Rabu, 6 Jun 2012

ISU BAHASA : Za'ba perintis penulis guru

                                                                Pendeta Za'ba


OLEH AMINUDIN MANSOR

BIDANG penulisan sangat akrab dengan guru. Perjuangan dalam bidang penulisan sejak dahulu menggunakan mata pena dan mesin taip kini komputer terus semarak bagi menegakkan kebenaran dan mendaulatkan bidang pendidikan. Begitulah bidang perguruan sangat akrab dengan bidang penulisan.

Justeru, salah seorang pelopor dan perintis kepada penulis guru ialah Za'ba yang banyak menyumbangkan tulisannya dalam bentuk buku, rencana dan juga karya sastera. Beliau menjadi perintis dan pembuka ruang kepada guru-guru untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan. Melaluinya bidang sastera berkembang luas dan menjadi wadah kepada pembangunan bangsa dan negara.

Za'ba adalah nama pena untuk Zainal Abidin bin Ahmad. Beliau dilahirkan pada 16 September 1895 bersamaan 26 Rabiul Awal 1313 Hijrah di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, Negeri Sembilan.

Tradisi intelektual yang diwarisi oleh Za'ba daripada bapanya, Ahmad bin Ibrahim (1864-1927) yang dilahirkan di Linggi dan mendapat didikan agama serta pelajaran membaca dan menulis jawi daripada bapa saudara sepupunya, Haji Jamaluddin bin Haji Idris.

Minat yang mendalam dalam bidang keilmuan diturunkan kepada Za'ba dan diwarisinya dengan sebaik mungkin. Za'ba banyak membaca hikayat Melayu yang menarik minatnya dalam bidang penulisan. Minatnya terhadap membaca dan menulis menjadi semakin serius sejak di sekolah rendah lagi. Za'ba menjadi guru pelatih kemudiannya memasuki Sekolah Inggeris di Seremban walaupun layak ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK) disebabkan beliau lewat membuat pilihan dan tempat terhad hasrat tersebut tidak kesampaian.

Beliau menggunakan nama pena "Za'ba", "Patriot", dan "Anak Melayu Jati". Beliau menulis meliputi semua bidang sosial, ekonomi, politik dan juga pendidikan. Kemahirannya dalam bahasa Inggeris, Arab dan Melayu memudahkan beliau meluaskan lagi bidang pembacaan dan penulisannya.

Pada 3 Oktober 1918, Za'ba berpindah kerja ke MCKK dan dinaikkan pangkat menjadi Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Pahang. Kemudian bekerja sebagai penterjemah dan pengarang buku teks untuk sekolah Melayu. Pada 1924 Pejabat Karang Mengarang Sultan Idris Training College (SITC) dibentuk dan beliau menjadi Ketua Pengarang dan Penterjemah Kanan.

Risalah

Masa Za'ba banyak dihabiskan dengan menulis dan menterjemah risalah, buku dan bahan berita. Beliau juga menulis rencana yang membicarakan mengenai bahasa, sosioekonomi dan agama masyarakat Melayu yang tersiar dalam akhbar Perak Shimbun, Betita Perak dan Fajar Asia.

Pelbagai buku ilmu bahasa Za'ba berjaya diterbitkan antaranya : Ilmu Bahasa Melayu 1 (1927), Ilmu Bahasa Melayu II (1927); Rahsia Ejaan Jawi (1930); dan Ilmu Mengarang Melayu (1934), Rahsia Ejaan Jawi II dan Kamus Bahasa Melayu. Umbi Kemajuan atau falsafah Takdir (Sukatan Azali) dalam Agama Islam (1932), buku terjemahan Pendapatan Perbahasan pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan (1934).

Za'ba menjadi pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies (SOAS) di Universiti London 1947-1950. Tugas Za'ba mengajar bahasa Melayu kepada bakal pegawai British yang akan berkhidmat di Tanah Melayu. Beberapa buah buku terjemahan hasil penulisannya pada saat terakhir iaitu Tawarikh Tanah Melayu (1961), dan Kalong Bunga I dan II.

Sebagai penulis guru, beliau adalah pendorong kepada penulis lain dalam kalangan guru selepasnya. Beliau juga terus menulis dalam majalah Qalam, Mestika dan Juita. Beliau juga menyumbangkan fikirannya melalui ceramah, syarahan dan forum yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu atau pun melalui Radio Singapura. Minat utama Za'ba masih dalam bidang penulisan hingga ke akhir hayatnya iaitu pada 23 Oktober 1973 dalam usia 78 tahun.

Hamka pernah menyatakan, Za'ba telah banyak berjasa menjaga bahasa Melayu agar jangan terlepas kaitannya dengan roh dan jiwa Islam dan dia pun seorang Islam yang berhaluan Kaum Muda dan berfaham menurut ajaran Jamaluddin Al-Afgani dan Muhammad Abduh.

Menurutnya, Za'ba adalah derma termahal yang diberikan oleh Islam ke dalam Kesusasteraan Melayu Moden. Za'ba adalah laksana jambatan yang melaksanakan di antara perbendaharaan Melayu lama dengan perkembangan bahasa moden.

Terdidik

Semangat dan kegigihan beliau ini akhirnya mendorong ramai dalam kalangan guru dan pendidik menjadi penulis, Mereka kebanyakannya terdidik di Maktab Perguruan Sultan Idris Training College (SITC) pada 1922, kini Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam sastera Melayu dan sumbangan penulis guru sangat besar antaranya Harun Muhammad Amin (Harun Aminurrashid) yang berjaya menulis sembilan buah novel.

Antara novelnya ialah Melur Kuala Lumpur (1930), Dewa Lombong Minyak (1947), Darah Kedayan (1947), Cinta Gadis Rimba (1948), Korban Kinabalu (1948), Dayangku Fatimah (1948), Sebelum Ajal (1949), Siapakah Yang Bersalah (1949).

Manakala Abdullah Sidek menghasilkan sepuluh novel antaranya, Bercinta yang Tidak Berfaedah (1934), Siapakah Pembunuhnya (1934), Pencuri yang Licin (1937), Duri Perkahwinan (1938), Iblis Rumah Tangga (1939), Gelombang Hidup (1940), Semangat Yang Tercuri (1940), Mari Kita Berjuang (1941), Gadis Hulu Muar (1941), Berjanji Di Kereta api (1942).

Sementara penulis novel lain seperti Ahmad Bakhtiar, Ahmad Murad Nasaruddin, Ahmad Kotot, Muhammad Yassin Makmur dan Muhammad Rakwi Yusof. Kebanyakan novel mengisahkan kisah masyarakat, masalah sosial kehidupan orang Melayu pada zaman itu.

Dalam bidang cerpen lahir nama-nama seperti Harun Aminurrashid, Kamsani Haji Arif, Mohd Yusof Arshad, Abdullah Yahya, Melati Serawak, Mahmud Arshad, Yusof Adil, Abdullah Sidek, dan Ibrahim Haji Yaakub.

Sumbangan penulisan sajak oleh Muhammad Yassin Makmur (Pungguk), Harun Aminurrashid (Atma Jiwa), Embong Yahya (Ngumba), Muhammad Yusof Awang, Mahmud Ahmad, Kamsani Haji Arif, Yusof Arshad dan Yusof Harun. Terdapat juga sumbangan dalam bidang kritikan sastera oleh Keris Melayu, Muhammad Yusof Arshad dan Ngumba.

Selepas itu, beberapa nama antaranya yang pernah terdidik di SITC antaranya Mokhtar Yassin, Awang Had Salleh, Masuri S.N, Mohd Nor Long, Suratman Markasan, Sahmad Malaya, Arman Sani, Kemala, Othman Putih dan banyak lagi terdiri daripada kalangan penulis-penulis muda dalam kalangan guru yang kini masih bergiat aktif dalam bidang penulisan.

Hakikatnya, peranan dan sumbangan Za'ba tidak boleh dinafikan dalam perkembangan penulisan khususnya memberi inspirasi kepada kalangan guru yang berminat. Perjuangannya dalam bidang bahasa, sastera dan juga persuratan telah mengangkat martabat kaum guru di Malaysia. yang akhirnya diikuti oleh penulis guru yang lain.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Fenomena transit Zuhrah muncul semula 2117



LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Penduduk di seluruh dunia memandang ke langit pada waktu siang kelmarin dan awal petang semalam di Asia untuk melihat transit Zuhrah.

Keajaiban alam tersebut berikutnya hanya akan berlaku dalam tempoh 105 tahun akan datang.

Transit Zuhrah terjadi apabila planet berkenaan melintasi di antara Bumi dan Matahari.

Penduduk Bumi dapat melihat planet berkenaan sebagai satu bintik hitam kecil pada permukaan matahari.

"Jika anda dapat melihat tahi lalat pada wajah model antarabangsa Cindy Crawford, anda pasti akan dapat melihat transit Zuhrah," kata seorang ahli Persatuan Astronomi Los Angeles, Van Webster.

Transit berkenaan berlaku selama 6 jam 40 minit bermula selepas pukul 6 petang di AS.

Mereka yang berada di Amerika Utara dan Tengah akan dapat melihat keseluruhan fenomena itu manakala penduduk di barat Asia, timur Afrika dan sebahagian besar Eropah pula akan dapat menyaksikan penghujung transit Zuhrah apabila matahari terbit.

Di Hawaii, Alaska, timur Australia dan Asia termasuk Jepun, Semenanjung Korea dan timur China, orang ramai dapat memerhatikan keseluruhan transit Zuhrah kerana fenomena itu berlaku pada siang hari.

Mereka yang tidak memiliki teleskop bersama penapis khas memilih untuk menyaksikan fenomena itu di laman web Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Laman web tersebut mencatat hampir 2 juta penonton kelmarin dengan sekitar 90,000 orang melayarinya pada sesuatu masa.

Di bandar raya ini, kali terakhir transit Zuhrah berlaku adalah 130 tahun lalu pada 1882.

"Saya berasa sangat seronok. Ini satu pengalaman yang kami tidak akan lupakan seumur hidup kami," kata seorang jurutera perisian berusia 32 tahun, Bo Tan.

Dia dan beberapa rakan sekerjanya mengambil cuti separuh hari untuk memerhatikan keganjilan alam tersebut.

Namun, orang awam yang mahu melihat transit Zuhrah dinasihatkan supaya memakai kaca mata khas atau teleskop dilengkapi penapis cahaya.

Ini kerana perbuatan memandang pada tempoh yang lama ke arah matahari akan merosakkan retina mata.

Ketika gerhana matahari berlaku pada 1970, sebanyak 145 kes retina rosak dilaporkan di AS akibat perbuatan memandang ke arah bintang tersebut tanpa sebarang peralatan keselamatan.

Transit Zuhrah berikutnya hanya akan berlaku pada tahun 2117. - Agensi

ISU ALAM SEKITAR : Awas Perangkap Maut



Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

Risiko lelap dalam kenderaan, sedut maut karbon monoksida boleh ragut nyawa

SEBANYAK 11,547 kes kematian akibat karbon monoksida dilaporkan Amerika Syarikat dan 60 peratus daripadanya disebabkan ekzos kenderaan bermotor. Malah, sejumlah 15,000 mangsa dilaporkan dimasukkan ke jabatan kecemasan setiap tahun akibat secara tidak sengaja terdedah kepada karbon monoksida.

Itu yang dilaporkan di Amerika Syarikat. Bagaimana pula di tempat lain? Sesungguhnya, kematian dalam kereta akibat terhidu gas beracun sama ada berunsurkan kecuaian atau jenayah, bukan lagi kes terpencil, sebaliknya fenomena di seluruh dunia.

Banyak kes kematian dilaporkan akibat terhidu gas monoksida. Di Malaysia misalnya, ‘amalan’ pemandu singgah di pusat Rehat dan Rawat (R&R) selepas kepenatan atau mengantuk selepas memandu jauh, lalu berehat di dalam kereta dengan enjin terpasang, kemudian tertidur, sudah kerap kedengaran.

Ada kes individu menunggu seseorang di dalam kereta kemudian tertidur. Tidak kurang ada yang tinggalkan anak di dalam kereta dengan enjin dan penghawa dingin dipasang untuk melakukan sesuatu urusan. Tindakan itu tidak bijak dan mengundang bahaya. Paling mengecewakan, ramai yang tidak tahu wujud risiko bakal menunggu jika terlalu lama di dalam kenderaan.

Malah, baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tragedi kematian lima beranak dalam bengkel di Jalan Serangkai 4, Taman Bukit Dahlia, Masai. Dipercayai lemas, dalam kereta yang berkunci dari dalam. Ketika ditemui, mayat lelaki pemilik bengkel itu berada di tempat duduk pemandu manakala mayat isterinya bersama anak berusia empat tahun, dipangku berada di kerusi bersebelahan. Mayat dua lagi anak mereka masing-masing berusia sembilan dan 11 tahun ditemui di tempat duduk belakang.


Bagaimanakah kenderaan yang dianggap sebagai pelindung, sebaliknya mampu menjadi perangkap maut?

Aktivis keselamatan dan pengurusan bencana, K Balasupramaniam optimis menyatakan kelalaian manusia menyebabkan segala-galanya boleh berlaku tanpa diduga.

Menjelaskan kenyataannya itu, katanya, seseorang tidak tahu bila akan ‘merasa mengantuk dan mula tertidur’ di dalam kereta dan dalam keadaan itu karbon monoksida mungkin sudah memenuhi paru-paru menyebabkan lemas.

“Sebab itu, kita perlu elakkan daripada tidur dalam kereta. Ia bukan tempat berehat atau ‘menunggu’ oleh kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa, walaupun dalam tempoh singkat.

“Ini kerana ada kalanya ketika ingin menguruskan sesuatu, anak yang ingin kita tinggalkan hanya 5 minit boleh bertukar sejam,” katanya.

Balasupramaniam yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam usaha pengendalian bencana dan kecemasan di dalam dan luar negara, berkata, perlu diketahui, gas karbon monoksida terhasil akibat pembakaran bahan api seperti petrol yang tidak sempurna seterusnya dilepaskan melalui ekzos kenderaan dan masuk ke dalam bahagian kenderaan melalui kebocoran di bahagian tertentu seperti tingkap, bonet dan sebagainya.

Enjin kereta yang baru diselenggara, biasanya mempunyai tahap kesempurnaan pembakaran tinggi berbanding dengan enjin kereta jarang diselenggara.

Ia bukanlah disebabkan oleh sistem pendingin hawa. Sistem itu hanya bertindak sebagai pengalir haba dan menyejukkan ruang dalam kereta dan bukannya membekalkan karbon monoksida.

“Gas karbon monoksida berbahaya kerana ia boleh kekal dalam sistem darah tubuh. Semakin banyak gas ini disedut maka semakin banyaklah kuantitinya dalam darah manusia. Ketumpatan gas monoksida dalam sistem darah manusia menyebabkan kekurangan kandungan oksigen dalam darah. Kekurangan oksigen inilah yang akan membawa kepada kesan anggota badan khususnya sistem saraf dan otak yang mana pada tahap tertentu boleh membawa menyebabkan koma dan seterusnya maut,” katanya.

Persoalannya, bagaimana gas monoksida ini boleh disedut tanpa disedari?

Ada beberapa faktor menyebabkan kejadian itu berlaku. Sebab utama paling nyata ialah berlaku kebocoran aliran udara luar ke bahagian dalam kenderaan.

Katanya kebocoran itu mungkin disebabkan ada lubang bawah kereta, pintu yang tidak rapat terutama bonet belakang, lubang brek tangan dan beberapa faktor lain.

“Insiden ini biasa berlaku ketika enjin kereta dibiarkan hidup berterusan ketika berhenti rehat menyebabkan gas karbon monoksida yang terhasil ketika pembakaran, meresap masuk ke dalam kereta.

“Bagaimanapun jika keracunan itu berlaku ketika sistem pendingin hawa dihidupkan, kemungkinan besar ada campuran gas karbon monoksida dalam aliran udara luar yang masuk melalui sistem pengudaraan kereta. Saluran aliran udara luar sepatutnya tertutup, sekiranya pengguna memilih menggunakan kitaran udara dalaman tanpa membabitkan udara luar.

“Risiko tersedut karbon monoksida adalah rendah bagi kenderaan kedap dari udara luar. Bagaimanapun, siapa yang dapat pastikan kenderaan mereka betul-betul kedap. Kenderaan baru juga kadangkala ada ‘kebocoran’ tetapi dikhuatiri kita tidak perasan mengenainya,” katanya.

Justeru, Balasupramaniam tidak menafikan kereta yang digunakan untuk kemudahan urusan harian mampu bertukar menjadi musuh meragut nyawa, tanpa disedari, jika orang ramai terlalu lalai dan kurang pengetahuan mengenainya.

Tempat parkir boleh ancam nyawa

KENDERAAN yang mempunyai masalah kebocoran pada mana-mana komponennya boleh mengakibatkan individu yang berada di dalamnya ketika enjin dibiarkan hidup dalam jangka masa tertentu berhadapan dengan risiko terdedah kepada keracunan gas.

Pada masa sama, individu yang sedang berehat di dalam kereta tidak terlepas daripada terhidu gas beracun meskipun sistem pendingin hawa dimatikan.

Justeru, orang ramai sepatutnya mengelakkan risiko terperangkap daripada pembebasan gas beracun karbon monoksida hasil kebocoran kenderaan.

Risiko keracunan rendah ketika kenderaan bergerak atau berhenti berehat di kawasan yang berangin berbanding kawasan tertutup, walaupun enjin kereta dihidupkan secara berterusan.

Ketika ditanya Balasupramaniam, adakah ‘kematian’ jenis ini ‘tidak’ dirasai azabnya seperti mangsa tersedar dari tidur, beliau menjelaskan, kematian membabitkan gas ini tidak sama seperti kematian lain.


“Ketika tidur, deria dan pancaindera termasuk rasa dan bau, boleh mengejutkan kita dari tidur, tetapi dalam keadaan ini, karbon monoksida akan masuk ke dalam paru-paru dan akibatnya tubuh badan akan kekurangan oksigen hingga membawa maut.

“Contohnya, dalam kes kebakaran. Mangsa yang tertidur akan terjaga, bukan disebabkan kehadiran asap, sebaliknya rasa panas akibat api yang semakin marak. Mangsa akan terbangun sebab deria merasai panas. Ia berlaku bila 1/3 daripada cecair tubuh badan menjadi sejat, menyebabkan tubuh berada dalam keadaan tidak selesa. Tetapi dalam keadaan keracunan karbon monoksida, asap itu akan memenuhi paru-paru. Apabila ia masuk semakin banyak, mangsa boleh sesak nafas. Dalam keadaan itu otak mangsa panik, keliru dan tidak mampu berfungsi lagi dan ia berlaku dalam keadaan mangsa itu tidur,” katanya.

Balasupramaniam berkata, kematian dalam kereta boleh dijelaskan sebagai disengajakan atau tidak sengaja.

Sengaja membabitkan insiden bunuh diri atau kes pembunuhan, di mana secara jelas saluran getah akan disambung dari ekzos ke dalam kereta.

Namun, kejadian dianggap tidak sengaja apabila tidak bukti wujud unsur jenayah, sebaliknya mangsa ketika ditemui bagaikan orang yang sedang tidur.

“Anda jangan terkejut kalau saya katakan dalam beberapa kes di kawasan perumahan bandar seperti pangsapuri, ada orang yang mengambil jalan mudah tidur dalam kenderaan dengan pendingin hawa dihidupkan bila bekalan elektrik terputus atau rosak.

“Lokasi turut mempengaruhi. Keadaan garaj bertutup atau tempat parkir di bahagian bawah tanah, boleh meningkatkan risiko keracunan karbon monoksida berbanding berada di kawasan tempat kereta lapang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengelak meletakkan kenderaan dengan muncung ekzos menghala ke pintu masuk kediaman.

“Ini kerana bagi orang yang suka panaskan enjin dalam tempoh lama, asap itu boleh masuk ke dalam rumah melalui celahan pintu atau tingkap dan mungkin meracuni ahli keluarga,” katanya.

INFO:

Perlu tahu :

Usah meremehkan tempoh selenggara kenderaan. Disiplinkan diri hantar di bengkel profesional sama. Tujuannya mengelakkan penggunaan gas penyaman udara berbeza setiap bengkel.

Jangan biasakan tidur dalam kenderaan kerana tidak tahu ‘bila kita akan tertidur’.

Sekiranya terdesak berada dalam kereta, pastikan persekitaran luas dan terbuka. Walaupun enjin kereta tidak dihidupkan, asap ekzos daripada kenderaan lain mungkin menyelusup masuk ke dalam kenderaan anda.

Risiko keracunan adalah amat kecil ketika kenderaan bergerak atau berhenti rehat di kawasan berangin, walaupun enjin dihidupkan secara berterusan.

Elakkan risiko keracunan gas, pastikan kenderaan mempunyai tahap kebocoran aliran udara dari luar yang paling minimum.

Keracunan karbon monoksida berlaku selepas menghirup karbon monoksida sejenis gas sangat bertoksik. Gas itu tidak mudah dikesan kerana ia tidak berwarna, berbau, berasa, dan merengsakan.

Karbon monoksida ialah hasil daripada pembakaran bahan organik tanpa bekalan oksigen yang mencukupi dan seringnya dihasilkan di dalam persekitaran rumah dan perindustrian kenderaan bermotor atau alat kuasa gasolin, pemanas, dan kelengkapan masak. Pendedahan terhadap karbon monoksida pada 100 bahagian per juta (ppm) atau lebih, boleh membahayakan kesihatan manusia.

Keracunan karbon monoksida antara kaedah paling biasa digunakan membunuh diri, iaitu dengan sengaja menghirup asap ekzos dihasilkan enjin kereta yang hidup. Ia juga dikatakan menyebabkan apa yang digelar rumah berhantu. Gejala seperti ‘delirium’ dan ‘halusinasi’ diakibatkan keracunan karbon monoksida menyebabkan individu berfikir mereka nampak hantu atau mempercayai rumah berhantu.

Sistem pendingin hawa kereta serupa dengan sistem pendingin hawa ‘split unit’ yang dipasang di rumah dan pejabat. Apa yang membezakan ialah sumber tenaga yang menjanakan sistem berkenaan.

Komponen utama sistem pendingin hawa ialah ‘compressor’ dan ‘refrigerant’ atau gas lengai ada dalam kitaran mampatan sistem penyejukan pendingin hawa. Gas inilah boleh diisi semula apabila kesan penyejukan pendingin hawa berkurangan.

Kadar kehilangan gas ini adalah terlalu kecil dan kadangkala memakan masa sehingga bertahun-tahun diisi semula membuktikan keracunan karbon monoksida bukanlah disebabkan sistem pendingin hawa.

FAKTA

Antara kes tragis:
  • Seorang kontraktor ubahsuai bangunan yang tidak pulang ke rumah selepas melakukan kerja pengubahsuaian di sebuah kilang pemasangan kereta, ditemui mati dalam keretanya di Jalan Segambut. Beliau ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan darah pada hidung di kawasan parkir di hadapan kilang oleh kakitangan Nissan Tan Chong Motor. Anak mangsa, memberitahu polis, seorang pekerja yang menemui mayat bapanya menghubunginya memaklumkan kejadian itu.
  • Seorang wanita berusia 50-an ditemui mati di dalam keretanya di tempat letak kereta sebuah pusat kesihatan di Gunung Rapat, Ipoh. Mayat wanita itu ditemui di dalam kenderaan jenis Perodua Kembara kira-kira jam 1.30 petang oleh orang awam yang melalui kawasan itu.
  • Ketika ditemui, mangsa tidak sedarkan diri dengan enjin kenderaan sudah dimatikan. Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mayat Ainon dalam keadaan tersandar di tempat duduk kerusi pemandu dengan kesan kebiru-biruan di beberapa bahagian badan tanpa menemui sebarang senjata.
  • Empat sekeluarga yang ditemui mati dalam kereta di sebuah ladang kelapa sawit kira-kira empat kilometer dari Kota Tinggi.
  • Seorang pemuda ditemui mati di dalam kereta dipercayai akibat asap yang disalurkan ke dalam kereta berkenaan di Ulu Temiang, Seremban. Mangsa ditemui mati oleh penduduk kampung berhampiran yang melalui jalan itu. Menurut kenyataan polis, setiba di tempat kejadian mendapati enjin kereta masih hidup dan mangsa dipercayai menyalurkan asap dari ekzos keretanya ke dalam melalui getah paip.
  • Sepasang kekasih ditemui mati dalam keadaan bogel dipercayai lemas kerana terhidu gas karbon monoksida dalam sebuah kereta di garaj sebuah pusat mencuci kenderaan di Seksyen 17, Shah Alam. Mayat pasangan itu ditemui seorang rakan mereka yang menetap di kontena berdekatan pusat mencuci kenderaan, dalam keadaan enjin dan penghawa dingin kereta terpasang, kira-kira jam 9 pagi dan diklasifikasikan secara mati mengejut.
  • Seorang budak lelaki berusia empat tahun dijumpai mati dalam kereta selepas dia ditinggalkan oleh bapanya, yang tidak menyedari anak bongsunya tertidur dalam kenderaan berkenaan. Bapanya, dikatakan tidak menyedari anaknya tidur dalam kereta itu. Selepas lebih dua jam, lelaki berusia 37 tahun itu kembali ke keretanya dan terkejut menjumpai anaknya tidak sedarkan diri.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Kita tidak perlu bahasa rasmi kedua



Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org

BARU-BARU ini penaung diraja Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (Melta), Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyatakan keresahannya terhadap kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini dengan menyorot kepada kemungkinan ada rakyat yang menganggap tidak patriotik untuk mempelajari bahasa itu.

Baginda juga berkata, ada dalam kalangan mereka itu tidak dapat menerima bahawa menguasai bahasa kedua tiada kena mengena dengan cinta kepada negara.

Tanggapan baginda itu tidak salah, bahkan mungkin ada alasan. Malangnya, kenyataannya itu diputarbelitkan sebuah stesen radio swasta yang diketahui mengabaikan penggunaan bahasa Melayu untuk dijadikan bahan perbincangan satu rancangan bual bicara edisi petangnya, Khamis lalu.

Stesen radio itu dengan sengaja memberikan tanggapan lain daripada kenyataan Raja Zarith Sofiah untuk dijadikan bahan perbincangan dengan pendengarnya. Tajuk yang digunakannya ialah apakah perisytiharan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara ini tindakan tidak patriotik dengan menyorot kepada apa yang dinyatakan Raja Zarith Sofiah itu.

Tiada siapa pun pernah menimbulkan perlunya bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua negara sebagai usaha memaksa rakyat memberi tumpuan terhadap penguasaan bahasa itu. Jauh sekali berpendirian usaha menguasai bahasa Inggeris adalah suatu perkara tidak patriotik.

Ramai mengakui penguasaan bahasa Inggeris memang merosot dan perlu dibaiki supaya dapat dikuasai sejumlah besar rakyat negara ini sekiranya mahu melonjak menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti.

Diakui kita sebagai negara yang bergantung kuat kepada perdagangan antarabangsa harus dapat menguasai bahasa itu dengan baik. Bahasa Inggeris sudah dianggap sebagai bahasa antarabangsa. Ini tiada siapa pun menafikan termasuk pencinta bahasa Melayu. Tetapi untuk menyatakan kononnya hanya dengan mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi baru rakyat akan berusaha untuk menguasainya adalah syor melampau, lebih-lebih lagi dikaitkan dengan semangat patriotik seseorang kepada negaranya.

Seperti diharapkan pengendali acara bual bicara radio itu, ramailah antara mereka yang menelefon memberi pandangan mempersoalkan kenapa penguasaan bahasa Inggeris mahu dikaitkan dengan perasaan patriotik. Corak perbincangan itu lebih menjengkelkan dengan kebanyakan pemanggil menyokong syor menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negara ini.

Mereka termasuk ketiga-tiga pengacaranya tidak pula menyatakan apakah hanya dengan perisytiharan itu baru rakyat memberi tumpuan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris?

Tidak dinafikan ramai antara lulusan sekolah kebangsaan termasuk graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) amat lemah penguasaan bahasa itu sehingga ada yang gagal mendapat pekerjaan di sektor swasta.

Yang perlu dilakukan ialah meningkatkan pembelajaran bahasa Inggeris sejak peringkat sekolah rendah lagi.

Usaha ini sudah dilaksanakan Kementerian Pelajaran dengan menambah masa pelajaran bahasa Inggeris daripada 240 minit seminggu kepada 330 minit. Demikian pula bagi pelajar di IPTA perlu diberi perhatian untuk menguasai bahasa itu dengan baik sebelum diberi ijazah. Sehingga kini sebahagian besar graduan IPTA tidak diterima berkerja oleh syarikat swasta kerana penguasaan bahasa Inggeris amat lemah.

Malangnya oleh kerana kelemahan itu ramai antara mereka dianggap tidak boleh berfikir dengan baik. Pihak swasta seolah-olah mahu menyamakan pengetahuan dan kepintaran minda seseorang dengan penguasaan bahasa Inggeris. Kurangnya penguasaan bahasa itu mahu disamakan dengan daya pemikiran yang lemah. Apa kena mengena penguasaan bahasa Inggeris dengan kepintaran minda seseorang tidak pula dinyatakan.

Baiknya usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan sudah dilaksanakan di beberapa IPTA. Usaha itu diharap bukan saja menyekat kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris tetapi meningkatkan penguasaannya dalam kalangan ramai rakyat. Tentu usaha itu tidak memerlukan bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa rasmi kedua.

Walaupun tanpa perisytiharan sedemikian ramai antara rakyat, khususnya kelas menengah dan yang tinggal di bandar besar terus mengagungkan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi pihak swasta hingga ada yang tergamak mengabaikan terus penggunaan bahasa Melayu.

Bukan setakat itu saja, hingga sekarang ini pun masih ramai rakyat tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau memahaminya. Ruangan ini sudah beberapa kali menimbulkan isu kurangnya perhatian sesetengah rakyat negara ini terhadap penggunaan bahasa Melayu kerana tidak fikir mereka perlu mengetahuinya kerana hanya mahu bergaul sesama bangsa tanpa mahu berinteraksi dengan rakyat yang berlainan kaum.

Oleh itu,  ramai lulusan sekolah Cina masih tidak dapat menguasai bahasa Melayu walaupun lulus dalam mata pelajaran itu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka mempelajarinya hanya kerana terpaksa untuk lulus SPM bukan kerana mahu memahaminya atau boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan itu.

Mahkamah masih perlu menyediakan jurubahasa kepada tertuduh keturunan Cina atau India kerana mereka tidak boleh memahami pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu. Apakah kesimpulan yang boleh kita ambil daripada keadaan demikian ini?

Bukankah keadaan ini sudah berleluasa walaupun tanpa bahasa Inggeris diisytihar sebagai bahasa rasmi. Apa agaknya yang akan berlaku jika pengisytiharan demikian dilaksanakan? Tentu lebih ramai rakyat negara ini akan terus mengabaikan penggunaan bahasa Melayu. Mungkinkah ini yang dikehendaki orang sebegini?

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

ISU PENDIDIKAN : Hukum anak tanpa guna rotan



Oleh : FARUSH KHAN

Hari pertama menghantar saya ke sekolah, bapa saya meninggalkan secebis kata keramat kepada guru: "Saya serah anak saya pada cikgu. Hukumlah dia jika salah; janji jangan sampai cacat, sudahlah."

Saya bertuah mendapat Cikgu Miah sebagai guru besar. Selama empat tahun di awal persekolahan, Cikgu Miah tidak pernah lupa membawa rotan panjang ketika melawat setiap darjah. Beliau merenung tajam pada setiap murid yang dihampirinya, tetapi ironinya, belum pernah sekali pun saya lihat rotan yang diayun ke hulu ke hilir itu singgah ke badan mana-mana murid.

Semua murid suka dan hormat padanya serta patuh pada setiap arahannya. Masuk kelas Special Malay, saya berhadapan dengan guru matematik, Mr Lim. Orangnya gempal dan berperawakan menarik, tetapi ketika mengajar tiada tolak-ansur.

Semua murid gerun dan hormat padanya serta patuh pada setiap arahannya. Setiap kali ujian, semua murid berusaha melepasi 50 markah, kerana jika kurang satu markah, hukumannya satu rotan di punggung dan seterusnya.

Saya kena 16 sebatan; peristiwa yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila. Ibu bapa saya tanya mengapa saya kena rotan, tetapi tidak menunjukkan sebarang reaksi di depan saya, tetapi saya percaya di belakang saya, mereka tentu gelak pecah perut.

Apa tidaknya, sakitnya kesan sebatan tidak terperi. Untuk beberapa hari saya, terpaksa bertinggung atau duduk atas bantal waktu makan dan meniarap untuk tidur. Selepas itu, saya tidak pernah lagi dapat kurang daripada 50 markah.

Di kampung, saya berhadapan dengan Pak Leman, guru al-Quran. Mirip wajah arwah Ahmad Nesfu, pelakon zaman awal perfileman Melayu, Pak Leman sering tersenyum, tetapi ketika mengaji, murid lelaki kena jaga-jaga; silap bacaan, rotannya hinggap ke betis macam kilat. Dirotan di sekolah atau di kelas mengaji, saya tidak pernah mengadu, sebab di rumah, bukan lagi rotan.

Kalau balik selepas azan Maghrib, umpamanya, hukumannya kayu bakau. Hari ini penggunaan rotan di sekolah sering kali menjadi isu kontroversi hingga diharamkan pada 2004, walaupun guru besar dibenarkan merotan murid di dalam darjah di hadapan saksi.

Beberapa pihak meluahkan kebimbangan dengan peningkatan kes disiplin murid dan mencadangkan beberapa langkah untuk menangani masalah itu. Kebimbangan mereka tidak boleh dipandang ringan.

Kementerian Pelajaran melaporkan 16,000 kes ponteng di sekolah rendah antara 2010 dan 2011. Di sekolah menengah bilangannya 11,000 pada 2010 dan 10,488 tahun sebelumnya. Banyak tindakan telah diambil bagi menangani masalah disiplin murid; peraturan dikuatkuasakan, kempen dan pemeriksaan mengejut dilancarkan, talian panas dan badan pencegah jenayah diperkenalkan.

Itu tidak masuk bantuan pengawasan polis dan guru kaunseling, namun kesannya tidak seberapa. Jadi apakah rotan dapat membantu menukar anak-anak kita yang kurang berdisiplin kepada insan yang lebih baik?

Yang ketara rotan barangkali boleh menimbulkan perasaan takut, tetapi tidak semestinya hormat dan sesuatu yang dipatuhi tanpa hormat biasanya tidak bertahan lama.

Kerana malu dan marah, tindakan merotan boleh mewujudkan sikap memberontak dan akibatnya lebih buruk. Apatah lagi pada zaman sekarang apabila remaja lebih terdedah kepada pelbagai anasir melalui Internet dan pergaulan, dengan lebih ramai ibu bapa bekerja dan guru yang kurang komited.

Sebab itu, pakar psikologi selalu mengingatkan ibu bapa supaya menjaga tindakan dan amalan supaya menjadi teladan kepada anak-anak, mendidik anak supaya menjadi matang, tidak mudah marah dan stres.

Sekiranya ibu bapa tidak dapat mendidik anak menjadi insan baik dan berguna, janganlah salahkan guru jika tidak dihormati murid. Ibu bapa yang terlalu melindungi anak daripada tindakan guru hingga tidak boleh dijentik dan dimarahi mengundang bahaya.

Kes-kes di mana ibu bapa bertindak melaporkan hukuman guru yang agak tegas terhadap murid hanya menimbulkan perasaan takut dalam kalangan guru untuk terus menanamkan disiplin dalam kalangan murid. Mereka mengajar hanya untuk memenuhi tugas, tidak lebih daripada itu.

Ada pakar psikologi yang berasa sebenarnya rotan bukan satu-satunya cara untuk menjaga disiplin. Disiplin juga perlu ditanam melalui kaedah hadiah. Maknanya mereka yang tidak berdisiplin dihukum, sementara yang baik diberi hadiah.

Tidak memberi benda yang mereka suka seperti ais krim, menonton TV, makanan segera, main permainan di komputer juga dikira sejenis hukuman. Ia membuat mereka 'sakit' dan menyesal dan berazam tidak mahu mengulangi kesalahan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sukatan Mata Pelajaran Sejarah Perlu Dikemas Kini



GEORGE TOWN : Kementerian Pelajaran pada Rabu disaran mengemas kini sukatan mata pelajaran Sejarah terutama bagi pelajar Tingkatan Enam selaras dengan penemuan teori terkini dan penambahan maklumat oleh sejarawan negara.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Abu Talib Ahmad berkata beberapa tahun kebelakangan ini banyak aspek yang tercicir dalam subjek Sejarah dibangkit oleh ahli sejarah melalui penyelidikan mereka.

"Sebagai contoh sudah sekian lama kita percaya bangsa Melayu berasal dari Yunan tetapi hasil kajian terkini mendapati bangsa itu datang dari Taiwan berkembang di Borneo seterusnya Palembang sehinggalah beranak-pinak di Semenanjung," katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Antarabangsa Perantauan Sumatera-Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CEnPRIS) di kampus USM di sini.

Abu Talib berkata penekanan fakta sejarah juga perlu melihat daripada semua aspek termasuk sosial, agama, budaya, makanan dan sebagainya, bagi membantu pelajar memahami ilmu sejarah dengan lebih terperinci dalam konteks yang lebih luas.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Muhammad Salleh berkata tema dalam sukatan mata pelajaran juga perlu diperluas bagi menarik perhatian generasi muda kerana subjek sejarah itu adalah kunci bagi memupuk semangat nasionalisme kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kurikulum di sekolah menggalakkan penghafalan menyebabkan kebanyakan pelajar menjauhi mata pelajaran itu kerana ia membosankan. Sebenarnya Sejarah itu lebih menarik jika watak dan kerangka waktu dalam subjek dilakonkan semula," katanya.

Seminar tiga hari bermula hari ini menghimpunkan 26 pembentang dari institusi pengajian tinggi tempatan dan Indonesia bagi mengupas 23 kertas kerja mengenai perkembangan susur galur bangsa Melayu dan menggalakkan kerjasama intelektual bangsa serumpun di rantau ini. -BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : Kesatuan Guru & PIBG Sokong Cadangan Wajibkan Guru Baru Miliki Ijazah



KUALA LUMPUR : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada Rabu menyambut baik cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua guru baru memiliki ijazah menjelang tahun 2020 sebagai syarat menyertai profesion perguruan.

Presidennya Hashim Adnan berkata langkah tersebut bagi memastikan guru baru yang terpilih untuk mengajar di sesebuah sekolah merupakan mereka yang benar-benar mempunyai kualiti sebagai seorang pendidik.

"Ia cadangan yang bagus malah pada saya tempoh 2020 wajar diawalkan kepada 2017 berdasarkan sistem pendidikan yang jauh lebih baik disediakan kerajaan pada hari ini, sebagai contoh peluang yang disediakan kepada bakal guru untuk menyambung pengajian tanpa perlu membuat sebarang bayaran.

"Justeru, sebaik sahaja tamat pengajian dalam tempoh tiga hingga empat tahun mereka (guru baru) boleh keluar dan terus mengajar di tempat yang ditetapkan dengan kelayakan ijazah yang diperoleh," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Rabu.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini berhubung beberapa cadangan yang terkandung dalam Pelan Pendidikan Strategik Interim: Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2012.

Antara kandungan laporan tersebut termasuklah mewajibkan setiap guru baru memiliki ijazah menjelang tahun 2020 serta pemberian biasiswa pendidikan kepada guru cemerlang yang mendapat purata gred 3.0 ketika pengajian bermula tahun depan.

Selain itu, ia turut menyentuh mengenai khidmat bantuan jurulatih kepada guru baru, program latihan yang melibatkan agensi tempatan dan antarabangsa, menggalakkan guru baru menceburkan diri dalam bidang kemasyarakatan serta pendidikan formal kanak-kanak seawal usia lima tahun.

Hashim dalam masa yang sama mengalu-alukan cadangan kerajaan memberikan bantuan jurulatih dan biasiswa pendidikan kepada bakal guru yang memperoleh keputusan cemerlang ketika pengajian kerana ia menggalakkan golongan tersebut menjadi pendidik yang bertanggungjawab dan berdaya saing.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan menyediakan pendidikan formal seawal usia lima tahun bagi kanak-kanak di negara ini, Hashim berkata ia merupakan pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka pada usia yang lebih awal atau sebaliknya ke sekolah.

"Pendidikan adalah bebas dan bersifat pilihan individu...maka ia terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka sewal usia lima atau enam tahun ke sekolah bergantung kepada kemampuan dan juga keupayaan kanak-kanak itu sendiri.

"Saya menyokong sekiranya ibu bapa mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan formal seawal usia lima tahun namun dalam masa yang sama tahap keupayaan setiap kanak-kanak adalah berbeza...dalam isu ini unsur paksaan tidak harus berlaku terhadap anak-anak oleh ibu bapa," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata cadangan mewajibkan semua guru baru mempunyai ijazah menjelang tahun 2020 merupakan satu pendekatan yang positif kerana pendidikan merupakan intipati penting dalam pembangunan negara untuk jangka masa panjang.

Katanya, dalam konteks dasar langit terbuka pada hari ini peranan pendidik sangat diperlukan bagi membantu ibu bapa memantau aktiviti anak mereka terutama ketika berada di kawasan sekolah.

"Jika kita masih mengambil guru yang kurang ilmu, saya bimbang mereka tidak mampu menjalankan tugas mereka dengan baik sekaligus tidak dapat menangani masalah dan memimpin murid ke arah yang lebih baik.

"Mengenai pemberian biasiswa, ia merupakan inisiatif yang baik kerana di samping menghargai kecemerlangan mereka, kita juga secara tidak langsung berupaya melahirkan golongan pendidik yang mampu bersaing dengan kelebihan yang ada pada pendidik negara luar seperti di Singapura, Korea Selatan dan Jepun," katanya.

Mohamed Sabri turut menasihatkan guru-guru baru diberikan pendedahan yang lebih meluas dalam isu kemasyarakatan bagi mengelakkan mereka menghadapi sebarang kesulitan apabila dihantar bertugas ke sesebuah daerah apabila diarahkan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN)Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan berkata sama ada seorang guru baru itu mempunyai ijazah atau tidak bukanlah menjadi perkara utama sebaliknya sikap dan profesionalisme golongan itu yang wajar dijadikan keutamaan.

"Pihak kami tidak mempunyai halangan berhubung cadangan tersebut namun apa yang penting adalah sikap guru itu sendiri yang mampu menjalankan tugas mereka dengan baik berasaskan tiga perkara iaitu ASK 'Attitude, Skills dan Knowledge (Sikap, Kemahiran dan Pengetahuan)'.

"Profesionalisme seorang guru sangat penting kerana bukan ijazah berjela yang kami pihak PIBG pandang tapi tahap dedikasi mereka terhadap profesion perguruan termasuklah dalam aspek mengajar, kesabaran serta proaktif," katanya.

Mohd Ali berkata mempunyai ijazah asas dalam jurusan sama seperti yang diajar juga perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan guru berasa terbeban dan keliru dengan mata pelajaran yang diajar.

Selain itu, katanya, guru baru sememangnya diharapkan dapat melibatkan diri mereka dalam bidang kemasyarakatan kerana tugas sebagai pendidik bukan sahaja terhad di sekolah. -BERNAMA

ISU TENAGA KERJA ASING : Mencari alternatif amah asing


Oleh ARIF ATAN

DILAPORKAN setakat ini terdapat kira-kira 75 peratus pembantu rumah warga Indonesia daripada jumlah lebih 200,000 amah asing yang berkerja di Malaysia. Seramai 30,000 orang pula adalah orang Kemboja dan bakinya dari negara lain.

Akibat permintaan yang terus meningkat, Malaysia dikatakan memerlukan kira-kira 100,000 amah Indonesia lagi.

Tidak hairanlah negara jiran seberang itu mengenakan pelbagai tuntutan kepada Malaysia sebelum ini lantaran kebergantungan kita kepada mereka dalam membekalkan warganya sebagai amah di sini.

Paling ketara apabila Indonesia mahukan rakyatnya yang menjadi pembantu rumah di negara kita diberi gaji bulanan minimum sebanyak RM700 selain tidak dikenakan lebih daripada satu beban tugas.

Oleh itu, syor supaya kita mengambil amah dari kalangan wanita Islam Kemboja, Vietnam, selatan Thailand dan selatan Filipina terutamanya seperti yang disuarakan oleh Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin adalah praktikal untuk dilaksanakan.

Namun, ikhtiar untuk membendung keegoan Indonesia itu juga harus perlu mengambil kira beberapa perkara. Pertama, kuatkuasakan peraturan supaya amah yang terdiri daripada wanita Islam dari negara rumpun Melayu itu dikhususkan untuk majikan beragama Islam di negara ini.

Kita tidak mahu lagi mendengar kes-kes penderaan majikan terhadap amah Indonesia yang beragama Islam kerana perbezaan latar agama dan budaya akan "berpindah" pula selepas ini kepada kelompok amah Muslim terbabit.

Jika tidak, dikhuatiri pada masa depan kita hanya akan mengulang kitar semula isu yang kemudiannya bagi jangka panjang menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara ini.

Seterusnya, mencemar imej Malaysia sebagai negara yang sinonim dengan agama Islam walaupun kes-kes terpencil itu dilakukan mungkin oleh majikan yang sebahagian besarnya bukan beragama Islam.

Kedua, pada ketika Malaysia mempertimbangkan untuk mengimport amah beragama Islam dari wilayah jiran tetangga, ada baiknya dalam masa sama kita menawarkan kerja pembantu rumah ini kepada golongan wanita tempatan yang dari latar sosio-ekonomi rendah tetapi tinggi semangatnya untuk bekerja.

Mereka ini bertebaran di seluruh ceruk tanah air sama ada di kawasan bandar, kampung mahupun pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; komuniti Orang Asli serta ibu tunggal adalah antara kelompok modal insan yang boleh dimanfaatkan untuk mengisi permintaan tinggi sumber tenaga pembantu rumah.

Dengan langkah ini, mereka yang bukan beragama Islam boleh disalurkan untuk berkhidmat dengan majikan bukan beragama Islam. Tidak seperti hari ini. Ramai amah Indonesia Muslim ditempatkan bersama-sama majikan yang bukan beragama Islam yang kemudiannya mengundang konflik kerana sensitiviti agama dan budaya.

Melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia dengan pihak lain terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat langkah tersebut bukanlah mustahil untuk dilaksanakan segera.

Tambahan kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini akan mendesak mereka untuk menyahut seruan menjadi pembantu rumah bagi pelan jangka panjang mengurangkan kebergantungan kita kepada amah asing.

Daripada terus membiarkan mata wang kita mengalir begitu sahaja ke luar negara ada baiknya terlebih dahulu mengalir ke kantung rakyat kita sendiri. Golongan wanita berbilang kaum di negara ini sebenarnya adalah aset penting yang rugi jika tidak dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan sumber tenaga buruh seperti amah.

Selain itu, daripada perspektif sosio-budaya, hanya pembantu rumah tempatan yang lebih memahami bahasa, budaya termasuk kerenah majikannya. Begitu juga dengan pihak majikan. Lebih mudah untuk kita mengurus dan memahami keperluan dan gelagat pembantu rumah tempatan.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula interaksi sosial antara pembantu rumah tempatan dengan majikan mereka. Sekiranya berlaku juga kes-kes berkaitan perselisihan faham, hal itu hanya berlaku dan 'habis' di negara ini sahaja. Tidaklah sampai kita dicemuh oleh media di negara luar yang umumnya tidak memahami variasi kaum di negara ini.

Alternatif untuk kita tidak terlalu bergantung kepada amah asing terutamanya dari Indonesia sebenarnya ada di negara ini. Syaratnya, pihak kementerian berkaitan harus segera merangka mekanisme pelaksanaan berserta skim atau insentif tertentu yang mewujudkan situasi menang-menang di pihak majikan dan pembantu rumah tempatan.

PENULIS ialah peneliti sosial dan budaya masyarakat.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Tahukah pelajar apa yang mereka cakapkan?



Oleh AZZMAN ABDUL JAMAL

RAMAI orang sedar bahawa pelajar-pelajar di peringkat universiti, insya-Allah akan menjadi pemimpin pada masa akan datang. Persoalannya, adakah mereka bersedia untuk didedahkan dengan isu politik?

Mengetahui tentang politik dan mengundi merupakan salah satu tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Tetapi, tahukah mengapa kita mengundi terhadap seseorang?

Perkara ini selalu dipersoalkan oleh rakyat terutamanya pelajar. Jika pergi ke mana-mana kedai mamak, topik yang selalu disembangkan adalah isu politik.

Sebagai seorang pelajar, saya juga ingin mengambil tahu tentang isu ini kerana sedar isu ini juga ada kaitan dengan hidup saya.

Jadi, sebelum membuka mulut tentang sesuatu perkara, saya harus mengumpul sebanyak maklumat yang mungkin supaya tahu apa yang saya cakapkan.

Malang sekali, kaedah ini tidak digunakan oleh sesetengah orang. Disebabkan ini saya tertanya-tanya, di manakah mereka mendapat maklumat?

Sebelum ini, saya ada bertanya beberapa pelajar tentang isu ini. Soalan saya adalah "adakah pelajar bersedia untuk didedahkan dengan isu politik, dan adakah mereka layak untuk didedahkan dengan isu ini?"

Kebanyakan jawapan saya terima amat menyedihkan. Pelajar menyatakan bahawa mereka patut didedahkan dengan isu ini. Tetapi, berdasarkan komen-komen yang saya terima, sumber rujukan mereka menjadi persoalan utama saya.

Selain daripada bertanya, saya juga perasan ada yang berani post di dalam laman sosial Facebook dengan maksud yang tersirat, menyokong pihak-pihak tertentu. Orang yang post status tersebut menarik perhatian saya, kerana saya ingin tahu mengapa orang tersebut sungguh yakin dengan pihak yang beliau sokong.

Jika kita (rakyat) membuka telinga dan memberi perhatian dengan teliti, kita sebenarnya boleh perasan bahawa kes tuduh-menuduh sesetengah pihak sudah semakin berleluasa. Malah, ada yang menyatakan tentang rasuah.

Pada mulanya, saya keliru kerana tidak mengetahui sumber apa yang patut saya rujuk. Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengucap terima kasih kepada pensyarah-pensyarah saya kerana merekalah yang sebenarnya membuka mata saya.

Salah seorang pensyarah saya menyatakan "Teenagers are very critical". Maksud beliau adalah remaja-remaja terlalu cepat membuat kesimpulan. Dengan kata lain, cepat sangat menuduh.

Disebabkan kenyataan tersebut, saya mendapat ilham untuk memandang isu politik dengan lebih mendalam. Walaupun ilmu saya tidaklah setanding dengan ahli politik, saya kini sedar dan tahu di manakah kesilapan pelajar-pelajar yang ingin mengetahui tentang isu politik.

Sumber rujukan selalu menjadi persoalan saya. Seperti contoh, ada sesetengah orang berani menuduh sesetengah pihak terlibat dalam rasuah. Tetapi, yang melucukannya adalah, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru hendak mengkaji tentang isu itu.

Maksud saya, bagaimana orang yang menuduh pihak-pihak tertentu boleh membuat kesimpulan lebih pantas daripada SPRM. Perkara ini yang patut difikirkan oleh orang yang suka buat tuduhan.

Bagi pendapat saya, rasuah adalah tindakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Walaupun yang melakukan rasuah berada dalam salah satu parti ataupun kumpulan, ia tidak bermaksud bahawa parti dan kumpulan tersebut terlibat sekali. Ini yang selalu orang salah faham.

Jika mahu diringkaskan, orang yang mengambil  rasuah bertindak  atas kemahuannya sendiri dengan mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kuasa yang diberi. Itu tidak bermaksud seluruh kumpulan tersebut terbabit dalam isu ini.

Selain itu, ada yang menyatakan "Malaysia tidak ada kebebasan bersuara". Jadi, saya bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan bersuara?

Walaupun saya tidak mengetahui tentang akta-akta tertentu, tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menyatakan rakyat juga ada hak bersuara tetapi ia mestilah berdasarkan undang-undang Malaysia.

Bukankah itu bermaksud rakyat juga mempunyai hak bersuara? Jadi kenapa isu ini disuarakan? Sebab itulah saya tekankan sebelum kita membuat keputusan, rujuk dahulu dengan sumber-sumber yang ada. "Jangan main hentam sahaja."

Bagaimana kita hendak memilih pemimpin kita? Siapa yang kita hendak mengundi? Saya percaya setiap orang mempunyai hak untuk memilih pemimpin negara. Tetapi, dari sudut mana yang patut kita pandang?

Daripada kita tuduh-menuduh sesetengah pihak, apa salahnya jika kita pandang dari sudut yang positif? Fikir balik sebagai rakyat apa yang kita sudah dapat. Jangan kita mengundi berdasarkan perbandingan pemimpin dari sudut negatif.

Sebelum kita hendak mengundi sesuatu pihak, kita harus fikir semula dan bersedia dengan apa yang bakal kita tempuhi. Rujuklah sumber-sumber yang boleh dipercayai, janganlah kita membuat keputusan berdasarkan "gossip".

Sebagai pelajar dan juga rakyat Malaysia, saya percaya, untuk mengetahui tentang sesuatu isu, kita harus fikir dengan lebih dalam. Dan jika kita tidak berpuas hati dengan sesuatu, kita harus menegur dan juga memberi penyelesaian. Bukannya tegur dan buat kesimpulan.

Janganlah kita lupa, di Malaysia rakyatlah yang bertanggungjawab untuk memilih pemimpin, bukan sebaliknya. Sebab itulah pentingnya untuk kita menjalankan tugas kita sebagai rakyat untuk mengundi.

PENULIS ialah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/