Khamis, 31 Mac 2011

ISU PENGEKALAN NOVEL SPM : Keputusan isu Interlok muktamad

Oleh Ismail Mat dan Umi Nadirah Abdul Rahman bhnews@bharian.com.my

Kerajaan tak tunduk desakan, anggap mainan politik kotor pembangkang: TPM

PAGOH: Kerajaan sudah membuat keputusan muktamad berhubung isu novel Interlok dan tidak akan tunduk terhadap tekanan mana-mana pihak, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan desakan terbaru berhubung isu novel Interlok kini adalah mainan politik parti pembangkang yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Isu ini sudah selesai. Saya tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang mendesak, sama ada ia dipinda atau ditarik balik, saya tidak akan kompromi.

“Ini sudah jadi keputusan kerajaan yang sudah diumumkan dalam Parlimen dan sudah disahkan. Kita berpegang kepada penyelesaian isu ini dan tidak mahu ia terus dipolitikkan, " katanya kepada pemberita selepas menyampaikan agihan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir yang melanda sekitar daerah Muar pada awal Februari lalu di Kompleks Sukan Pagoh, semalam.

Muhyiddin berkata, isu Interlok kini sengaja ditimbulkan semula pembangkang di sebalik NGO terbabit, sebagai strategi menghidupkan isu berkenaan bagi menyemarak rasa benci kaum tertentu kepada kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang mempolitikkan isu novel terbabit sebagai alat untuk meraih sokongan politik kerana menyedari kempen pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan.

“Mereka melihat kepada pilihan raya Sarawak dan isu ini bertujuan meraih sokongan politik secara memperalatkan Interlok. Saya sudah tahu muslihat mereka.

“Bagi saya, ini sikap tidak bertanggungjawab, berniat jahat dan bukan soal nak redakan keadaan, sebaliknya bagi mereka kalau tak selesai lagi bagus supaya terus semarakkan rasa benci kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata, menyedari hakikat itu, kerajaan tidak akan tunduk, sebaliknya proses pembelajaran akan berjalan seperti biasa dengan proses penambahbaikkan yang akan dibuat.

sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Matlamat ke sekolah masih kurang difahami

DALAM masa singkat kita dikejutkan dengan tiga masalah membabitkan disiplin pelajar. Pertama, di Perlis, seorang ketua kelas yang dibelasah sekumpulan sepuluh orang pelajar di luar kelas. Menariknya, ketua kelas yang sedang belajar itu tiba-tiba ditarik keluar dari kelas dan dibelasah sehingga patah tangan kirinya.

Di Kuala Lumpur pula, dua pelajar mengubah suai mercun bola dan lingkaran nyamuk kemudian cuba meletupkan bangunan sekolah selepas mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan seorang guru. Walaupun tidak berlaku sebarang kecederaan dan kerosakan akibat tiga letupan yang dilakukan, tindakan itu dianggap berani dan mencabar kuasa sekolah dan badan disiplin.

Di Negeri Sembilan, seorang pelajar sekolah tahfiz cedera dibelasah selepas disyaki mencuri wang di asrama pusat tahfiz berkenaan.

Kita nampak dalam kes ini bahawa badan bertindak menangani disiplin bukan hanya daripada badan yang dibentuk oleh sekolah, tetapi wujud pula badan bebas yang bertindak sesuka hati dan di luar kawalan.

Kita tidak dapat membayangkan apa lagi yang akan berlaku di sekolah suatu masa nanti. Kisah pelajar menumbuk dan mencederakan guru sudah berlaku, pelajar merosakkan harta benda dan kereta guru pun sudah ada, peras ugut dan gengster juga banyak berlaku dan tidak pernah selesai meskipun pelbagai ikhtiar dilakukan.

Semua ini memperlihatkan betapa sekolah kini menghadapi krisis disiplin semakin serius dan membimbangkan sedangkan sekolah adalah institusi untuk menimba ilmu pengetahuan dan mengamalkan pelbagai nilai murni, bukan sebaliknya.

Menangani masalah disiplin pelajar perlu dipikul pelbagai pihak. Selain daripada ibu bapa dan sekolah sebagai dua pihak penting yang mesti mengawal tingkah laku pelajar, masyarakat sekeliling tidak boleh lepas tangan dalam menangani masalah ini.

Masalah disiplin di sekolah sebenarnya berpunca daripada pelajar bermasalah. Kebanyakan daripada mereka tidak berminat untuk belajar atas sebab-sebab tertentu. Malah, atas faktor tertentu ada juga pelajar yang pada awalnya memperlihatkan prestasi yang baik dalam pelajaran tiba-tiba bertukar menjadi pelajar bermasalah dan menimbulkan masalah pula di sekolah.

Dalam satu kenyataan oleh Datuk Noh Omar ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, ramai antara pelajar yang dikenakan tindakan buang sekolah atas kesalahan disiplin gembira dengan tindakan yang dikenakan ke atas mereka. Oleh itu, masalah disiplin yang berlaku sama ada di kawasan sekolah mahupun di luar berpunca daripada kurangnya kefahaman pelajar mengenai tujuan mereka ke sekolah iaitu untuk membentuk masa depan menjadi seorang warga negara yang dapat menyumbang jasa kepada negara.

Tidak ada ibu bapa yang berpesan kepada anak-anak mereka supaya pergi bergaduh di sekolah, mencuri barang atau wang rakan, melawan cakap guru dan merosakkan harta benda sekolah apatah lagi membakar sekolah.

Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah mesti memainkan peranan lebih aktif menangani masalah disiplin di kalangan pelajar. Kepada pelajar yang kurang minat belajar, fokus mesti diberikan kepada golongan bermasalah ini supaya masalah disiplin tidak terus menjadi barah yang mampu menjejaskan masa depan mereka dan menjejaskan nama baik sekolah. Pemahaman pelajar mengenai peraturan di sekolah sangat penting walaupun tujuan asal mereka ke sekolah sudah menyimpang. Apa pun pelajar mesti diasak supaya menghormati peraturan sekolah agar segala apa yang ada di kawasan sekolah juga dihormati.

Sama juga di rumah, ibu bapa mesti menekankan kepada anak-anak yang bersekolah supaya menghormati mereka, guru, orang tua dan lain-lain yang perlu dihormati supaya mendapat keberkatan dalam hidup.

Pelbagai bentuk denda yang dikenakan ke atas pelajar yang terbabit dengan gejala disiplin di sekolah seolah-olah tidak mampu mengekang masalah ini.

Menurut statistik, hukuman buang sekolah di seluruh negara mencatatkan 5,025 kes pada 2003; 5,427 (2004); 7,493 (2005) dan 2,526 (2006). Manakala jumlah yang digantung persekolahan atas pelbagai kes dua kali ganda jumlahnya daripada jumlah tindakan buang sekolah.

Pelbagai pihak bimbang jika tindakan buang dan gantung persekolahan dikenakan ke atas pelajar menyebabkan pelajar lain mengambil kesempatan melakukan kesalahan dengan harapan mereka juga akan dikenakan tindakan sama. Ini adalah penyakit malas belajar kerana setelah diasak dengan pelbagai nasihat betapa pentingnya ilmu, pelajar tidak terbuka hati untuk belajar. Pada 2008, kes pelajar perempuan menendang gurunya di Perlis yang mendapat liputan meluas telah dikenakan hukuman buang sekolah dan diikuti tiga rakannya yang turut dikenakan hukuman sama kerana terlibat dengan pergaduhan di sekolah itu.

Ramai berpendapat hukuman buang sekolah tidak begitu sesuai kerana apa akan jadi dengan pelajar ini selepas tidak berada lagi di alam persekolahan. Namun, jika dibiarkan pelajar bermasalah ini, tidak hairan jika rakan lain pula akan menuruti mereka dan dibimbangi akan terbentuk pula gengster di sekolah.

Ada yang mempersoalkan kenapa hukuman rotan tidak diperkenalkan semula setelah kaedah kaunseling dan sebagainya dikatakan tidak memberi kesan positif kepada pembentukan semula sahsiah pelajar di sekolah.

Ada yang berharap kementerian menambah jumlah guru lelaki supaya seimbang dengan jumlah guru perempuan yang dikatakan menguasai bidang perguruan. Menurut catatan, terdapat 126,171 guru lelaki manakala guru perempuan 279,545.

Apa pun, seperti dinyatakan tadi, masalah disiplin amat bergantung kepada pelajar itu sendiri. Jika niat asal mereka menjadikan sekolah sebagai tempat mencari ilmu, tidak kira siapa pun yang mengajar mereka, mereka akan menghormati dan tidak akan melakukan pelbagai kesalahan yang boleh menjejaskan cita-cita mereka.

Oleh itu, mereka perlu menghormati undang-undang di sekolah, hormat nasihat ibu bapa dan guru serta menghormati segala ilmu positif yang mereka pelajari kemudian mengamalkannya.

Di China, tadika Linkangyuan, Kunming, menghendaki setiap muridnya membawa sebiji telur ayam mentah ke sekolah dan telur itu mesti dibawa bersama ke mana-mana. Setiap murid mesti membuktikan telur ayam itu tidak pecah sepanjang mereka berada di tadika tersebut dan sebelum pulang ke rumah.

Cara ini dikatakan berkesan kerana murid-murid tidak akan terlompat-lompat, tidak bergaduh dengan rakan dan sebagainya kerana menjaga telur ayam berkenaan. Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan apa yang perlu dibawa oleh pelajar ke sekolah supaya mereka juga tidak terkinja-kinja ke sana ke mari.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BAHASA : Asal bahasa Me­layu dari Taiwan?

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Kajian Tanah Asal Etnik dan Bahasa Melayu-Polynesia menolaknya

BENARKAH Taiwan tanah asal bahasa Melayu? Jika mengikut teori popular oleh pakar linguistik Robert Blust dan ahli arkeologi Peter Bellwood (1999), kedua-duanya saling menyokong apabila memperkenalkan Teori Out of Taiwan,

Teori yang disandarkan pada Formosan iaitu bahasa yang ditutur puak etnik di Taiwan dan bukti antikuiti di Bellwood melalui artifak neolitik yang ditemui di Filipina membina teori berlakunya penghijrahan dari Taiwan ke kepulauan Nusantara.

Blust pula membuat rumusan bahawa bahasa Austronesia yang termasuk dalam bahasa Melayu Polinesia berasal dari Taiwan berdasarkan sembilan cabang bahasa Austronesia yang dikesan di negara itu.

Menurut Blust, bahasa Austronesia tersebar ke Asia Tenggara dan Kepulauan Polinesia disebabkan berlakunya penghijrahan keluar penuturnya dari Taiwan sekitar 10,000 ke 6000 Sebelum Masihi (SM).

Lalu, wujud kepercayaan etnik Melayu Polinesia yang merangkumi etnik Melayu, Iban, Bidayuh, Kadazan-Dusun, Murut, Penan, Jawa, Bugis, Minangkabau, Kerinci dan pribumi di rantau ini dan sekitar lautan Pasifik, dikatakan berasal dari negara itu.

Bagaimanapun, teori terbabit disanggah Pensyarah Kanan Program Bahasa Melayu dan Linguistik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr Abdullah Jumain Abu Samah menerusi kajiannya Tanah Asal Etnik dan Bahasa Melayu-Polynesia: Dari Taiwan?

Kajiannya membuktikan orang Melayu Polinesia dan bahasa Melayu berasal dari Kepulauan Asia Tenggara, bukan dari Taiwan seperti diperjelaskan dalam Teori Out of Taiwan serta pandangan itu turut diperkuatkan dengan bukti linguistik paleontologi, antropologi, sains genetik dan arkeologi.

Selain itu, Teori Out of Taiwan itu juga boleh dipertikaikan jika disorot dari sudut sistem kekerabatan iaitu sistem penting dalam struktur sosial yang diamalkan etnik dari Taiwan, Austronesia di Asia Tenggara dan Polinesia.

“Di Taiwan, sistem kekerabatannya berbentuk unilineal iaitu sistem kekeluargaan yang menjelaskan individu itu hanya berasal dari satu keturunan ibu bapa saja, manakala sistem kekerabatan di sekitar Asia Tenggara dan Polinesia berbentuk bilateral,” katanya pada syarahan beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Walaupun demikian, sistem kekeluargaan masyarakat Minangkabau berbentuk matrilineal iaitu keturunan daripada waris perempuan sama seperti sesetengah etnik di Taiwan, namun belum ada bukti kukuh persamaan dan kaitan antaranya.

“Mustahil untuk kumpulan masyarakat Austronesia dari Taiwan yang dikatakan berhijrah keluar itu meninggalkan terus sistem kekeluargaan mereka sebaik saja berhijrah keluar dari negara terbabit,” ujarnya.

Apatah lagi di Filipina tidak ada bukti masyarakat Austronesia di sana mengamalkan sistem kekerabatan yang mirip sistem di Taiwan, sedangkan jarak antara Taiwan dan Filipina tidak begitu jauh hingga memungkinkan perubahan berlaku dengan begitu mendadak.

“Manusia tidak akan dapat dipisahkan daripada budayanya dan satu daripadanya ialah bahasa. Tidak mungkin orang Taiwan yang menuturkan bahasa Austronesia berhijrah ke kepulauan Asia Tenggara dan apabila sampai di Filipina, sistem kekerabatan itu hilang, tetapi penggunaan bahasa dikekalkan,” tegasnya.

Sebaliknya, Dr Abdullah menyimpulkan apa yang sebenarnya mungkin berlaku adalah sebaliknya, iaitu lelaki Austronesia dari Asia Tenggara berhijrah ke Taiwan dan mereka mengahwini perempuan negara itu, sebelum kembali semula ke Asia Tenggara melalui Filipina.

Hipotesis Dr Abdullah disokong oleh kajian genetik yang mendapati bahawa lelaki yang berhijrah keluar dari Taiwan itu memiliki kromosom Y lelaki dari Kepulauan Asia Tenggara, manakala wanita memiliki Mitochondrial DNA (mtDNA) milik wanita Taiwan.

Sementara persamaan antara bahasa yang tergolong dalam rumpun Austronesia di Taiwan dan Asia Tenggara pula disebabkan ia datang dari punca yang sama, iaitu selatan China.

Sebelum ini, Teori Out of Taiwan pernah disanggah dari sudut genetik, geologi, arkeologi, bahasa dan kesusasteraan lisan oleh pakar genetik dan penulis Britain, Dr Stephen Oppenheimer menerusi bukunya, Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia, 10 tahun lalu.

Menerusi kajiannya, Oppenheimer mencadangkan migrasi penduduk ke Taiwan dari Kepulauan Asia Tenggara disebabkan banjir besar yang berlaku di wilayah itu dan bukan disebabkan revolusi pertanian zaman neolitik.

Tahun lalu, teori yang sama dicabar Dr Martin Richards dari Universiti Leeds menerusi kajiannya, Climate Change and Postglacial Human Dispersals in Southeast Asia yang diterbitkan dalam jurnal Evolusi dan Biologi Molekular.

Kajian itu memperlihatkan perkaitan mtDNA di Kepulauan Asia Tenggara sudah berkembang sekitar 50,000 tahun lalu dan peningkatan paras air laut di wilayah berkenaan menyaksikan penduduk kepulauan itu berhijrah ke pulau di Filipina hingga ke utara Taiwan sekitar 10,000 tahun lalu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/