19 Februari 2013

Pengerang: Air bertakung, binatang liar di kubur baru

8 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tanah perkuburan baru di Punggai berdekatan Dasaru Johor yang menempatkan mayat-mayat yang dipindahkan dari empat buah kampung didapati tidak diuruskan dengan sempurna.

Bukan itu sahaja, difahamkan pengalihan kubur-kubur serta penyempurnaan semula juga didakwa tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

Menurut Pengerusi Gabungan NGO Pengerang Anis Afida (gambar), jalan masuk ke kubur Punggai sehingga hari ini masih tidak ditar, bahkan kawasan kubur pula tidak dipagar dan terdedah kepada binatang liar.

Sedangkan katanya, Mufti Johor turut menegaskan sebelum berlakunya pengalihan mayat-mayat kawasan kubur baru perlulah dipagar dan ditanam pokok terlebih dahulu seperti tapak kubur yang lain.

"Dalam beberapa siri tinjuan, kita dapati ada kesan tapak kaki babi di kawasan kubur baru ini, bukan itu sahaja kita mendapati ada kesan korek dari binatang liar yang masuk berkeliaran di tapak itu," katanya kepada Harakahdaily.

Ketika hari hujan pula katanya, air menjadi bertakung di kawasan tanah perkuburan itu akibat sistem saliran yang tidak sempurna, malah ada di antara tanah kubur baru itu mendap sehingga nampak berlubang.

Anis turut melahirkan kekecewaan apabila proses pemindahan kubur dilakukan oleh pihak kontraktor yang didakwa tidak dilakukan dengan tertib dan sempurna.

"Rangka mayat yang dikutip dalam kubur hanya dibunjut dalam kain putih dan dilonggokan satu tempat tidak ubah seperti angkut baja, kemudian sampai di kubur baru dikeluarkan dari kenderaan tanpa ikut amalan formal yang biasa dibuat oleh orang Islam, bahkan waris pula tidak dipanggil," katanya ketika dihubungi.

Apa yang menyedihkan katanya, kubur-kubur baru sebelum ini diletakkan rapat-rapat antara satu sama lain, sehingga pihak kontraktor mengorek semula untuk memindahkan mayat dengan keluasan kubur yang munasabah.

"Sedih, mayat-mayat ini dipindah berkali-kali, tanpa ada tertib yang sempurna. Mayat-mayat ini pun perlu dihormati dan mereka perlu disempurnakan dengan baik, kita ada tata tertib yang diamalkan dalam Islam.

"Inilah akibatnya bila kerja-kerja pemidahan dibuat secara tergesa-gesa hingga segala prosedur dan akhlak mengurus jenazah tidak mengikut Syarak," katanya.

Empat kubur terbabit di Kampung Sg Kapal, Kampung Jawa Laut, Kampung Jawa Darat, dan Kampung Sebong mula dikorek pada 21 Disember tahun lepas.

Pengalihan kubur di kampung terbabit dibuat akibat tindakan kerajaan Umno-BN mahu menkalankan projek pembangunan Pusat Penapisan Petroleum di Penggerang sejak 13 Mei 2011.

Projek bernilai RM170 bilion dikatakan mengancam lebih 11 kawasan tanah perkuburan Islam dengan lebih 12,000 kubur telah dan bakal dialihkan jika projek itu berterusan.

harakah/-

Tiada ulasan: