Rabu, 23 Disember 2009

PMR: 28,188 Pelajar Peroleh Semua A

SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Menengah Sultan Ismail, Johor Bahru, gembira setelah mendapat keputusan cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009, pagi ini. Keputusan PMR diumumkan hari ini di seluruh negara.

PUTRAJAYA
, 24 Dis (Bernama) -- Seramai 28,188 pelajar memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun ini berbanding 26,378 pada tahun lepas.

Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan itu di sini Khamis, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya.

Beliau berkata calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.

"Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lepas," katanya.

Alimuddin berkata prestasi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi sedikit menurun.

"Peratusan berbanding tahun lepas untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 peratus kepada 25.6 peratus tahun ini, BI pula menurun daripada 16.4 peratus kepada 16.1," katanya.

Terdapat peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam bilangan pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik manakala bagi mata pelajaran Sains ia naik daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Alimuddin berkata untuk pelajar istimewa pula, daripada 134 yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, tujuh orang mendapat Semua A.

Pelajar istimewa, Siti Raihan Abdul Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad Kuala Nerang, Kedah, yang rabun, berjaya memperoleh 9A.

Dua lagi pelajar istimewa lain yang juga mengalami masalah rabun, Debbie Lim Huey Chin dari SMK Sultan Ismail dan Muhammad Azfar Firdaus Azlah dari SMK Dato Penggawa Barat di Johor Bahru, memperoleh 8A.

Sekolah harian terbaik termasuk SMK Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Selangor, SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu, SMK Sultan Badlishah, Kulim, dan SMK Sultanah Asmah, Alor Setar serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, serta SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

SM Imtiaz, Besut, dan SM Imtiaz, Kuala Berang, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

Sumber : http://www.bernama.com/

Mutiara Kata Najib Sepanjang 2009


KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Tahun 2009 membuka lembaran baru kepada Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada 3 April.

Sebagai Perdana Menteri baru, kata-kata beliau menjadi perhatian umum, dan berikut antara petikan kata-katanya yang menarik sepanjang 2009.

*Saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan". (Perutusan penerimaan jawatan Perdana Menteri).

*BN akan pastikan bahawa janji-janji kita akan kita tunaikan dan kita sempurnakan. Apa yang kita tidak hendak ialah projek yang bersifat 'mi segera'. Kalau sesuatu projek itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan kita dah buat janji atau komitmen pada pilihan raya, kita akan tetap laksanakan. (Ketika mengulas komitmen kerajaan ekoran pilihan raya kecil Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai)

*Saya tak gilakan kuasa hanya kerana hendak dapatkan kuasa tetapi saya perlukan kuasa untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan kejayaan pembangunan negara. (Ucapan pada majlis keraian dan Jasamu Dikenang di Kementerian Kewangan)

*1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang diterjemah dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

*Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. (Ketika menjawab soalan mengenai 1Malaysia di Dewan Rakyat)

*Kita tidak perlu label "membangun bersama Islam" kerana kita telah lama memperjuangkan Islam dan telah memberi keselesaan hidup kepada umat Islam kerana kita tidak mahu umat Islam miskin dan tidak ada kekuatan. (Ketika menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur)

*Saya pergi banyak tempat. Ini ibarat kalau ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Kita sebagai pemimpin, jika turun ke bawah tanpa protokol, tanpa hamparan merah, tanpa bunga manggar tanpa apa-apa sambutan, tetapi kita duduk minum bersama rakyat, ambil berat masalah rakyat, rakyat akan tetap bersama dengan kita. (Berucap di Tawau sempena majlis berbuka puasa)

*Saya ingin melihat bahawa kita semua ada "sense of belonging" kepada negara Malaysia, tidak kira apa jua kaum tetapi kita merasakan inilah negara kita, inilah tempat tumpah darah kita, inilah negara yang kita akan menumpahkan taat setia dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.

*Kalau kita dapat merasakan perasaan itu, maka maknanya kita dah sampai pada penghayatan konsep 1Malaysia. Saya selalu sebut "One Dream, One People, One Nation" (Satu Impian, Satu Bangsa, Satu Negara). (Wawancara eksklusif dengan Bernama sempena Perhimpunan Agung Umno 2009)

*Persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan.

*Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah Umno, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan dengan penuh gilang-gemilang.

*Walau apapun dugaan, walau apapun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung.

*Setelah pindaan kita lakukan, berhijrahlah meninggalkan gejala negatif seperti politik wang, supaya kita menjadi parti yang bersih dan dihormati. (Ucapan dasar sulung selaku Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti).

*Kita akan berubah untuk yang lebih baik. Saya beri komitmen itu, kita akan berubah untuk yang lebih baik...tapi saya mintalah, bukan saya sahaja, jangan tengok PM saja, kita semua mesti menampakkan perubahan itu. Ini macam kereta api, (apabila) kereta api itu bergerak, tidak boleh boleh lokomotif itu sahaja, semua orang yang lain mesti bekerjasama.(Ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional parti Gerakan)

*Saya bukan Presiden Umno sahaja, saya pengerusi Barisan Nasional. Saya bukan sahaja Perdana Menteri untuk orang Melayu, saya Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia. (Ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional parti Gerakan)

*Kita mempunyai pendirian jelas bahawa asalkan untuk kebaikan, kita sanggup mengadakan rundingan. Ia bukan semestinya kita terikat tangan atas apa-apa persetujuan.

*Kita hendak cari sesuatu yang baik...sesuatu yang baik adalah tuntutan agama. Umno membuat sesuatu itu bukan berdasarkan politik tetapi tuntutan agama. (Bercakap kepada pemberita pada Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .

*Kita akan bertukar kepada sekolah satu aliran hanya apabila kita telah bersedia dan hanya jika inilah yang dikehendaki oleh rakyat. (Blog 1Malaysia:Sekolah Satu Aliran)

*Bukan kita marah dia, atau mencampak fail tetapi jemput dia ke bilik kita dan terangkan kepada dia kerja saudara/saudari tidak sampai kepada tahap kualiti yang saya kehendaki sebagai ketua jabatan. Hanya perkataan seperti itu, ia sudah memadai.

*Tak payah tumbuk meja, tak payah nak bertempik. Sebagai ketua jabatan anda hanya sebut beberapa perkataan, saya jamin, pegawai anda, pada satu masa nanti, akan menghasilkan kerja yang bermutu. (Perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri.

*Subsidi ialah penyakit, sekali anda menikmatinya, sukar untuk menolaknya. (Jamuan makan tengah hari Bankers Club).

*Saya percaya sebagai Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia, sangat penting bagi saya sendiri mengawasi pelaksanaan belanjawan pertama di bawah pentadbiran saya. (Blog 1Malaysia:Melaksanakan Belanjawan 1Malaysia)

Sumber : http://www.bernama.com/

Tragedi Dan Bencana Patut Dijadikan Pengajaran Dan Iktibar

PELBAGAI tragedi dan bencana yang berlaku sepanjang tahun ini perlu diambil iktibar dan pengajaran oleh semua pihak agar ia tidak berulang pada tahun-tahun mendatang.

Setiap kali bencana dan tragedi menimpa negara ini, ada sahaja alasan yang diberikan sebagai punca seperti masalah teknikal atau kecuaian manusia dan apabila sudah berlaku barulah pelbagai pihak tunjuk sibuk dengan penubuhan jawatankuasa khas bagi mencari jalan penyelesaian.

Di mana sahaja termasuk di darat mahupun di lautan, bencana dan tragedi pasti akan berlaku namun sebagai manusia kita hanya merancang dan Tuhan menentukan yakni kita cuba untuk mengelak sebelum menjadi mangsa namun ketentuanTuhan mengatasi segala-galanya.

Kemalangan ngeri, tragedi bangunan runtuh, banjir, pesawat terhempas, feriatau bot karam antara tragedi dan bencana yang menghiasi dada akhbar, radio,blog, dan televisyen sepanjang tahun ini.

KEMALANGAN JALAN RAYA

Memulakan episod tragedi di negara ini ialah pada 25 Januari lepas apabila lebih70 orang maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara sejak Ops Sikap ke-19 dilancarkan 19 Januari lepas.

2 Februari pula, seorang pemandu bas terbunuh manakala 23 murid nyaris mautapabila bas sekolah yang mereka naiki terbabas ke dalam sungai di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang.

Amat menyedihkan apabila pada 18 Mac lepas, pengantin baru dari dua negeri dalam kes berasingan, meninggal dunia dengan seorang pengantin lelaki terlibat dalam kemalangan motor di Kangar manakala seorang lagi maut apabila keretanya dilanggar lori di Rembau, pelik tetapi itulah kebenaran.

Pada 28 Mei pula, empat orang pekerja warga Indonesia maut apabila bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14, Petaling Jaya runtuh.

Pada 4 Jun lepas seorang lelaki berketurunan Siam maut dipanah petir ketika berteduh di sebuah bangsal di Kampung Binjai, Tumpat, Kelantan 4 Jun lepas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa Champee A/L Kelean, 46, meninggal dunia di tempat kejadian setelah panahan petir terkena pada tangkal tembaga yang dipakai di pinggangnya.

Kegagalan sesuatu gajet alat teknikal juga boleh menyebabkan maut seperti yang berlaku pada 11 Jun lepas apabila seorang anggota komando tentera maut setelah payung terjunnya tidak kembang semasa membuat terjunan dalam satulatihan di Kampung Padang Meiha, Sungai Karangan, Kulim, Kedah.

Mungkin hanya Tuhan dan si mati sahaja yang tahu kerana kes kematian Pegawai khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang dipercayai terjatuh dari koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Selangor16 Julai lepas masih lagi dalam siasatan koroner.

Bencana atau tragedi itu juga boleh berlaku di tempat kerja seperti diTanjung Karang, Selangor apabila enam lelaki, empat rakyat tempatan dan dua Bangladesh maut setelah terhidu gas, dipercayai ammonia yang bocor dari sistem penyejuk di sebuah kolah menyimpan ikan di perkampungan nelayan di Kampung BaganPasir 11 Ogos lepas.

Di udara sekalipun, bencana turut berlaku dengan dua juruterbang maut apabila pesawat ringan dipandu mereka terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi 11 September lepas.

Yang turut menghiasi sorotan tragedi di negara ini ialah melibatkan angin kencang yang turut meragut nyawa seorang remaja perempuan manakala ratusan rumah rosak teruk di lapan jajahan di Kelantan serta daerah Besut di Terengganu, yang merupakan kawasan berdekatan kawasan pantai 30 September lepas.

BULAN TRAGEDI

Dan pastinya bulan Oktober akan dikenang sebagai bulan tragedi kerana pelbagai jenis tragedi dan bencana berlaku sepanjang bulan itu bermula 7 Oktober lepas apabila seorang pemandu bas ekspres maut dan lapan penumpang cedera apabila bas berkenaan merempuh belakang sebuah treler membawa muatan besi di Km305 LebuhrayaUtara-Selatan, Kampar.

Esoknya pula KD Seri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM di Lumut.

Manakala pada 15 Oktober lepas, dua termasuk seorang bayi lelaki berusia 29 hari maut sementara dua lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar kepala jambatan di KM237.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Kuantan.

Dan masih segar dalam ingatan kita khasnya pelajar dan guru di seluruh negara apabila tiga murid perempuan ditemui lemas selepas hilang apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar, Perak dipusat kokurikulum itu runtuh 26 Oktober lepas.

Selang tiga hari kemudian, seorang juruterbang pesawat latihan Kelab Penerbangan Diraja Selangor maut apabila pesawatnya terhempas berhampiran Kelab Golf Beringin di Lembah Beringin, Rawang.

Tragedi juga boleh berlaku ketika fenomena perubahan angin monsun yang bersama-samanya boleh mengakibatkan hujan lebat dan banjir setiap tahun kepada negara.

Mohd Mazlan Yajid, 28, menjadi korban pertama banjir di Kelantan apabila dia lemas ketika mandi di Sungai Banggol Kerian, Pasir Puteh, pada 6 November lepas. Gelombang pertama banjir di Terengganu pula meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun di Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, sehari kemudian.

Maut pasti menanti walaupun ketika sedang membeli belah, seperti yang berlaku di Kota Bharu 6 Disember lepas melibatkan nyawa dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan Masterskill cawangan Kota Baharu maut manakala dua lagi parah apabila sebuah kereta terjunam dari tingkat atas sebuah pasaraya KB Mall.

Siapa sangka perkara seperti itu boleh berlaku namun itulah lumrah hidup di muka bumi ini kerana yang hidup pasti akan mati, sekiranya manusia lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada serta memastikan semua kaedah keselamatan sudah diambil pastinya bilangan tragedi dapat dikurangkan jika pun tidak dielakkan.

Tidakkah Tuhan telah menyatakan di dalam Al-Quran bahawa kerosakan di muka bumi ini berpunca daripada tangan manusia itu sendiri.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Mekanisme pemantauan, selenggara perlu dirombak

KEHILANGAN dua enjin pesawat tempur F-5E milik TUDM menyebabkan kerajaan rugi RM100 juta mengikut harga pasaran enjin berkenaan. - Gambar hiasan

DEWASA ini kita sering didedahkan dengan pelbagai kejadian salah laku, penyelewengan dan kecuaian.

Ada yang melibatkan pembaziran wang rakyat dan tidak kurang juga membabitkan kecederaan dan kemalangan jiwa.

Rakyat kita memang kaya dengan pelbagai idea, perancangan dan kepakaran. Namun aspek pemantauan dan penyelenggaraan sering dikesampingkan atau tidak dititikberatkan.

Akibatnya sering kali ramai yang terpaksa menerima nasib malang dan menjadi mangsa keadaan. Bermacam-macam malapetaka dan kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian kita sendiri. Statistik kecederaan dan kemalangan jiwa terus meningkat.

Apabila sesuatu berlaku, kita sering menuding jari menyalahkan orang lain sebagai punca.

Runtuhan bumbung stadium dan terminal pengangkutan awam di Terengganu, runtuhan jambatan gantung di Perak, kehilangan enjin pesawat dan penyelewengan dalam perolehan jabatan kerajaan adalah antara beberapa contoh.

Tiada gunanya kita menyalahkan kontraktor atau pembekal semata-mata. Jika kita melakukan tugas pemantauan secara rapi dan berkala, maka kesalahan mereka pastinya dapat dikurangkan atau tidak berlaku langsung sebarang kecuaian.

Jelas keadaan ini tidak berlaku. Ternyata budaya memantau, mengawasi dan menyelenggara sesuatu tugasan tidak mendapat tempat dalam budaya kita.

Kita sudah terbiasa dengan budaya lepas tangan. Tidak peduli untuk memantau kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan sesuatu tugas berkenaan.

Akibatnya mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut kehendak masing-masing. Asalkan projek siap. Ada juga kerja-kerja yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Seharusnya pihak yang telah dilantik untuk memantau perlu lebih bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas pengawasan tersebut.

Mereka perlu dipertanggungjawabkan jika berlaku apa-apa kesilapan atau insiden yang jelas berpunca daripada kecuaian manusia.

Dalam hal ini tanggungjawab pegawai pemantau dilihat cukup penting supaya dapat memastikan setiap projek yang dilaksanakan itu disiapkan bukan sahaja mengikut tempoh tetapi mengikut peraturan dan juga spesifikasinya.

Mahu tidak mahu perlu diakui bahawa kebanyakan insiden melibatkan jabatan kerajaan, justeru ketua-ketua jabatan perlu memainkan peranan lebih serius dan efektif.

Ia perlu dilakukan terutama dalam memilih dan melantik pegawai pemantau yang benar-benar berdedikasi untuk tugasan sebegini.

Cukuplah kemalangan jiwa yang sudahpun berlaku selama ini. Usahlah menyalahkan takdir. Tindakan segera perlu diambil bagi membudayakan aspek pemantauan terutamanya di kalangan penjawat awam bagi mengatasi masalah ini.

Tiada gunanya kita membina bangunan tinggi, menyediakan kemudahan dan prasarana kelas pertama, membeli peralatan yang canggih namun akhirnya kesemua itu runtuh, rosak atau hilang akibat kecuaian dalam soal pengawasan dan penyelenggaraan.

Untuk itu, mekanisme pemantauan dan penyelenggaraan mungkin perlu dirombak secara menyeluruh agar ia lebih berkesan dan memberikan hasil yang lebih baik.

Marilah kita sediakan payung sebelum hujan daripada sedar apabila sesuatu telah terjadi. Kita perlu memberi penekanan kepada tindakan pencegahan daripada asyik melaksanakan pembetulan. Tidak guna membetulkan keadaan sesudah ada nyawa yang melayang atau ramai yang cedera parah.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Sumber : http://www.utusan.com.my/