Rabu, 10 Oktober 2012

ISU KESIHATAN : 75 peratus rakyat Malaysia tidak bersenam!


Oleh : Johan Jaaffar
 
Kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin tidaklah memeranjatkan: Rakyat Malaysia ternyata malas bersenam atau beriadah. Hanya 25 peratus rakyat negara ini yang terbabit dalam aktiviti senaman. Rosnah juga menyebutkan bahawa rakyat kita terdedah kepada pelbagai penyakit yang membunuh secara senyap - daripada diabetes hinggalah hipertensi. Kadar penyakit yang membabitkan jantung juga meningkat, demikian juga masalah obesiti. Menurut laporan terbaru, 6.2 juta penduduk dewasa kita mempunyai kolesterol tinggi, 5.8 juta menghidap hipertensi dan 2.6 juta menghidap diabetes.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), Kementarian Kesihatan bagi tahun 2011 menunjukkan bahawa kadar penyakit diabetes meningkat kepada 15.2 peratus daripada 11.6 peratus pada tahun 2006, sementara hipertensi dalam kalangan orang dewasa yang berumur melebihi 30 tahun meningkat daripada 32.2 peratus kepada 32.7 peratus.

Banyak orang menyalahkan kemewahan dan gaya hidup moden sebagai punca semua masalah ini. Bagi saya, isunya ialah sikap kita sendiri terhadap kesihatan. Hakikatnya cara hidup kita berubah tetapi amalan pemakanan kita tidak berubah. Mungkin nenek moyang kita makan makanan yang sama dengan apa yang kita makan hari ini tetapi mereka bekerja di ladang dan mengeluarkan peluh, sedangkan kita masuk ke pejabat berhawa dingin.

Kemewahan boleh membunuh. Ironinya seorang daripada lima orang penduduk dunia kelaparan (800 juta). Pada waktu yang sama lebih dua bilion penduduk mengalami apa yang disebutkan chronic malnutrition. Tetapi di Malaysia, kita mati kerana makan, bukan kerana tidak cukup makan. Kadar penyakit moden seperti barah, sakit jantung, diabetes dan lain-lain meningkat apabila rakyat semakin mewah. Kita makan terlalu banyak, makan makanan yang kurang berkhasiat di samping membazirkan makanan.

Lebih malang lagi, kita tidak berbuat apa-apa selepas makan. Rakyat Malaysia enggan bersenam waima setengah jam sehari tiga minggu sekali, kadar minimum yang diperlukan bagi membakar lebih 3,000 kalori yang dimakan sehari. Mereka lebih suka bermalas-malas. Walaupun rata-rata mereka menggemari sukan tetapi mereka menonton perlawanan bola Liga Inggeris (EPL) sambil makan di kedai mamak atau di rumah. Minat terhadap sukan tidak diimbangi dengan amalan bersukan.

Kita bukan negara sukan atau sporting nation. Rakyat kita mempunyai banyak keutamaan lain selain memberikan perhatian serius pada soal sukan. Maka itu tidaklah menghairankan mutu sukan kita tidak boleh dibanggakan. Kita juga malas bergerak, kalau boleh kita ingin meletakkan kenderaan kita di hadapan pintu pasar raya. Pergerakan kita terbatas hanya dengan turun naik lif dan bergerak ke kantin dan ke pejabat.

Apa yang lebih penting ialah kualiti sukan di sekolah. Tanpa penekanan pada kepentingan sukan dan riadah, kita melahirkan generasi yang malas dan tidak peduli pada riadah. Apabila sistem sekolah tidak memberikan perhatian pada aktiviti sukan dan kualiti ahli sukan, sukan negara tidak akan ke mana. Kesihatan rakyat banyak bergantung pada sikap kita terhadap sukan dan riadah.

Kerajaan akan membelanjakan lebih RM19 bilion untuk kesihatan rakyat bagi tahun hadapan. Maka itu kita harus menekankan budaya bersukan di kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan usia. Sukan dan riadah merupakan kemestian bagi setiap orang.

Dalam kalangan umat Islam sendiri, budaya bersukan tidaklah begitu memberangsangkan. Sepatutnya ditanamkan sikap bahawa untuk mengamalkan tuntutan agama seperti solat, kita memerlukan tubuh badan yang sihat. Umat Islam yang sihat merupakan ummah yang kental jati diri, semangat dan diberkati kekuatan fizikal. Umat yang lemah kekuatan tubuh badannya tidak akan mengembangkan Islam. Kita tahu kisah perwira Islam pada zaman awal yang tersohor kerana semangat juang mereka. Empayar Islam berkembang kerana kekuatan umatnya. Tradisi ilmu di kalangan orang Islam berkembang kerana minda yang juga sihat. Kekuatan fizikal dan minda yang tajam membina tamadun dan kegemilangan Islam.

Budaya masyarakat negara ini harus juga berubah. Kita harus mengawal cara pemakanan anak-anak kita. Apa yang lebih penting ialah menekankan keperluan beriadah di kalangan mereka. Tidak ada usia yang menghalang kita beriadah. Profesor Diraja Ungku Aziz mungkin tidak boleh berlari lagi pada usianya sekarang tetapi beliau masih berjalan pantas. Adnan Osman berusia 68 tahun, bulan September lalu  berbasikal ke Sukan Olimpik London. Seorang menteri Nepal, Bahadur Sherchan berusia 76 tahun 340 hari apabila beliau menjejak puncak Gunung Everest tiga tahun lalu.

Saya sekadar ingin mengingatkan bahawa kaum Melayu dan India amat kurang beriadah berbanding kaum Cina di negara ini. Pergilah ke mana-mana pusat riadah terbuka, peratus kaum Cina yang aktif amat tinggi berbanding dengan yang lain. Maka itu tidaklah memeranjatkan berdasarkan angka Jabatan Statistik Negara, jangka hayat wanita Cina ialah yang tertinggi di Malaysia - 79.8 tahun, melebihi kadar jangka hayat purata bagi rakyat Malaysia, 77 tahun. Kadar jangka hayat wanita India ialah 76.2 dan wanita Melayu 75.3. Lelaki kaum Cina hidup lebih lama dengan purata jangka hayat 74.4 tahun diikuti oleh lelaki Melayu (70.5) dan India (68). Perangkaan ini sepatutnya membuka mata kita semua.

Sumber : http : //www.bharian.com

ISU BAHASA : Martabatkan bahasa kebangsaan


Oleh : A Aziz Deraman 

Warga Malaysia perlu bersama pulih citra bahasa negara

Cuba renungkan kenapakah sesudah 55 tahun kemerdekaan Malaysia, kita masih membicarakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Apakah selama tempoh lebih lima dekad kemerdekaan bangsa dan negara kita, rakyatnya atau kita di pelbagai agensi, institusi organisasi, awam dan swasta, masih tidak faham atau tidak berasa peminggiran terhadap bahasa kebangsaan itu sama ertinya dengan ‘lupa diri’ atau sikap acuh tidak acuh terhadap jati diri negara mahupun bangsa sendiri?

Sifat kebangsaan

Mungkinkah kita sesama kita masih tidak menghayati bahawa bahasa kebangsaan itu adalah simbol kepada kehidupan kebangsaan dalam semua ranah kehidupan dan citra negara bangsa? Fahamkah kita sesebuah negara bangsa itu ditandai sifat kebangsaan dan ada pegangan yang kukuh terhadap tonggak-tonggak kenegaraan sebagaimana termaktub dalam keluhuran Perlembagaan.

Aspek bahasa menjadi semakin penting dalam gagasan 1Malaysia kerana ia berteraskan kepada prinsip Perlembagaan (dan Rukun Negara), selain prinsip penerimaan dan keadilan sosial. Bahasa adalah tonggak kenegaraan. Jadi kenapa pula rakyat sendiri memandang sepi, tanpa penuh komitmen memikul peranan dan tanggung jawab bersama?

Jika Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan satu bahasa negara dan itulah Dasar Bahasa Negara, susah sangatkah bagi kita memahami apa yang dimaktubkan? Fasal itu menyatakan: “Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen”. Perkara 152 (6) pula menegaskan: “Dalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”. Peruntukan itu mengabsahkan status bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kedudukannya merentasi bahasa-bahasa kaum dan sukuan. Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu atau pribumi saja lagi, tetapi bahasa kita, bahasa negara kita. Cintai bahasa kebangsaan menunjukkan cinta kita kepada negara.

Apa guna fungsi bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, jika sampai sekarang pun kita tidak terpanggil untuk mendaulat dan memartabatkannya? Ketetapan undang-undang itu secara langsung meletakkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia; bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain. Jadi apa yang kita susah-susahkan dengan keperluan bangsa Malaysia itu menguasai bahasa asing termasuk bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain? Belajarlah dan kuasailah. Perlembagaan telah memberikan panduan yang jelas. Tetapi barang diingat yang mana patut kita junjung dan yang mana patut dikelek, sebab kesatuan dan persatuan bangsa kita atau perpaduan negara hanya boleh dicapai melalui bahasa milik bersama.

Peranan, tanggungjawab semua

Berdasarkan tuntutan undang-undang tadi, setiap ‘batu jemala’ rakyat Malaysia wajib menjunjungnya, tidak patut berdolak-dalik lagi, meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa keperluan negara dan bahasa kehidupan bangsa Malaysia. Pada hemat penulis, semua pihak sekarang perlu menilai semula peranan dan tanggungjawab masing-masing. Jika belum, maka haluankan semula bahtera persepsi anda dan buat satu anjakan paradigma, penuhi segera tuntutan bahawa bahasa Melayu itu menjadi bahasa rasmi; bahasa Melayu itu menjadi bahasa kebangsaan; bahasa kebangsaan itu menjadi bahasa pengantar pendidikan; menjadi bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri; menjadi bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi dan bahasa itu juga bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah.

Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara tersendiri, bukan pelbagai bahasa secara laissez faire. Ada dasar-dasar berbeza di negara masing-masing. Bandingkan status bahasa kita dengan dasar bahasa di India, Singapura, Jepun, China, Korea, Thailand, United Kingdom, Jerman, Perancis, Indonesia dan lain-lain. Bahasa kebangsaan kita memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri dan kita patut berterima kasih kepada leluhur pejuang silam kerana menjadikan BM sebagai bahasa negara, tepat dipilih atas sifat lingua franca, tradisi ilmu dan fakta sejarah.

Kini Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) digerakkan lagi sebagai suatu kesinambungan program sejak awal kemerdekaan bermula pada era 1960-an. Tema BBK yang mula diperkenalkan pada 2010 mempromosikan ‘1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara’ sangat kena pada tempatnya. Kita adalah satu bangsa, yakni bangsa Malaysia, kita hanya ada satu negara yakni satu Malaysia dan negara bangsa ini akan kehilangan keperibadian tanpa satu bahasa nusa bangsa.

Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu seharusnya ada pada semua peringkat dan lapisan rakyat, kepemimpinan politik, agensi, institusi, organisasi dan sebagainya kerana ada kebersamaan peranan.

Apabila disebut ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ atau ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, natijah di sebaliknya ialah bagaimana citra Malaysia itu terserlah jati diri bangsanya berbahasa, bahasa bagi bangsa Malaysia.

Suasana sekarang menuntut semua pihak menghayati apakah pula makna ‘bangsa Malaysia’ dan ‘negara bangsa’? Bukankah fungsi komunikatif bahasa kebangsaan dan fungsi rasminya bermaksud “satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia?”

Perbandingan dengan bahasa Kebangsaan Jepun

Setiap diri kita seharusnya berasa malu apabila membandingkan status bahasa kebangsaan kita dengan status bahasa kebangsaan di Jepun atau Korea. Apakah kita hanya boleh bermegah semata-mata kerana berasa bahawa pencapaian umum bahasa kebangsaan kita itu telah berkembang pesat dan meningkat kualitinya, misalnya dalam pentadbiran kerajaan, pendidikan, bidang perundangan dan kehakiman, walhal belum sepenuhnya dan tidak digunakan secara meluas dalam segala bidang kehidupan? Apakah kita boleh berbangga dengan mengatakan isu bahasa sudah selesai disebabkan jaminan kedudukannya di dalam Perlembagaan, sedangkan kemajuannya belum tercapai penuh?

Sikap memandang ringan, tidak mempedulikan, meminggir dan mengambil mudah tidak akan mendukung konsep ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ itu. Kita tahu dunia satu bahasa (monolingual) sudah tiada lagi. Maka selain daripada bahasa Inggeris, sebenarnya orang Malaysia juga perlu menguasai bahasa-bahasa yang lain mengikut keperluan, misalnya Arab, Sepanyol dan Perancis. Tetapi yang mana satu kita junjung? Bahasa dikaitkan dengan jati diri, maruah bangsa dan keagungan tamadun bangsa. Apakah sikap sebenar kita terhadap bahasa? Apakah ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ atau kitalah bangsa tanpa jiwa bahasa? Kita dibelit belenggu rendah diri, sesekali dihambat sikap pasif dan tabiat negatif.

Sikap pinggir bahasa negara

Penekanan berlebihan terhadap penggunaan bahasa Inggeris tanpa disedari kadang-kadang menjadikan kita sendiri yang meminggirkan bahasa negara, wujudnya situasi menang-kalah - menang bahasa Inggeris, kalah bahasa Melayu. Citra kenegaraan dan kebangsaan kita seolah-olah diambil alih bahasa Inggeris. Kita gagal menterjemahkan konteks keperluan penggunaan bahasa, di mana yang perlu dan yang mana satu. Mahukah wajah kita bertopengkan budaya asing? Usaha memperkuatkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) Kementerian Pelajaran itu hendaklah disejajarkan di semua institusi pendidikan dan sektor berkaitan.

Perkasa bahasa sendiri

Kitalah rakyat dan bangsa Malaysia. Kitalah juga warganegara Malaysia itu. Pelbagai usaha mesti dilakukan bersama ke arah memulih citra bahasa negara kita sendiri akibat daripada hilang sikap megah bahasa, gemar memandang hak orang lebih sempurna. Kita kurang berusaha mengangkat kehebatan citra sendiri. Bisakah kita berganding bahu berbimbing tangan memartabatkan dan memperkasakan bahasa sendiri dengan pengukuhan BM itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi?

Jika kita pula memiliki visi dan misi melangkah ke hadapan, ayuh gerakkan perancangan strategik, sinergi dan rangkaian kerja melakukan tindakan dan sokongan mengisi keperluan pengantarabangsaannya. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Tetapi tidak terpanggilkah oleh kita bahawa apabila negara kita maju maka bahasa negara kita ikut maju, seiring sederap menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa bersifat supranasional.

Jati diri, keperibadian dan sahsiah bangsa terletak di atas satu bahasa negara yang berada di martabatnya, mantap dan perkasa. Matlamat tersebut hanya akan dapat dicapai melalui kesepakatan dan peranan bersama institusi, agensi, organisasi dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah DBP (1994-2004), bekas Ketua Pengarah Kebudayaan (1981-1989) dan AJK GAPENA (sejak 2004).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Buang bayi : 'Taubat nasuha jika terlanjur'



Oleh : NURUL AINI MOHAMED ALI

FENOMENA buang bayi bukan lagi sesuatu yang baru di negara. Bahkan ia sudah menjadi seperti trend alaf ini apabila ada sahaja berita mengenai bayi tidak berdosa menjada mangsa sikap tidak bertanggungjawab si ibu saban minggu.

Sungguh menyedihkan, manusia yang dikurniakan akal, rupanya lebih dangkal fikiran mereka dan zalim berbanding haiwan.

Adakah keruntuhan moral ini membuktikan firman ALLAH SWT bahawa dunia akhir zaman akan menyaksikan manusia tidak lagi takut dan malu melakukan kemungkaran? Baru-baru ini, seorang ibu muda tergamak mencampak bayinya hidup-hidup dari tingkat 3 Blok 1, Flat Desa Mentari di sini sebaik sahaja anaknya selamat dilahirkan.

Ke mana hilangnya naluri seorang ibu? Jerih payah mengandung dan melahirkan ditolak tepi asalkan dosa yang dilakukan “terhapus” dari pandangan mata.

Ikuti wawancara Sinar Harian Online bersama Ketua Penolong Mufti, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Mat Jais Kamos bagi mengupas dan merungkai konflik anak muda yang rela hidup bergelumang dosa demi melampiaskan nafsu serakah.

SINAR HARIAN ONLINE: Boleh ustaz terangkan maksud zina dari sudut pandangan Islam?

MAT JAIS: Definisi zina ialah berlaku persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa berlaku akad yang sah. Ini yang banyak berlaku di kalangan masyarakat kita sejak kebelakangan ini. ALLAH SWT sendiri ada berfirman dalam surah al-Israa' ayat 32 yang membawa maksud," dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah punca masalah ini berlaku?

MAT JAIS: Antara punca utama yang menyebabkan zina berlaku hingga membawa kepada melahirkan anak luar nikah atau juga dikenali sebagai anak tidak sah taraf ialah kurangnya didikan agama dalam diri seseorang. Jika seseorang remaja itu tidak mendapat didikan agama yang sewajarnya, mereka sendiri tidak mampu menahan nafsu daripada  melakukan perkara yang ditegah dalam agama, termasuklah berzina.

SINAR HARIAN ONLINE: Selain daripada kurangnya didikan agama, ada atau tidak faktor lain yang mendorong remaja melakukan perbuatan tidak bermoral ini?

MAT JAIS: Selain daripada kurangnya didikan agama, faktor pergaulan bebas dalam kalangan remaja juga mampu mendorong remaja yang kurang didikan agama ini melakukan perkara yang ditegah dalam agama. Apa yang kita boleh lihat, remaja kini semakin bebas berpeleseran, bersosial tanpa ada sebarang sempadan dan perkara ini boleh menjadi salah satu punca berlaku zina. Masalah-masalah remaja seperti rempit turut boleh menjadi faktor penyumbang berlaku gejala pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah media massa juga boleh menjadi penyumbang masalah ini?

MAT JAIS: Sudah semestinya! Seperti mana yang kita tahu, media kini merupakan medan berita yang tiada sempadan. Segala maklumat dapat diperoleh di hujung jari saja. Jadi tidak mustahi remaja yang mahu belajar sesuatu yang baru, mereka hanya berpandukan media baru seperti Internet bagi mencari sumber maklumat. Jika tiada sebarang pengawasan daripada ibu bapa, remaja ini mudah mendapatkan sumber yang tidak sepatutnya seterusnya mahu mencuba daripada pemerhatian yang mereka nampak melalui jaringan laman sosial dan internet.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula dengan peranan institusi kekeluargaan sendiri bagi membina akhlak mulia remaja?

MAT JAIS: Peranan keluarga dalam mendidik anak-anak juga penting. Justeru, ibu bapa perlu memberi didikan agama yang secukupnya dalam mendidik anak-anak mereka. Justeru, kita minta supaya ibu bapa ini mengambil berat masalah dan sudi meluangkan masa mendengan luahan hati anak-anak. Janganlah memberi alasan sibuk bekerja. Ini secara tidak langsung boleh mewujudkan jurang di antara ibu bapa dan anak-anak. Jika anak-anak berasa tersisih, mereka akan mencari hiburan di luar bagi mengurangkan rasa tekanan jika terus berada di rumah.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah langkah pencegahan bagi menjauhkan diri remaja daripada terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral?

MAT JAIS: Mudah saja, kepada remaja di luar sana, saya nasihatkan mereka supaya sentiasa berpegang dengan ajaran al-Quran dan Sunnah. Kepada yang pernah terlanjur, kembalilah ke pangkal jalan. Sesungguhnya pintu taubat sentiasa terbuka kepada hamba-Nya yang melakukan dosa.

ALLAH SWT sendiri ada berfirman dalam surah al-Israa' ayat 32 yang membawa maksud,"dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk. Ini bermakna, segala unsur yang merangsang kepada zina mesti dijauhi. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan juga mesti dihindari.

Sepatutnya, negara ini harus ada garis panduan dalam semua media tidak kira media cetak atau elektronik. Mesti ada sedikit sekatan terutama sekali bahan-bahan yang boleh merangsang nafsu remaja.
Peranan institusi kekeluargaan itu amat penting. Ibu bapa harus beri pendidikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Bukan saja memberi ilmu tetapi mesti memastikan yang mereka amalkan ilmu agama yang mereka miliki.

Selain itu, jangan beri sebarang alasan untuk menjauhi  anak-anak. Sesibuk mana sekalipun ibu bapa, carilah masa untuk mendengar masalah dan luahan hati anak-anak. Saya percaya jika anak-anak rapat dengan ibu bapa, segala jenis masalah moral dapat dihindari.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula jika yang sudah terlanjur dan melahirkan, apakah definisi anak tak sah taraf itu sendiri?

MAT JAIS: Fakta yang kita perlu tahu sekarang ialah yang bersalah ialah ibu bapanya. Anak yang dilahirkan dari hubungan haram itu tetap suci di sisi ALLAH SWT.  Justeru, bayi yang lahir itu tetap berhak untuk hidup.

Tafsiran anak tak sah taraf daripada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ialah seorang anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada daripada perbuatan zina dan bukan lahir daripada persetubuhan yang halal.

Dari sudut penamaan, anak yang lahir handaklak dibin atau dibintikan dengan Abdullah atau lain-lain nama dalam "Asma al Husna.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah implikasi anak tidak sah taraf dari segi hukum syara'?

MAT JAIS: Dari sudut hubungan nasab (keturunan), anak tak sah taraf tidak harus dibin atau dibinkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Jadi segala nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf menjadi tanggungjawab ibunya. Ini kerana anak tak saraf itu dinasabkan kepada ibunya,bukan lelaki yang menyetubuhi ibunya.
Jadi, anak tak sah taraf juga berhak mewarisi harta pusaka antara ibu dan anak. Sekiranya ibunya meninggal dunia, maka anak itu berhak mewarisi harta pusaka ibunya.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah nasihat yang boleh diberi kepada remaja yang terlanjur dan buang bayi?

MAT JAIS: Anak yang lahir itu tidak bersalah, buag bayi yang tidak berdosa hasil hubungan haram juga tidak dapat selesaikan masalah. Apa yang mereka boleh lakukan ialah lakukan taubat nasuha secepat mungkin. Taubat nasuha memohon keampunan daripada ALLAH S.W.T dan berjanji tidak lakukan dan ulangi kesilapan lalu.

Sebelum lakukan apa-apa, fikir dulu implikasi. Saya tidak nafikan perasaan ingin mencuba remaja ini yang mendorong segala masalah moral zina dan buang anak semakin berleluasa.

Jadi, bertaubatlah sebelum terlambat. Pintu taubat itu sentiasa terbuka bagi hamba-Nya yang berdosa.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sekolah satu sesi dilaksanakan sepenuhnya selepas 2017


KUALA LUMPUR - Sistem satu sesi persekolahan dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
  
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, buat masa sekarang, kurang 20 peratus daripada keseluruhan sekolah di seluruh negara yang masih mengamalkan sistem persekolahan dua sesi.
  
Katanya sejak sekian lama, kerajaan mahu melaksanakan sistem satu sesi di seluruh negara kerana ia lebih sesuai untuk pembelajaran di negara ini tetapi perlu menambah bilangan bilik darjah dan mengatasi masalah kekurangan guru.
  
"Bilangan bilik darjah jadi masalah kerana di sesetengah tempat kita tidak meramalkan bilangan pelajar meningkat dengan begitu besar sekali. Jadi, terpaksa diadakan dua sesi iaitu pagi dan petang," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, di sini.
  
Muhyiddin berkata, pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi penting kerana tempoh masa boleh dilanjutkan dengan menambah satu atau dua jam untuk mata pelajaran Matematik, Sains atau Bahasa Inggeris.
    
"Itu mudah dilakukan kerana mereka tidak perlu pulang lebih awal seperti yang dilakukan oleh sekolah-sekolah swasta. Aktiviti kokurikulum juga dapat diadakan pada waktu petang sekiranya sistem persekolahan satu sistem dilaksanakan," katanya.
  
Muhyiddin berkata Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 juga mensasarkan pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi sepenuhnya sekiranya mendapat peruntukan yang besar.
  
Dalam perkembangan lain, beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) apabila PMR dimansuhkan pada 2014.
  
Muhyiddin berkata selepas ini, hanya ada dua peperiksaan utama diadakan iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah.
  
"Setiap pelajar masih boleh diukur tahap pencapaian pelajaran mereka menerusi peperiksaan SBA yang dikendalikan oleh sekolah. Tetapi, ia masih lagi dipantau oleh Lembaga Peperiksaan agar soalan yang disediakan itu berkualiti dan dapat ukur kejayaan pelajar," jelas beliau.
 
Muhyiddin berkata, langkah ini juga membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini prestasi anak mereka dalam menguasai bidang pelajaran mereka.
  
Mengulas lanjut, beliau berkata pengambilan pelajar tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak akan dihentikan walaupun PMR akan dimansuhkan pada 2014.
  
"Pelajar cemerlang dan latar belakang ibu bapa yang miskin akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh dan ini telah dimulakan sejak tahun lepas," katanya.
  
Seramai 481,424 calon menduduki PMR di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Isnin lepas hingga 16 Oktober ini. - Bernama

ISU BAHASA : Bahasa "rojak" hakis kekuatan bahasa kebangsaan



NILAI 10 Okt. - Penggunaan Bahasa Melayu “rojak" yang berleluasa dalam kalangan masyarakat adalah satu kes kehilangan bahasa, yang mana jika tidak dibendung akan beransur-ansur menghakis kekuatan bahasa itu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehilangan bahasa boleh berlaku pada tahap masyarakat umum, apabila sejumlah besarnya tidak fasih lagi menggunakan bahasa ibunda atau bahasa etnik mereka sepenuhnya, sama ada secara lisan atau tulisan.

"Dengan adanya kecanggihan alat media dan komunikasi seperti siaran radio, televisyen, internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial seperti facebook dan twitter, sering kali ejaan dan sebutan tidak digunakan dengan betul.

"Penggunaan Bahasa Melayu yang betul dilihat semakin dipinggirkan dalam mengharungi dunia globalisasi. Ini merupakan satu petanda yang amat buruk bahawa bangsa berkenaan sedang mengalami kehilangan bahasa," katanya semasa berucap merasmikan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, di Stadium Tertutup Nilai di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, masyarakat perlu berhenti daripada berasa malu menggunakan bahasa kebangsaan dan menggunakannya dengan rasa bangga dalam kehidupan seharian seperti sewaktu menghadiri persidangan, mesyuarat, menulis laporan atau berbual dengan rakan sekerja.

Katanya, setelah negara merdeka sejak 55 tahun lalu, tidak ada alasan untuk masyarakat untuk tidak memahami bahasa kebangsaan sehingga terpaksa menggunakan Bahasa Inggeris terutama dalam majlis-majlis yang dianjurkan.

"Bukanlah bermakna Bahasa Inggeris tidak penting, tetapi jika kita tidak menggunakan bahasa kebangsaan, bermakna kita tidak memartabatkan bahasa kita.

Sekiranya kita tidak memartabatkan bahasa kita, masakan orang lain akan melakukannya," katanya. - BERNAMA