KOTA BHARU - Gugur daripada barisan Exco Kanan Kerajaan Negeri tidak mematahkan semangat (Bekas) Timbalan Pesuruhjaya II Pas Negeri, Datuk Husam Musa untuk terus mempertahankan kerajaan Pas sehingga akhir hayatnya.
Katanya, selagi Pas ini berdiri atas nama Islam yang Syumul, melaksanakan kewajipannya mengikut Allah SWT, beliau akan tetap mempertahankan kerajaan Pas sampai akhir hayatnya.
"Tetapi kalau kerajaan ini (Pas) bersifat duniawi yang nak mengaut balak, lombong, Nauzubillah… Ampunkan saya kalau saya berdiri di dalam dewan untuk memperbetulkan kerajaan.
“Saya masuk dalam perjuangan ini bukan main-main. Saya masuk ini untuk melihatkan apa yang kita usrahkan Islam yang syumul, Islam yang komprehensif, yang menjaga khazanah negeri dan negara supaya miskin dan yatim piatu, mereka itu dibela dan Islam menjadi model. Ini cita-cita saya,” kata Husam yang juga Adun Salor. .
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Majlis Kesyukuran Kemenangan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Pondok Pasir Tumboh, di sini, malam kelmarin.
Dalam pada itu, mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, beliau turut mengakui tidak menerima jemputan untuk hadir mesyuarat pada pagi 6 Mei lalu.
“Maaf, saya tidak terima jemputan tersebut. Tolong tunjukkan surat, sistem pesanan ringkas (SMS), telefon, yang bercakap dengan saya. Maaf saya tidak mahu perbesarkan isu ini. Ini perkara teknikal. Tidak perlu jelaskan.
“Saya boleh terima semua keputusan tersebut demi kebaikan parti, kemudian diganti dengan sebab-sebab saya tidak dilantik. Saya tidak minta apa sebab saya tidak dilantik. ‘Terkilas ikan di air, saya tahu jantan betinanya’,” katanya.
Husam yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan selama dua penggal berkata, atas pengguguran tersebut, beliau bukanlah orang yang yang berfikiran buntu, malah dapat mengesan perkara itu sejak empat tahun lalu. (SH)
“Jadi, tidak perlu beri sebab, saya tahu sebabnya. Sebab itu ada dalam dada saya. Saya tak perlu dedah kepada sesiapa demi menjaga keharmonian parti kita.
“Ibarat kalau kita pergi meminang anak orang, tiba-tiba tak jadi kahwin, atas sebab tertentu. Tidak perlulah beritahu (sebab) bulu betis dia panjang, kepala lutut dia senget, hidung dia kembang sebelah. Itu akan menyebabkan sakit hati teman yang kita pinang itu. Biasa kita sebut, tiada jodoh,” katanya.
Beliau akui boleh menerima keputusan tidak disenaraikan dalam exco di bawah pimpinan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, malah tidak pernah meminta namanya dimasukkan semula ke dalam senarai exco kerana menganggap kerajaan Pas adalah kerajaannya.
Katanya, sebagai orang Melayu, mereka perlu menjaga tatasusila tanpa melibatkan sultan dalam memberikan alasan demi menjaga keharmonian. (SH)