Jumaat, 24 Ogos 2012

ISU SOSIAL : Teknologi tak mampu erat ukhwah


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
'Pejabat terbuka' wujud hubungan lebih baik dengan pelanggan

Alhamdulillah, tatkala penulisan ini dikongsi, umat Islam sudah seminggu berhari raya. Menariknya di negara kita ini, suasana hari raya dengan kemeriahan ‘rumah terbuka’ dan tidak kurang juga 'pejabat terbuka' dihias gantungan ketupat plastik serta lampu berkerdipan sepanjang Syawal. Ia adalah satu tanda mudah melambangkan suasana kehidupan harmoni, ukhuwah juga kesenangan dan kemampuan dimiliki masyarakat.
 
Keharmonian dengan nilai mahabbah dan saling menghormati dapat dilihat melalui budaya ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

Ia perlu disemarakkan dan diteruskan khasnya dalam kehidupan hari ini sama ada disedari atau tidak, kita semakin jauh daripada aktiviti memasyarakatkan diri disebabkan pelbagai faktor antaranya kesibukan bekerja.

Bersua muka lebih utama

Walaupun kita mampu memasyarakatkan diri dengan pelbagai kecanggihan teknologi seperti berhubung di laman sosial, namun ia tidak sehebat kelebihan apabila insan itu bertemu dan bersua muka.

Amalan bersua muka dengan mengucapkan salam dari bibir, menghulurkan tangan untuk berjabat, sentuhan fizikal dengan pelukan kepada saudara mara lebih tua, mempunyai nilai kemasyarakatan lebih ‘hidup’ dalam perasaan berbanding melalui medium teknologi maklumat canggih.

Malah, kita juga berpeluang membalas setiap gerak-geri silaturahim ini dengan yang lebih baik jika bersemuka.

Firman Allah SWT: “Jikalau engkau semua diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan yakni salam maka jawablah penghormatan atau salam itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dengan yang serupa dengannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 86).

Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Farabi dalam al-Madinah al-Fadhilah apabila amat menekankan aspek memasyarakatkan masyarakat sebagai usaha mewujudkan masyarakat sempurna ke arah sebuah negara yang baik.

Menghidup sunnah Nabi

Budaya murni ini amat dianjurkan kerana ia menghidupkan amalan berteraskan Sunnah Nabi SAW. Daripada Abu Yusuf, Abdullah bin Salam katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Hai sekalian manusia, ratakanlah salam, berikanlah makanan, pereratkanlah kekeluargaan, bersembahyanglah – di waktu malam – sedang manusia sedang tidur, maka engkau semua akan masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat Imam Tirmidzi)

Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Manakah amalan Islam yang terbaik? Baginda menjawab: Iaitu engkau memberikan makanan dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang sudah engkau kenal dan orang belum engkau kenal.” (Muttafaq ‘Alaih)

Hal yang sama boleh diaplikasikan dalam perkhidmatan apabila ada mengadakan ‘pejabat terbuka’ bersama pelanggan bukan sekadar untuk menjamu selera tetapi membina hubungan pejabat dengan pelanggan dalam suasana lebih baik dan santai.

Bulan perhubungan awam

Aduan dan pandangan juga akan lebih mudah disampaikan serta diterima secara positif oleh pegawai berkenaan. Justeru, Syawal boleh menjadi bulan perhubungan awam paling efektif dalam menyalurkan perkhidmatan mesra pelanggan.

Namun, beberapa adab dan nilai akhlak perlu dijaga bagi merealisasikan matlamat baik ini iaitu tidak berlebih-lebihan, bermegah-megah, bermewah-mewah, berhasad dengki, iri hati dan sombong serta tidak menimbulkan kesulitan disebabkan oleh hutang.

Termasuklah juga yang perlu dielakkan oleh penjawat awam mahupun swasta adalah menerima atau memberi hadiah, hamper kepada mereka yang berurusan rasmi atau berkepentingan.

Kita disarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebaik-baiknya menolaknya untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Ini sebagaimana Surat Pekeliling, Bilangan 3, 1998 yang menyatakan setiap pemberian hadiah perlu diisytiharkan kepada ketua jabatan yang akan menentukan sama ada disimpan atau dipulangkan.

Contoh hadiah atau hamper kepada agensi penguatkuasa dan pegawai bank yang mempunyai urusan perniagaan atau pinjaman dengan pegawai terbabit. Unsur atau  perbuatan tidak beretika ini hendaklah dielakkan supaya tidak mencalarkan keindahan dan kemeriahan Syawal.

Justeru, bagaimana cantiknya pakaian, indahnya perhiasan rumah dan enaknya juadah dihidangkan pada Syawal ini, marilah kita memelihara diri dengan munajat supaya dikurniakan akhlak baik lagi indah dengan satu doa mudah: “Ya Allah, sepertimana Engkau mencantikkan kejadianku, maka perbaiki pula akhlakku.” (Riwayat Ahmad)

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Kemiskinan perlu ditakrifkan semula



Garis panduan lebih realistik bantu gubal dasar berkesan

Shah Alam : Seorang ahli akademik menggesa Unit Perancang Ekonomi menyemak semula garis panduan berhubung takrif kemiskinan supaya ia lebih mencerminkan realiti semasa. Ketua Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Denison Jayasooria berkata garis kemiskinan yang lebih realistik perlu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan menggubal dasar serta program lebih berkesan untuk menangani masalah berkaitan kemiskinan.

“Kemiskinan perlu ditakrifkan semula dan ukuran berbeza perlu digunakan untuk mengetahui keadaan sebenar yang wujud di kalangan mereka pada peringkat paling bawah dari segi sosioekonomi,” katanya dalam temu bual dengan BERNAMA.

Atasi kemiskinan bandar

Kini, garis kemiskinan kebangsaan adalah berdasarkan pendapatan bulanan minimum isi rumah sebanyak RM760 di Semenanjung Malaysia, RM1,050 di Sabah dan RM910 di Sarawak.

Denison berkata, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan ukuran pendapatan perlu diubah supaya ia menjurus ke arah menggunakan pendekatan pelbagai dimensi apabila mengambil kira faktor seperti keperluan dan hak asasi manusia serta kualiti kehidupan.

Katanya, tumpuan perlu diberi terhadap usaha menangani kemiskinan bandar, yang diburukkan lagi oleh pelbagai isu yang belum selesai seperti kemudahan awam dan rumah pangsa kos rendah yang belum mencukupi.

Tindakan segera

“Langkah segera perlu diambil untuk menangani kemiskinan bandar dan kawasan kediaman golongan berpendapatan rendah dengan menggunakan kaedah yang membabitkan pelbagai agensi, disiplin dan pasukan penyampaian pelbagai etnik,” katanya.

Denison, yang juga setiausaha agung Proham, sebuah kumpulan hak asasi manusia, bagaimanapun berkata, Malaysia mempunyai rancangan pembangunan makro yang baik dan memberi keutamaan terhadap agihan pertumbuhan secara menyeluruh.

Ketidaksamarataan gaji

Sementara itu, Ketua Pusat Keusahawanan Sosial Binary University, Prof Sulochana Nair, berkata walaupun kemiskinan dalam erti kata sebenar berjaya dikurangkan, ketidaksamarataan pendapatan meningkat dengan ketara di kalangan pelbagai kumpulan etnik di negara ini, sekali gus, melebarkan jurang ketidaksamarataan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

“Peningkatan ketidaksamarataan dalam konteks inflasi dan jenayah memberi kesan negatif terhadap 40 peratus golongan yang berada di tangga paling bawah sosioekonomi, yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan di kawasan bandar.

“Mereka ini adalah golongan miskin bandar yang tinggal di rumah pangsa kos rendah yang menjulang tinggi di pusat bandar.

“Oleh itu, dasar yang perlu dilaksanakan Malaysia sekarang mestilah yang bermatlamat untuk mewujudkan kesamarataan dari segi peluang, bukan keesamarataan dari segi pendapatan,” kata bekas ketua Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan, Universiti Malaya itu.

Isnin lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan pembelajaran subjek kesusasteraan Inggeris peringkat sekolah menengah menerusi kajian semula sistem pendidikan nasional.-BERNAMA

ISU BAHASA : Belajar Sastera Dalam Semua Bahasa


KUALA LUMPUR: Subjek kesusasteraan dalam sistem pembelajaran di sekolah tidak harus bertumpu kepada sastera Inggeris semata-mata, sebaliknya wajar meliputi semua bahasa dunia.

Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid berkata menerusi langkah itu, rakyat negara ini akan dapat memahami budaya bangsa lain di dunia ini.

"Sebab dalam masa 50 tahun dari sekarang mungkin budaya Inggeris tidak begitu penting dan diganti budaya lain. It's only temporary and it's already in decline as budaya (Budaya itu hanya sementara dan sudahpun merosot sebagai budaya)," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Beliau ditemui selepas merasmikan pameran lukisan solo artis veteran Sivem Selvaratnam, di Universiti Malaya.

Isnin lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran menyatakan bahawa kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan pembelajaran subjek kesusasteraan Inggeris peringkat sekolah menengah menerusi kajian semula sistem pendidikan nasional.-BERNAMA

ISU BAHASA : Orang Melayu membenci seni budayanya?


Oleh : Johan Jaaffar 

Pada 1994, saya menonton persembahan kebudayaan berjudul Navarasa yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan budaya Tamil di Petaling Jaya, Selangor. Persembahan itu menampilkan artis-artis terkenal (menurut promosinya) seperti TMS Guna, Suguna dan trio penari, Bavani, Sharmini dan Malini dari sebuah persatuan seni. Itu bukanlah pertama kali saya menyaksikan persembahan seni kaum Tamil, sebenarnya disiplin teater saya menghendaki saya menonton semua jenis persembahan pentas dalam pelbagai genre dan bahasa.

Beberapa bulan lalu saya diajak menonton sebuah persembahan kesenian Tamil, juga di Petaling Jaya. Kali ini tiada nama-nama besar yang terbabit. Pelakon malam itu membawa gelagat hero filem Kollywood seperti MGR, Sivaji Ganesan, Rajnikanth, Vijay, Ajit Kumar, Kamal Hassan dan Arjun. Oleh sebab Sivaji The Boss yang dilakonkan oleh Rajnikanth (2007) masih hangat dalam ingatan, maka banyak sketsa malam itu berkisar di sekitar filem tersebut. Sivaji The Boss bukan sahaja filem Tamil paling mahal dalam sejarah (kos pembikinan dikatakan RM67.9 juta) tetapi di antara filem paling laris. Walaupun Rajnikanth berusia 58 tahun ketika itu, tarikan box-office beliau tidak pernah pudar.

Saya mengikuti perkembangan Opera Cina atau pekji sejak saya di kampung lagi. Beberapa waktu kebelakangan ini saya melihat bagaimana National Arts Council Singapura menghidupkan semula tradisi wayang itu di sekolah. Seperti juga Bangsawan, Opera Cina yang saya kenal di kampung menggunakan setting yang mewah dan lakonan yang stylised. Seperti Bangsawan, Opera Cina hilang tarikannya. Bezanya Opera Cina ada kaitan dengan ritual agama dan masih dipertunjukkan pada waktu tertentu. Bangsawan nampaknya sudah hampir pupus, sekalipun usaha gigih Rahman B tidak membuahkan banyak hasil.

Kita harus ingat bukan sahaja Opera Cina melalui proses transformasi dalam masyarakat Cina tetapi ratusan persatuan seni budayanya menghidupkan tarian naga, gendang dan seni mempertahankan diri. Penaja pertunjukan Tamil tidak perlu menyeret artis terkenal ke dewan kecil dan pinggir. Mereka datang berbondong-bondong menyokong persembahan kesenian bangsa mereka. Persatuan seni budaya Cina hidup atas sokongan kaum Cina, tanpa bantuan kerajaan.

Saya bertanya diri saya apakah orang Melayu di Malaysia akan berbuat hal yang sama seperti kaum India dan Cina? Apakah mereka mempertahankan seni budaya mereka dengan penuh bangga? Apakah wujud sedemikian banyak persatuan seni budaya seperti yang berlaku dalam masyarakat orang India dan Cina di negara ini?

Tradisi kesenian orang Melayu adalah sebahagian cerminan nilai, minda dan pandang dunia (worldview) mereka. Seperti juga karya sastera, seni teater adalah hasil akal budi (istilah Profesor Diraja Ungku Aziz) orang Melayu. Sejak berzaman seni budaya bersemarak dalam masyarakat Melayu. Ada antaranya didukung oleh sistem naungan istana dan berkembang sebagai warisan yang dibajai dengan baik. Ada juga yang berkembang secara pinggiran, dalam masyarakat bawahan, di luar dari kerangka kebangsawanan.

Dari manapun dukungannya, seni budaya orang Melayu mencorakkan kaum itu. Daripada menora hingga makyung, daripada wayang kulit hingga ketoprak, daripada gamelan hingga cempulingan, semuanya menjadi sebahagian ciri kemelayuan. Teater bangsawan dan sandiwara berkembang dan kemudian pudar. Hari ini sinema Melayu menjadi teras utama kandungan kreatif negara. Stesen TV melahirkan ribuan drama dan komedi sebagai pemindahan dari tradisi pentas ke skrin TV.

Malangnya, di sebalik kejayaan musika di Istana Budaya, pengaruh dan ikutan drama di TV dan kejayaan filem Melayu, seni budaya berteras teater dan lapangan nampaknya semakin menghilang. Saya mulai percaya bahawa orang Melayu membenci seni budayanya sendiri.

Bagi sesetengah kaum, seni budaya itu eksklusif dan terhormat. Bagi kebanyakan orang Melayu agaknya, seni budaya tidak lebih hiburan dan bahan berseronok. Tradisi pemikiran, kreativiti, inovasi dan keunikannya sering dilupakan. Pendeta Zaba, tokoh pemikir Melayu yang hebat sendiri pun mengkritik keras tradisi bangsawan. Dalam beberapa buah tulisan beliau wayang Melayu atau bangsawan dikatakan mempunyai jalan cerita kerap kali bodoh-bodoh dan tak banyak teladan dan pengajaran di dalamnya. Tapi beliau mengagumi karya William Shakespeare yang menjadi antara lain sumber wayang Melayu itu.

Agaknya ini krisis bangsa yang cuba melonjak dirinya untuk menjadi maju dan berjaya. Apa sahaja yang dianggap budaya leluhur dan tradisional ditolak ke tepi. Mungkin juga dalam banyak hal tafsiran agama menyempitkan ruang untuk seniman bergerak dan berkreatif.

Saya percaya dalam kita merayakan Syawal yang mulia ini, elok juga kita melihat secara jujur sikap dan pendirian kita terhadap seni budaya sendiri. Mungkin benar kata orang, orang India dan Cina menggunakan seni budaya secara berkesan sebagai teras perpaduan dan penonjolan identiti, orang Melayu mengesampingkan hasil terbaik senimannya kerana didorong oleh tarikan kebendaan melulu. Itupun tidak dicapai sepenuhnya oleh mereka.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Harga rumah melambung di luar kawalan


Oleh ROHAMI SHAFIE

SEMEMANGNYA isu harga rumah yang meningkat keterlaluan dewasa ini menjadi isu paling menjadi perhatian bagi rakyat selain kos sara hidup yang semakin tinggi. Bajet 2013 yang bakal diumumkan kelak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka memberi tumpuan kepada isu harga rumah yang amat menekan rakyat.

Pengumuman Bajet 2013 diharap melibatkan strategi-strategi holistik bagi menangani isu ini. Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, namun program ini masih belum cukup untuk menangani isu ini secara menyeluruh. Ditambah dengan isu kenaikan harga simen baru-baru ini bakal melonjakkan lagi harga rumah. Kerajaan tidak boleh membiarkan isu ini berlarutan kerana ia boleh memudaratkan rakyat dan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Tindakan drastik dan berani tetapi berhemah perlu dilakukan.

Oleh sebab rumah merupakan barangan keperluan. adalah wajar kerajaan menjadikan barangan binaan rumah sebagai harga kawalan dan tidak boleh membiarkan pengilang menguasai pasaran harga barang binaan. Simen, besi dan kayu wajar dijadikan barangan kawalan dan tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya.

Umum mengetahui, pasaran barangan binaan perumahan dikawal oleh sebilangan pengilang dan ini mewujudkan keadaan kartel. Mereka ini akan menggunakan kuasa kartel untuk kepentingan diri sendiri. Justeru, tiada cara lain kecuali mengawal harga barangan binaan perumahan.

Kerajaan juga wajar mengawal harga tanah agar tidak dimanipulasikan oleh spekulator. Meskipun cara ini seolah-olah kerajaan mengambil pendekatan campur tangan dalam pasaran hartanah, namun sebenarnya pendekatan ini adalah pendekatan terbaik.

Usah dikhuatiri desakan-desakan pengilang kartel mahupun spekulator hartanah. Mereka telah banyak mengaut keuntungan daripada perjualan hartanah di Malaysia. Sudah tiba masanya, kerajaan memikirkan kepentingan rakyat berbanding mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan.

Antara pendekatan terbaik untuk mengekang spekulator hartanah adalah dengan mengharamkan sama sekali agensi jualan rumah. Rumah hanya boleh dibeli secara terus melalui pemaju perumahan mahupun pemilik rumah tersebut bagi rumah yang telah diduduki. Selama ini, agensi jualan rumah akan cuba mengaut keuntungan daripada jualan rumah dan akhirnya jika rantaian ini berterusan, harga rumah akan semakin meningkat.

Bagi mengekang spekulasi harga rumah, syarat ketat perlu dikenakan terhadap pembeli yang telah membeli rumah melebihi dua buah. Sebagai contoh, mereka termasuklah bukan warganegara Malaysia tidak boleh sama sekali menjual hartanah untuk tempoh 10 tahun dan cukai keuntungan hartanah dikenakan kepada mereka dua kali ganda lebih tinggi berbanding kadar cukai yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2010.

Syarat ketat juga patut dikenakan kepada pembeli rumah. Bagi rumah yang berharga RM150,000 ke bawah, hanya pembeli bergaji RM4,000 sebulan sahaja layak membelinya. Bagi harga RM150,000 sehingga RM500,000, kelompok rakyat yang layak membelinya adalah golongan yang berpendapatan RM4,001 sehingga RM8,000 sebulan. Selebihnya iaitu berharga RM500,000 ke atas khas untuk yang berpendapatan RM8,000 sebulan ke atas. Projek perumahan RM500,000 ke bawah mestilah dijaga kualitinya meskipun khas untuk golongan berpendapatan sederhana ke bawah.

Bagi pembeli bukan warganegara Malaysia, kerajaan perlu mengehadkan peratusan bilangan mereka yang memiliki rumah. Ada di kalangan mereka berniat menjualnya kembali selepas membelinya dalam beberapa tempoh pegangan hartanah tersebut. Rumah tidak boleh dijual kepada mereka sewenang-wenangnya kerana ada di antara mereka mampu membeli rumah di Malaysia kerana tukaran wang asing daripada pendapatan mereka di negara asal lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia.

Selain itu, pemaju perumahan pula perlu diwajibkan sekurang-kurangnya membina 80 peratus projek perumahan yang berharga RM500,000 ke bawah, manakala selebihnya untuk projek perumahan berharga RM500,000 sesuai dengan 80 peratus rakyat Malaysia berpendapatan sederhana ke bawah.

Di samping itu, kerajaan perlu mengenakan syarat dengan mengurangkan subkontraktor yang membina rumah agar tiadanya kenaikan harga rumah kerana setiap subkontraktor ingin mengambil keuntungan lebih bagi setiap projek perumahan. Masalahnya, setiap subkontraktor ini mengambil untung melampau dan akhirnya pembeli akan dikenakan harga lebih tinggi oleh pemaju perumahan berbanding hanya beberapa sahaja subkontraktor yang membina rumah. Malahan, pendekatan ini akan mengurangkan risiko rumah yang dibina tidak berkualiti apabila subkontraktor mengambil untung menyebabkan mereka membina rumah sambil lewa.

Pendekatan terakhir adalah dengan memperluaskan PR1MA ke seluruh negara secepat mungkin dan tidak perlu menunggu sehingga tahun depan barulah projek perumahan kos sederhana dibina. Itupun tumpuan projek bermula di Lembah Klang sedangkan negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Kedah juga mengalami peningkatan harga rumah yang amat tinggi sekali.

Sebagai contoh, harga rumah berkembar di Terengganu pun sudah melebihi RM500,000 sebuah, justeru PR1MA perlu disegerakan di seluruh negara sebagaimana kerajaan berjaya memperluaskan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Membina bangsa dengan semangat patriotisme


Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

SETIAP kali menjelang Ogos, rakyat Malaysia diperingatkan supaya sentiasa memperbaharui semangat patriotisme iaitu semangat cinta akan negara. Melalui semangat cinta akan negara akan dapat membentuk ke arah pembinaan negara bangsa yang bersatu padu.

Matlamat dan wawasan membina Malaysia sebagai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 mestilah berasaskan penyatuan dan perpaduan rakyat yang kukuh dan padu. Apabila transformasi ini berlaku kemerdekaan akan terus dapat didaulatkan.

Patriotisme seharusnya menjadi subjek dan tema penting yang mencorakkan hala tuju perubahan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaan hampir 55 tahun yang lalu.

Dalam masa sama Malaysia menghadapi pelbagai cabaran semasa yang kritikal seperti globalisasi, liberalisasi, neokolonialisme, feudalisme baru, anarkisme, keganasan, sekularisme, demokrasi, pembinaan negara bangsa dan sebagainya.

Justeru, patriotisme adalah keyakinan kita bahawa negara ini lebih hebat daripada negara lain, disebabkan kita lahir di negara ini. Selain itu, kita juga harus bertanya kepada diri kita apa sumbangan kita kepada negara yang kita cintai.

Setiap rakyat yang cinta akan negaranya pasti berfikir dan merenung perjuangan yang telah kita lalui sepanjang 55 tahun lalu. Untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 negara kita melalui pelbagai pahit getir dengan perjuangan para pejuang yang mencetuskan kemerdekaan negara.

Patriotisme adalah perjuangan yang menjiwai  kepentingan bangsa dan negara. Usaha mengekalkan semangat juang yang tinggi, mendaulatkan kedudukan, status serta pengaruh bangsa dan negara seharusnya dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Mengibarkan Jalur Gemilang adalah simbol kepada rasa cinta kepada negara. Bendera adalah lambang negara yang seharusnya berkibar megah di perkarangan rumah, sekolah, pejabat dan juga di kenderaan. Melalui semangat ini rasa cinta akan negara akan dapat dikekalkan dalam jiwa setiap rakyat. Mengibarkan Jalur Gemilang tidak terbatas kepada pegangan politik. Kemerdekaan adalah lambang kedaulatan sesebuah negara.

Patriotisme juga memerlukan komitmen pemimpin dan semua golongan rakyat dengan mempertahankan asas pembinaan dan kedaulatan negara. Mempertahankan negara daripada musuh dan ancaman luar merupakan tanggungjawab setiap rakyat.

Kesetiaan kepada raja dan negara yang ditunjukkan oleh warganegara melalui sumbangan dan pengorbanan merupakan unsur patriotisme yang sangat penting. Unsur ini perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Patriotisme juga adalah perjuangan yang menjiwai kepentingan bangsa dan negara. Setiap rakyat yang cinta akan negara ini harus mengakui Malaysia adalah tanah tumpah darah dan tiada negara lain seaman dan semakmur Malaysia.

Nilai patriotisme yang patut diterapkan dalam hati dan jiwa generasi muda seperti kesetiaan, keberanian, rela berkorban, kesukarelaan, cinta akan bangsa dan negara perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan rakyat yang patriotik dan bertanggungjawab pada bangsa dan negara.

Semangat patriotisme perlu dibangunkan melalui dasar pembangunan manusia iaitu membabitkan ekonomi, politik, sukan, pendidikan, hubungan diplomatik dan penglibatan Malaysia dalam konteks globalisasi. Usaha haruslah dilakukan dengan menonjolkan imej Malaysia sebagai bangsa dan negara yang berwibawa di arena antarabangsa. Pencapaian dalam sukan Olimpik dengan satu pingat perak dan gangsa di London baru-baru adalah suatu permulaan ke arah itu.

Sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-55 dan Hari Malaysia rasa cinta terhadap negara seharusnya dimantapkan lagi dalam hati setiap rakyat negara ini. Ini mencerminkan jiwa patriotik dan perasaan seseorang itu. Menghayati nikmat merdeka sama ada golongan tua dan muda mestilah dilakukan ke arah membangkitkan semangat cinta akan negara. Tema pada tahun ini "Janji Ditepati" tak perlulah dipertikaikan lagi.

Pendidikan adalah bidang yang paling berkesan untuk menerapkan semangat cinta akan tanah air. Sejak di bangku sekolah lagi seseorang murid dari Tahun Satu hingga Enam dan pelajar dari Tingkatan Satu hingga Lima diterapkan dengan lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara dan mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap kali menjelangnya Ogos bulan kemerdekaan negara.

Golongan muda seharusnya mengambil contoh dan teladan daripada pejuang kemerdekaan dahulu selain Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra yang gigih serta mempunyai semangat cinta akan negara terdapat juga tokoh lain yang turut berjuang ke arah kemerdekaan.

Sebagai contoh, Pendeta Za'ba ialah pejuang kemerdekaan yang telah berjuang memimpin orang Melayu pada zamannya. Beliau menyatakan: "Saya telah diminta memimpin orang Melayu yang ketika itu tidak ada pemimpin, saya menerima permintaan itu. Dengan semangat, saya ingin menentang Malayan Union dan tidak ada orang memimpin orang Melayu, tanpa sebarang bantahan saya terus berikhtiar menegakkan politik Melayu."

Membina bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan memberikan ilmu ke arah semangat cintakan negara.

Remaja adalah aset terpenting negara. Penerapan semangat patriotisme iaitu rasa cinta akan negara mestilah dilakukan untuk membina negara bangsa. Memupuk semangat cinta akan negara tidak seharusnya bergantung kepada wahana sejarah semata-mata. Ini boleh dilakukan melalui mata pelajaran lain melalui penerapan nilai murni dan semangat cinta akan negara.

Pemupukan jati diri kepada pelajar mestilah bermula daripada rasa cinta dan sayang akan negara. Negara ini adalah tanah tumpah darah yang mesti dipertahankan kedaulatannya sepanjang masa. Cara memupuk semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan ilmu.

Menerapkan kesedaran patriotisme mestilah melalui pendidikan dan kesedaran terhadap tanah air. Patriotisme juga tidak dapat dipisahkan daripada jati diri negara iaitu sifat negara merdeka dan berdaulat itu benar-benar dikotakan. Patriotisme terhadap negara bersangkutan juga dengan identiti bangsa dan identiti ini sewajarnya subur melalui bahasa kebangsaan yang berfungsi penuh, termasuk sebagai pengantar pendidikan di sekolah.

PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU GLOBAL : Kesengsaraan Rohingya usah dibiar berterusan


Oleh : Rejal Arbee
 
Suatu dasar menyeluruh perlu digubal untuk menangani masalah etnik Rohingya di Myanmar. Selepas hampir dua bulan mereka ditindas dan dizalimi sehingga banyak nyawa terkorban dan harta benda musnah serta ribuan mangsa meninggalkan kampung halaman, barulah Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bermesyuarat dan mengambil keputusan mendesak Kerajaan Myanmar menangani masalah itu dengan saksama.

OIC akhirnya memutus untuk menghantar misi mendapatkan fakta mengenai kedudukan rakyat Rohingya di Rakhine, sambil menyatakan kekesalan terhadap masyarakat antarabangsa yang tidak menghiraukan tindakan zalim sejak Jun lalu. Tetapi dalam usaha mencari penyelesaian terhadap apa yang berterusan berlaku di Rakhine, Kerajaan Malaysia sendiri harus bertindak dengan lebih prihatin untuk mengatasi masalah rakyat Rohingya yang berada di negara ini sejak 80-an lagi.

Menurut Pengerusi Pusat Penerangan Rohingya di Malaysia, Yahya Ahmad, jumlah mereka kini sudah mencecah hampir 30,000 orang iaitu 19,000 yang sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) Malaysia manakala lebih 10,000 lagi tidak berdaftar.

Malangnya hingga sekarang kedudukan mereka di sini masih terumbang-ambing. Yang berdaftar dengan UNHCR tidak dibenarkan bekerja walaupun mereka tidak mendapat bantuan untuk menyara hidup dan anak mereka juga tidak boleh bersekolah. Yang tidak berdaftar menghadapi masalah lebih teruk lagi kerana dianggap sebagai pendatang haram tanpa mempunyai sebarang hak. Nampaknya diskriminasi yang mereka hadapi di Myanmar berterusan di sini dengan restu UNHCR dan mungkin juga pihak tertentu di sini.


Sudah beranak pinak di sini

Malaysia tidak harus memejamkan matanya terhadap masalah mereka yang ramai sudah beranak pinak di sini. Apakah kita mahu berterusan membutakan mata untuk melakukan apa yang perlu demi mengatasi keadaan yang tidak harus dibenarkan berterusan begini?
Memang benar ada usaha oleh pihak Imigresen beberapa tahun lalu dengan mengeluarkan apa yang dinamakan kad sementara IMM13 untuk cuba mengatasi persoalan ini tetapi tidak dilaksanakan dengan serius hingga pihak tertentu boleh mengambil kesempatan membuat duit daripada bangsa malang itu.

Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri harus sedar masalah itu tidak akan selesai selagi tidak ada suatu dasar menyeluruh menanganinya. Inilah yang tidak kelihatan hingga sekarang. Ia memberikan gambaran pihak berkuasa di sini bersikap seperti burung unta membenamkan kepalanya dalam pasir dan oleh kerana tidak dapat melihat sesuatu, menganggap masalah tidak wujud.


Tiada dasar menyeluruh

Kita sebenarnya jangan pandai mengecam Myanmar saja kerana berterusan menindas rakyat keturunan Rohingya selagi kita sendiri tidak bermaya untuk menekan Myanmar menerima Rohingya sebagai rakyat sah atau berusaha mencari jalan menempatkan mereka ke negara ketiga secepat mungkin. Malangnya selepas mereka berada di sini lebih 30 tahun dan terus merempat, masih tiada satu dasar menyeluruh untuk menangani masalah Rohingya.

Apakah selepas sekian lama mereka masih perlu menunggu untuk ditempatkan ke negara ketiga? Kiranya UNHCR tandus dengan tindakan untuk dapat mengatasi kesulitan etnik Rohingya ini apakah kita pun berterusan membiarkan keadaan ini berlarutan?

Diberitakan negara ketiga amat liat menerima pelarian Rohingya ini hanya kerana mereka Islam. Dikatakan hingga sekarang hanya Romania sanggup menerima mereka, itu pun hanya 40 orang setahun. Negara lain seperti Australia enggan menerima mereka seperti juga Amerika Syarikat.

Kebanyakan etnik Rohingya yang berada di sini tidak lagi mempunyai harapan ditempatkan semula di negara ketiga. Ramai pula sudah berumah tangga dan beranak pinak di sini tetapi berterusan tidak dibenarkan bekerja dan anak mereka pula tidak dibenarkan bersekolah di sekolah kebangsaan.

Mereka terpaksa mengemis hanya untuk menyara hidup dengan anak berkeliaran mengunjungi rumah ke rumah menjual paparan ayat al-Quran dan surah Yasin. Apakah ini yang kita restui?

Persoalannya sampai bila kita mahu memejamkan mata terhadap kesulitan yang berterusan dihadapi Rohingya ini? Apakah selepas masalah ini berlarutan sehingga lebih 30 tahun, kita masih ketandusan untuk mengadakan satu dasar menyeluruh yang boleh mengatasi masalah ini dengan berkesannya?

Penulis ialah Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa Inggeris bukan ukuran tahap kemajuan

Oleh : Teo Kok Siong
 
Indeks Kefasihan Berbahasa Inggeris yang diusahakan oleh sebuah syarikat pendidikan antarabangsa dari 2007 sehingga 2009 membabitkan dua juta responden dewasa di 44 negara yang bahasa Inggeris tidak menjadi bahasa negara, mendapati Malaysia menduduki tempat kesembilan dengan skor kefasihan tinggi.

Norway menduduki tempat pertama dengan skor kefasihan amat tinggi. Korea Selatan dan Jepun mendapat skor kefasihan sederhana, manakala China dan Russia memperoleh skor kefasihan rendah. Indonesia dan Thailand pula mencatatkan skor kefasihan amat rendah. Indeks ini menunjukkan pengetahuan dan penguasaan bahasa Inggeris kita di Malaysia, tidaklah berada pada tahap yang begitu jelik sehinggakan kita perlu, antaranya mengembalikan persekolahan aliran Inggeris, dalam usaha kita memperbaiki sistem pendidikan negara mulai 2013.

Persoalan kefasihan adalah subjektif

Sesungguhnya persoalan kefasihan berbahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia adalah subjektif. Ia berlandaskan pelbagai cara penilaian. Ada kelompok yang mendapati kefasihan kita kini adalah jauh daripada memuaskan. Ini diasaskan perbandingan kecekapan ketika bahasa Inggeris pernah menjadi bahasa pengantar utama.

Dalam hal ini, kita harus menyedari bahawa bahasa Inggeris kini hanya satu mata pelajaran. Oleh itu, kecekapan kita tidak setinggi tahapnya seperti dulu. Ia fenomena linguistik biasa akibat perubahan dasar pendidikan bahasa.

Namun begitu, penekanan mengenai pendidikannya adalah istimewa kerana ia bahasa global, yakni penting di seluruh dunia. Ini antaranya dilakukan melalui Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris.

Indeks ini boleh dikatakan agak tepat dengan petunjuknya. Hakikat bahawa tahap kefasihan kita yang didapati jauh lebih baik daripada yang diperlihatkan oleh masyarakat Korea Selatan, Jepun, China, Russia, Indonesia dan Thailand, boleh diterima dengan mudah sekali oleh umum, baik di dalam dan luar Malaysia.

Bagaimanapun, percubaan indeks ini untuk mengaitkan hubung kait di antara tahap kefasihan berbahasa Inggeris dengan pendapatan negara kasar yang terbabit, bukan saja tidak tepat. Malah ia boleh dianggap sebagai usaha untuk memperjuang agenda kekuasaan bahasa Inggeris untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu.

Kesalahan ini dapat dilihat apabila pendapatan negara kasar Korea Selatan dan Jepun yang menduduki tempat 13 dan 14, dengan hanya tahap kefasihan sederhana, dibandingkan dengan yang dicatatkan oleh Malaysia yang mempunyai tahap kefasihan tinggi. Sehubungan ini, beberapa perbandingan lain ikut memperlihat hubung kait yang dicuba dilakukan itu salah. Adakah pendapatan negara kasar Poland, Portugal dan Perancis yang juga memperlihat tahap sederhana, lebih rendah daripada yang dicatatkan oleh Malaysia?

Sesungguhnya kemahiran bahasa Inggeris tidak boleh diambil kira, sama ada secara langsung mahupun sebaliknya, dalam hal ini. Sehubungan ini, banyak faktor lain yang lebih penting terbabit dalam penjanaan pendapatan negara kasar ini.

Pihak yang kemaruk dan taksub terhadap bahasa Inggeris ini akan selalu mencari pelbagai jalan bukan saja untuk memperkukuh bahasa Inggeris, tetapi kalau boleh untuk memartabatkannya semula di negara ini. Sehubungan ini, banyak usaha mereka ini didapati membelakangkan bahasa Melayu yang juga bahasa negara. Tindakan begini sudah tentu boleh disamakan dengan sikap tidak menghormati bahasa negara ini.

Antaranya adalah dengan mengadakan ruang khas dalam media misalnya untuk mempromosikan bahasa Inggeris, sama ada sebagai mata pelajaran penting mahupun bahasa global utama. Caranya sering kali boleh ditafsirkan sebagai gerakan halus untuk memperkecil peranan bahasa Melayu, khususnya sebagai alat kemajuan.

Bahasa Melayu lambang kedaulatan

Sehubungan ini, ke mana perginya semangat nasionalisme kita yang antaranya perlu selalu melindungi bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara kita. Dalam konteks ini, bahasa Melayu bukan saja lambang kedaulatan kita, malah ia asas sejati kemerdekaan kita sebagai bangsa dan negara yang merdeka!

Untuk ini, bahasa Melayu perlu selalu dimanifestasikan dalam bentuk kuasa dan bukan saja lambang semata-mata. Dengan ini, kuasanya perlu direalisasikan dalam semua bidang dan sistem negara ini, baik politik, ekonomi ataupun sosial dan budaya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/