakukan selama seminggu untuk mendapatkan reaksi orang ramai mengenai pengasingan gerabak itu manakala operasi gerabak wanita bagi laluan Rawang ke Seremban dijangka dilaksanakan 15 Mei ini.