Akar
umbi merasakan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mampu memperbaiki
hubungan kerajaan pusat dengan negeri Selangor sekiranya dilantik
menjadi menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. -
Gambar fail.Pakatan Rakyat (PR)
Selangor nampaknya sedang
dalam dilema tentang siapa yang patut memimpin negeri terkaya di
Malaysia itu sebagai menteri besar, dengan PKR mahukan “Langkah Kajang”
diteruskan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menggantikan Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim manakala PAS pula lebih senang mengekalkannya untuk
penggal kedua ini.
Mesyuarat khas antara pimpinan tertinggi PAS dengan Adun dan ahli
Parlimen PAS Selangor Isnin lepas, seolah-olah lebih cenderung
mengekalkan Khalid sebagai menteri besar dengan alasan, "apa dosa Khalid
sehingga mahu ditukar."
Namun keputusan mesyuarat itu akan dibawa kepada AJK PAS Pusat untuk diperbincangkan lagi 12 April ini.
DAP pula dikatakan sudah mengambil keputusan secara majoriti bahawa
menteri besar Selangor perlu ditukar dan Dr Wan Azizah adalah antara
calon yang mereka terima di samping seorang calon daripada PAS.
Ketua
Wanita PKR Pusat, Zuraida Kamaruddin (gambar) dalam wawancara dengan
The Malaysian Insider minggu ini berkata, Khalid perlu melepaskan
jawatannya sebagai ketua eksekutif negeri itu dan digantikan dengan
Presiden PKR, Dr Wan Azizah.
Zuraida berkata, wujud desakan kuat daripada akar umbi yang mahukan Dr
Wan Azizah menjadi wanita pertama dalam sejarah memegang jawatan
tersebut sekaligus menjadi “orang tengah” meredakan ketegangan antara
parti dengan kerajaan negeri.
Pandangan ini disokong seorang pemimpin PKR yang rapat dengan Anwar
yang berkata, "Langkah Kajang tetap berjalan cuma kita perlu mendapat
sokongan penuh daripada Pakatan."
Bagi beliau, cadangan Dr Wan Azizah adalah yang terbaik cuma beliau tidak mahu ia menyusahkan PR.
"Kalau calonnya Anwar Ibrahim, kita akan 'all out' kerana tahu
hasilnya," kata beliau, salah seorang pimpinan yang sangat rapat dengan
Anwar dan berada di belakang Langkah Kajang itu.
Pandangan itu disokong oleh AJK PAS Pusat, Khalid Samad yang juga ahli Parlimen Shah Alam.
"Bagi saya, keputusan siapa MB Selangor perlu diputuskan dalam Majlis
Pimpinan PR. Setiap parti boleh membuat cadangan namun calonnya perlu
mendapat sokongan semua pihak dalam Pakatan," kata Khalid Samad kepada
The Malaysian Insider.
Buat masa ini, katanya, PAS nampaknya tidak berminat untuk menamakan pemimpinnya sebagai menteri besar.
Dr Wan Azizah memulakan tugas rasminya sebagai Adun dan menghadiri
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13
selepas upacara angkat sumpah di hadapan Speaker Selangor Hannah Yeoh,
Isnin lepas setelah menang PRK Kajang.
Zuraida berkata, sudah tiba masanya Khalid berundur memandangkan
percaturan sudah dibuat walaupun Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kajang pada Mac lalu.
"Langkah Kajang perlu diteruskan dan Wan Azizah harus dilantik sebagai
menteri besar Selangor," katanya dalam satu temubual dengan The
Malaysian Insider.
Langkah Kajang adalah usaha Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
untuk bertanding di kerusi DUN Kajang dan seterusnya mengambil alih
jawatan menteri besar Selangor daripada Khalid.
Namun Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara untuk beliau selepas didapati bersalah meliwat pembantunya.
Ekoran itu, beliau tidak layak bertanding dan digantikan oleh isteri
beliau, Dr Wan Azizah lalu menewaskan calon BN, Datin Paduka Chew Mei
Fun dengan majoriti 5,379 undi.
"Meletakkan Wan Azizah mungkin boleh meredakan keadaan dan memperbaiki
semula perhubungan antara parti PKR di Selangor dengan kerajaan negeri,"
katanya.
Beliau juga yakin dengan kemampuan Dr Wan Azizah memegang tampuk
pentadbiran negeri berdasarkan prestasi rekodnya menerajui parti semasa
Anwar berada di penjara pada 1998 dan masih bertahan menjadi presiden
selama 15 tahun. Dr Wan Azizah juga dilihatnya mampu menepis serangan Umno-Barisan
Nasional (BN) di Selangor dengan bantuan akar umbi dan parti lain dalam
PR yang bekerja sebagai satu pasukan.
"Insya-Allah dia boleh laksanakan. Dia layak dan kita akan bantu dia untuk semua bidang sebagai satu pasukan.
"Kita tak mahu lagi menteri besar yang membuat keputusan secara sebelah
pihak sahaja. Kita perlukan menteri besar yang boleh bekerja sebagai
satu pasukan dengan sokongan yang kukuh," katanya.
Ditanya mengenai punca ketegangan antara parti dengan kerajaan negeri,
Zuraida mengakui perkara itu semakin melarat disebabkan tiada tindakan
tegas dikenakan terhadap pemimpin yang tidak mahu mendengar arahan
parti.
"Perselisihan faham dalam parti itu perkara biasa tetapi bila sesuatu
keputusan yang dibuat parti tidak diikuti, itu satu perkara yang sangat
serius dan harus dikenakan tindakan disiplin apatah lagi sudah
berkali-kali perkara sama terjadi," katanya.
Katanya, wujud rasa terkilan apabila sering kerajaan negeri membuat
sesuatu dasar tanpa merujuk pandangan ahli Parlimen, Adun, ahli majlis
dan pimpinan parti peringkat Selangor. Timbalan Pengerusi PKR Selangor itu berkata, pihaknya cuma mahu
kerajaan negeri mendengar beberapa pandangan dan cadangan yang boleh
dipertimbangkan agar kerajaan negeri PR dapat menunjukkan pretasi lebih
baik.
Tegasnya, Khalid perlu sedar jawatan menteri besar adalah keputusan parti dan bukan milik eksklusif individu tertentu.
"Kami yang meletakkan menteri besar di situ, bertungkus lumus berkempen
dengan jentera parti tapi akhirnya pandangan kami langsung tidak
diambil kira," katanya. – 10 April, 2014. (TMI)