Memaparkan catatan dengan label SURAT PEMBACA PILIHAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SURAT PEMBACA PILIHAN. Papar semua catatan

Khamis, 27 Februari 2014

ISU PENDIDIKAN : Jangan malukan profesion guru


"Jika kita bekerja seperti biasa, janganlah kita mengharapkan hasil yang luar biasa."

Demikian kata cerdik pandai untuk menggambarkan betapa perlunya manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat.

Sebagai seorang pendidik yang hampir 30 tahun mengajar di salah sebuah sekolah di pantai timur, saya berasa kata-kata cerdik pandai yang dinyatakan tadi, cukup sesuai menggambarkan senario pendidikan negara mutakhir ini.

Saya beranggapan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) cukup sedar bahawa sudah tiba masanya sistem pendidikan negara ini beralih kepada satu era yang mampu meletakkan standard pendidikan negara mencapai kelas dunia.

Usaha ini sejajar dengan sejarah perkembangan sistem pendidikan itu sendiri. Jika pada era awal kemerdekaan melalui Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960), sistem pendidikan menggalas misi menyatupadukan rakyat, maka dalam konteks langit terbuka sekarang, negara ini perlu memiliki suatu sistem pendidikan yang mampu melahirkan pelajar bertaraf antarabangsa dan boleh bersaing dengan rakan-rakan mereka di belahan benua sebelah sana.

Oleh sebab itu saya secara peribadi amat berbesar hati apabila KPM pada tahun lalu melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 dengan tiga objektif khusus iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa; mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas; menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam pendidikan.

Bagi mencapai objektif PPPM, maka KPM menjalankan suatu sistem penilaian yang begitu hangat diperkatakan sekarang iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Perlu diingatkan bahawa sejak awal kemerdekaan sehinggalah era milenium, sistem penilaian pelajar dalam sistem pendidikan negara teruk dihentam oleh pelbagai pihak yang mendakwa sistem penilaian ini terlalu berorientasikan peperiksaan. Kesannya kebanyakan pelajar, waima ibu bapa sekalipun 'gila' menyusun deretan pangkat 'A' dalam buku rekod pencapaian pelajar setiap tahun.

Maka PPPM yang digubal melalui penyertaan 55,000 orang cerdik pandai dari dalam dan luar negara mendukung pelaksanaan PBS sebagai pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pentaksiran melalui PBS meliputi bidang akademik dan bukan akademik.

Bagaimanapun, pelaksanaan sistem ini nampaknya dikenal pasti mempunyai beberapa kelemahan dan perlu diteliti semula untuk memastikan sistem ini berjalan lancar pada masa depan.

Jadi, saya menyambut baik pengumuman Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof, baru-baru ini yang menangguhkan secara rasmi pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat KPM dalam masa terdekat.

Seperti yang terkandung dalam gelombang pelaksanaan PPPM, sistem pendidikan negara sekarang berada pada Gelombang 1 (2013-2015) yang menumpukan pengubahan sistem dengan menyokong guru dan memberikan keutamaan kepada kemahiran utama. Dalam Gelombang 1 ini dinyatakan bahawa penambahbaikan PPPM akan dijalankan dari semasa ke semasa.

Jadi, tindakan menangguhkan PBS dan mengkajinya semula untuk proses penambahbaikan selari dengan tuntutan Gelombang 1 pelaksanaan PPPM.

Keterbukaan KPM untuk mendengar keluhan guru berkenaan PBS sehingga bersedia menangguhkannya menunjukkan bahawa pelaksanaan PBS ini tidak mempunyai agenda peribadi mahupun politik.

Saya cukup kecewa apabila ada kumpulan pendidik di bawah nama badan pertubuhan bukan kerajaan belum berdaftar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) dengan penuh angkuh mendakwa mereka mewakili suara guru-guru mengecam KPM untuk memansuhkan PBS. Bahkan mereka sampai ke tahap mengadakan perhimpunan di Bangi baru-baru ini bagi menunjukkan kehebatan mereka mendesak KPM memansuhkan PBS. Lebih memalukan mereka bakal menyerahkan memorandum bantahan pelaksanaan PBS kepada Perdana Menteri.

Apa masalah mereka ini? Adakah mereka tidak memahami betapa getirnya cabaran pendidikan negara ini jika masih berada pada takuk lama ketika negara lain berlumba-lumba melonjakkan sistem pendidikan negara masing-masing ke peringkat dunia?

Bukan budaya guru di Malaysia ini bertindak berhimpun dan menyalak membantah KPM sedemikian rupa.

Lebih mengaibkan perhimpunan yang mereka anjurkan baru-baru ini turut disertai oleh beberapa buah NGO lain yang berbau politik. Agak melucukan apabila Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang tumpang sekaki menyertai perhimpunan tersebut, tiba-tiba mengeluarkan usul agar kuasa Menteri Pendidikan dihadkan supaya tidak sewenang-sewenangnya mengubah sistem pendidikan negara dan sebarang perubahan harus diberikan kepada pakar.

Pastinya kenyataan ini merujuk PPPM yang dilancarkan pada tahun lalu yang mendukung PBS. Adakah ABIM tahu berapa ramai pakar yang sudah terlibat menggubal PPPM dan merencanakan PBS?

Fahamilah roh pelaksanaan PPPM dan PBS terlebih dahulu sebelum bersilat di gelanggang.

Saya cukup setuju dengan pandangan Datuk Seri Idris Jusoh Menteri Pendidikan II pada 24 Februari lalu bahawa PBS tidak akan dimansuhkan kerana rakyat mahukannya.

Dahulu kita sibuk marahkan sistem penilaian pelajar yang berorientasikan peperiksaan, sekarang tidak semena-mena sekumpulan guru yang baru setahun jagung mengajar, terhegeh-hegeh pula mahu sistem penilaian holistik yang tidak berorientasikan peperiksaan, segera dimansuhkan. Jadi sebenarnya, apakah yang mereka mahukan?

SUARA HATI GURU
Hulu Terengganu

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 3 September 2013

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Dengar nasihat dikemukakan pakar


NEGARA menyaksikan satu lagi tragedi nahas yang juga terburuk dalam sejarah kemalangan jalan raya apabila 37 orang daripada 53 orang penumpang termasuk pemandu maut dalam kejadian di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands.

Walaupun nahas ini adalah kehendak takdir namun jika kita telah melaksanakan usaha yang sewajarnya, kemungkinan besar nahas seperti ini dapat dielak atau paling tidakpun jumlah kemalangan maut seperti ini dapat dikurangkan.

Hal ini kerana ini bukanlah kejadian yang pertama seumpama ini di negara kita. Malah di kawasan yang berdekatan sendiri telah meragut sejumlah nyawa yang besar sebelum ini. Misalnya 17 penumpang terbunuh apabila bas yang mereka naiki terhumban dalam gaung di Kilometer 1.5 Jalan Genting-Kuala Lumpur pada Julai 1996.

Pada September 2003 pula seorang maut apabila bas persiaran hilang kawalan sebelum terbabas ke gaung di Kilometer 19 Jalan Genting-Kuala Lumpur.

Tiga orang maut apabila bas terbalik ketika menuruni selekoh tajam di Kilometer 13, Jalan Genting-Batang Kali pada November 2006. Tujuh orang lagi maut apabila sebuah bas pelancongan terbabas dan terbalik di KM38 Genting Sempah pada Oktober 2010 dan dua pelancong terbunuh apabila bas terbalik di bahu jalan di KM4.5 Jalan Genting-Kuala Lumpur pada Mac 2012.

Ini adalah sebahagian daripada insiden yang berlaku di kawasan yang berhampiran dan belum lagi mengambil kira statistik kemalangan besar seperti ini terutamanya yang melibatkan bas di seluruh negara seperti yang pernah berlaku di Bukit Gantang, Perak sebelum ini.

Kebiasaannya kita akan menubuhkan jawatankuasa siasatan termasuklah untuk tragedi ini seperti yang telah diumumkan.

Hampir setiap hasil dapatan dan siasatan jawatankuasa yang ditubuhkan boleh dikatakan lebih kurang sama iaitu adanya pelbagai unsur kecuaian.

Ini sama ada daripada pihak pengusaha bas terutamanya melibatkan keadaan keselamatan bas seperti brek ataupun kecuaian dan kelemahan pemandu bas itu sendiri di samping faktor lain seperti keadaan permukaan jalan, faktor cuaca dan sudah semestinya faktor takdir.

Malah dalam kes terbaharu ini juga dilaporkan bahawa mengikut cerita mangsa yang terselamat dikatakan bas gagal dikawal kerana dipandu laju. Itu belum lagi soal sama ada berlaku kecuaian di segi muatan penumpang yang berlebihan.

Persoalannya ialah apa berlaku dengan segala syor dan cadangan pembetulan dan pencegahan yang telah dikemukakan oleh semua jawatankuasa siasatan yang telah ditubuhkan untuk setiap insiden sebelum ini? Berapa banyak hasil siasatan yang telah didedahkan kepada umum?

Sejauh mana pula pihak yang berkaitan memandang serius dan mengambil berat serta mengambil tindakan ke atas syor dan cadangan yang telah dikemukakan agar perkara yang sama tidak terus berlaku dan berulang.

Kita percaya andai semua cadangan dan syor ini telah diambil tindakan yang sewajarnya sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan ataupun dapat mengelak kejadian seperti ini daripada terus berlaku.

Justeru kita berharap agar janganlah berhenti setakat pembentukan jawatankuasa siasatan serta penyediaan laporan semata-mata sebaliknya apa yang penting ialah tindakan pembetulan dan pencegahan perlu diambil berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh pakar-pakar yang menyiasat sesuatu kejadian terbabit. Jika tidak kejadian seperti itu akan terus berlaku.

Semoga semua pihak mengambil iktibar daripada kejadian ini dan segera betulkan keadaan agar dapat mengelak mahupun mengurangkan kejadian seperti ini. Jangan menyalahkan takdir semata-mata tanpa sebarang usaha dan inisiatif yang sewajarnya daripada semua pihak.

Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 1 Ogos 2013

ISU PENDIDIKAN : Peluang lanjut pengajian martabatkan profesion keguruan


DEWASA ini terdapat banyak peluang dan ruang untuk guru-guru kita melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan ijazah pertama, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran. Peluang ini seharusnya digunakan oleh guru yang terbabit tanpa menoleh ke belakang lagi.

Hal yang demikian kerana terdapat banyak kemudahan dan insentif bagi guru terbabit untuk menggapai cita-cita tersebut.

Cara untuk membayar yuran kolej dan pengajian telah menjadi begitu mudah dan toleran mengikut tempoh yang ditetapkan.

Perundingan dan perbincangan untuk ke arah berkenaan menjadi teras pengajian ini berjalan lancar walaupun ada segelintir guru terbabit mengalami masalah kewangan, penjagaan anak, suami atau isteri yang berjauhan.

Menuntut ilmu hukumnya wajib. Guru-guru yang masih berkhidmat dan layak untuk menyambung pelajaran ini sebenarnya adalah kumpulan guru yang bertuah.

Mereka dapat menghabiskan tempoh pengajian dan dapat menikmati hasil peningkatan kelayakan mereka pada ketika mereka masih berkhidmat lagi.

Tentu mereka akan diangkat ke tahap yang lebih tinggi atau naik pangkat berpandukan kelayakan dan kebolehan mereka.

Lambat laun mereka akan memperoleh banyak lagi kemudahan hasil usaha penambahbaikan dasar-dasar kerajaan yang sentiasa mengangkat darjat para penjawat awam seperti guru.

Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Apa sahaja yang ingin kita peroleh memerlukan usaha dan pengorbanan yang berterusan.

Bagi mereka yang sudah berkeluarga perkara ini amat dirasakan.

Meninggalkan anak, suami atau isteri mewujudkan sedikit ketidakselesaan kepada mereka dalam sepanjang tempoh kuliah itu berlangsung semenangnya menjadi kebiasaan.

Berkat kesabaran kedua-dua belah pihak, guru yang terbabit dapat menamatkan pengajian dan menggenggam segulung ijazah yang diidam-idamkan. Tahniah para guru dan rakan-rakan yang memperoleh kejayaan ini.

Memang benarlah kata-kata bijaksana hendak seribu daya dan tak nak seribu dalih.

Dengan niat yang telah ada hendak menyambung pelajaran, usaha keras para guru dan doa yang khusyuk lambat laun apa yang kalian perjuangkan akan berhasil.

Ini sunnatullah, hukum Tuhan. Bak kata pepatah Arab Man Jadda, Wajada - Sesiapa yang bersungguh-sungguh, dia berjaya.

Bagi sekelumit guru yang tidak berpeluang dan ruang untuk sama-sama merebut kemudahan dan keistimewaan tetapi berkeinginan, itu semenangnya terasa sedikit termengkelan.

Apa yang diharapkan kini ialah kalau-kalau mereka ini dapat diangkat ke tahap yang lebih tinggi daripada kedudukan sekarang sejajar dengan pengalaman yang ada.

Kalau diselidiki sesetengah daripada mereka ini mempunyai kebolehan dan kemahiran yang masih bersangkutan dengan dunia pendidikan.

Didapati ada guru yang menjadi penulis, mendapat tempat di akhbar dan majalah dan telah menghasilkan buku, novel, cerpen, puisi atau lain-lain genre penulisan dalam koleksi mereka.

Selain itu ada juga antara mereka yang mendapat kemenangan dalam pertandingan penulisan yang dianjurkan pada peringkat negeri dan kebangsaan. Rekod yang baik dan penampilan yang berkesan juga wajar diperhatikan.

Ada juga antara mereka yang memiliki kursus lanjutan dengan pengkhususan tertentu contohnya selama setahun di institut pendidikan,  wajar juga diambil kira untuk kenaikan pangkat.

Kalau tidak golongan ini akan hanya melihat seorang demi seorang  rakan mereka meniti anak tangga demi anak tangga. Bohong kalau dikatakan golongan ini tidak berhasrat untuk menggapai jawatan nombor satu di sekolah pada ketika ini.

Yang bersinar bukan semuanya bercahaya. Kelulusan penting tetapi pengalaman juga tidak wajar ditolak sama sekali.


ABDULLAH ABDUL RAHMAN

SK Serting 3 (Felda), Negeri Sembilan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 12 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Hidupkan kembali status kolej


 Oleh : AHMAD FIRDAUS

CADANGAN mewujudkan Kolej Tingkatan Enam (KTE) saban tahun dilontarkan oleh pelbagai pihak yang menujukkan betapa satu tranformasi pendidikan di peringkat pra-universiti wajar diberi perhatian. Namun belum ada kesudahan sehingga saat ini.

Tidak ramai mengetahui bahawa KTE telah pun wujud dan berusia 22 tahun pada 30 Jun 2013 lalu. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada ketika itu telah menubuhkan KTE dengan memilih calon-calon mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1990.

Tujuan utama penubuhan kolej ini untuk membolehkan pelajar bumiputera yang mencapai kelulusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM mengikuti program STPM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan di dalam bidang Perakaunan, Ekonomi, Pengurusan Perniagaan dan Undang-Undang.

Kumpulan pertama memulakan pengajian bermula 30 Jun 1991 bertempat di dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Muar, Muar (SMS Muar) (aliran ekonomi dan undang-undang) dan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Air Keroh, Melaka (aliran perakaunan dan pengurusan perniagaan).

Pemilihan mereka diselaraskan oleh Unit Pusat Universiti (UPU) dengan menggunakan kriteria sama seperti pengambilan calon ke program lain bagi lepasan SPM. Pengambilan kumpulan kedua dan ketiga telah diteruskan selepas itu sehinggalah ia dihentikan pada tahun 1994.

Kajian Pengesanan lepasan kolej ini pada 2012, khasnya kepada kumpulan pertama dan kedua, menunjukkan rata-rata mereka kini telah berjaya cemerlang dalam bidang masing-masing termasuk menjadi Penolong Peguamcara Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Pengarah di Jabatan Ketua Menteri Melaka, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, peguam, pensyarah, guru dan pegawai kerajaan.

Dua nama besar dalam industri hiburan tanah air iaitu Julia Juhasu dan Hazil Izham Ismail merupakan bekas pelajar kolej ini. Julia Juhasu merupakan Penerbit Eksekutif, Suhan Movie and Trading. Nama beliau amat terkenal dalam penerbitan drama seperti Ku Milikmu, Nigina mahupun rancangan Pilih Kasih keluaran Suhan Movie yang ditunjangi oleh penerbit, Rosyam Noor. Manakala Hazil Izham Ismail merupakan Penyelaras Penerbit Filem dan merupakan suami kepada pelakon Nadia Mustafa.

Bekas pelajar kumpulan pertama, Nor Azrina Jaafar yang kini merupakan Pegawai di MIMOS adalah balu kepada Allahyarham Noramfaizul Mohd. Noor, wartawan Bernama TV yang meninggal di Somalia pada 3 September 2011.

Kebanyakan bekas pelajar kolej ini telah memiliki pendidikan tertinggi termasuk mempunyai ijazah kedoktoran dan sarjana serta memiliki tauliah peguambela dan peguamcara. Kajian juga mendapati lebih 26 orang daripada kumpulan pertama dan kedua terlibat dalam profesion guru dan pensyarah berbanding kerjaya lain.

Tegasnya di sini, jasa dan sumbangan KTE dalam melahirkan modal insan yang berjaya sudah terserlah melalui testimoni kerjaya bekas pelajar kolej ini.

Dengan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai Kementerian Pendidikan dilihat kena pada masanya terutama dalam memperkasakan pendidikan pra-universiti khususnya pengajian tingkatan enam.

Kita perlu membuat tranformasi dengan memastikan pengajian tingkatan enam tidak lagi berada dalam lingkungan sekolah, sebaliknya perlu berdiri sebagai feeder kepada institusi pengajian tinggi seperti juga program matrikulasi.

Dalam mengambil langkah luar kotak, KTE boleh dijalankan di universiti awam. Iniasitif ini juga boleh diambil oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pernah menjadi Maktab Perguruan sebelum dinaik taraf kepada universiti bagi bergabung dengan institusi perguruan seluruh negara untuk meningkatkan taraf pendidikan peringkat ini.

Sudah tiba masanya KTE dihidupkan semula dengan pendekatan yang menguntungkan pendidikan negara.

Tanjung Malim, Perak

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 10 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Wujudkan dasar 'mesra keluarga'


Isu pertukaran guru bukanlah isu kecil. Justeru diharapkan Kementerian Pendidikan mengambil berat isu ini dan berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan dasar mesra keluarga. Ini penting bagi menyelesaikan isu pertukaran guru, terutama guru perempuan yang telah berkeluarga dan terpisah daripada suami dan anak-anak.

Bagaimana perasaan kita jika perkara ini berlaku kepada diri kita sendiri? Bayangkan perasaan dan kesusahan isteri yang berjauhan daripada suami dan terpisah daripada anak-anak.

Contohnya, jika guru itu mempunyai tiga anak yang masih kecil, seorang tinggal dengan suami, dua lagi yang kecil tinggal dengan isteri. Suami dan anak itu pula berulang alik setiap minggu dengan pengangkutan awam dan kenderaan sendiri. Bukankah ini terdedah kepada risiko kemalangan?

Bayangkan jika si isteri bertugas sebagai guru, bolehkah menumpukan sepenuhnya pada kerjaya mendidik anak-anak bangsa, sedangkan anak-anak sendiri menderita dan terabai?

Saya juga difahamkan ada langkah yang menambahkan keparahan dalam isu ini iaitu penempatan awal (first posting) guru ke negeri asal masing-masing dengan alasan tidak mahu menimbulkan masalah pertukaran pada masa akan datang. Maka ada yang bujang belum berkeluarga, berjaya ke negeri asal.

Bayangkan bagaimana guru-guru yang telah berkeluarga mahu mengikuti suami akan berjaya dalam permohonan pertukaran mereka jika tempatnya telah diambil oleh guru-guru baru ini? Bukankah langkah ini menambahkan penderitaan, bukannya menjadi ubat?

Sementara itu, ada guru yang mengalami masalah kesihatan seperti lelah juga tidak berjaya dalam permohonan mereka. Adakah kita mahu menunggu dia mempunyai masalah kesihatan kronik sahaja untuk dipertimbangkan permohonannya? Sedangkan untuk menikmati kehidupan berkeluarga yang bahagia bersama anak-anak ialah ketika sihat.

Saya menyeru Kementerian Pendidikan melakukan penambahbaikan dan transformasi dengan segera dalam isu ini. Begitu juga persatuan dan kelab guru hendaklah membela guru-guru dalam masalah ini.

Kementerian Pendidikan tidak boleh lagi terikat dengan prosedur dan cara lama, contohnya menetapkan berapa tahun berkhidmat baru boleh dipertimbangkan pertukaran. Ubah dengan dasar mesra keluarga.

Contohnya, walaupun guru yang berkhidmat 10 tahun mohon tukar, tetapi tinggal bersama suami isteri; atau guru yang berkhidmat lima tahun ke atas mohon tukar tetapi masih bujang atau tidak mempunyai anak, dibandingkan dengan guru yang baru  dua tahun berkhidmat tetapi terpisah dengan suami dan anak-anak. Mana yang mahu didahulukan mengikut perikemanusiaan? Lihatlah keperluan secara perikemanusiaan bukannya tahun perkhidmatan.

Selain itu, Kementerian Pendidikan juga tidak boleh lagi terikat dengan opsyen kekosongan guru. Setiap guru dilatih untuk berkhidmat dengan semua opsyen jika diperlukan, kecuali opsyen yang kritikal seperti bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Jika kita lihat situasi sebenar, ada guru yang bukan mengajar opsyen yang sebenar tetapi mampu mengajar dengan baik dan tiada masalah. Sebabnya guru ini semasa belajar telah dilatih dengan ilmu keguruan secukupnya. Jadi apa yang paling penting dasar mesra keluarga ini perlu diterjemahkan, bukan dasar opsyen lagi.

Pihak kementerian juga perlu menghargai sokongan guru-guru yang sentiasa menyokong dan mempertahankan dasar kerajaan. Mereka ini perlu dihargai dan dibantu termasuk menolong dalam meluluskan permohonan pertukaran mereka.

Akhir sekali semoga isu pertukaran guru ini ditangani secara bijak dan betul. Semoga Kementerian Pendidikan iakan sentiasa ke hadapan.

ALNORULHADI AB. HAMID

Kota Bharu, Kelantan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 20 Mei 2013

ISU KENEGARAAN : Pertahankan Kesederhanaan Di Malaysia


KETIKA di bangku sekolah dahulu, kita pernah diajar oleh guru-guru sekolah supaya bersikap sederhana.

Kesederhanaan bukan sahaja dalam perlakuan bahkan juga tutur kata serta pergaulan seharian dengan ahli keluarga, rakan taulan dan juga rakan di tempat kerja.

Malah sikap kesederhanaan itu merupakan sikap terpuji yang dituntut dalam setiap agama.

Kesederhanaan mengajar seseorang untuk tidak mudah lupa diri, mengawal emosi dan sentiasa bersiap-siaga untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang mendatang.

Dalam konteks kenegaraan pula, konsep kesederhanaan merupakan tonggak utama kepada kestabilan Malaysia sejak sekian lama. Kesederhanaan dalam semua segi membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini untuk hidup dengan harmoni tanpa sebarang syak-wasangka.

Masing-masing bebas menganut agama, mengamalkan budaya masing-masing serta menggunakan bahasa ibunda mereka.

Kemampuan inilah yang menjadikan Malaysia sering dicemburui oleh banyak negara di seantero dunia. Malah pernah satu ketika dahulu, Malaysia menjadi teladan kepada dunia dan banyak negara yang berminat untuk mendalami rahsia Malaysia menguruskan hubungan kaum yang kompleks.

Dalam keghairahan untuk mengejar pembangunan dan kekayaan material, konsep kesederhanaan yang menjadi tunjang dalam kalangan rakyat Malaysia selama ini, kian luntur.

Kebelakangan ini, ada sahaja isu-isu sensitif dibangkitkan dengan tujuan untuk mencetus kemarahan pihak lain. Daripada golongan anarkis yang mahu memporak-perandakan negara kepada kumpulan nasionalis yang cuba mempertikaikan kesetiaan sesuatu kaum hanya kerana tidak menyokong kerajaan pemerintah - semuanya memperlihatkan satu trend yang cukup membimbangkan.

Atas nama demokrasi dan keterbukaan, bermacam-macam ugutan malah amaran diberikan tanpa memikirkan kemudaratan yang bakal tercetus daripada tindakannya itu. Lebih mendukacitakan, ada juga dalam kalangan rakyat yang sanggup bertindak di luar batasan semata-mata kerana marah terhadap pihak berkuasa.

Disebabkan kemarahan yang meluap-luap terhadap pihak berkuasa, pelbagai paparan yang kurang sopan dimuat naik dalam laman sosial tanpa mengambil kira kesannya. Biarpun bukan semua maklumat yang dimuat naik adalah tulen dan benar, namun sudah wujud kecenderungan dalam kalangan rakyat untuk mempercayainya secara membuta-tuli.

Mereka seolah-olah sudah tidak gentar dengan sistem perundangan negara. Fikiran mereka diselubungi dengan kemarahan meluap sehingga bertindak di luar batasan.

Tetapi apakah ini sikap rakyat Malaysia yang kita kenal selama ini? Di manakah perginya budi pekerti, kesantunan serta kesederhanaan yang wujud dalam diri setiap rakyat Malaysia?

Yang pastinya, pemikiran ekstrem tidak seharusnya mendapat tempat dalam masyarakat kita. Ia juga tidak boleh dibiarkan bercambah ke satu tahap yang tidak terkawal umpama virus yang menular.

Kegagalan untuk membanterasnya hanya bermakna keselamatan negara bakal tergugat. Dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, sebarang insiden ekstrem boleh mencetuskan impak yang cukup dahsyat jika tidak ditangani dengan bijak.

Tentunya kita tidak mahu melihat peristiwa 13 Mei berulang di negara kita. Tentunya juga kita tidak mahu peristiwa rampasan senjata oleh sekumpulan ajaran sesat berulang di Malaysia.

Kita juga tidak mahu melihat masyarakat hidup dalam ketakutan kerana ancaman pihak lain. Paling signifikan, kita juga tidak mahu melihat Malaysia menjadi sarang percambahan ideologi ekstremisme.

Justeru, adalah penting jika agenda pembangunan negara kembali berpaksi kepada prinsip kesederhanaan dan wasatiyyah. Hanya prinsip 'kesederhanaan' mampu membawa kembali Malaysia ke landasan yang sebenar.

Pepatah Inggeris ada mengatakan "Kota Rom tidak dibina dalam sehari". Ada baiknya jika pepatah tersebut dijadikan peringatan kepada kita semua. Sesungguhnya, perpaduan dan keharmonian negara memakan masa untuk dipupuk namun ia boleh musnah dalam sekelip mata.

MATTHEW CHAN
Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 10 April 2013

ISU PENDIDIKAN : Soalan peperiksaan SPM lebih memihak kepada pelajar perempuan?


Oleh : ZIN MARKAM

"SAYA belajar bersungguh-sungguh, tumpukan perhatian semasa guru mengajar, mengulang kaji pelajaran, tanya cikgu jika tak faham dan banyak buat latihan." Biasanya inilah jawapan apabila ditanya sebab pelajar cemerlang dalam peperiksaan.

Memang benar sikap pelajar sebegini menjadi faktor penting menentukan kejayaan akademik. Bagaimanapun terdapat beberapa faktor lain seperti faktor guru, pentadbir sekolah, kemudahan pengajaran dan pembelajaran, prasarana sekolah, keluarga, rakan sebaya, masyarakat dan persekitaran luar sekolah.

Berdasarkan kajian, seorang pakar pendidikan di Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Dr. Rahayah Arifin mendapati prestasi pelajar lelaki dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin menurun sejak 15 tahun lalu berpunca daripada bentuk soalan peperiksaan yang lebih memihak kepada pelajar perempuan.

Menurutnya, soalan SPM lebih menjurus kepada kemahiran menulis, teks dan linguistik yang lebih dikuasai pelajar perempuan. Manakala soalan yang mengandungi elemen berkaitan angka, grafik, visual, logik dan matematik tidak ditekankan dalam SPM sedangkan inilah yang lebih dikuasai pelajar lelaki.

Dalam menyediakan set soalan untuk sesuatu kertas peperiksaan biasanya ada keseimbangan antara tiga aras kesukaran iaitu soalan mudah, soalan sederhana dan soalan yang lebih mencabar. Soalan juga hendaklah meliputi semua tajuk utama dalam sukatan pelajaran supaya taburannya lebih menyeluruh.

Eloklah Lembaga Peperiksaan Malaysia meneliti populariti soalan berdasarkan jantina ini dan menilai kesesuaiannya, dalam proses pembinaan soalan untuk kita berlaku adil. Keseimbangan soalan yang memihak kepada pelajar lelaki dan perempuan wajar diambil kira. Kasihan pelajar lelaki kerana selama ini bentuk soalan lebih memihak kepada pelajar perempuan.

Namun pelajar lelaki perlu membaiki disiplin diri. Kita kerap mendengar pelbagai masalah pelajar seperti ponteng sekolah, ponteng kelas, kurang memberi perhatian ketika guru mengajar, tidak minat belajar, malas berfikir, tidak mengulangkaji  pelajaran, tidak membuat kerja rumah, tiada jadual belajar, selalu berkeliaran dan sebagainya.

Jika pelajar lelaki masih terus mendominasi sikap negatif tersebut, nescaya prestasi cemerlang SPM akan tetap memihak kepada pelajar perempuan.

Pontian, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 1 April 2013

ISU KESIHATAN : Rokok elektronik lebih bahaya daripada rokok asli?


Oleh : SITI NUR HAFIZAH ZAKARIA

MENURUT Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, penjualan bahan dan produk e-rokok adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikotin untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.

Rokok elektronik ataupun e-rokok adalah satu percubaan untuk menghasilkan sejenis rokok yang kononnya mampu mengurangkan kadar penagihan rokok sedia ada yang dihasilkan menggunakan tembakau.

Tembakau adalah faktor utama masalah berkaitan jantung dan seumpamanya. Biarpun risiko penggunaan tembakau ke atas kesihatan sudah diketahui umum, usaha mempromosikan hidup bebas rokok masih tidak begitu berkesan.

E-rokok dikatakan selamat digunakan kerana tidak mempunyai kandungan tembakau. Walaupun rasanyanya agak sama seperti merokok rokok asli, ia tidak mengeluarkan sebarang asap, karbon monoksida dan sudah tentu tidak menghasilkan abu.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 4,400 kanak-kanak menjadi perokok tegar apabila menginjak dewasa. Sehubungan itu, pelbagai kaedah dicipta termasuklah rokok elektronik ini bagi membantu perokok.

Rokok e-elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada pelbagai jenis penyakit kronik.

E-rokok sebenarnya menggunakan sejenis cecair dan seterusnya menghasilkan wap air. Tetapi tahukah anda cecair nikotin juga terkandung di dalam e-rokok? Kandungan nikotin akan meningkatkan ketagihan untuk merokok.

Ini menunjukkan e-rokok yang dikatakan selamat itu juga mampu merosakkan paru-paru seperti rokok biasa. Nikotin juga akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan pembebasan hormone adrenalin serta melambatkan sistem saraf.

Nikotin boleh memberi tindak balas terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan yang disokong oleh pelbagai faktor lain. Ia mempunyai nikotin bervariasi seperti nikotin pelarut, propilenglikol, dietilenglikol, dangliserin yang menghasilkan nitrosamine apabila dipanaskan. Larutan nitrosamine ini akan menjadi faktor terhasilnya kanser.

Satu kajian saintifik mendapati  e-rokok  mengandungi karsinogen dan bahan-bahan kimia bertoksik seperti diethylene glycol.

China sebagai penemu awal rokok elektronik ini pada tahun 2003 juga melarang penggunaan rokok ini kerana dipercayai menjejaskan kesihatan. Ia juga didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah sehingga mewujudkan peningkatan mendadak dalam rintangan udara paru-paru.

Alat elektronik ini diimport dari China dan dikatakan tidak menjalani sebarang pemeriksaan keselamatan sebelum dijual kepada orang ramai.

Rokok elektronik mempunyai bateri, atomizer, dan katrij nikotin. Cip elektronik akan mengesan pergerakan udara di dalamnya apabila pengguna menyedut rokok itu. Nikotin cair dan udara kemudiannya akan dicampurkan menerusi atomizer yang dihidupkan oleh microprocessor.

Proses ini akan menghasilkan wap yang kelihatan sama dengan asap rokok biasa. Ia tidak mengandungi karbon monoksida dan tidak berbau. E-rokok juga dilengkapi LED yang berwarna oren jika dinyalakan oleh microprocessor, yang kelihatan seperti rokok yang terbakar ketika dihisap.

Di sebalik kecanggihan penciptaan rokok moden ini, ia juga dikatakan lebih berbahaya daripada rokok biasa jika dikaji bahan-bahan yang menghasilkan proses pengewapan sepertimana yang di atas.

Rokok versi digital ini semakin mendapat sambutan dan dijual secara berleluasa di negara ini. Rakyat seharusnya sedar akan bahayanya penggunaan rokok sama ada rokok biasa atau rokok elektronik.

USIM, Nilai

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 12 Mac 2013

ISU SOSIAL : Saranan tangani konflik remaja dengan ibu bapa


Oleh : Farah Ashikin Mohamed Ridzwan

KADANGKALA berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dengan anak remaja mereka.

Daripada  pandangan ibu bapa, mereka melihat adanya perubahan remaja daripada seorang anak yang mendengar kata kepada seorang yang memberontak.

Sering kali juga, perubahan sikap anak remaja itu berpunca daripada ibu bapa yang meletakkan peraturan lebih ketat dengan tujuan 'mengawal' remaja tersebut sehingga ada peraturan itu menyebabkan remaja berasa tertekan dan terkongkong, lantas tercetuslah konflik.

Sementara itu, menurut Elizabeth Bergner Hurlock dalam bukunya Adolescent Development, keinginan remaja menjadi individu yang berdikari dan bebas merupakan aspek semula jadi dalam fasa kehidupan remaja.

Mereka juga inginkan 'kuasa' untuk menjalani kehidupan ikut cara mereka sendiri.

Namun, remaja tidak sedar bahawa mereka masih memerlukan pertolongan dan bimbingan ibu bapa.

Remaja juga sering memihak kepada rakan mereka berbanding ibu bapa kerana berasakan bahawa rakan mereka memahami perasaan dan keinginan mereka.

Pada peringkat ini, sikap, penampilan dan pertuturan mereka banyak dipengaruhi rakan.

Ada beberapa saranan  untuk menangani konflik dua pihak ini.

Memandangkan perubahan sikap remaja banyak dipengaruhi persekitaran dan aspek semula jadi dalam fasa kehidupan mereka, ibu bapa bukan sekadar harus memahami apa yang mereka lalui malah harus menjadi contoh baik kepada mereka.

Pertama, ibu bapa boleh menunjukkan sifat penyayang dengan memberikan kasih sayang.

Kasih sayang yang ikhlas akan membuatkan mereka rasa terpelihara dan disayangi lantas lebih mudah mengongsi masalah dan perasaan mereka.

Kedua, ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak remaja agar dapat mengenali punca perubahan diri mereka.

Pengetahuan ini akan memudahkan ibu bapa mencari jalan terbaik untuk mendekati anak mereka sekali gus membentuk perhubungan yang harmoni.

Ketiga, sifat hormat-menghormati perlu disemai dalam diri remaja. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh dengan bersifat lemah lembut ketika berbual bersama mereka.

Ucapan seperti 'syukur alhamdulillah' dan 'terima kasih' serta puji-pujian boleh menimbulkan perasaan hormat antara ahli keluarga.

Keempat, ibu bapa harus bersifat realistik. Harapan ibu bapa haruslah selaras dengan kemampuan remaja. Oleh kerana remaja secara semula jadi ingin bebas dan berdikari, ibu bapa perlu menyemai sifat daya tahan agar mereka lebih teguh menghadapi permasalahan di sekolah.

Kelima, ibu bapa harus bersikap jujur kepada anak remaja dan harus bersedia meminta maaf jika telah melakukan kesalahan.

Tanpa sifat integriti, akan hilang rasa hormat remaja terhadap ibu bapa.

Keenam, secara semula jadi, remaja bersifat sensitif dan ingin dihargai. Oleh itu, ibu bapa harus memaparkan sifat tanggungjawab dalam menunjukkan kepedulian terhadap anak-anak meskipun sibuk bekerja.

Oleh itu, ibu bapa perlu terus berusaha menjadi contoh terbaik untuk anak remaja kerana pengajaran yang terbaik adalah dengan menjadi contoh.

Di samping itu, ibu bapa perlu terus memikirkan jalan yang terbaik untuk mengeratkan perhubungan bersama remaja.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

ISU KENEGARAAN : Pupuk perpaduan dalam diri kanak-kanak, remaja


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

SUNGGUHPUN  kerajaan  yang memainkan peranan utama untuk memenuhi matlamat perpaduan melalui pembentukan polisi dan pelaksanaan yang sesuai, anak-anak juga perlu dididik tentang perpaduan melalui penglibatan dan penyertaan ibu bapa.

Saya bersetuju bahawa kanak-kanak tetap kanak-kanak. Mereka penuh dengan keikhlasan dan kejujuran   kerana pemikiran mereka tidak dicemari oleh isu-isu perkauman. Mereka mampu bercampur gaul dan bermain antara satu sama lain tanpa mengira bangsa.

Saya seringkali menyatakan bahawa kanak-kanak dan para remaja selalunya tidak mengendahkan langsung akan kenyataan bahawa sesiapa sahaja yang berada di sebelah mereka adalah daripada bangsa dan agama yang berbeza. Mereka hanya melihat bahawa orang tersebut adalah rakan mereka.

Pada setiap hari para remaja Malaysia perlu berusaha secara berterusan untuk menghapuskan jurang perkauman, menghulurkan salam dan mewujudkan persahabatan dengan mereka yang datang daripada kumpulan etnik yang lain.

Para ibu bapa yang terdiri daripada golongan yang dibesarkan dalam suasana kepelbagaian kaum, malah turut bersahabat dengan mereka daripada bangsa lain, sewajarnya menggalakkan anak-anak mereka bercampur gaul agar mereka menyedari betapa pentingnya keharmonian antara kaum dan agama.

Anak-anak dan para remaja pelbagai kaum hendaklah dididik untuk menghormati satu sama lain berteraskan semangat 1Malaysia.

Perpaduan hendaklah dijadikan prinsip dan menjadi panduan di semua sekolah dalam menjalankan aktiviti-aktiviti harian seperti sukan hinggalah ke aktiviti-aktiviti kokurikulum yang bertujuan memupuk pemahaman antara kaum yang lebih tinggi.

Pelbagai program juga perlu diperkenal dan digerakkan untuk mengumpul para pelajar dari sekolah yang berlainan seperti sekolah rendah kebangsaan, SRJK Cina dan Tamil untuk membolehkan mereka berinteraksi dan berkenalan berdasarkan kepentingan utama untuk membina negara.

Para pelajar hari ini adalah pemimpin masa hadapan kita. Di bahu merekalah tanggungjawab dipikul demi untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu dengan perkongsian masa depan dan matlamat yang serupa.

Perpaduan dan keharmonian mesti ditanamkan di dalam budaya kita. Lebih banyak peluang perlu diwujudkan untuk kanak-kanak dan para remaja daripada pelbagai kaum bertemu dan berintegrasi bagi menjalin persahabatan lebih erat dan membina kefahaman demi masa depan negara kita dan 1Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 12 Februari 2013

ISU BAHASA : Membentuk pekerti murid bukan tugas guru sahaja


Oleh :  ZIN MARKAM

CADANGAN supaya diwujudkan sekolah budi bahasa memang baik. Namun pelaksanaannya perlu diteliti agar semua pelajar dari sekolah ini nanti benar-benar berbudi bahasa.

Budi bahasa bermaksud pertuturan dan tingkah laku. Jika seseorang itu berbudi bahasa dia bukan sahaja bercakap dengan sopan dan bertatasusila tetapi perangainya juga terpuji. Jika seorang pemandu selalu memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata kesat, ini menggambarkan kelakuannya yang buruk dan panas baran. Oleh itu, pengucapan dan perlakuan saling mempengaruhi dalam menentukan tahap budi bahasa seseorang.

Sebenarnya usaha melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi serta berakhlak mulia yang merupakan antara prinsip asas Falsafah Pendidikan Kebangsaan sentiasa diberikan penekanan di sekolah. Murid dididik supaya berdisiplin, menghormati guru, mentaati ibu bapa, berkelakuan baik dan berkomunikasi secara beradab dengan mengucap terima kasih dan memberi salam.

Pendekatan budi bahasa merentasi kurikulum memang diamalkan di sekolah. Oleh itu, boleh dikatakan semua sekolah adalah sekolah budi bahasa.

Persoalannya, sejauh manakah nilai-nilai budi bahasa berjaya diterap dan dihayati pelajar? Adakah peranan sekolah kurang berkesan memandangkan ada remaja yang kurang berbudi bahasa?

Sebenarnya sekolah tidak mampu berseorangan dalam membentuk budi pekerti murid. Kerjasama ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pemimpin di luar sekolah amat diperlukan.

Di sekolah, murid dibentuk supaya mengamalkan nilai-nilai murni tetapi di luar sekolah mereka terdedah dengan pelbagai gejala negatif. Di sekolah, murid diasuh berpakaian sopan, berambut kemas, tidak merokok, menjaga kebersihan dan terkawal daripada mengakses maklumat tidak bermoral di internet. Bagaimana pula keadaannya di luar sekolah?

Ada pihak mengatakan nilai moral yang dipupuk di sekolah sepatutnya menjadi benteng untuk menghindarkan mereka daripada terpengaruh dengan gejala kurang sihat di luar sekolah. Perlu difahami bahawa pelajar adalah manusia biasa yang boleh terpengaruh walaupun telah diberikan pendidikan.

Kita juga boleh berkata sepatutnya masyarakat di luar sekolah mengamalkan nilai terpuji supaya menjadi ikutan kepada remaja. Semakin kurang gejala sosial dalam masyarakat di luar sekolah, semakin meningkatlah kejayaan sekolah melahirkan murid yang berbudi bahasa.

Berkaitan sekolah budi bahasa, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Akademi Seni Budaya dan Warisan dilaporkan menyediakan bimbingan nilai murni dan pembentukan sahsiah. Jika sesuai eloklah program ini dikongsi ke sekolah untuk melahirkan pelajar berbudi bahasa dengan lebih berkesan.

Pontian, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 8 Februari 2013

ISU ALAM SEKITAR : Kejamnya! Kenapa bunuh gajah?


Oleh : EZARUDDIN ABD. RAHMAN

TERSENTAK dan sayu saya melihat seekor anak gajah mengejutkan ibunya yang kaku di Sabah (lihat Utusan Malaysia 31 Januari). Berita 10 gajah Pygmy mati akibat diracun adalah satu tragedi besar negara berhubung nasib hidupan liar di negara ini.

Kejadian tersebut tidak boleh diterima akal fikiran manusia. Bagaimana manusia tergamak membunuh gajah yang tidak berdosa mengunakan racun tikus? Menurut laporan akhbar, gajah Pygmy Borneo yang berusia antara empat hingga 20 tahun ditemui mati di Hutan Simpan Rara, Tawau, Sabah.

Walaupun saya bukannya seorang aktivis alam sekitar, sesiapa sahaja yang melihat seekor anak gajah cuba membangunkan ibunya yang telah mati adalah sesuatu yang menyayat hati kita semua.

Tergamakkan kita membiarkan kisah ini terus tenggelam tanpa membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan? Ini sebagai tanda prihatin kita terhadap hak hidupan liar untuk terus hidup di atas muka bumi ini mengikut ketetapan yang telah diatur oleh Allah S.W.T.

Di luar negara, orang sanggup berdemonstrasi untuk menyelamatkan hidupan liar dan alam sekitar, serta untuk menyelamatkan kepupusan khazanah alam sekitar.

Tentu kita sangat bingung memikirkan mengenai 10 ekor gajah mati di negeri Sabah, sedangkan kerajaan telah mengadakan pelbagai kempen dan penguatkuasaan undang-undang demi menjaga hidupan liar di negara ini.

Pengetahuan anak muda di negara ini mengenai alam sekitar masih lagi samar. Misalnya, masih ada yang tidak mengenali haiwan tapir atau dikenali 'gajah kerdil' yang semakin pupus di Malaysia akibat pembalakan dan penerokaan tanah untuk pembangunan.

Kematian 10 ekor gajah sudah pasti akan menarik perhatian antarabangsa dan menyebabkan tanggapan atau persepsi luar yang kurang baik terhadap Malaysia. Bahkan isu ini boleh dimanipulasi secara meluas.

Pelancong asing sangat teruja melawat Malaysia, antara lain disebabkan ekopelancongan yang menarik meliputi kawasan hutan hujan yang menyimpan rahsia biodiversiti. Juga tumpuan pesat pengunjung ke gua- gua, hutan simpan, pusat pemuliharaan Orang Hutan, pulau-pulau dan sungai-sungai.

Umum juga mengetahui Malaysia menjadi tarikan kepada pengkaji hidupan liar sehingga menarik ramai pakar ke Malaysia. Ini kerana Malaysia adalah negara yang sangat kaya dengan alam semula jadi dan menyimpan warisan alam sekitar jutaan tahun.

Pelbagai persoalan timbul di benak kita. Sampai bilakah hidupan liar akan terus dicabul haknya tanpa pembelaan? Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Apakah peranan kita dalam membantu membendung masalah ini?

Kita amat mengharapkan pihak berkuasa sentiasa membuat rondaan untuk mengawal hidupan liar di negara ini agar tidak diseludup atau dibunuh sesuka hati. Masih mampukah kita menyelamatkan habitat hutan dan hidupan liar yang menghuni hutan-hutan negara kita supaya tidak pupus daripada muka bumi ini?

Harapan rakyat Malaysia agar mereka yang bertanggungjawab membunuh 10 ekor gajah tersebut dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin. Mereka ini diibaratkan sebagai pengganas kepada alam sekitar.

Semoga kisah menyayat hati seekor anak gajah kehilangan ibunya akan membuka minda rakyat Malaysia betapa pentingnya kita tidak menzalimi hidupan liar yang terancam. Kita harus bersifat berperikemanusiaan terhadap gajah yang tidak berdosa.

Anak gajah ini sudah pastinya akan merindui ibunya seperti mana kita kehilangan orang yang tersayang.

Serdang, Selangor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 23 Januari 2013

ISU SOSIAL : Rakyat tidak prihatin penjagaan kebersihan


Oleh : SM MOHAMED IDRIS

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih belum mencapai tahap yang memuaskan dalam soal menjaga kebersihan terutama sekali di kawasan perumahan, taman awam dan tempat-tempat ibadat.

Pendedahan oleh akhbar tempatan berhubung tahap kebersihan tandas masjid dan surau yang seringkali dibangkitkan oleh khalayak umum sedikit sebanyak telah mendedahkan sikap kita yang masih belum mengutamakan kebersihan.

Kenyataan CAP ini tidak bermaksud untuk ditujukan khusus kepada umat Islam sahaja tetapi kepada semua rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa dan agamanya. Ini kerana bukan sahaja tandas masjid dan surau yang menjadi rungutan bahkan tempat ibadat bukan Islam seperti kuil dan tokong juga turut mendapat rungutan berhubung tahap kebersihannya.

Selain tempat ibadat, terdapat juga sesetengah tempat makan, tandas awam di negara ini yang tahap kebersihan tandasnya masih tidak memuaskan. Pengalaman yang kami  lalui ketika menggunakan tandas di tempat awam mengukuhkan lagi dakwaan ini.

Tahap kebersihan tandas dan bilik air di Malaysia telah lama menjadi rungutan dalam kalangan pengguna sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan 'Kempen Kebersihan Tandas' di seluruh negara. Ini menguatkan lagi kenyataan bahawa sikap rakyat Malaysia yang masih tidak mengambil berat akan soal kebersihan.

Perbuatan membiarkan tandas dalam keadaan kotor serta tidak dipam selepas digunakan memburukkan lagi keadaan. Ini ditambah pula dengan segelintir mereka yang merokok serta membuang habuk dan puntung rokok merata-rata di dalam tandas juga menyebabkan keadaannya begitu kotor.

Lebih menyakitkan mata dan hati lagi apabila terdapat pelbagai contengan, tulisan dan lukisan yang tidak sewajarnya ditulis dan dilukis pada dinding tandas awam oleh mereka yang tidak bertanggungjawab walaupun rata-rata yang menggunakan tandas itu tahu kebersihan mestilah diutamakan.

Pihak berkuasa dan pihak bertanggungjawab terhadap kebersihan tandas juga perlu memikirkan semula terhadap penggunaan lantai tandas yang sering menggunakan jubin dari jenis yang berkilat kerana ia seringkali dalam keadaan basah. Ini menyebabkan ia menjadi licin dan membahayakan keselamatan penggunanya kerana ia boleh menyebabkan tergelincir dan jatuh.

Pihak pengurusan tandas dan bilik air di tempat ibadat dan tempat awam perlu mengambil tindakan segera bagi menukar jubin dari jenis yang licin kepada jubin yang tidak menyebabkan keadaan licin walaupun terdapat air di atasnya.

Pihak berkenaan juga perlu sentiasa memastikan lantai bilik air dan tandas awam dalam keadaan yang sentiasa kering bagi memastikan ia tidak licin dan membahayakan keselamatan penggunanya.

Pembaziran air juga perlu dielakkan . Penggunaan air secara berhati-hati sedikit sebanyak dapat mengelakkan ia daripada melimpah ke atas lantai yang menjadi punca utama lantai menjadi licin.

Semua orang perlu mempunyai sikap bertanggungjawab bagi memastikan segala kemudahan tandas dalam keadaan yang baik dan memastikan perkara seperti tandas tersumbat, pam tidak berfungsi, lantai tandas pecah, licin dan berlumut serta siling bersawang dan sinki tersumbat tidak lagi berlaku di negara kita.

Memastikan kebersihan pada semua tempat merupakan tanggungjawab kita semua. Kita tidak boleh menyerahkan tugas dan tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam kepada satu pihak sahaja tetapi kita semua sepatutnya mesti mengambil sikap bertanggungjawab untuk menjaganya seperti mana kita menjaga tandas di rumah kita sendiri.

Penulis ialah  Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 15 Januari 2013

ISU KEPENGGUNAAN : Hentikan budaya hutang, boros


Oleh : S. M. MOHAMED IDRIS

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan satu laporan berita akhbar yang mendedahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggotanya.

Menurut berita itu lagi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, bayaran itu merupakan jumlah yang berjaya dikurangkan hasil perundingan bersama pihak berkenaan walaupun jumlah sebenar yang sepatutnya dibayar RM370,000.

Katanya, kegiatan meminjam wang daripada 'lintah darat' itu melibatkan anggota pelbagai pangkat dan dalam hal itu, TLDM menggunakan pendekatan penerangan dan ceramah untuk membantu mereka.

CAP berpandangan pihak TLDM tidak sepatutnya menggunakan wang awam untuk digunakan bagi menyelesaikan hutang ah long yang diambil oleh anggotanya kerana ini akan memberikan satu contoh yang tidak baik.

Ini kerana ia akan memberikan persepsi atau tanggapan dalam kalangan anggota TLDM bahawa adalah tidak salah untuk meminjam dan berhutang dengan ceti haram atau ah long kerana sekiranya gagal untuk membayarnya pihak berkuasa akan menyelesaikan hutang itu.

Pendedahan ini juga menunjukkan bahawa masih ramai lagi rakyat Malaysia yang bukan sahaja melibatkan anggota TLDM yang mengamalkan dan terjebak dengan budaya meminjam wang dan berhutang daripada ceti haram dan ah long walaupun sudah lama pihak kami berusaha mendidik pengguna agar mengelakkan budaya hutang dan boros.

Eloklah kita menginsafi hakikat bahawa hutang isi rumah di negara ini pada 2010 ialah sebanyak RM577 bilion. Segenap lapisan masyarakat di negara ini sanggup berhutang bagi memenuhi tuntutan gaya hidup moden termasuk mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Namun hidup mereka akhirnya semakin merana apabila Jabatan Insolvensi Malaysia terpaksa mengisytiharkan 85,175 daripada mereka sebagai muflis kerana tidak mampu membayar hutang.

Tiga jenis hutang lazimnya dibuat oleh peminjam yang sesetengahnya mahu hidup bergaya iaitu hutang sewa beli kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi, pembelian saham dan kad kredit serta pinjaman perumahan.

Kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan apabila maklumat terkini seperti yang tertera di atas. Kegagalan menguruskan hutang mengakibatkan 85,175 rakyat negara ini menjadi bankrap ketika usia muda.

Berikut adalah kes muflis di Malaysia. Sebanyak 85,175 kes dari tahun 2007 hingga Mac 2012.

Sewa beli kenderaan 21,796 kes, pinjaman peribadi 12,547 kes, pinjaman perumahan 12,098 kes dan pinjaman perniagaan 9,865 kes (Sumber: Jabatan Insolvensi Malaysia).

Bagi mereka yang sudah pun terjebak dengan budaya meminjam dan berhutang ini, tidak ada jalan lain kecuali melunaskan hutang mereka sekiranya tidak mahu menanggung risiko berdepan dengan pelbagai kerenah ceti haram dan ah long.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong seseorang itu meminjam atau berhutang antaranya bermain judi tetapi ada juga yang meminjam dan berhutang kerana hendak hidup mewah atau terpengaruh dengan gaya hidup orang lain yang lebih mewah daripada mereka.

Inilah masalahnya yang sering melanda masyarakat kita, kalau tidak mampu untuk memiliki sesuatu dalam hidup kita ini, usahlah membebankan diri dengan meminjam dan berhutang yang akhirnya menjerat diri sendiri.

Terimalah hakikat kemampuan gaji dan pendapatan kita serta hiduplah dengan sikap sederhana (terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad: Tidak akan kekurangan orang yang hidup sederhana).

Orang yang membelanjakan harta dengan secara berhemat dan sederhana tidak akan menjurus kepada pemborosan dan berlebih-lebihan dan sudah tentu tidak akan kekurangan. Satu lagi sikap yang perlu diamalkan ialah Qanaah iaitu cukuplah dengan apa yang ada, seperti kata pepatah Melayu ukurlah baju di badan sendiri.

Jangan sekali-kali terpedaya dengan iklan-iklan yang terpapar di dalam media massa baik media elektronik atau media cetak terutama sekali pada musim-musim perayaan yang menonjolkan budaya hidup mewah, boros dan membazir yang semuanya berpaksikan kepada wang.

Dalam masyarakat kita, memang terdapat mereka yang suka meminjam wang, gemar hidup bergaya lebih daripada kemampuan serta berbelanja lebih daripada pendapatan, banyak orang kelihatan hidup senang walaupun pada hakikatnya kesenangan itu berasaskan kepada hutang.

Satu lagi amalan buruk di dalam masyarakat kita ialah membazir. Kini amalan membazir di dalam masyarakat nampaknya tidak dibendung malah semakin dibiarkan.

Perilaku membazir ini dapat dilihat di dalam pelbagai bentuk seperti membazir makanan, aksesori dan hiasan diri, pembaziran di dalam rumah, membazir di dalam pakaian, hiasan dan perabot rumah serta pejabat.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mencegah menularnya budaya meminjam, berhutang, membazir dan boros dalam kalangan rakyat negara ini.

Pihak berkuasa juga digesa agar mengawal dan memantau iklan-iklan yang disiarkan di dalam media massa  agar tidak menggalakkan masyarakat ke arah budaya hidup mewah, boros dan membazir.

Masyarakat perlu dididik untuk mengamalkan cara hidup sederhana, berjimat-cermat, tidak boros dan membazir di dalam hidup dan menginsafi bahawa masih ada anggota masyarakat yang hidup di dalam kemiskinan yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 25 Disember 2012

ISU EKONOMI : Antara gaji RM500 di tahun 70-an dan RM2,000 sekarang


Oleh : SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

SEDAR atau tidak mata wang ringgit Malaysia semakin menyusut nilainya kerana berkemungkinan harga barang semakin naik begitu mendadak sekali. Nilai RM100 umpamanya, adalah seperti nilai RM20.

Bayangkan dengan RM20 itu pada tahun 70-an kita boleh membeli ikan kembung lima kilo dengan harga hanya RM12 dan dengan RM1 kita boleh bersarapan pagi dengan dua bungkus nasi lemak dan telur serta segelas air teh tarik.

Begitu juga dengan RM20 pada  zaman 70-an dahulu, kita mampu menyara hidup sekeluarga untuk beberapa hari serta dapat membayar tiket bas untuk ke bandar dan dapat pula memberikan belanja sekolah anak- anak sebanyak 30 sen sehari dan sudah memadai kerana sebungkus nasi lemak di kantin hanya 10 sen sahaja dan minuman juga 10 sen sahaja.

Kini pada tahun 2012, nilai RM20 hanya boleh membeli sekilo ikan kembung yang berharga RM14 sekilo dan hanya dapat bersarapan pagi untuk sepinggan nasi lemak dan telur serta teh tarik sekali makan sahaja.

Untuk tambang dan belanja anak-anak ke sekolah pula sekurang-kurangnya memerlukan RM5 seorang pelajar dan itu pun kadangkala tidak memadai kerana harga makanan seperti nasi lemak dan air teh tarik umpamanya tidak kurang daripada RM3 dan apabila dimasukkan harga tambang RM2 diperlukan untuk pergi dan balik sekolah.

Oleh yang demikian mereka yang bergaji RM500 pada tahun-tahun 70-an apabila dinilaikan semula pada tahun 2012 sama nilainya dengan RM2,000 dan itu pun lebih baik status seseorang  yang bergaji RM500  pada tahun 70-an.

Seseorang pekerja yang sudah berumah tangga memerlukan sekurang-kurangnya bergaji RM3,000 sebulan dan mereka yang masih bujang pula sekurang-kurangnya mendapat gaji RM2,000 barulah boleh dikatakan sebagai gaji minimum yang diperlukan untuk saraan hidup yang boleh dikatakan sempurna hidupnya di negara Malaysia ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/