Friday, February 22, 2008

Depa Nak Sembeleh Dr Helmi YB Balik Pulau...


Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

SAYA kenal Dr Helmi Yahya Ahli Parlimen BN Balik Pulau, Pulau Pinang, seorang yang dikatakan baik peribadinya, berbanding dengan YB-YB UMNO yang lain. Waktu saya bertanding di DUN Bayan Lepas mewakili PAS dalam PRU 1990, beliau bertanding di DUN Teluk Bahang, antara 3 DUN yang terdapat dalam kawasan parlimen Balik Pulau.

Beliau ditentang oleh Dr Sanusi Osman dari PRM (Parti Rakyat Malaysia), yang menjadi rakan se pembangkang bersama-sama PAS. Ketiga-tiga kami adalah anak tempatan Balik Pulau. Rumah beliau di tengah-tengah antara rumah Dr Sanusi dengan rumah saya (rumah ayah saya) yang jaraknya kira-kira 1 kilometer sahaja antara rumah-rumah kami.

Pernah selepas keputusan PRU itu, Dr Sanusi bertanya saya, “Ayah hang (Allahyarham Ustaz Hashim) ada ka hubungan adik beradik dengan ayah Dr Helmi?”

“Dak! “ Jawab saya. “Cuma depa (mereka) berdua kawan agak rapat kerana sama-sama jadi guru agama, sama-sama pakai serban, hidup gaya sederhana, nampak macam se aliran.” Mungkin Dr Sanusi nampak pengundi-pengundi PAS di situ macam undi BN secara diam-diam semasa beliau bertanding itu…

Sebenarnya itulah kelebihan Dr Helmi Yahya. Beliau nampaknya disukai oleh rakyat tempatan. Apalagi bila beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, tempat tumpuan Orang Melayu di sana, ada gaji dan ada peruntukan untuk hamburkan bantuan pada rakyat Balik Pulau. Di situlah saya akui, saya kalah dengan beliau. Kerana saya tinggal di KL, terpaksa berulang-alik KL-Balik Pulau. Saya tiada pendapatan tetap, tiada apa-apa elaun kerana tidak menang dalam bertanding meraup undi itu. Bukan sikit-sikit duit sendiri yang perlu dibelanjakan tiap kali balik ke Pulau Pinang.

Kini Dr Helmi khabarnya akan dihantar bertanding di Permatang Pauh, kubu kuat pembangkang kawasan yang dimenangi oleh Dr Wan Azizah isteri Dato’ Seri Anuar Ibrahim. Mengapa mereka pilih Dr Hilmi?

“Memang depa nak sembeleh Dr Helmi!” Kata seorang ahli kuat UMNO yang saya temui di Balik Pulau baru-baru ini. “Depa hantaq mamak Tanjung mai Balik Pulau, depa paksa Dr Helmi (tak secara langsung) ke kubuq BN di Permatang Pauh… Tak dak ka tempat lain yang selamat??”

Saya fikir-fikir pun betul juga. Dulu Dr Ibrahim Saad pun mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang juga. Peribadinya pun lebih kurang sama dengan Dr Helmi, kerana saya pernah berforum dengan beliau atas tajuk ‘Umat Melayu Pulau Pinang’ di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) awal tahun 1990an anjuran Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang di bawah Ustaz Saleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sekarang.

Sehingga ada seorang penyokong PAS berkata kepada saya semasa berforum itu, “Jangan pukui dia kuat-kuat sangat, dia tu baik orangnya…” Begitu juga Ustaz Firdaus Al Hafiz tokoh agama , bekas Imam Masjid Negara pun kecundang juga di tangan Wan Azizah dari Parti Keadilan itu.

Ahli UMNO itu menyambung lagi, “Memang kabinet Pak Lah dah dikuasai oleh puak Raja Mendaliar macam cerita Sejarah Melayu di dalam ‘Kesultanan Melayu Melaka’ dulu. Buktinya boleh dilihat waktu mak Pak Lah meninggal, puak-puak mamak pengampu dah kuasai majlis tersebut… Orang Melayu ketepi.”

“Sapa mamak Tanjung yang nak dihantaq ke Balik Pulau tu??”

“Aku dengaq Tan Seri Nor Mahamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua yang rekod kerjanya pernah dan sedang dipertikaikan. Tak percaya hang tanya la Dr Rosli Yaakop orang PAS yang pernah sama-sama dengannya dalam Abrar Finance, atau Ezam Moh Noor yang cuba membongkar kesnya!!” Jawab si UMNO itu lagi. “Sedangkan Dr Helmi hanya Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan sahaja bawah dia; boleh la dia buli…”

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallahu aklam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 22-02-08. KL

Tuesday, February 19, 2008

Mana Jalan Keluar Masalah Media, Radio & Tv PAS?



Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


BEBERAPA penulis blog telah memberi komen mengenai tulisan saya ‘Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya…’ ekoran dari ucapan dan analisis saya dipertemuan ringkas penubuhan ‘Grop Universiti Hulu Klang’ pada 15 Januari lepas. Antaranya blogger Syeikh Teluk Intan, Al-Hussein dan beberapa lagi yang bertanya, “Apa dah jadi dengan suara-suara yang nak wujudkan radio dan tv Kelantan dulu??”

Pada hemat saya, salah satu sebab PRU 11 memberi pukulan teruk pada PAS ialah kerana permit media cetak PAS akhbar HARAKAH telah ditarik oleh KDN (Kementerian Dalam Negeri) dari 2 keluaran seminggu kepada 2 keluaran sebulan sejak selepas PRU 10 lagi. Kerana menjelang PRU 10, dikatakan jualan HARAKAH menjangkau hampir 200,000 naskah. Bahkan dilaporkan ada pula HARAKAH cetak rompak…

Waktu itu berita pembangkang macam goreng pisang panas, dengan berita-berita terkini tersebar sampai keakar umbi, atau sampai ke bawah. Tapi sekarang jadi goreng pisang sejuk, kecuali web Harakah Daily yang tidak menyeluruh sampai ke akar umbi rakyat. Kerana tak semua rakyat mampu ambil berita dari internet. Selepas HARAKAH sebulan 2 kali itu, peniaga-peniaga penuh masa jual HARAKAH sudah tidak dapat bertahan lagi.

Ramai yang bungkus, terpaksa cari kerja lain. Bererti banyak saloran sebar maklumat PAS atau HARAKAH sudah tertutup. Apalagi, bila ada usaha-usaha menjadikan HARAKAH hanya untuk bisnes, bukan lagi bergerak dengan semangat perjuangan seperti kebangkitan HARAKAH di peringkat awalan dulu. Bahkan ada yang menyindir sinis,

“HARAKAH dah nak jadi kapitalis, nak saman pekerja dan ahlinya sendiri, tak kira kebajikan pekerja atau pengedarnya… duduk kira duit saja. Tapi kalau untuk tok-tok ketua atau bekas tok-tok ketua mereka, boleh pula??” (Lanjutnya sila lihat tulisan bersiri penulis mengenai sejarah HARAKAH dalam blog penulis ‘Imbaun 1’ hingga ‘Imbauan 7’).

Soalnya, bagaimana nak atasi masalah 2 kali sebulan nak jadikan 2 kali seminggu macam dulu atau lebih kerap lagi. Kalau dulu, sebelum adanya HARAKAH (kira-kira tahun 1987) pernah Jabatan Penerangan PAS menerbitkan risalah isu seminggu sekali. Ianya dinamakan ‘buku’ walaupun saiznya A4 macam bentuk majalah. Kerana ianya tidak tertakluk kepada permit dari KDN seperti majalah dan akhbar, boleh terbitkan sepanjang masa.

Kalau dulu baru nak bina rangkaian edaran, dan tak ada wang, sedangkan sekarang rangkaiannya dah ada, juga wang sudah bukan masalah, dan pembaca pembangkang pun bertambah ramai, sudah tentu lebih boleh lagi. Itu salah satu contoh cara selesainya. Mungkin ada cara lain lagi yang boleh difikirkan. Begitu juga mengenai radio atau tv PAS.

“Sekarang perkembangan dunia jaringan global semakin canggih…” kata seorang Dokter pengendali laman web Sheikh Teluk Intan kepada saya. “Tok Guru berkuliah di Bangunan PAS Kelantan atau Tok Guru Haji Hadi berceramah di Masjid Rusila, kita di seluruh Malaysia boleh melihat dan mendengarnya terus, bahkan boleh bersoal jawab pula. Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut di KL pula boleh membaca atau melaporkan berita semasa kepada ahlinya di seluruh negara. Mengapa hal ini tidak kita usahakan awal-awal lagi?

Belum lagi kita fikirkan untuk wujudkan sebuah setesyen media di peringkat ASEAN, atau dunia contohnya, kalau Malaysia tidak mahu beri kerjasama kepada rakyatnya.”

“Memang sedap teori mata memandang, tetapi bahu memikulnya bagaimana?” Usik saya.

“Tiada kerja yang praktiknya dulu, kemudian baru teori…” Jawab beliau.

Itulah sembang-sembang PRU 12 untuk kali ini. Wallahu aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 18-02-08. KL

Monday, February 18, 2008

Bagaimana Negara Kebajikan Nak Sekat Harga Barang Naik?




Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:


“MULA-MULA pegang kerajaan pun sudah nampak Pak Lah (PM sekarang) tak pandai perintah Malaysia. Sikap fikir singkat dan bebalnya sudah mulai terserlah…” Kata mantan pimpinan Kelab UMNO di sebuah universiti di England.

“Apa dia?” Kami tanya beliau dalam satu majlis ucapan dan analisis mengenai ‘Malaysia Sepintas Lalu Di Bawah Pak Lah’, anjuran Grop Universiti Hulu Klang disebuah restoran di Batu Caves baru-baru ini..

“Pertama:

Pak Lah membatalkan banyak projek-projek yang telah diluluskan dan direstui oleh pemimpin-pemimpin sebelum itu, contohnya projek jambatan bengkok Singapura-Johor, jutaan RM wang rakyat dicurahkan ke laut Selat Terberau itu. Bukan senang Dr Mahathir nak dapatkan persetujuan Singapura hingga terpaksa keluarkan perbelanjaan sebelah pihak (Pihak Malaysia) sahaja. Bila Singapura setuju, baru Dr Mahathir bentangkan jambatan bengkok itu. Rupanya, memang menguntungkan Malaysia, apabila kapal boleh lalu merentasi Selat Terberau.

Hal ini amat membimbangkan Singapura, dan boleh menjejaskan pelabuhannya. Itu satu manfaat tersirat bagi Malaysia, yang Pak Lah tak mahu ambil tahu!”

Sambung beliau lagi, “Pada saya ada lagi yang lebih besar manfaatnya… Kita tahu Singapura ikut strategi Israel dalam banyak bidang, termasuk ketenteraan. Strategi menyerang sebelum diserang, menawan sebelum ditawan seperti yang dilakukan ke atas negeri-negeri jirannya, negara Arab. Mereka (Singapura) sedang membeli banyak kereta-kereta kebal sekarang. Paip air bekalan kita kepada mereka pun dikawal oleh tentera. Kalau terjadi hal-hal tidak diingini seperti di negara-negara Arab itu, maka di sinilah perlunya jambatan bengkok seperti rancangan Dr M itu…”

“Apa pandangan tuan mengenai cara nak atasi masalah kenaikan harga barang? Contohnya harga minyak?” Kami tanya lagi.

Kedua;..

Sambung beliau. “Sebelum melihat masalah minyak, kita kena tahu, bahawa sistem ekonomi kita adalah berdasarkan ekonomi kapitalis. Ringkasnya sistem membesarkan yang gemuk dan menguruskan yang kerdil. Tiada kebajikan, dan tiada tolong menolong dalam bisnes. Contohnya mengapa harga gula tidak dapat diturunkan? Jawabnya, kerana cuma 2 saja pemegang lesen import gula, iaitu Robert Koh dan Felda, menyebabkan harga gula terletak di tangan mereka. Itu sebab Robert Koh jadi lebih kaya dan menunjukkan keuntungan yang tinggi tiap tahun.

Begitu juga lesen-lesen import lain seperti kereta, daging lembu, susu dan lain-lain, juga monopoli puak-puak tertentu sahaja. Kalau kita lihat di zaman Mahathir waktu harga simen naik, beliau bukakan lesen import simen seluas-luasnya, hingga harga simen dapat dikawal sampai sekarang. Berbalik kepada bagaimana nak turunkan atau kekalkan harga minyak?? Malaysia adalah negara kaya. Kalau Swizerland, yang tiada apa-apa sumber asli boleh jadi maju, kawal ekonominya, mengapa Malaysia tidak boleh?

Apa susah sangat, sedangkan Malaysia ada minyak, bijih, getah, sawit dan gas asli, contohnya. Kalau kita galakkan rakyat gunakan gas sebagai alternatif, bersaing dengan minyak, sudah tentu harga minyak akan turun atau boleh dikekalkan. Ini tidak, teksi-teksi yang gunakan gas terpaksa menunggu berjam-jam berbaris di KL kerana kedai bahan api tersebut tak cukup. Bahkan di bandar-bandar seperti Ipoh pun dilaporkan tiada satupun kedai bahan api itu.

Apakah hal ini berlaku semata-mata kerana hendak mengekalkan keuntungan besar kepada syarikat-syarikat minyak seperti Petronas? Begitu juga TNB, Indah Water dan sejenisnya.. Itulah dasar ekonomi kapitalis, tiada belas kasihan dalam bisnis.” (Sila lihat juga pandangan penulis ‘ Catatan Santai Ibnu Hasyim: Harga Barang Naik… Atasi Dengan Nuklear’ dalam blog penulis Mei 2007)

Ketiga:

“Saya bimbang Orang Melayu akan menjadi manusia kelas 3 di tanahairnya sendiri. Apa tidaknya? Di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), harga rumah-rumah melambung naik. Jelas rata-rata orang Melayu tidak mampu membelinya. Orang-orang luar dibenarkan memilikinya. Orang-orang Cina dari Singapura akan mencurah-mencurah memilikinya, walau mereka sudah ‘black list’ di institusi kewangan di negara mereka. Bahkan dikatakan ada yang didalangi oleh bangsa-bangsa Yahudi Israel, yang bersedia merampas tanah orang Islam melalui proses undang-undang pula.

Lebih pelik lagi bila ada pemimpin-pemimpin UMNO yang berbangga kerana nilai hartanah di situ sudah naik berkali-kali ganda. Maka tinggallah orang-orang Melayu di luar WPI, di Parit itu dan Parit ini, sedangkan di luar parit dimiliki oleh orang-oraang asing. Kerana mereka tidak mampu membelinya, walaupun nama mereka tidak di’black list’ di negara sendiri. Apakah Melayu hanya layak tinggal dalam parit saja?

Maka jadilah orang Cina yang kebanyakannya kapitalis-kapitalis tempatan jadi manusia kelas 1. Orang India, manusia kelas 2; kerana tuntutan-tuntutannya sedang dilayan baik oleh kerajaan sekarang, dan orang Melayu bakal jadi bangsa Red Indian di Amerika kerana hak-hak istimewanya sudah mulai ditarik seperti sistem biasiswa, pelajaran atau lain-lain, hanyut di kelas 3.”

Keempat:

Kami tanya beliau lagi mengenai Negara Kebajikan’ yang diperjuangkan oleh PAS.
Kata beliau, “Walaupun saya masih ahli UMNO, tetapi eloklah dalam PRU 12 kali ini, Kelantan diberi kepada PAS, kerana itulah satu-satunya lagi negeri benteng Melayu-Islam terakhir di negara ini. Kita lihat Pulau Pinang, walaupun di bawah kerajaan Malaysia, tetapi projek jambatan Pulau Pinang ke 2 baru-baru pun ini akan diberi kepada Negeri Cina. ‘Malaysia Boleh’ ape ke bende ni??

Di Iceland atau England, tiap anak-anak dilahirkan, kerajaannya akan membayar elaun. Bahkan kalau sampai 3 anak, elaunnya sudah melebihi pendapatan seorang ibu biasa yang berkerja. Kalau ibu itu nak berhenti kerja, nak tumpukan kepada penjagaan anak-anak pun sudah berbaloi. Begitu juga dengan elaun kepada penganggor dan sebagainya. Baru-baru ini dalam suatu rancangan agama malam Jumaat (14-2-07) di tv Malaysia, beberapa penceramah agama tak ada kerja lain jadi alat bodek, mengampu dan penjilat kerajaan.

Antaranya mengkritik, ‘kerajaan kebajikan’ kononnya kerajaan yang menyuruh rakyatnya malas bekerja, menyuruh rakyatnya tadah tangan meminta sedekah… Apakah Islam suruh membantu orang susah sama seperti menyuruh orang Islam jadi peminta sedekah? Fasal apa kepala otak penceramah tu bengap sangat? Tak mengaji agama ke? Patutlah kerajaan Malaysia tidak mahu buat kebajikan kepada rakyat, sebab cara berfikir mereka begitu. Rakyat saja yang disuruh buat kebajikan kepada kerajaan. Tetapi kerajaan beri subsidi atau bantuan cuma kepada kapitalis-kapitalis luar negeri!!”

“Ada ke bantuan kepada kapitalis-kapitalis atau konglomerat-komglomerat luar negara?” Seorang dari kami bertanya.

“Apa tidaknya? Konsep FTZ (Free Trade Zone), benarkan buka kilang tanpa cukai satu sen pun, bukankah itu pemberian subsidi juga? Kita nak berniaga goreng pisang tepi jalanpun kena bayar lesen! Konsep WPI sebenarnya adalah FTZ yang dibesarkan, bapa FTZ. Bahkan bangunan pun boleh dimiliki terus oleh orang luar melalui WPI. Begitu juga syarikat-syarikat yang dibayar subsidi awal billion RM untuk mulai operasi. Projek nak beli air Pahang untuk kegunaan rakyat Selangor, apakah tak ada jalan singkat yang menjimatkan kos? Projek beralasan nak naikkan harga air, beri subsidi pada kapitalis dengan menindas rakyat!

Berapa sangatlah bantuan pada rakyat susah… bantuan anak yatim, waga emas, orang kurang upaya, bencana, sakit kronik, pelajaran percuma, ibu tunggal dan lain-lain. Takkan waktu muda dan sihat kamu kerok tenaga mereka habis-habisan, cukai sana sini, bila tua jadi hampas kamu nak tinggalkan begitu saja? Buang sepah sesudah madu dihisap habis? Sebenarnya itu adalah tugas kerajaan melindungi hak rakyat. Kerajaan pimpinan orang kafir pun pandai membuat kebajikan pada rakyat. Tidak seperti kerajaan BN yang tidak bertanggung jawab!!”

Insya Allah Grop Universiti Hulu Klang, akan menjemput pengucap dan penganalisis yang lain pula. Wassalam.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-02-08. KL


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails