Ahad, 15 April 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Manfaat laman sosial sebar dakwah, bukan aibkan orang


Oleh Nur Inani Ismail
bhagama@bharian.com.my


SETIAP Muslim yang beriman akan sentiasa menjaga akhlak dalam setiap tingkah laku tidak kira masa atau di mana mereka berada, termasuk ketika bersosial secara maya di laman sosial yang kini menjadi kegilaan masyarakat sejagat kerana kemampuan berinteraksi yang tidak terbatas.

Keadaan dunia tanpa sempadan ini ada kala menyebabkan masyarakat leka dan menolak ajaran agama yang menekankan akhlak mulia dalam perhubungan sesama manusia. Ledakan laman sosial menyumbang banyak peristiwa positif mahupun negatif.

Setiap perkara baik tidak menjadi masalah, perkara negatif ditimbulkan mewujudkan pelbagai permasalahan akhirnya merosakkan diri sendiri. Justeru, pengawalan akhlak yang sempurna tidak kira di mana saja berada perlu diambil kira.

Sedar atau tidak, penyalahgunaan laman sosial contohnya di facebook dan twitter boleh mengundang perkara negatif seperti pertelingkahan dan pergaduhan kerana sesetengah pengguna tidak berakhlak tanpa rasa bersalah sanggup menjatuhkan air muka orang lain, memfitnah, memuatkan pernyataan berbentuk hasutan atau provokasi.

Memang tidak dinafikan ada sesetengah pengguna tidak memandang serius perkara ini. Walaupun ia nampak ringan dan dianggap ‘gurauan’, tetapi ia mampu memberi impak lebih besar selain mengundang kemurkaan Allah SWT.

Beretika dan tidak melebihkan emosi ketika melayari laman sosial mampu mengelak perkara tidak baik. Teknologi canggih ini sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk tujuan murni seperti berdakwah, menyebarkan maklumat serta mengeratkan silaturahim.

Nafsu tidak dapat dikawal ketika perasaan marah dan tertekan. Bertenang dan berfikir secara mendalam sebelum melakukan sesuatu perkara dapat mengawal keadaan. Perasaan menyesal biasanya akan hadir selepas perasaan marah reda.

Pepatah Melayu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.’ Oleh itu, hormati hak dan peribadi orang lain. Rahsia yang diamanahkan jangan dijadikan isu untuk menarik perhatian kerana ia boleh mencetuskan kekecewaan serta memutuskan ikatan silaturahim.

Laman sosial boleh menjadi medium dakwah yang luas apabila digunakan secara tertib dan betul. Untuk berdakwah, peribadi dan akhlak ditunjukkan pemilik akaun akan dihitung terlebih dulu. Justeru, pemilik akaun perlu mengindahkan penulisan untuk menarik minat rakan maya ke arah kebaikan.

Walaupun hanya sepotong hadis ia mampu disampaikan dan dilihat ramai pelayar di laman sosial berbanding kuliah atau ceramah di dewan walaupun menempatkan beratus orang.

Penyebaran dakwah secara cacian dan kutukan untuk menunjukkan kepandaian atau kealiman dalam sesuatu perkara boleh menjauhkan sesama sendiri. Bukankah agama Islam lebih menginginkan keharmonian dan kedamaian dalam menyebarkan Islam?

Sebarang maklumat yang disebarkan perlu diketahui hukum dan sumbernya yang sahih. Jika hadis atau petikan dari kitab, perlu yang bersanad, asli dan sahih sumbernya. Ini untuk mengelak kekeliruan orang awam jika membuat penafsiran sendiri.

Mudah percaya dan mendedahkan rahsia diri kepada rakan maya, terutama yang tidak dikenali boleh mengundang padah dan bahaya. Menyerahkan maklumat diri seperti gambar, alamat tempat tinggal, pekerjaan akan mengundang mudarat.

Banyak kes sumbang terjadi berpunca daripada penyalahgunaan maklumat maka berhati-hatilah dan pandai-pandailah membawa diri di alam maya.

Kesimpulannya, semua bergantung kepada kesedaran diri sama ada ingin melayari laman sosial dengan akhlak baik atau mengikut nafsu dan emosi semata-mata. Ingatlah Allah Maha Tahu apa yang diperbuat hamba-Nya.

Sumber : http : // www.bharian.com.my/

ISLAM DAN RAJA BERPISAH TIADA


Raja bersilih ganti
naik turun takhta
bersama aneka gaya dan identiti.

Namun sistem beraja
kekal pacak berdiri di situ
sebagai satu institusi.

Dengan lafaz
'Wallahi Wabillahi Watallahi'
sumpah jawatan diangkat tinggi
menggigit dengan gigi gearaham
akan amanah Ilahi
mentadbir bumi dengan agama
dan mempertahankan Islam
agama Persekutuan
pada setiap masa.

Dirgahayu Tuanku!
di singgahsana turus negara
menjadi tiang seri bangsa
kepada Tuhan Kerajaan Malaysia
Raja dan rakyat jelata
semuanya berserah diri.

Dirgahayu institusi Raja!
di atasnya Islam dijunjungi
di bawahnya rakyat dipayungi
dengan tadbirnya Islam
rakyat berbilang kaum
turut mendapat rahmat
harapnya Islam dan Raja Melayu
berpisah tiada
hingga akhir zaman.

Daulat Tuanku!

Qawari
Puncak Saujana, Kajang.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : “Sistem Rakan” Diperkenal Beri Motivasi Kepada Pejawat Awam Bermasalah


Oleh LOH FOON FONG dan P.ARUNA

PETALING JAYA: Penjawat awam yang menunjukkan prestasi yang lemah akan dilatih secara khusus oleh mereka yang bergelar ‘rakan’ mulai bulan depan bagi memberi bimbingan dan motivasi kepada mereka.

“Sistem rakan” itu bertujuan untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih dinamik dan berfungsi dengan mensasarkan para pekerja yang mempunyai masalah dari segi sikap atau masalah-masalah lain sehingga menyebabkan mereka tidak produktif.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memuat naik garis panduan bagi sistem tersebut di laman webnya, sebagai inisiatif kepada unit pengurusan psikologi.

Ketua unitnya, Dr Aris Kasan berkata, “rakan-rakan” itu akan dipilih oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada kakitangan sumber manusia dan psikologi.

Beliau yang berkata demikian kepada The Star memberitahu mereka yang akan dipilih dalam kalangan lebih 4,500 penjawat awam yang telah dilatih dalam kaunseling untuk Kumpulan Bimbingan Perkhidmatan Awam yang sedia ada, di mana mereka mengadakan pelbagai aktiviti seperti sesi bina semangat.

"Sistem rakan ini akan melibatkan aktiviti pada tahap yang lebih bersifat peribadi seperti makan, menonton atau bermain permainan bersama-sama," katanya.

Program berkenaan, yang menyokong rakan sekerja Kumpulan Bimbingan Perkhidmatan Awam, akan mengenal pasti pekerja yang mempunyai masalah sikap, pekerjaan, kewangan dan keluarga.

"Rakan-rakan ini akan memberi motivasi atau membantu dengan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan mereka.

"Bagaimanapun, jika mereka mengesan terdapat isu-isu utama seperti masalah mental atau apa-apa bentuk ketagihan, mereka perlu merujuk rakan-rakan ke jabatan kaunselor atau unit psikologi."

Bilangan rakan-rakan yang dipilih bergantung kepada keperluan setiap jabatan.

Dr Aris berkata, beliau akan bertemu kaunselor dari semua bahagian sekali pada setiap tiga bulan untuk mendapatkan maklum balas.

"Kami kemudiannya akan menjalankan kajian impak ke atas program untuk mengukur keberkesanannya," katanya.

Dr Aris berkata, jabatan itu juga akan meneliti kes seorang doktor pelatih yang ditemui mati di Hospital Kajang.

The Star melaporkan beberapa doktor pelatih bekerja keras dan dibuli sehingga menyebabkan kemurungan.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Apabila polis bertindak


BETUL, pasukan polis yang berfungsi menguatkuasakan undang-undang tidak boleh tergelincir daripada nilai asas, misi dan matlamatnya untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara. Dalam keadaan apa juga sekali pun ciri berkenaan perlu dipertahankan. Ini adalah cabaran paling besar dihadapi anggota dan pegawai polis zaman ini kerana tugas mereka untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara sering disalahertikan.

Hari ini tindakan mereka menenteramkan keadaan, contohnya untuk meleraikan perhimpunan ditakrif sebagai berlaku ganas, tidak berperikemanusiaan, melanggar hak asasi dan sebagainya.

Suasana ini memaksa anggota dan pegawai polis membezakan garisan sempadan nipis antara dua kumpulan yang ditakrif melanggar undang-undang – penjenayah dan mereka yang berdemonstrasi dengan niat tertentu, walaupun kedua-duanya boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada majoriti rakyat.

Senario ini tetap berlaku walaupun pasukan polis di negara ini sudah melalui proses kemajuan daripada model kepolisian tradisi kepada model kepolisian masyarakat yang sudah tentunya untuk memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan.

Rakyat juga sepatutnya berubah daripada terlalu mengharapkan polis mengawal keselamatan kepada bersama-sama membantu polis untuk menjaga keamanan. Oleh itu, sewajarnya rakyat menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Betul, kerajaan tidak mahu pasukan polis bersikap kasar ketika menghadapi rakyat dalam keadaan apa sekali pun.

Ini terbukti daripada penegasan Datuk Seri Najib Razak yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjamin keselamatan awam dan bijak menyeimbangi antara hak asasi individu dengan kepentingan masyarakat. Apa dinyatakan Perdana Menteri itu selari dengan nilai utama bidang kepolisian yang menjadi faktor penting rakyat meletakkan harapan tinggi kepada pasukan polis untuk menjaga keselamatan setiap rakyat.

Rakyat tidur lena tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan negara atau mereka bebas ke mana saja kerana yakin keselamatan mereka terjamin. Rakyat yang rasional sepatutnya faham misi polis dan yakin anggota dan pasukan polis bersikap adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang asalkan mereka juga akur kepada peraturan dan undang-undang.

Bagi polis, mereka tahu kunci mencapai matlamat dan memenuhi misi ialah dengan menyempurnakan hasrat rakyat. Namun, setiap anggota dan pegawai polis juga ada tanggungjawab mereka terhadap golongan yang cuba menggugat keamanan. Mereka juga menilai tindakan individu dan kumpulan yang relevan atau tidak relevan dengan penguatkuasaan undang-undang.

Rakyat perlu faham, di mana-mana negara sekali pun setiap anggota dan pegawai polis dilatih mengenai cara dan taktik penyelesaian masalah ketika menghadapi senario penguatkuasaan undang-undang. Jika ditekan dengan provokasi berterusan hingga menimbulkan ketegangan, penyelesaian perlu dicari. Satu keputusan yang wajar akhirnya terpaksa juga diambil.

Walaupun sentiasa mengambil tindakan berhemah, pasukan polis juga perlu menilai keadaan semasa yang boleh berubah pada bila-bila masa. Keadaan ini mungkin memaksa pasukan polis mengikut rentak perubahan berkenaan. Dalam keadaan terdesak, macam-macam boleh berlaku.

Polis bukan saja dilatih menyelesaikan masalah tetapi juga dilatih mempertahan keselamatan diri sendiri. Paling baik. Jauhilah daripada individu atau kumpulan yang boleh mencetuskan ketenteraman awam walau apa pun sekali alasan atau motif sesuatu perhimpunan yang ada kaitannya dengan kepentingan politik.

Untuk menjamin kesejahteraan, hubungan polis dan masyarakat amat penting dan perlu wujud semua peringkat. Masing-masing perlu memahami hasrat antara satu dengan lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Keputusan ICC bela Israel gores hati antarabangsa


Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Amerika Syarikat lindungi Zionis elak rejim dibawa ke muka pengadilan

KEPUTUSAN Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 3 April lalu yang tidak akan membuka kertas siasatan terhadap jenayah rejim Israel dalam serangan ke atas Gaza antara Disember 2008 hingga Januari 2009 memang amat mengejutkan.

Memang sukar diterima keputusan ICC itu, apatah lagi apabila mengetahui badan itu menggunakan alasan tidak masuk akal dalam membuat keputusan berkenaan iaitu – Palestin bukan sebuah negara yang sah di sisi undang-undang PBB.

Keputusan dangkal ICC itu pastinya menggores hati masyarakat dunia, terutama umat Islam yang cintakan keadilan kerana jelas sekali ia menafikan hak rakyat Palestin khasnya penduduk Gaza untuk mendapatkan keadilan disebabkan kezaliman tentera rejim Israel.

Sebaliknya, Kementerian Luar Israel dengan bangganya mengatakan yang ICC memang tidak mempunyai bidang kuasa undang-undang untuk mendakwa negara itu.

Dilaporkan, lebih 1,400 penduduk Gaza terbunuh dalam operasi tentera rejim Israel yang dipanggil Operasi Lemparan Beracun itu dan majoriti yang terkorban orang awam.

Menurut angka PBB, tentera Israel memusnahkan lebih 3,500 rumah kediaman dan menyebabkan 20,000 orang kehilangan tempat tinggal dalam serangan 22 hari itu.
Israel turut didakwa senjata yang diharamkan dalam serangan itu iaitu menggunakan bom fosforus, sejenis bahan menghasilkan bunga api besar, bersifat menghakis seperti asid dan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan secara berterusan tanpa henti sehingga membawa maut walaupun sekadar terkena serpihannya.

Keputusan ICC itu mendapat kutukan keras daripada Pusat Hak Asasi Manusia Palestin (PCHR), badan bukan kerajaan (NGO) membela nasib dan hak asasi manusia di Palestin yang menganggap ia satu pendirian melampau, bersifat antikeadilan dan hak asasi manusia.

Malah, Amnesty International turut menegaskan keputusan ICC itu sebenarnya membawa maksud ‘mangsa serangan Israel di Gaza tidak layak mendapat keadilan’ dunia.

Keputusan ICC itu juga sebenarnya hanya membuka ruang untuk masyarakat dunia menganggap badan keadilan dunia itu bersifat berat sebelah dengan meletakkan isu jenayah rejim Israel ini kepada pihak lain atau dengan kata lain menunggu pengiktirafan PBB ke atas negara Palestin.

Pada dasarnya, kita tahu PBB tidak akan menerima sebarang cadangan, apatah lagi usaha menjadikan Palestin sebuah negara berdaulat kerana sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) akan melakukan apa saja termasuk menggunakan kuasa veto untuk menggagalkan usaha itu.

Ini dapat dibuktikan apabila AS menggunakan kuasa veto untuk menghalang tawaran keanggotaan penuh Palestin dalam PBB pada September tahun lalu menerusi inisiatif Presiden Mahmoud Abbas.

Berikutan tindakan AS itu, Majlis Keselamatan PBB tidak lagi membuat sebarang syor untuk mengakui dan mengiktiraf kewujudan negara Palestin.

Namun begitu, walau apa pun justifikasi ICC, perlakuan jenayah tentera rejim Israel dalam operasi di Gaza itu sebenarnya berjaya dibuktikan oleh beberapa pemerhati laporan pertubuhan hak asasi manusia bebas seperti Pemerhati Hak Asasi Manusia, Amnesty International dan Persekutuan Hak Asasi Antarabangsa (FIDH) serta Laporan Suruhanjaya Pencari Fakta yang dimandatkan oleh Liga Arab.

Difahamkan, Pejabat Pendakwa ICC menerima ratusan aduan dan permintaan daripada mangsa serangan di Gaza supaya badan kehakiman dunia itu melakukan siasatan bebas pada peringkat antarabangsa.

PCHR dan rakan NGO yang sealiran dengannya turut mengemukakan pelbagai fail kes bagi pihak mangsa kepada Pejabat Pendakwa ICC, namun badan itu gagal menangani isu yang dibangkitkan ini dengan cara yang sesuai.

Pendirian ICC tidak mahu menyiasat perlakuan jenayah dalam serangan Israel itu dengan alasan status Palestin bukan sebuah negara sah pada prinsipnya boleh dipertikaikan kerana Undang-undang Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengatakan sebaliknya.

Menurut PCHR, dalam menentukan status sah negara Palestin, Pendakwa ICC bertindak secara unilateral kerana Undang-undang Rom menyatakan Pejabat Pendakwa ICC tidak diberi kuasa untuk menerima pakai kaedah mentakrif Negara mengikut Artikel 12(3) kerana bertentangan dengan Artikel 12(1).

Malah, keputusan Pejabat Pendakwa ICC itu hanya menimbulkan syak wasangka terhadap badan itu membuat keputusan bukan berdasarkan keadilan manusia, tetapi menjurus kepada kepentingan politik.

Apa pun justifikasi ICC itu, keputusan badan kehakiman dunia itu turut mendapat protes banyak negara, termasuk Malaysia. Di negara ini Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia) mengutuk dan membantah keputusan ICC itu.

Pengerusinya, Datuk Zaki Ahmad Zahid menganggap ICC bersikap berat sebelah dalam membuat keputusannya kerana menafikan hak waris dan mangsa Operasi Lemparan Beracun di Gaza itu kerana apa yang dilakukan rejim Israel itu terang-terangan mencabul hak asasi manusia.

Aman Malaysia, katanya, menganggap ICC memihak dan tunduk kepada Israel dengan mengambil keputusan PBB yang tidak mengiktiraf Palestin sebagai negara sah untuk dijadikan dalil mengapa mereka menolak untuk menyiasat aduan jenayah dilakukan tentera rejim Israel terhadap penduduk Gaza.

“Kita amat marah dan kecewa dengan pendirian ICC yang berat sebelah menyokong keganasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin terutama penduduk Gaza yang menjadi mangsa operasi berkenaan.

“Dalam peristiwa itu ternyata tindakan Israel membunuh orang awam di Gaza yang tidak bersalah adalah satu jenayah yang sepatutnya bukan saja perlu disiasat ICC, bahkan badan kehakiman dunia itu perlu mengambil tindakan terhadap Israel,” katanya.

Beliau berkata, keputusan ICC itu didalangi kuasa besar, khasnya AS untuk melindungi Israel dengan menggunakan undang-undang antarabangsa yang diiktiraf PBB sebagai perisai untuk mengelak mereka daripada dibawa ke muka pengadilan dunia.

Natijahnya, apa pun yang dilakukan rejim Israel di Palestin sejak menceroboh, mereka tetap terlepas siasatan atau tindakan, tetapi mangsa keganasan Israel pula terus terabai tanpa pembelaan, apatah lagi mendapat keadilan sewajarnya.

Ia seperti peribahasa Melayu – ‘sepuluh jong berlalu, anjing tetap bercawat ekor’. Walaupun apapun usaha dilakukan untuk menyelamatkan Palestin dan rakyatnya, Israel juga akan tetap mendapat pembelaan. Soalnya, siapakah yang perlu menamatkan segala bentuk perlindungan yang Israel nikmati ketika dan sampai bilakah rejim itu akan terus kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang jenayah perang atau sivil.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/