Oleh : Tan Sri Alimuddin Md Dom
"ERA kerajaan mengetahui
segala-galanya telah berakhir. Kerajaan sedia turun ke bawah bertemu rakyat
untuk mendapatkan pandangan dan idea sebelum menggubal sesuatu dasar atau
peraturan."
Demikian ucapan Datuk Seri Najib
Tun Razak semasa melancarkan Laporan Awal Pelan Pembanguan Pendidikan 2013-2025
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 September lepas.
Tambah beliau, Laporan Awal itu
bakal memberi perubahan signifikan serta bersifat lonjakan berganda kepada
pendidikan negara dalam melahirkan modal insan berkualiti. Beliau turut
menggesa pemimpin semua peringkat berani mengetepi politik daripada pendidikan
dan membuat keputusan demi masa depan anak-anak yang lebih baik, bukan untuk
tujuan populis.
Atas kesedaran tersebut
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membentuk pasukan Panel Dailog
Nasional Pendidikan Negara untuk mengumpul pandangan masyarakat di seluruh
negara mengenai langkah-langkah terbaik bagi meningkatkan kualiti pendidikan.
Menteri Pelajaran, Tan Sri
Muhyiddin Yassin menjelaskan menerusi siri jelajah dialog pendidikan sebanyak
7,039 syor diterima daripada hampir 12,000 peserta yang mengambil bahagian
selain 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu.
Kata beliau, selain rumusan yang
disediakan oleh Panel Dailog Nasional diambil kira juga pandangan panel penilai
bebas tempatan dan antarabangsa dalam penyediaan laporan tersebut. Kementerian
juga turut mendapatkan input daripada kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan
Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),
Bank Dunia dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tempatan.
Ternyata bahawa sebahagian besar
daripada pandangan rakyat telah diambil kira dalam menyediakan Laporan Awal
itu. Namun demikian terdapat juga beberapa isu yang sering dibangkitkan dalam
sesi dialog telah ditolak antaranya ialah meminta dikembalikan semula
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Penolakan ini mungkin disebabkan
melalui kajian yang lepas memperlihatkan sebahagian besar murid tidak dapat
menguasai mata pelajaran itu dengan baik atau faktor kesediaan guru dan mungkin
kekurangan kemudahan terutama sekolah luar bandar serta pedalaman. Tambahan
pula saranan pihak UNESCO bahawa mata pelajaran tersebut lebih berkesan jika
diajar menggunakan bahasa ibunda.
Namun demikian isu bahasa ini
dijawab dalam Anjakan Kedua yang memperakukan setiap murid mesti profesion
dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebelum meninggalkan bangku sekolah.
Bagi mengukuhkan penguasaan, semua guru bahasa Inggeris adalah terlatih dan
diwajibkan lulus Ujian Pencapaian Cambridge. Bagi memantapkan penguasaan maka
mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris akan diperkenalkan di peringkat menengah.
Dalam Dialog Nasional terdapat
juga pandangan ekstrem misalnya mencadangkan dikembalikan semula pengantar
bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Mereka menyarankan supaya sistem
pendidikan di zaman kolonial digunakan semula kerana dikatakan sangat berkesan
melalui contoh kehidupan dan kejayaan yang mereka alami.
Alasan mereka amat mudah iaitu
bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa dan negara akan maju jika semua
rakyat berkemahiran dalam bahasa itu. Namun demikian kebiasaannya cadangan itu
akan dipatahkan melalui hujah yang lebih rasional oleh peserta lain dalam siri
dialog berkenaan.
Natijahnya sebahagian besar
rumusan Dialog Nasional telah diambil kira dalam menyediakan Laporan Awal
antaranya cadangan memulakan tahun persekolahan dari usia tujuh tahun kepada
enam tahun. Kanak-kanak diyakini telah bersedia untuk memasuki alam
persekolahan pada usia tersebut dan membolehkan mereka menamatkan persekolahan
lebih awal. Selain itu tempoh persekolahan wajib dinaikkan daripada enam tahun
kepada sebelas tahun. Ini bermakna pelajar wajib menamatkan persekolahan mereka
sehingga Tingkatan Lima.
Adalah menjadi kesalahan dan ibu
bapa boleh didakwa jika tidak menamatkan persekolahan anak mereka seperti
Kaedah Pendidikan Wajib yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 sekiranya
dipinda Akta itu.
Pengenalan kepada kaedah fast-track membolehkan pelajar yang
mempunyai daya intelek tinggi memasuki kelas yang lebih tinggi lebih awal jika
dibandingkan dengan rakan sebayanya. Selain itu untuk menyeragamkan penguasaan
bahasa Melayu maka kurikulum dan penilaian Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis
Kebangsaan bagi mata pelajaran itu akan disamakan. Di samping itu Kelas
Peralihan akan dihapuskan menjelang 2017 bagi membolehkan tempoh persekolahan
antara aliran yang berbeza itu diselaraskan.
Hampir semua dalam siri dialog
peserta mencadangkan diwujudkan Indeks Prestasi Utama (KPI). Menurut mereka KPI
adalah alat pengukur pelaksanaan paling berkesan yang dipraktikkan bagi menilai
pencapaian prestasi dalam sektor swasta. Hasilnya dalam Laporan Awal menegaskan
KPM akan menetapkan KPI kepada semua pegawai kumpulan pengurusan tertingginya
hingga kepada guru peringkat sekolah.
Langkah ini bagi memastikan
matlamat pelan pendidikan yang sarat dengan transformasi itu dapat memberi
impak besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Bagi memastikan KPI
dilaksanakan dengan berkesan akan diwujudkan Unit Penyampaian Pendidikan khusus
untuk memacu isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak
berkepentingan dan mengumpul maklumat balas secara berterusan.
Bagi kepentingan rakyat selepas
ini KPM akan mengadakan hari terbuka untuk membolehkan masyarakat meneliti
kandungan pelan itu. Mereka masih boleh mendapatkan penjelasan dan mengemukakan
maklumat balas kepada kerajaan khususnya KPM. Sesungguhnya Dasar Pendidikan
yang digubal ini adalah datangnya daripada rakyat dan ditujukan kepada rakyat.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad dan Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/