Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI
‘SITI’ adalah gelaran yang diberikan oleh seorang ahli bisnes Arab, yang bahasakan Cik Siti Wan Kembang dengan ‘Siti’ sahaja. Hal ini berlaku dalam perbualan didengari oleh beberapa orang yang berada di balai mengadap waktu itu.
“Apakah erti Siti itu?” Salah seorang dari mereka bertanya.
“Siti adalah gelaran bagi seorang perempuan yang menjadi tuan atau ketua orang ramai.” Jawab ahli bisnes itu. seperti yang dinukilkan berdasarkan buku ringkasan cerita Kelantan karangan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja.
Demikian sahabat saya Ustaz Tuan Junuh bercerita mengenai Cik Siti Wan Kembang atau negeri Kelantan. Kami sedang menuju dengan sebuah kereta ke negeri tersebut melalui rentasan lebuhraya timur-barat. Dia ingin balik kampong, dan kawan saya sorang lagi itu, isterinya adalah orang negeri Cik Siti.
Sambungnya lagi, “Ada juga sumber sejarah menyatakan beliau turut juga digelarpanggil dengan Paduka Cik Siti. Dalam buku sejarah Kelantan karangan Arifin Abdul Rashid (terbitan Pustaka Al-Ahliah -1962), menyebutkan ‘Siti’ bererti tuan (perempuan) yang layak digelarkan kepada perempuan yang mula-mula menjadi pemerintah sesebuah negeri.”
Bila sebut sahaja Cik Siti Wan Kembang, orang pasti kaitkan dengan Kelantan, hingga menjadi nama timangan negeri berkenaan selain dari Serambi Makkah. Cik Siti adalah raja ke 6 yang diwariskan oleh ayahnya, adalah dari keturunan Iskandar Shah. Ayahnya ialah Sultan Ahmad (1548-1580) dan bondanya ialah Cik Banun.
Dalam usia empat tahun, Cik Siti Wan Kembang kehilangan kasih sayang ayahnya yang mangkat, menyebabkan pucuk pemerintahan Kelantan diserahkan kepada Raja Husain, sepupu Cik Banun (berasal dari Johor) dengan gelaran Sultan Husain Pemangku Raja (1580-1610). Cik Siti Wan Kembang memerintah Kelantan mulai 1610-1677. selama 67 tahun. (Sumber :’Detik-Detik Sejarah Kelantan’, Sa'ad Shukri bin Haji Muda, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1971)
Beliau yang tidak pernah berkahwin, dalam usia 30 tahun telah dilantik sebagai pemerintah Kelantan menggantikan Sultan Hussin. Beliau bersemayam di Gunung Dang Besar, Hulu Kelantan yang kemudiannya ditukar nama sebagai Gunung Chinta Wangsa, terletak kira-kira 40 kilometer di tenggara Kuala Krai. Nama gunung itu kekal hingga kini.
“Beliau adalah seorang Muslimah pertama perintah Kelantan, yang hebat lagi bijaksana.” Sambung Ustaz Tuan Junuh lagi.
“Kenapa Ustaz kata begitu?”
“Saya beri 2 sebab.” Terang Ustaz Tuan Junuh lagi. “Pertama, sepanjang pemerintahannya, ramai pedagang dari luar negara, terutama Arab dan China datang berdagang di negerinya membuatkan nama Cik Siti Wan Kembang jadi terkenal dan harum semerbak keluar negara waktu itu. Maknanya beliau terkenal kerana pandai membangunkan ekonomi negara. Kedua, walaupun muslimah yang memerintah, namun tidak nampakpun kelemahan-kelemahan yang menjolok, dan beliau berjaya mengatasi beberapa masalah…”
“Apa masalah yang diatasinya?” Tanya sahabat saya yang seorang lagi.
“Bukti masalahnya .. bila bimbangkan pemerintahan di Gunung Chinta Wangsa mungkin diserang, beliau merancang pembinaan sebuah kota pentadbiran baru supaya tidak hanya bergantung kepada satu pusat pemerintahan saja.. Dua pusat pemerintahan, itulah strategi politiknya..”
Menurut Ustaz Tuan Junuh lagi, dalam mencari kawasan baru itu, beliau sampai ke hutan yang dipenuhi pokok tegayong. “Di situ, beliau membuka Kota Tegayong, bagaikan kebijaksanaan Parameswara memilih tempat membuka kota Melaka dulu.”
Di kota pentadbiran baru itu, beliau membina sebuah taman rekriasi dinamakan ‘Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong’. Kini terletak di Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, Ketereh. Semasa pemerintahannya, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti (1638M /1046H). Setelah Raja Sakti mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja (1649M).
Baginda dianugerahkan 2 cahaya mata iaitu seorang putera, (dinamakan Raja Sakti juga) yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadung. “Satu lagi kehebatan pentadbiran Cik Siti, di mana beliau berjaya menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Loyor di Jembal, melalui pengambilan Puteri Saadung sebagai anak angkatnya yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.”
“Tetapi kenapa pula Cik Siti tak kahwin-kahwin??” Sahabat saya tadi bertanya lagi. “Nak ikut macam Rabiah Adawiyah seorang sufiah di tanah Arab dulu ke?”
Rabiah binti Ismail Al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Rabiah menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan: “Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.” Itu kisah seorang Muslimah sufiah.
“Sebenarnya memang ramai raja atau putera-putera raja yang nak kahwin dengan Cik Siti kerana beliau amat cantik. Tetapi peminangan mereka itu tetap ditolak .. alasannya ‘tidak terlintas dihatinya untuk bersuami’. Akhirnya, lama kelamaan keadaan ini menyebabkan beliau merasa sunyi, seolah-olah hidup bersendirian.” Kata Ustaz itu lagi.
Menurut versi yang satu lagi, pada suatu hari apabila Cik Siti melihat ratu kecil Puteri Saadung ketika mengadap Raja Loyor di Jembal, timbul hasrat beliau untuk mengambil puteri anak raja tersebut sebagai anak angkatnya. Setelah berunding, akhirnya dengan kerelaan, Raja Loyor dan permaisurinya sanggup menyerahkan Puteri Saadung untuk dijaga atau dididik oleh Cik Siti Wan Kembang.
“Khabarnya, cerita Puteri Saadung pun menarik juga!?” Sampuk kawan saya itu lagi.
“Panjang ceritanya…” Kata Ustaz Tuan Junuh. Puteri Saadung adalah seorang gadis ayu serta cantik dan digelar penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Kecantikan Puteri Saadung itu menyebabkan Maharaja Siam menghantar utusan meminangnya, tetapi ditolak Cik Siti Wan Kembang. Bimbang timbul masalah, Cik Siti kahwinkan Puteri Saadung dengan Raja Abdullah (sepupunya) dari Jembal sebelum dimahkotakan di Kota Tegayong dan kemudian berpindah ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.
Sejarah Cik Siti Wan Kembang berakhir apabila beliau melantik Raja Abdullah dan Puteri Saadung sebagai muslimah kedua pemerintah Kelantan. Selepas pelantikan itu, Cik Siti Wan Kembang kembali semula ke Gunong Chinta Wangsa, kota pemerintahan awalnya.. Akhirnya, kisahnya tidak diketahui lagi.
Ustaz Tuan Junoh menyambung. “Seterusnya, penglima tentera Siam bernama Phraya Decho telah menculik Puteri Saadung dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688). Namun kerana kesetiaannya pada suaminya, dirinya diusahakan supaya tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Akhirnya, Puteri Saadung berjaya kembali ke Kelantan. Tetapi malangnya bila bertemu suaminya Raja Abdullah itu, berlaku pula pergaduhan dan tuduh menuduh. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadung.”
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadung telah melantik Raja Abdul Rahim (saudara raja Abdullah) menjadi Sultan di Kota Mahligai (1671M) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah (anak Penghulu Ngah Jembal). Selepas itu Puteri Saadung menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.
“Khabarnya lambang seekor kijang kerajaan Negeri Kelantan ada kaitan dengan Cik Siti?”
“Ya! Bila nama Cik Siti Wan Kembang mula terkenal, rakyatnya yang mendiami Gunung Ayam (berhampiran Sungai Nenggiri, kini Hulu Kelantan), membawa pelbagai persembahan untuk beliau. Antara persembahan itu ialah seekor anak kijang cantik yang amat dikasihinya. Kerana terlalu sayangkan kijang itu, Cik Siti Wan Kembang menerapkan lambang kijang pada wang emas negeri selain diabadikan pada sebahagian lambang kebesaran Kelantan yang kekal hingga kini.”
Tiba-tiba kereta kami terpaksa berhenti. Di depan kami pun sudah ada beberapa kereta yang senasib dengan kami. Tak boleh lalu, kerana beberapa ekor gajah sedang berehat di atas lebuhraya, mungkin untuk memanaskan badan….
“Gajah rupanya..” Kata Ustaz Tuan Junuh.
“Kalau gajah ada di kawasan ini, tentu kijang pun ada??” Tingkah kawan saya yang tadi.
“Kijang sudah ada. Tu!” Saya pula menjawab, sambil jari saya menunjuk kepada lambang kijang negeri Kelantan yang terlekat di hadapan keretanya. “Nampaknya anda lebih Kelantan dari sesetengah anak Kelantan jati…”
“Kita perlu buktikan, di mana kita sokong Kelantan (yang pernah dipimpin oleh dua muslimah, dan kini Tok Guru pula), bukan kerana asabiah negeri…” Jawabnya dengan suara yang tinggi sikit. Satu pukulan maut pada sindirgurau saya.