PETALING JAYA : Jika apa
yang dijanjikan kedengaran terlalu sukar untuk menjadi kenyataan, kemungkinan
ia hanya janji manis penjual, situasi yang dihadapi ramai pembeli dalam talian.
Dalam hanya empat bulan, Pusat
Khidmat Aduan Nasional Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
menerima kira-kira 400 aduan berkaitan urusan pembelian di laman web yang
semakin berkembang sejak tahun lepas atau sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Menurut timbalan pengarah pusat
itu, K. Ravin, kira-kira 61 peratus aduan yang difailkan antara September dan
Disember tahun lepas melibatkan kualiti produk.
Aduan lain termasuk maklumat yang
mengelirukan dan masalah penghantaran dan pemulangan.
Ravin berkata: "Ramai yang
mendapati produk yang mereka beli tidak mempunyai kualiti seperti yang
diiklankan. Ada juga yang mengadu tentang produk palsu."
Eksekutif Sumber Manusia Ng Hui
Xin, 29, adalah salah seorang daripada mereka yang mempunyai pengalaman buruk
dalam urusan jual-beli di lalam web.
"Saya membeli tempat
menyimpan kasut untuk but kereta saya dari salah sebuah laman web. Saya fikir
pembelian dengan harga RM39 benar-benar baik.
"Saya tidak fikir pembelian
ini mempunyai masalah. Tetapi apabila saya menerimanya, produknya sangat buruk.
Zipnya terkoyak ketika saya cuba membukanya," katanya.
Ng menghantar e-mel kepada laman
web berkenaan dan e-melnya dilanjutkan kepada pembekal produk, tetapi dia tidak
pernah menerima jawapan.
"Selepas itu saya menghantar
e-mel ke laman web itu beberapa kali tetapi mereka tidak mempedulikannya. Saya
akhirnya berputus asa.
"Ini bukan pembelian pertama
saya tetapi mungkin akan menjadi yang terakhir untuk laman web seperti
ini," katanya.
Ravin berkata FOMCA telah
menerima banyak aduan yang mengelirukan berkaitan harga, terutama untuk pakej
kecantikan dan spa.
"Sebagai contoh, pakej
'facial' yang asalnya dijual pada harga RM2,000 ditawarkan pada harga RM150. Ia
kedengaran sangat baik tetapi apabila anda sampai ke sana, ada perkara lain
yang perlu anda bayar sebelum anda boleh mendapatkan pakej RM150. Akhirnya,
pelanggan masih perlu mengeluarkan hampir RM2,000 juga," katanya.
Dengan populariti jual-beli dalam
talian dan 'e-shopping' yang semakin meningkat orang ramai perlu sedar tentang
hak-hak mereka di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, kata peguam Sankara
Nair.
"Tidak kira sama ada
transaksi itu dibuat melalui internet atau secara langsung. Kesannya adalah
sama," katanya.
Mengikut Seksyen 10(1)(a) Akta
Perlindungan Pengguna: "Tiada seorang pun boleh membuat representasi palsu
atau mengelirukan tentang jenis barangan yang tertentu, standard, kualiti,
gred, kuantiti, komposisi, gaya atau model."
Penalti kerana melanggar
peruntukan undang-undang ini adalah sangat keras kerana entiti korporat boleh
didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi
kesalahan berikutnya.
Individu boleh didenda tidak
melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, bagi
kesalahan pertama. Mereka boleh didenda tidak melebihi RM250,000, dipenjara
sehingga enam tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan berikutnya.
"Laman web berada dalam
kedudukan yang terbaik untuk mengetahui jika mereka mendapat barangan daripada
pembekal produk asli. Wajib ke atas mereka dan mereka tidak boleh membebaskan
diri daripada tanggungjawab."
Sumber : http : //www.mstar.com.my/