25 Jun 2013

Tuan rumah Piala Dunia 2014 kekal di Brazil - FIFA


16 Syaaban 1434 H. [MOD] -



RIO DE JANEIRO: Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) hari ini mempertahankan bahawa tuan rumah bagi Piala Dunia 2014 kekal dianjurkan Brazil meskipun tercetus bantahan awam di negara berkenaan. 

FIFA turut menjelaskan setakat ini tiada 'tawaran rasmi' diterima badan itu dari mana-mana negara yang mahu menganjurkan kejohanan terbesar bola sepak dunia itu. 

Sejak beberapa minggu lalu, pihak berkuasa Brazil terpaksa melepaskan gas memedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan. 


Mereka membantah penganjuran tuan rumah Piala Konfederasi yang berlangsung sekarang dan Piala Dunia tahun depan dan menanggapnya ia satu pelaburan salah oleh kerajaan. 

Kerajaan Brazil memperuntukkan AS$13.3 bilion untuk pembinaan stadium, menaik taraf lapangan terbang dan projek berkaitan Piala Dunia pula mencecah perbelanjaan AS$3.5 bilion. 

Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke, yang kali pertama memberi kenyataan kepada umum sejak keganasan tercetus di Brazil, menegaskan bahawa temasya berkenaan tidak sekali-kali dibatalkan. 

Katanya, Piala Dunia akan memberi banyak manfaat kepada seluruh negara Brazil. 
"Kita melakukannya dengan memuaskan dan banyak perkara baik dilakukan. 

"Tiada pelan B dan saya tidak pernah menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana negara di dunia untuk menganjurkan Piala Dunia 2014 (kecuali Brazil),” kata Valcke. - AP

Tiada ulasan: