12 Ogos 2014

Polis kesan individu sebar konon berlaku pergaduhan

16 Syawal 1435. [MOD] -

IPOH: Polis Perak sedang mengesan individu yang menyebarkan dakwaan di laman sosial kononnya berlaku pergaduhan di antara kaum di bandar raya ini.
  
Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata polis sedang menyiasat perkara itu dan akan mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang menyebarkan dakwaan itu.
  
"Kita (polis) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka di bawah Akta Hasutan, Akta Jenayah Komputer, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta di bawah Kanun Keseksaan terhadap mereka yang menghasut dan mereka-reka cerita," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Beliau berkata polis tidak menyembunyikan sebarang fakta berikutan bandaraya Ipoh sekarang ini berada dalam keadaan aman.
  
Sebelum ini, ada pihak mendakwa pergaduhan berlaku di Balai Polis Pekan Baru di sini, stesen Keretapi Tanah Melayu dan Pasar Malam Gerbang Malam baru-baru ini.
  
Paramasivam berkata orang awam datang ke balai polis berkenaan kerana berlaku satu kemalangan melibatkan dua motosikal dan seorang daripadanya maut.
  
"Disebabkan kemalangan itu, orang ramai datang ke balai polis dan kebetulan ada majlis perayaan di kuil India berdekatan dengan balai polis itu.

Tiada kepungan dan rusuhan berlaku di situ,"  katanya.
  
Selain itu, Paramasivam turut menafikan dakwaan berlakunya kejadian pecah cermin kereta individu yang mempunyai pelekat lambang sebuah restoran makanan segera.
  
Beliau berkata setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung dakwaan itu dan orang ramai diminta membuat laporan polis sekiranya menghadapi situasi berkenaan. - Bernama

Tiada ulasan: