PUTRAJAYA - Penggabungan Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pelajaran yang membentuk Kementerian Pendidikan akan memacu transformasi pendidikan agar dasar pendidikan negara mampu menandingi standard pendidikan antarabangsa menjelang tahun 2020.
Menegaskan demikian, Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penggabungan itu akan menjamin
kesinambungan dasar dan program dalam sistem pendidikan negara yang lebih
berkualiti dan dinamik.
“Ini merupakan langkah besar
diambil oleh kerajaan dalam memperjuangkan kelangsungan pendidikan negara dan
ia wajar dikekalkan di bawah satu bumbung memandangkan ia akan memudahkan
pentadbiran.
“Menerusi penggabungan ini,
perencanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan Pelan
Strategik Pengajian Tinggi Negara akan diperkukuhkan.
“Mobiliti modal insan dalam bidang
pendidikan akan berlaku dengan lebih rancak dan berkesan apabila ahli-ahli
akademik bekerjasama dengan tenaga pengajar sekolah dalam menentukan hala tuju
pendidikan negara,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, ketika
merasmikan Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2011 dan 2012 di sini hari
ini.
Pada majlis itu, Muhyiddin telah
menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Negara 2012 kepada Prof Emeritus Datuk Dr
Nik Safiah Abdul Karim (Universiti Malaya) dan Prof Emeritus Datuk Dr Abdul
Latif Ibrahim (Universiti Industri Selangor) manakala Prof Emeritus Datuk Dr
Asmah Omar dari Universiti Malaya merupakan penerima Anugerah Tokoh Akademik
Negara 2011.
Ketiga-tiga pemenang membawa
pulang wang tunai RM200,000, trofi dan sijil penghargaan.
Hadir sama pada majlis ini ialah
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan-timbalan Menteri
Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan; Ketua Setiausaha
Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad; dan Ketua Setiausaha II,
Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.
Muhyiddin berkata semua peringkat
pendidikan akan menikmati perkongsian sumber dan kepakaran bagi memastikan
bidang pendidikan dapat diurus dengan lebih cekap yang seterusnya menyumbang
kepada pembangunan negara.
Beliau berkata usaha-usaha
transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap apabila
kepakaran daripada semua peringkat pendidikan dapat digembleng dengan lebih
menyeluruh untuk menghasilkan lonjakan berganda dalam pendidikan negara.
“Transformasi pendidikan yang
mengandungi nilai pengantarabangsaan dengan mengambil contoh model sistem
pendidikan negara maju perlu diaplikasikan oleh Kementerian Pendidikan dalam
meningkatkan struktur kurikulum pendidikan dan pengajian tinggi.
“Kolaborasi antara pendidik di
peringkat sekolah dan pengajian tinggi pastinya akan melahirkan modal insan
yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu yang akan
menentukan kemajuan dan kemakmuran masa depan negara,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata
penyelidikan di universiti berupaya menghasilkan lebih ramai modal insan yang
mempunyai pengetahuan dan kemahiran sains dan teknikal.
“Hal ini dapat dicapai melalui
jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak yang dapat mendorong dan memangkinkan
pembangunan inovasi secara menyeluruh.
"Hasil penyelidikan yang
diperoleh tidak hanya memberi impak atau kelebihan kepada kepentingan
penyelidik semata-mata tetapi dapat dikongsi bersama pihak lain melalui
pengkomersialan,” katanya.
Beliau menambah bahawa produk
berasaskan penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan Malaysia berjaya
dikomersialkan dan pastinya memberi impak dari segi penjanaan ilmu ke arah
peningkatan kualiti hidup, pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi negara.
- Bernama