Showing posts with label Dr Asri. Show all posts
Showing posts with label Dr Asri. Show all posts

10 November 2010

PUTAR BELIT LAGI!!


Salam 2 all.

Media portal pro pembangkang MalaysiaKini cuba memutarbelitkan kenyataan Dr. Asri Zainul Abidin dengan membawa tajuk berita dalam siarannya semalam 09.11.2010 dengan tajuk "Asri mohon maaf cadang Anwar 'bersara'. Isi beritanya pula menyatakan "bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf atas pandangan sebelum ini yang mencadangkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya "bersara politik."

Sedangkan kenyataan Dr. Asri sebenarnya jauh daripada yang dilapurkan. Malahan Dr. Asri tetap dengan ketegasannya menasihatkan Anwar supaya berundur daripada politik, malah sudah menjadi "dinasour PKR" pun.

Sebenarnya Dr. Asri telah membuat surat terbuka kepada Anwar semalam, yang kenyataan penuhnya teman lampirkan dibawah. Bagi yang berminat, boleh layari sendiri laman web www.drmaza.com.

Malah teman cuba memastikan kesahihan lapuran MalaysiaKini tersebut dan menghubungi Dr. Asri sendiri. Ini saya lakukan kerana ALLAH memerintahkan kita umat Islam supaya berhati-hati dengan berita daripada fasik, apa lagi kalau kafir (surah Al Hujurat: 6). Dan Dr Asri, yang sedang berada di Tokyo, menghantar sms pada jam 11.16.32am 10.11.2010 kepada teman saperti berikut:

"Saya tidak pernah tarik balik atau menyesal dengan kenyataan mencadangkan dinasour-dinasour politik termasuk DSAI bersara. Surat terbuka saya jelas dalam ini. Cumanya saya hanya memohon maaf jika beliau kecil hati. Itu adalah adab pergaulan, namun pendapat saya masih kekal sehingga kini".

Nah, begitu pendapat seorang ulama', penuh dengan adab dan kesopanan. Tetapi sayang ada pihak cuba mengambil kesempatan dan memutarbelitkan kenyataan Dr. Asri. Sebenarnya inilah politik kotor yang diamalkan: pembohongan dan cakap tak serupa bikin. Dan ini jelas daripada lapuran media portal pro-pembangkang ini. Kalau ini pun pak-pak jangoat badut ingusan masih buta tak nampak, memang jelaslah jiwa mereka sudah "summum bukmum 'umyum fahuum".

Semoga ALLAH menyelamatkan kita daripada bahana fitnah di zaman fitan ini.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Rabu

02 Zulhijjah 1431

10 Nov 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@

(Dari laman web "www.drmaza.com")


SURAT TERBUKA UNTUK YANG BERHORMAT DSAI

Saya baru sahaja membaca kenyataan YB DSAI bahawa kenyataan menyuruh beliau berundur adalah satu perancangan. Ini rentetan Dato Zaid Ibrahim yang membuat gesaan yang sama. DSAI menyatakan bahawa saya juga telah digunakan oleh Utusan. Walaupun, pada awalnya saya berniat tidak mahu lagi menyentuh isu ini, tetapi perkataan ‘digunakan’ itu agak berat. Izinkan saya menyebut beberapa perkara;

1. Untuk pengetahuan DSAI, secara peribadi saya tidak memusuhi DS. Bahkan saya simpati dengan keadaan beliau sekarang. DS sendiri tahu adanya persahabatan yang baik antara pihak saya dan DS. Kenyataan saya tidak menyebut isu peribadi DS. Kenyataan saya hanya tentang soal keberkesanan pembangkang dan memastikan keseimbangan politik antara kerajaan dan pembangkang.

2. DSAI, biasanya apabila saya ingin melontarkan pandangan politik yang besar, saya akan merujuk terlebih dahulu kepada beberapa orang ‘pemikir politik’ yang –bagi saya- tajam dan kritis. Mereka akan memberi pandangan balas. Mereka ini sebahagian ‘tidak mesra kerajaan’ dan sebahagiannya neutral. Tapi dalam isu ‘pengunduran DSAI’, saya tidak merujuk kepada sesiapa. Saya hanya berpada dengan pemerhatian dan kajian umum saya. Ya, setiap kita di samping apa yang kita faham, kita juga mungkin mempunyai ‘instinct’ tersendiri dalam mengagak sesuatu perkara. Saya sendiri agak ragu-ragu sebelum kenyataan itu saya minta moderator saya siarkan dalam Minda Tajdid. Pada awal moderator Minda Tajdid sendiri pun risau. Saya minta siarkan kerana tiada isu peribadi, ia hanya pandangan tentang politik Malaysia. Maksud saya, tiada siapa gunakan saya ketika kenyataan ini keluar.

3. Seperti yang pihak Utusan laporkan, mereka memetik dari website saya. Mereka tidak mengambil kenyataan itu dari mulut saya. Mereka memetiknya dari kenyataan yang disiarkan dalam website saya. Petikan mereka juga tepat, cuma tajuk agak ‘garang’. Bukan kenyataan exclusive untuk mereka. Sebaliknya, Malaysian Insider dan Malaysiakini mendapatkannya secara langsung dari saya. Maka, tiada perancangan antara saya dan Utusan.

4. Saya pun tidak tahu bahawa Dato Zaid Ibrahim dan Saudara Mustafa Kamil Ayyub akan membuat tindakan dan kenyataan yang seperti itu. Hal itu berlaku selepas beberapa hari dari kenyataan saya. Tentunya, saya tidak berada di belakang mereka.

5. Jasa, sumbangan dan kesan DSAI dalam bidang politik akan tetap dikenang dan menjadi sejarah tanahair. Di sudut pemikiran Islam, DSAI jauh lebih luas dari banyak pihak. Dari sudut pidato, DSAI masih mantap. Dari sudut umur, DSAI belum terlalu tua dalam politik. Namun, bagi saya jangka hayat politik seseorang bukan sahaja faktor umur dan pidato, banyak lagi persoalan lain yang wajar diambil kira. Salah satu unsur yang penting; kemampuan mengendali rakyat bawahan dan kemampuan mempengaruhi rakyat tentang idea yang dibawa. Jika hal itu mula merosot, maka tahap politik seseorang juga hakikatnya mula merosot. Jika itu dapat ditingkat, atau dipertahankan, bererti kemampuan kepimpinan seseorang masih utuh.

6. Kita tetap memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan dalam negara ini. Jika mereka hendak menjadi kerajaan alternative pun, mereka mestilah jadi lebih baik, terurus, meyakinkan dan berkualiti. Itulah harapan rakyat marhaen seperti saya.

7. Apapun, saya tetap bersimpati dengan pergolakan akhir PKR, parti DSAI. Namun, hal ini memang boleh dijangkakan oleh ramai pemerhati dari awal lagi. Bukanlah hak saya mencampuri parti DSAI. Tetapi hak saya memberikan harapan atau pandangan kepada Ketua Kerajaan dan Ketua Pembangkang kerana mereka mendapat peruntukan negara dan mereka penentu masa depan rakyat.

8. Apa yang berlaku, anggaplah itu pendapat saya secara peribadi. Bukan pandangan hukum, bukan juga satu paksaan. Pandangan yang boleh diterima dan ditolak. Bak kata YB Nurul Izzah, biarlah rakyat dan parti yang menentukan. Pandangan insan terdedah kepada salah dan silap. Apatahlagi pandangan insan kerdil seperti saya. Namun, masa yang berjalan dan peristiwa yang bakal terjadi akan memperlihatkan sejauh manakah kebenaran sesuatu andaian atau ramalan. Jika satu hari DSAI dapat bukti saya silap dalam andaian tersebut, maka rakyat tahu saya membuat andaian yang tidak tepat dan dengan redhanya saya akan berkata ‘andaian saya salah!’. Jika sebaliknya, maka jawapannya pun sebaliknya.

9. Sebagai muslim, apa yang penting bagi saya, hubungan ukhuwwah islamiyyah antara saya dan DSAI harap tidak terputus. Politik kepartian boleh datang dan pergi, namun hati nurani Islam kita mesti kekal abadi. Saya telah sms secara peribadi kepada DSAI, agar tidak rosak hubungan Islamiyyah ini. Pandangan saya hanya untuk renungan politik, bukan isu peribadi. Justeru, sebagai saudara muslim, saya sekali lagi –seperti kenyataan awal- pohon kemaafan atas pandangan tersebut. Namun saya masih mempercayai pandangan itu ada kebenarannya, melainkan Allah S.W.T mendatangkan hal yang sebaliknya. DIA Maha Mengetahui segalanya.

Dengan ini, saya harap kenyataan media DSAI itu dapat dilihat sekali lagi. Apa pun, sekali lagi saya ingin maklum kepada DSAI, Alhamdulillah, tiada siapa yang menggunakan saya dan kita tetap saudara muslim. Wassalam.

Mohd Asri Zainul Abidin
9 Nov 2010, 3.30 p.m

20 June 2010

DR. ASRI JOIN UMNO?

Salam 2 all.

Saya agak terkejut membaca lapuran MalaysiaKini hari ini mengenai kemungkinan sahabat saya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin akan menyertai UMNo Jumaat depan bersama dengan beberapa ulama' muda yang lain. Kebetulan minggu lepas Dr. Asri hadir sebagai tetamu di pembukaan Mu'tamar Agong PAS di Kota Bharu.

Saya telah menghubungi Dr. Asri dan berbincang dengan beliau. Beliau menegaskan belum membuat keputusan mengenai soal menyertai mana-mana parti politik buat masa ini. Dan bagi yang berminat dengan kebenaran, sila layari lamanweb beliau www.drmaza.

Saya telah mengulangi pendirian saya kepada sahabat saya Dr. Asri supaya beliau tidak menyertai mana-mana parti politik, samada UMNO ke atau PAS? Saya sarankan kepada beliau supaya terus dengan status ulama' bebas yang tidak terikat dengan politik kepartian, kerana saya telah melihat apa terjadi kepada para ilmuan dan agamawan yang kecundang kepada berhala politik kepartian ini.

Memang seorang ulama' perlu berpolitik, malahan pada saya wajib seorang ulama' itu menjadi seorang political savvy. Tetapi bukan dengan berparti politik. Kita lihat contoh di Iran, pengaruh Ayatollah yang sangat dihormati walaupun tidak berparti. Kita lihat Syeikh Dr. Abdul Rahman Syudais yang pandangannya bebas tetapi tegas, samada diikuti atau tidak itu soal kedua, tetapi beliau berani bercakap berdasarkan hak dan kebenaran Al Quran dan Hadis.

Seorang ulama' bebas dari politik kepartian adalah saperti harimau yang bebas dihutan belantara. Jangankan berdepan dengannya, mendengar ngaumannya sahaja pun ada yang terkencing dalam seluar. Melihat tapak kakinya sahaja melahirkan kegerunan. Tetapi harimau yang sama, diletak didalam kandang zoo, jangankan mengaum, jadi tontonan bebudak tadika je. Itulah kedudukan ulama' yang duduk didalam kandang kepartian, sekadar menjadi tontonan dan bahan hiasan sahaja.

Saya berharap Dr. Asri akan menimbang dengan serius saranan saya. Apapun, hak memilih adalah hak beliau, dan jika beliau memilih untuk menyertai mana-mana parti politik, saya akan menghormati keputusan itu walaupun saya mungkin tidak bersetuju dengannya.

Wallahua'lam & wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
07 Rejab 1431
21 Jun 2010

30 March 2010

KUASA POLITIK & KUASA AGAMA

Salam 2 all.

Saya lampirkan tulisan sahabat saya Al Fadhil Dr. Asri Zainul Abidin bertajuk "Kuasa Politik & Kuasa Agama" yang disiarkan di lamanweb MalaysiaKini bertarikh hari ini mengenai persoalan, isu dan ciri-ciri kepimpinan mullah. Kebetulan pula saya baru mengupas tentang ciri kepimpinan ulama' semalam.

Saya sangat tertarik dengan petikan yang beliau rujuk daripada Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): "Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya" (al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 7/262).

Saya dapati kupasan beliau sangat bernas dan nas-nas dan dalil-dalil yang sangat mantap lagi meyakinkan. Semoga ianya akan dapat memberikan satu suntikan baru kepada kita yang mengimpikan suatu pemerintahan berteraskan kepada Al Quran & Sunnah insyallah.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin

Selasa

15 Rabi'ul Akhir 1431

30 Mac 2010

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

(Petikan daripada tulisan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang disiarkan di MalaysiaKini bertarikh Isnin 30.03.2010)

KUASA POLITIK & KUASA AGAMA

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin


Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.


Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini...

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila 'iman rakyat' dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan 'Tuhan' atau 'pegangan agama' adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai 'tuhan' atau 'jelmaan Tuhan' adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai 'iman rakyat'.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau 'Tuhan', tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian 'penguasaan politik' atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang 'senior' tidak mahu memberi laluan kepada 'imam junior' di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun 'pengaruh politik agama' amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana 'kemaruk kuasa' seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): "Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya" (al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.

Perkongsian dan pertarungan kuasa

Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah

Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infallible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teksal-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya) "Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara 'membabi buta' (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-'Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)". Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w: "Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah". (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya...

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan 'tidak boleh mengkritik mufti' atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan 'tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan 'panel kurang selesa' atau 'panel agama merasa keliru' maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama 'adat menyembah raja sehingga merangkak' direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan 'sambungan jawatan'! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama 'pintar dan putar' antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku...

Nota pengarang: Dr Mohd Asri - bekas mufti Perlis - adalah lulusan sarjana mudanya Universiti Jordan dalam bidang bahasa Arab dan syariah, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengajian Islam. Beliau seterusnya mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafahnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan tesisnya berhubung sebab wurud (terbitnya) hadis