HALAMAN HIBURAN
Menurut LY atau nama sebenar Rozman Shafie, 52, lagu yang masih belum diberi tajuk itu menceritakan tentang harapan setiap masyarakat untuk melihat kepulangan pesawat tersebut dalam keadaan selamat.
"Lagu ini saya cipta khas buat semua ahli keluarga mangsa yang terlibat. Ia adalah kata-kata semangat dan harapan kami agar pesawat itu kembali dengan selamat.
"Apatah lagi salah seorang kenalan saya turut berada di dalam pesawat tersebut, membuatkan saya turut merasa peritnya kehilangan mereka sehingga terpanggil untuk membuat lagu ini," katanya ketika ditemui pada Majlis LY dan Baiduri Meraikan Peminat dan Media, di Taman Tema Wet World, Shah Alam, Sabtu lalu.
LY berkata, lagu tersebut siap sepenuhnya Khamis lalu dan dia memberi kepercayaan kepada Riz yang juga naib juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6).
"Saya rasa Riz mempunyai suara yang sesuai dengan lagu ini dan kerana itu kami memberi kepercayaan untuk dia bawakan lagu ini," katanya.
LY & Baiduri harap semua selamat
Hari ini, sudah masuk hari ke-17 kehilangan pesawat MH370. Kehilangan tersebut masih kekal misteri biarpun setiap hari ada sahaja petunjuk baharu yang dijumpai.
Biarpun misteri tersebut belum dapat dirungkai, namun jauh di sudut hati bukan sahaja rakyat Malaysia, bahkan seluruh dunia mengharapkan ke semua 239 penumpang termasuk 12 anak kapal di temui dengan selamat.
Begitu jugalah yang dirasai pasangan suami isteri, LY dan Baiduri yang sehingga kini tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu.
Baiduri berkata, dek kerana tidak mampu untuk memberi pertolongan dalam usaha pencarian tersebut, maka dia mengambil inisiatif untuk memberi semangat daripada lagu terbaharu ciptaannya itu.
"Kami berdua sama-sama turut bersimpati dan sedih dengan apa yang menimpa. Macam tragedi nahas pesawat sebelum ini, memang kita tahu ia meletup.
"Tapi macam MH370, ia terus hilang begitu sahaja dan segala petunjuk yang dapat masih belum dapat merungkaikan misteri itu.
"Jadi lirik ini kami ceritanya mengenai naluri dan bukannya tentang kesedihan. Ia juga antara kata-kata semangat kami untuk seluruh keluarga yang terlibat," katanya.
Gathering khas buat peminat
Dalam pada itu, LY dan Baiduri sempat meluangkan masa bersama-sama peminat sebagai tanda penghargaan sokongan mereka terhadap LY dan Baiduri. Katanya, impak kemenangan lagu Bahagiamu Deritaku di Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini membuatkan mereka kembali menjadi perhatian.
"Sebelum menang di AJL, kami tidak tahu kami ada pengikut di laman sosial Facebook dan selepas kemenangan itu kami sedar ramai yang mengikuti kami dan mengharapkan kami akan kembali aktif mencipta lagu.
"Jadi pertemuan pada hari ini adalah sebagai tanda penghargaan kami dan Alhamdulillah, ramai yang turut serta dan ada daripada mereka datang dari Sabah, Pahang dan Johor," katanya.
LY berkata, kesempatan ini juga digunakan mereka untuk melancarkan lagu khas untuk MH370 yang masih belum diberi tajuk itu.
Sementara itu, ditebak dengan tindakan TV3 yang tidak memberi kesempatannya untuk berucap selepas lagunya diumumkan sebagai pemenang, LY berkata, dia tidak terasa hati atau mempunyai masalah mengenai perkara itu.
"Memang pihak TV3 ada maklumkan komposer yang naik ke pentas terlebih dahulu diikuti penyanyi. Tapi ketika itu kami lambat keluar dan Hafiz ada di atas, jadi dia tolong beri ucapan bagi pihak kami dan Hafiz sebenarnya penyelamat pada ketika itu.
"Apatah lagi kami faham, tentang masa yang terhad jadi kami tidak ada masalah kerana tidak sempat memberi ucapan. Bagi kami kegembiraan Hafiz, adalah kegembiraan kami juga," katanya.
Lirik lagu ‘Keranamu MH370’
Awan bisik padaku
Di mana dan ke mana
Dia pergi membawa kasih dan sayang
Tuhan tunjukkan tanda
Pada kami yang alpa
Segala terjadi menjadi misteri
Di situ ada cinta
Di situ ada ria
Masih dalam ingatan
Sebahagian dadaku
Di mana kau berada
Dengan siapa kau bersama
Ketahuilah
Aku merinduimu
Bergemerlap langit ke tujuh
Dengan doa-doa pasrah
Namun mengharap ihsan kepulangamu
Ku mimpikan kau sejahtera
Inginkan selamat selamanya
Kembali ke pangkuan keluarga tercinta
Kembalilah...
(SH)
No comments:
Post a Comment