Oleh : Ruhaiza Rusmin
Sistem Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) ditangguhkan lagi selepas melalui beberapa tahap. Penangguhan tersebut bagi
memberi laluan kepada penambahbaikan yang dijangka diumumkan pada 1 April
depan.
Penangguhan itu memberi peluang
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti mekanisme sesuai, selain
mengurangkan kemelut yang melanda PBS sejak ia diperkenalkan.
Biarpun bukti kejayaan PBS sudah
diperakui di negara maju seperti Singapura, Australia, Hong Kong, United
Kingdom dan Amerika Syarikat, di negara kita sistem berkenaan dilihat masih
belum stabil, sekali gus mengundang polemik.
Justeru, penangguhan sementara
demi penambahbaikan dilihat sebagai satu tindakan wajar serta amat dialu-alukan
semua pihak.
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan
Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Profesor
Dr Othman Lebar berkata, tindakan menangguhkan sementara PBS adalah langkah
tepat bagi mengelak konflik atau masalah lebih rumit.
Menurutnya, walaupun pada
dasarnya PBS boleh dilaksanakan tetapi kekurangan maklumat atau pendedahan
mengenainya boleh mengundang banyak pertikaian pelbagai pihak.
“Tindakan penangguhan ini demi
memberi laluan kepada penambahbaikan sangat wajar bagi mengelakkan lagi
konflik dalam kalangan pihak terbabit.
“Ini juga bagi mengelakkan lebih
banyak polemik, selain menghindari perasaan tidak puas hati yang dikhuatiri
mewujudkan senario tidak sihat dalam dunia pendidikan negara kita.
“Penangguhan juga
sekurang-kurangnya memberi peluang pihak terbabit bertenang dan meredakan
seketika ketegangan, selain mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Minggu lalu, KPM mengeluarkan
kenyataan PBS yang diperkenalkan pada 2011 serentak Kokurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) ditangguhkan pelaksanaannya.
PBS mempunyai empat komponen
iaitu Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Psikometrik serta
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum.
Dr Othman berkata, PBS adalah
antara usaha proaktif KPM bagi melahirkan pelajar yang bukan saja cemerlang
dalam akademik, malah mampu menyaingi permintaan semasa seperti berfikir
secara kritis dan kreatif, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi.
Katanya, dengan kata lain sistem
itu dapat melahirkan pelajar yang mampu berfikir pada aras tinggi seperti
pelajar di negara maju.
“PBS adalah mekanisme dalam
sistem pendidikan negara bagi menyaingi permintaan globalisasi, seterusnya
berubah daripada sistem digunakan sebelumnya.
“Ia sistem yang baik, namun
disebabkan beberapa faktor akhirnya mewujudkan pelbagai konflik,” katanya.
Ditanya kaedah yang boleh
digunakan bagi memperbaiki kelemahan sedia ada, beliau menyarankan agar
menyerahkan tanggungjawab pemantauan kepada pejabat pelajaran daerah (PPD)
berbanding pemantauan pusat seperti sekarang.
“Melaluinya, pemantauan boleh
dibuat dengan lebih efisien kerana jumlah sekolah yang dipantau terletak bawah
pentadbiran PPD.
“Berbanding sekarang, semua data
perlu dimasukkan terus ke pemantauan pusat. Skalanya sangat besar manakala
sistem diguna pakai tidak dapat menampung (jumlah kemasukan serentak).
“Australia misalnya, menggunakan
sistem PBS tapi dikawal selia mengikut negeri. Saya percaya cara ini boleh
membantu mengatasi masalah berbangkit,” katanya.
PBS katanya, boleh didefinisikan
sebagai pemberian kuasa autonomi kepada sekolah untuk melaksanakan sistem
pembelajaran dan pengajaran sendiri.
“Cara berkenaan memberi peluang
guru merangka strategi, mempelbagaikan cara pembelajaran dan pengajaran
(P&P), sekali gus mengenal pasti keupayaan pelajar dan sebaliknya.
“Saya tidak kata PBS tidak bagus
atau perlu dimansuhkan. Tidak perlu, cuma kita masih memerlukan masa untuk
menerima transformasi ini, selain memperbaiki ketidakstabilan sistem
digunakan,” katanya.
Melalui penangguhan itu, katanya
memberi peluang golongan pelaksana seperti guru ‘berehat sebentar’ daripada
tekanan untuk melaksanakan PBS.
“Jika dilihat pada sudut lain,
masalah PBS ini boleh mengganggu gugat kelangsungan emosi guru.
“Mereka berasa tertekan,
sedangkan sudut emosi juga penting dalam pelaksanaan tanggungjawab hakiki
kepada pelajar.
“Penangguhan atau penambahbaikan
itu sekurang-kurangnya mampu mengurangkan impak tekanan dan memberi peluang untuk
memperkasakan aspek lain pula, misalnya proses P&P,” katanya.
Ditanya sama ada penangguhan itu
akibat desakan demi desakan, katanya semua aspek perlu diambil kira sebelum
sesuatu keputusan dilakukan.
“Apabila membicarakan mengenai
dunia pendidikan perlu ada pelbagai proses untuk dilalui, dijadikan ujian,
diperkasakan dan diperkukuhkan.
“Ia bukanlah suatu eksperimen
tapi satu proses untuk belajar, mengetahui kesalahan dan keberkesanan sesuatu
sistem diperkenalkan sama ada boleh dilaksanakan ataupun tidak. Seperti PBS
atau sistem lain sebelum ini, semuanya ada cabaran masing-masing.
“Cuma dalam isu PBS, banyak aspek
perlu diperteguhkan atau diperbaiki bagi menjadikannya benar-benar mantap,”
katanya.
Bagaimanapun katanya, beliau
kurang bersetuju dengan tindakan beberapa pihak menjadikan PBS sebagai satu
polemik yang seolah-olah tidak boleh diselesaikan.
“Apa yang sedang dilaksanakan KPM
sekarang menunjukkan mereka dengar, faham serta tahu keluhan dan rungutan
banyak pihak mengenai PBS.
“Sebab itu, tindakan berkenaan
dilakukan demi memberi ruang kepada pihak terbabit mencari jalan penyelesaian.
“Jangan jadikan ia satu polemik
seperti tiada jalan penyelesaian. Bersabar dan beri ruang kepada pihak terbabit
berusaha memperbaiki kelemahan. Pendidikan memerlukan kerjasama semua,” katanya.
Antara penambahbaikan disarankan
ialah memperkukuhkan sistem yang masih kurang stabil, tidak menjadikan PBS
sistem berpusat dan pentaksiran sekolah menjadi salah satu komponen dalam PBS
perlu diintergrasikan.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/