Ahad, 24 Jun 2012

ISU ALAM SEKITAR : Penguatkuasaan Undang-Undang Lebih Baik Perlu Dilaksanakan Untuk Tangani Jerebu



PETALING JAYA : Struktur bangunan setinggi 88 tingkat, Menara Berkembar Petronas hampir tidak kelihatan pada hujung minggu lalu akibat diselubungi asap jerebu.

Keadaan itu turut mendorong para doktor untuk mengeluarkan amaran kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan supaya mengurangkan aktiviti luar dan memakai topeng.

Jerebu yang berpunca daripada pembakaran secara terbuka di kepulauan Sumatera, Indonesia menyebabkan beberapa negara jiran seperti Malaysia, Thailand, Brunei dan Singapura turut terjejas teruk.

Golongan pakar berkata, beberapa pendekatan telah dilakukan dalam tempoh 15 tahun sejak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) buat pertama kalinya berjanji untuk menangani masalah itu selepas kebakaran hutan terburuk di negara tersebut.

Kebakaran itu dipercayai dilakukan untuk membersihkan kawasan hutan di Indonesia.

Namun, beberapa pakar berkata, perkara utama yang perlu dilakukan termasuklah menguatkuasakan undang-undang yang lebih baik dan menjalin kerjasama antarabangsa.

Jerebu yang melanda Kuala Lumpur minggu lalu adalah antara yang terburuk sepanjang tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Halimah Hassan, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.

Pada Isnin lalu, angin barat daya telah membawa asap jerebu ke beberapa kawasan di utara pantai barat Semenanjung.

Laman web ASEAN turut melaporkan bahawa asap jerebu melanda selatan Thailand, awal minggu lalu.

Namun, kualiti udara di Kuala Lumpur bertambah baik pada Jumaat dan tahap IPU di ibu negara menurun ke tahap sederhana.

Beberapa kawasan di Miri, Sarawak termasuk kepulauan Borneo mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat ekoran kebakaran tanah gambut sejak Khamis lalu.

Halimah berkata, jerebu akan berterusan sehingga bulan depan dengan musim panas dan kering di daerah Riau Sumatera sehingga September ini.

Jabatan Alam Sekitar turut melarang pembakaran secara terbuka di Malaysia dan meningkatkan usaha untuk mengawal pencemaran udara.

Bagaimanapun, Halimah berkata, kebakaran di Indonesia menyebabkan kualiti udara di negara ini berada pada tahap tidak sihat.

Golongan penyelidik berkata, kebakaran yang dimulakan di ladang sawit dan getah di Sumatera bertujuan untuk membersihkan tanah bagi pembukaan ladang baru.

Walaupun jerebu telah reda, ia mengingatkan kembali krisis jerebu pada tahun 1997 yang menyelubungi sebahagian besar rantau ini selama berminggu-minggu.

Profesor Ekonomi Alam Sekitar di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, Euston Quah berkata, krisis jerebu pada 1997 menyebabkan Indonesia, Singapura, Malaysia dan selatan Thailand menanggung kerugian $4.5 bilion terutamanya kemerosotan dalam sektor pelancongan.

Menurut Quah, beliau percaya kerajaan Indonesia masih belum bersedia untuk memenuhi syarat Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang ditandatangani pada 2002.

Sebagai contoh, katanya, mereka perlu menunjukkan respons segera dari pelbagai peringkat khususnya kerajaan apabila kebakaran berlaku.

Pada mesyuarat Mei lalu, menteri-menteri ASEAN memberitahu Indonesia berjaya mengurangkan bilangan tompok panas, kawasan yang berpotensi berlaku kebakaran tidak terkawal.

Namun, beberapa pakar alam sekitar berkata, penguatkuasaan undang-undang lebih baik amat diperlukan.

"Jika mereka melaporkan kebakaran lebih awal, mereka perlu diberikan ganjaran sama ada dalam bentuk hadiah atau wang supaya kebakaran dapat dikawal," kata Quah.

Pengarah Jabatan Kawalan Kebakaran Hutan di Kementerian Hutan Indonesia, Kurnia Rauf berkata, proses mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan pembakaran haram adalah sukar.

"Mereka memulakan pembakaran di kawasan terbuka untuk pembukaan ladang kerana ia cepat dan mudah," katanya.

Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan, Malaysia, Anthony Tan menggesa satu kajian mendalam dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut.

Beliau berkata, walaupun semua pihak menunding jari kepada Indonesia, kebakaran di beberapa negara lain turut menyebabkan jerebu.

"Jadi ASEAN perlu melihat masalah ini sebagai masalah serantau," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

AZIMAT UNTUK PELAJAR ASRAMA


Sumber : Facebook Cikgu Razali Kamaruddin

ISU BAHASA : 56 tahun penuh bara


Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

KETIKA mewawancara Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan tidak lama dulu, beliau menegaskan, tugas utamanya ialah meletakkan bahasa Melayu pada kedudukan asalnya seperti dalam Perkara 152 Perlembagaan. Dalam Perkara 152, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini.

Ini kerana kedudukan sebagai bahasa rasmi dalam Perlembagaan pada hakikatnya tidak dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Sasterawan Negara Usman Awang pernah melontarkan marahnya dalam puisi Keranda 152 yang dihasilkan pada 3 Mei 1967. Kemudian disusuli dengan perarakan Keranda 152 yang merujuk kepada Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.

Bahasa Melayu dan DBP tidak pernah berpisah dan tidak mungkin dapat dipisahkan. Malah DBP jugalah yang menyemarakkan slogan "bahasa jiwa bangsa" sekalipun hakikatnya sesetengah orang Melayu sendiri sudah tidak menghormati bahasa Melayu.

Jumaat lalu genaplah 56 tahun DBP atau sebelumnya dikenali sebagai Balai Pustaka. DBP yang ditubuhkan di Johor Bahru pada 22 Jun 1956 kemudian DBP Brunei pada 1960 adalah sebuah institusi persuratan dan budaya yang menjadi tunggak perpaduan kepada negara pelbagai kaum ini.

Semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III pada September 1956, Balai Pustaka bertukar menjadi "Dewan Bahasa dan Pustaka" dan nama itu dicadangkan oleh pemikir Melayu, Prof. Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid. Nama itu dengan sendiri menekankan bahawa institusi itu bukan sahaja menjadi sebuah pustaka tetapi juga dewan atau institusi bahasa. Tentulah bahasa dalam konteksnya bahasa Melayu.

Sebagai sebuah institusi bahasa dan budaya, ukuran kejayaan dan kehebatan DBP bukanlah kepada aspek fizikalnya tetapi semangat, daya juang dan iltizamnya memartabatkan bahasa Melayu. Sebenarnya bahasa Melayu sudah dimartabatkan apabila diletakkan dalam Perlembagaan sebagai bahasa rasmi. Tetapi ironinya di negara ini, bahasa rasmi pula yang perlu dimartabatkan kerana keengganan banyak pihak menghormati Perlembagaan. Pelik bukan?

Dalam menjengah usia 56 tahun, DBP sebenarnya diasak dari segenap penjuru. Peneraju DBP masa ini seperti Dr. Awang tentunya lebih besar cabarannya berbanding pada zaman awal penubuhannya dulu. Ini kerana ketika itu bahasa Melayu berada di persada yang tinggi. Kini banyak pihak tidak yakin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Inggeris dianggap bahasa ilmu walaupun sebenarnya mengambil ilmu ada dalam bahasa lain.

Laras perjuangan Ketua Pengarah DBP yang baru ini sangat jelas. Matlamatnya untuk meletakkan kembali bahasa Melayu pada kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi perjuangan itu bukan mudah dalam persekitaran sosial yang nipis terhadap bahasa Melayu. Perjuangannya bukan sekadar membetulkan bahasa Melayu di papan-papan tanda malah menjadikan bahasa perpaduan.

Pupus


Sebelum ini ada pihak membuat andaian bahawa pada akhir abad ini kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari. Bagaimana pun Dr. Awang sangat yakin bahawa bahasa Melayu yang digunakan oleh 300 juta orang di seluruh dunia tidak termasuk dalam andaian ini. Tambahan pula pusat pengajian bahasa Melayu di luar negara terus berkembang, cuma masalahnya di negara ini.

Walaupun bahasa Melayu tidak akan pupus, beliau risau sekiranya bahasa Melayu tidak berperanan dengan baik sebagai bahasa tamadun terutama sekali sebagai bahasa ilmu. Sejak abad ketujuh pada zaman Sriwijaya, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang besar peranannya. Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa pentadbiran bagi Sriwijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.

Seorang ahli sejarah Belanda, Francois Valentijn menulis pada awal abad ke-18 bahawa bahasa Melayu difahami oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di Eropah.

"Kesimpulan menarik daripada yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari bahasa Melayu. Sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu dianggap sebagai golongan tidak terpelajar."

Sebenarnya peranan bahasa Melayu meliputi pelbagai bidang tamadun, baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan diplomatik. Ini menunjukkan bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamadun ketika itu, apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun ke-15, seperti Hukum Kanun Melaka di samping Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Johor dan Undang-undang Siak.

Semua ini menunjukkan persoalan utama kepada masalah ini ialah apabila Perlembagaan tidak dihormati atau mungkin tidak difahami, tidak dihayati dan tidak dilaksanakan seperti sewajarnya.

Maka DBP perlu menangani persepsi lapuk yang menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu. DBP mesti membuktikan kepada semua bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa perpaduan di negara yang dihuni oleh pelbagai kaum, bahasa ibunda dan budaya asal ini.

Malah DBP perlu dikembalikan gegar dan gahnya seperti pada era Tun Syed Nasir menjadi Ketua Pengarah dulu. Jasa yang ditinggalkan Syed Nasir terhadap kelangsungan DBP dan perjuangan bahasa dan budaya sangat besar. Pada era itu, DBP dikagumi dan digeruni kerana berani memper-juangkan kedudukan bahasa Melayu seperti dalam Perlembagaan.

Kelantangan Datuk Dr. Hassan Ahmad juga banyak menaikkan kesedaran rakyat terhadap kedudukan bahasa Melayu. Dr. Hassan tidak berkompromi tentang bahasa Melayu dan beliau tidak mempunyai sebab untuk kompromi seperti dasar PPSMI yang hingga kini terus menjadi barah dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Pendirian Dr. Hassan terhadap PPSMI juga seperti Dr. Awang yang tetap menganggap dasar pendidikan bahasa Inggeris itu silap dan tidak menyumbang kepada kecemerlangan kerjaya malah sekali gus meruntuhkan bahasa Melayu kalangan generasi muda.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Apabila pendidikan dipolitikkan


MASA depan anak-anak kita perlu diberi lebih perhatian daripada hanya menjadi mangsa politik pilihan raya yang menjejaskan pendidikan dan perpaduan negara.


POLITIK berasaskan pilihan raya dalam masyarakat berbilang bangsa kadang kala menjejaskan usaha ke arah perpaduan negara.

Tatkala ini kita sedang menyaksikan ia berlaku di Malaysia. Dalam kehangatan persaingan menambat hati pengundi pada pilihan raya yang akan datang, pesaing utama untuk berada di tampuk kuasa mula menggembleng seluruh tenaga dan usaha untuk menonjolkan diri mereka sebagai juara yang memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik tertentu.

Ini amat jelas jika diamati pendekatan berkaitan pendidikan dalam bahasa Cina.

Sekolah rendah aliran bahasa Cina adalah sebahagian daripada sistem persekolahan kebangsaan tetapi kini desakan untuk memperbanyakkan sekolah menengah aliran Cina pula mula diketengahkan.

Laungan untuk sekolah menengah persendirian Cina di Kuantan adalah sebahagian daripadanya. Parti politik pembangkang mahupun kerajaan masing-masing menjadikan permintaan ini sebagai modal perjuangan.

Jika had ke atas sekolah menengah persendirian Cina yang kini berjumlah 61 buah dihapuskan, adalah dipercayai jumlah itu akan meningkat secara mendadak dalam masa yang singkat.

Adakah ia akan membawa kepada kemunculan sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina yang sejajar dengan sistem Sekolah Menengah Kebangsaan yang berteraskan bahasa Malaysia? Implikasi ini satu kebarangkalian yang harus difahami dalam konteks pengiktirafan universiti-universiti di China oleh kerajaan baru-baru ini.

Pendedahan

Jika bangsa Cina di Malaysia melalui keseluruhan sistem pembelajaran dalam bahasa Cina iaitu dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, berapa banyakkah kemungkinan pendedahan yang mereka akan tempuhi dengan pelajar-pelajar Malaysia dan guru-guru daripada masyarakat lain? Adakah ini akan menjejaskan sikap dan pandangannya terhadap bangsa lain? Apakah agaknya tanggapan mereka terhadap identiti Malaysia?

Ia bukan sekadar pengasingan eksklusif pendidikan Cina yang akan wujud malah lebih kepada cabaran yang perlu kita hadapi akibat daripadanya. Ramai ibu bapa bangsa Melayu bandar kini memilih pendidikan agama Islam di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk anak-anak mereka.

Dengan percambahan universiti dan kolej Islam di negara ini, mereka boleh memilih untuk meneruskan pengajian tinggi mereka dalam persekitaran yang sebahagian besarnya mono etnik dan berteraskan agama. Tidak salah jika dikatakan ia akan memberi kesan negatif kepada hubungan antara kaum dan agama pada masa akan datang.

Terdapat perkembangan semasa lain yang juga akan memberi kesan kepada sekolah kebangsaan. Kerajaan telah membuatkan ia lebih mudah bagi rakyat Malaysia untuk mendaftarkan diri di sekolah-sekolah swasta yang pada hakikatnya akan disahut hanya oleh mereka yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat.

Maka ia akan memburukkan lagi pemisahan berdasarkan kelas yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat kita. Segelintir rakyat Malaysia pula mahukan pihak berkuasa untuk membenarkan pendidikan aliran Inggeris, tanpa menimbangkan kesannya terhadap sistem sekolah yang sudah sebegitu terbahagi dalam pelbagai bentuk.

Apakah ini bermakna bahawa tidak ada komitmen yang tinggi terhadap sekolah kebangsaan? Adakah sekolah kebangsaan telah menjadi ‘anak tiri’ kepada sistem pendidikan kita?

Oleh kerana Perlembagaan Malaysia mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, logiknya sekolah kebangsaan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya harus menjadi paksi kepada sistem pendidikan kita.

Saluran

Laporan Razak 1956, iaitu satu-satunya laporan pendidikan yang komprehensif dimiliki negara, mengakui akan perkara tersebut. Ia menekankan tentang peranan sekolah kebangsaan sebagai saluran untuk menggalakkan perpaduan nasional.

Tidak ramai rakyat kita yang menghargai peranan bahasa Melayu sebagai “lingua franca" iaitu bahasa yang memudahkan komunikasi dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik - merangkumi rantau yang luas yang pada hari ini digambarkan sebagai dunia Melayu. Ia berjaya mewujudkan semangat perpaduan budaya dan melahirkan identiti-identiti Melayu yang melampaui jaringan etnik, menjadikan bangsa Melayu sebagai salah satu bangsa yang paling kosmopolitan di muka bumi.

Pada zaman kontemporari, bahasa Melayu, dalam bentuk bahasa Indonesia, juga telah membantu untuk membangunkan identiti kebangsaan daripada kepelbagaian etnik di Indonesia. Bahasa Melayu juga boleh memainkan peranan sedemikian di Malaysia, jika sekolah kebangsaan dijadikan ‘nasional’ dalam erti kata yang sebenar.

Untuk menjadi ‘nasional’, sekolah berbahasa Malaysia perlu muncul sebagai sekolah pilihan pertama untuk semua rakyat Malaysia. Kualiti perlu ditingkatkan dengan ketara.

Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain perlu diajar dengan baik seperti juga mata pelajaran teras seperti Matematik, Sains dan Sejarah. Ibu bapa juga akan kagum dengan sekolah jika disiplin pelajar dikuatkuasakan dengan tegas dalam persekitaran yang penyayang.

Guru-guru yang berwibawa dan berdedikasi akan menjadi prasyarat penting untuk sistem sekolah. Mereka bukan hanya sekadar mencurah pengetahuan dan kemahiran malah akan cuba membentuk golongan muda di bawah jagaannya supaya menjadi manusia yang jujur dan amanah. Guru perlu melayan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang mereka, dengan adil dan saksama.

Komuniti tenaga pengajar sekolah kebangsaan seharusnya lebih berbilang kaum dan berbilang agama daripada apa yang ada sekarang. Lebih ramai bukan Melayu dan bukan Islam perlu dilantik sebagai Pengetua Sekolah dan Penolong Kanan. Di daerah, peringkat negeri dan nasional, pejabat atau jabatan pendidikan harus mencerminkan komposisi multietnik negara. Bangsa Dayak dan Kadazan yang berkelayakan harus diberikan peranan pentadbiran di luar Sarawak dan Sabah.

Apa yang dimaksudkan adalah dalam tiga elemen komponen sistem pendidikan - pentadbir, guru dan pelajar - kemampuan perlu diiktiraf dan diberi ganjaran. Barulah sistem pendidikan akan dilihat menggalakkan kebolehan dan kecemerlangan yang memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Pada masa sama, sekolah kebangsaan harus menghulurkan bantuan kepada pelajar yang kurang bernasib baik, tanpa mengira fahaman agama atau latar belakang budaya.

Secara ringkasnya, transformasi keseluruhan sekolah kebangsaan perlu dilakukan. Kementerian Pelajaran, saya pasti sedang berusaha ke arah matlamat ini. Ia adalah transformasi yang akan dijalankan seiring dengan perubahan asas yang lain kepada sistem pendidikan secara keseluruhan.

Sebagai permulaan, marilah kita cuba untuk mengurangkan impak politik pilihan raya ke atas pendidikan dan perpaduan negara.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Penghayatan agama mampu bentuk nilai murni remaja


Oleh Ahmad Sadiq Hilman

REMAJA ialah golongan yang mendominasi jumlah keseluruhan penduduk Malaysia. Menjelang 2020, bilangan ini dianggarkan akan meningkat kepada 20 juta. Belia sering dilabelkan sebagai aset berharga negara jadi tidak hairanlah setiap negara mengimpikan untuk melahirkan belia cemerlang.

Kita mengakui krisis sosial membabitkan remaja di negara ini dan perkara itu tidak sepatutnya dipandang sambil lewa. Masalah ini bukan masalah kecil kerana remaja bakal mewarisi pemerintahan negara.

Ibnu Khaldun pernah mengatakan, jika ingin melihat masa depan sesebuah negara maka lihatlah anak mudanya pada hari ini.

Remaja juga sering dikaitkan dengan mereka yang mempunyai perasaan ingin tahu, mencuba dan memberontak jika apa diinginkan tidak selari arahan serta kehendak ibu bapa. Remaja yang tidak dapat mengawal perasaannya akan mudah terjebak gejala sosial yang negatif.

Kenakalan remaja merujuk perbuatan dan aktiviti bertentangan norma masyarakat, undang-undang negara dan agama. Masalah seperti gangsterisme, buli, melepak, ponteng sekolah, merokok, pergaulan bebas, berzina, buang anak, penyalahgunaan dadah dan pil khayal dikatakan isu remaja.

Banyak sebab dikatakan punca keruntuhan moral remaja seperti asuhan dan kawalan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, keadaan persekitaran serta peranan media dan pelbagai dorongan yang datang hasil perkembangan semasa.

Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada faktor penyebab seperti pentingnya ibu bapa memberikan perhatian serius terhadap anak mereka. Ibu bapa mesti memerhati setiap gerak-geri atau pergerakan anak dan mengetahui rakan pergaulan mereka.

Selain itu penghayatan terhadap agama, nilai murni perlu ditingkatkan kerana anak yang mengikut ajaran agama akan membentuk keperibadian mulia. Oleh itu, untuk anak menjadi insan soleh dan solehah, ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan yang baik.

Sistem perundangan di sekolah juga perlu diwujudkan. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah mengawas disiplin.

Penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa seperti polis perlu digunakan untuk mendisiplinkan remaja. Jika ada masalah semua pihak perlu merujuk kepada pihak berkuasa dan undang-undang.

Langkah pencegahan yang bersesuaian seperti kaunseling pada peringkat sekolah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna jika kaunselor berkelayakan dan berpengalaman dilantik memantapkan pelaksanaan kaunseling yang berkesan.

Remaja hari ini perlu menghiasi diri dengan ilmu yang kukuh, keimanan ampuh dan misi utuh. Ketiga-tiga senjata ini perlu untuk memperkukuhkan peribadi kumpulan yang menjadi aset negara baik dari segi sosial, agama, bangsa dan negara.

Bekalan ilmu dapat membantu mengharungi cabaran hidup masa kini dan alangkah ruginya jika zaman remaja tidak dimanfaatkan sebaiknya. Usia remaja hanya datang sekali dalam kehidupan, maka hargailah usia remaja itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/