Oleh : Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
Lanjut tempoh sara wajib jejas peluang
Dasar baru Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan calon yang
memiliki ijazah Sarjana Muda memohon jawatan pada peringkat Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak. Pada
satu sudut, ia mampu meningkatkan keupayaan guna tenaga sektor awam kerana
diharapkan tahap akademik yang lebih tinggi ini akan mampu melonjakkan mutu
perkhidmatan serta profesionalisme penjawat awam. Pada sudut lain, ia adalah
jalan penyelesaian singkat terhadap isu lambakan graduan yang masih tidak
mendapat pekerjaan.
Khabarnya, dasar baru SPA ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan
daripada graduan yang sememangnya berharap dapat menamatkan kemarau kerjaya
sejak berkonvokesyen. Namun, beberapa persoalan penting harus kita fikirkan
secara mendalam berikutan hal ini.
Bercakap soal belia, tumpuan kita seharusnya meluas kepada kelompok berusia
15 hingga 40 tahun keseluruhannya. Semua pihak harus mengakui bahawa peluang
kerja buat belia kita semakin mengecil dan kompetitif.
Dalam sektor awam, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh persaraan wajib
secara langsung mengecilkan jumlah pemegang ijazah sarjana muda untuk memegang
jawatan dan mengembangkan kerjayanya. Hal ini amat jelas terjadi dalam bidang
pendidikan apabila ada ramai bakal guru tersadai tidak dipanggil untuk
penempatan. Antara puncanya ialah kerana tempat yang sepatutnya kosong masih
diduduki kerana guru senior tidak jadi bersara.
Penulis sejak awal lagi bertegas bahawa melanjutkan tempoh persaraan
kakitangan awam bukanlah langkah yang tepat dalam perancangan sumber manusia
negara. Sekiranya alasan prestasi dan kemahiran menjadi ukuran, ia seolah-olah
satu prejudis terhadap kemahiran dan keupayaan anak muda ini, sekali gus ia
seolah-olah memperkecilkan keseluruhan institusi pengajian tinggi serta badan
latihan profesional yang kita sendiri kawal dan wujudkan.
Anak muda ini harus dimasukkan ke pasaran pekerjaan seberapa awal yang
mungkin supaya potensi dimiliki boleh dimanfaatkan sebaiknya. Kesukaran graduan
kita mendapatkan pekerjaan kini dirumitkan lagi dengan suasana ekonomi yang
sederhana dengan kebanyakan majikan mengehadkan pengambilan pekerja baru. Kini,
apabila peluang pekerjaan peringkat lepasan SPM dibukakan kepada graduan,
dengan sendirinya masalah pengangguran ini beralih kepada belia lepasan SPM
yang tidak berkemampuan memegang skrol ijazah.
Sebenarnya, usaha melayan dan menangani kerenah kumpulan lebih rumit dan
menyukarkan. Kumpulan belia lepasan SPM yang tidak berjaya masuk ke mana-mana
institusi pengajian tinggi atau kolej pada kebiasaannya disebut sebagai belia
tercicir dan jauh daripada arus perdana kehidupan.
Memandangkan sistem pendidikan di negara kita berdasarkan merit pencapaian
akademik dan kokurikulum, maka sudah pasti kumpulan ini berada pada ‘kelas
hujung-hujung’, iaitu sejak awal persekolahan mempunyai tahap pencapaian
akademik yang agak rendah.
Dilihat dari sudut psikologi dan kognitif, berkemungkinan besar mereka
memiliki ‘esteem’ diri yang rendah serta mudah terjebak kepada suasana hidup
yang negatif. Data daripada Unit Pusat Universiti (UPU), Kementerian Pengajian
Tinggi menunjukkan ada 468,808 orang calon lepasan SPM pada 2011. Daripada
jumlah itu hanya 171,590 orang yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), manakala kira-kira
80,000 orang memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan Institut
Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).
Ini bermakna ada kira-kira 217,278 belia lepasan SPM pada 2011 yang kini
sama ada berada pada pasaran kerja atau menganggur, berkahwin atau berada dalam
pusat serenti atau juga penjara. Sudah pasti peluang pekerjaan untuk sektor
awam hampir tertutup rapat kerana kumpulan ini terpaksa bersaing dengan rakan
yang lebih berketerampilan dan bergelar graduan.
Adalah amat membimbangkan sekiranya kita membiarkan kelompok ini tanpa
perhatian yang mendalam. Dalam konteks pergerakan belia, semua pertubuhan belia
sedaya upaya mendekati kumpulan belia tercicir dengan memberikan mereka info
berkaitan kerjaya serta latihan kemahiran khususnya yang berkonsepkan latihan
kemahiran peluang kedua.
Namun, jawapan akhir kepada persoalan belia kita ialah dengan menyediakan
mereka peluang pekerjaan yang
bersesuaian dengan keupayaan serta mampu menyediakan masa depan. Bernstein
(2004) menyatakan ada empat faktor yang menyumbang kepada kegembiraan dan
kesejahteraan hidup kebanyakan orang iaitu kesihatan, status ekonomi, pekerjaan
dan hubungan kekeluargaan. Justeru, aspek sosioekonomi generasi muda ini perlu
kita cari penyelesaian segera untuk mengelakkan mereka terus tertekan dan
terjebak kepada sisi negatif kehidupan.
Penulis ialah Presiden Majlis Belia Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/