REUTERS - JENAZAH Muhammad Ali dibawa masuk ke arena Freedom Hall sambil disaksikan oleh ribuan pengunjung di Louisville, AS kelmarin.
LOUISVILLE – Beribu-ribu pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat menziarahi jenazah petinju legenda, Muhammad Ali di bandar kelahirannya di Louisville, Kentucky kelmarin.
Dianggarkan seramai 14,000 orang mewakili pelbagai kaum dan ajaran agama meluangkan masa untuk memberi penghormatan terakhir kepada Ali yang mereka sifatkan sebagai juara rakyat.
Ali, juara heavyweight dunia tiga kali yang dikenali kerana aksi lincahnya di gelanggang, suara politiknya dan penglibatan dalam kerja amal kemanusiaan meninggal dunia Jumaat minggu lalu di sebuah hospital di Arizona pada usia 74 tahun.
“Pemergian Ali membuatkan kita rasa lebih sunyi di dunia ini. Seseorang yang utuh, hebat dan hidup dengan penuh tujuan telah meninggalkan dunia ini,” kata seorang ilmuwan Islam daripada Universiti Southern California, Sherman Jackson.
Jackson memuji Ali kerana memperjuangkan nasib orang kulit hitam di Amerika Syarikat (AS) semasa dan selepas pergerakan hak sivil pada 1960-an. Malah, beliau juga berusaha untuk menjadikan agama Islam lebih diterima di negara kuasa besar itu.
Solat jenazah Ali yang diletakkan di dalam sebuah keranda diselubungi kain baldu tertera sepotong ayat al-Quran diketuai oleh Imam Zaid Shakir, pengasas sekolah seni liberal Islam, Zaytuna College di Berkeley, California.
Presiden AS, Barack Obama turut memuji Ali melalui dalam satu siaran langsung di laman sosial Facebooknya dari White House. Obama menunjukkan buku “GOAT: A Tribute to Muhammad Ali dan sepasang sarung tinju yang ditandatangani petinju itu dan dihadiahkan kepadanya.
“Sesuatu yang jarang berlaku apabila seorang tokoh dapat meraih perhatian masyarakat di seluruh dunia. Beliau salah seorang daripadanya dan Ali sentiasa menjadi yang terhebat,” katanya.
Majlis ziarah itu bertempat arena KFC Yum! Center dan turut dihadiri bekas presiden AS, Bill Clinton, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan pelawak, Billy Crystal
“Ali tidak mati. Semangatnya sentiasa hidup,” kata promoter tinju, Don King di arena Freedom Hall kelmarin, kompleks di mana beliau menewaskan Willi Besnanoff pada 1961 dalam perlawanan terakhirnya di Louisville.
Tidak ketinggalan, pemimpin hak asasi AS, Jesse Jackson dan penyanyi, Yusuf Islam atau sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens turut hadir pada majlis tersebut. – AFP
Sila lihat..