Tuesday, October 15, 2013

K'tan Biayai Pelajar Kembali Semula Ke Mesir


 

KOTA BHARU: Kelantan antara negeri pertama yang turut membiayai kepulangan semula pelajar ke Mesir untuk meneruskan pengajian selepas pulang dalam Ops Piramid II sebelum ini.

Seramai 443 pelajar anak Kelantan yang pulang dalam ops tersebut diberi saguhati sebanyak RM1,000 seorang. Majlis penyampaian saguhati itu diadakan di Dewan Yayasan Islam Kelantan (Yik) di Nilam Puri hari ini, disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Hadir sama Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Tengku Azmi Tengku Jaafar dan Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim, Zainal Yusof. Ibu bapa dan pelajar juga hadir. Anggota Exco, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan berkata, biar pun sumber kewangan agak terhad, namun Kelantan tetap menunaikan tanggungjawab bagi membantu meringankan bebanan pelajar untuk kembali semula ke Mesir.

“Kelantan mungkin negeri pertama di negara ini menghulurkan sumbangan tersebut selepas pelajar pulang dalam ops Piramid II,” katanya selepas program berkenaan.

Sebelum ini kerajaan negeri turut membayar tambang kepada pelajar Kelantan untuk kembali semula ke Mesir selepas dibawa pulang dalam ops Piramid I, lebih setahun lalu. Dr Fadzli berkata, biar pun jumlah tersebut tidak banyak bagi setiap pelajar, namun apabila melibatkan ramai pelajar kerajaan negeri terpaksa membelanjakan hampir RM0.5 juta bagi tujuan itu.

Katanya juga, Mesir merupakan bumi ambiya dianggap sebagai gedung ilmu yang mampu melahirkan pelajar alim dalam pelbagai bidang ilmu.

“Bagi pelajar bidang perubatan, mereka balik nanti bukan untuk berkhidmat sebagai doktor perubatan sahaja, sebaliknya mempunyai kemahiran dalam bahasa Arab dan ilmu agama.
“Inilah matlamat kerajaan negeri melahirkan doktor perubatan yang juga boleh menjadi imam solat dan mampu membaca kitab bahasa Arab,” ujarnya ketika berucap sebelum itu.

Menurutnya ramai pelajar tidak mahu melepaskan peluang belajar dalam bidang perubatan di Mesir semata-mata bagi mendalami kedua-dua ilmu tersebut. Oleh itu kata beliau, pelajar-pelajar janganlah mengsia-sia peluang yang ada sekarang memandangkan Mesir merupakan bumi para ambiya lagi berkat.

Menteri Besar pula berharap pelajar yang kembali semula ke Mesir bagi meneruskan pengajian hendaklah menyesuai diri dengan keadaan semasa di sana sekarang. Katanya, keadaaan di Mesir hari ini di bawah Jeneral As Sisi berbeza berbanding di era Presiden Dr Mohamad Morsi.

Menurutnya juga kerajaan mahu memastikan pelajar dapat kembali semula ke Mesir dengan menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka, biar pun sumber kewangan negeri agak terhad. Pada persidangan Dun minggu lepas Dr Fadzli berkata, pelajar yang pulang sendiri tanpa melalui Ops Piramid II tidak terbabit dengan pembayaran saguhati terbabit. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails