Showing posts with label Bingka. Show all posts
Showing posts with label Bingka. Show all posts

Friday, December 2, 2016

Bingka Pandan a.k.a Kuih Bakar

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Bersua lagi kita. Didoakan semoga semua yang singgah di blog MaDiHaA ni dikurniakan kesihatan yang baik2 sentiasa ye. Musim hujan ni sesetengah tempat sudah pun dilanda banjir. Moga semuanya selamat & dalam lindunganNYA selalu hendaknya.


Warna asli dari daun pandan...


Baru ni MaDiHaA rajinkan diri godek kuih bingka pandan atau kuih bakar. Tekak dah lama teringin nak makan bingka yang buat sendiri. Memandangkan anak2 sedang bercuti sekolah & semua ada berkumpul kat rumah, elok sangatlah dibuat sekarang ni. Boleh juga buat kudap2 untuk dorang kat rumah bila rasa lapar. Pagi2 lepas solat subuh biasanya MaDiHaA akan masak siap2 sarapan pagi (selain dari kuih) sebelum tinggalkan dorang kat rumah. Kot habis makanan yang MaDiHaA masak tu, dah pesan kat si kakak masak le apa2 yang patut untuk adik2. Kakak pun dah boleh harap, pandai dah nak masak yang mudah2 tu. Adik2 pun bukannya jenis yang cerewet pun. Apa yang dimasak dorang makan je. Janji kenyang. Kuih pulak buat tambah2 kudap2 bila lapar waktu petang.

Ada bawak daun pandan balik dari kampong tempohari, tu yang menjadi projek bingka ni... masa bakar harum satu rumah baunya.... suam2 lagi anak2 dah minta dipotong... alhamdulillah di atas rezeki mu ya Allah...



Bingka Pandan / Kuih Bakar 
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 

10 helai daun pandan ~ hiris halus & blend dengan 1 cawan air ~ perah ambil pati jadikan 1 cawan 
3 cawan santan dari sebiji kelapa parut (jumlah cecair iaitu santan & jus pandan = 4 cawan) 
4 - 5 biji telur gred A (kalau telur kecik.. buh 6 biji) 
1 3/4 cawan gula pasir
3 cawan tepung gandum 
secubit garam 
Bijan


Cara 
1. Masukkan telur, gula & garam dalam satu bekas & kacau guna whisker hingga rata. 
2. Terus masukkan santan & jus pandan dan kacau lagi hingga gula larut. 
3. Masukkan tepung gandum secawan demi secawan dan kacau hingga rata. 
4. Panaskan oven 175 - 180C & lengserkan keseluruhan dalaman acuan berlubang dengan 3 sudu besar minyak masak. (boleh juga guna acuan lain... tp masa membakar agak2lah yer.. 
5. Tapis adunan ke dalam bekas lain dan tuangkan ke dalam acuan. 
6. Bakar guna api bawah selama 30 minit kemudian keluarkan kuih dan tabur bijan dan sambung bakar lagi dengan api atas & bawah selama 35 - 40 minit lagi atau sehingga masak. 
7. Sejukkan terlebih dulu sebelum memotong.

Selamat mencuba!

Wednesday, December 2, 2015

Bingka Pandan / Kuih Bakar

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Sibuk betul kebelakangan ni sampai tak sempat nak berblog sangat.  Semalam sibuk dengan stok cek.. maklumlah dah ujung tahun kan.  Hari ni ada kelapangan sikit, jom MaDiHaA kongsikan resepi bingka pandan atau kuih bakar yang sedap ni.  Lemak & manis2 buah je... makan pun tak muak.  Kalau yang suka lebih manis tu bolehlah lebihkan gulanya ye. Bagi selera MaDiHaA dah cukup perfect dah rasa manis dia.  Anak2 & suami pun suka sangat makan.  Sampai anak mintak buatkan lagi.  hehehe... Seronok pulak buat kuih muih bila semua anak2 berkumpul kat rumah.  Masak je apa saja mesti habis punya.  Hmm... gambar pun ambik lebih kurang je sebab kelam kabut pagi2 nak sediakan makanan untuk anak2 & bersiap2 nak pegi kerja.



BINGKA PANDAN


Bahan2

2 cawan tepung gandum
3/4 cawan gula pasir

3  cawan santan dari 1 biji kelapa
1 1/2 cawan jus pandan dari 15 helai daun pandan yang dikisar
3 biji telur A ~ dipukul ringan
3 s/b majerin dicairkan
1 s/k garam
pewarna hijau epal secukupnya
Bijan secukupnya

Cara menyediakan
1. Panaskan oven 170'C selama 15 minit. Gunakan api atas dan bawah.
2. Gaulkan tepong, gula & garam hingga sebati menggunakan hand whisk. Tuangkan jus pandan, santan & telur. Kacau rata sehingga sebati. Tambahkan pewarna hijau secukupnya, marjerin cair & gaul sebati. Tapiskan.
3. Tuangkan dalam loyang 8 x 8 yg telah disapukan minyak.  Taburkan bijan dipermukaan.
4. Bakar selama 1 jam 15 minit atau sehingga masak. (bergantung oven masing2 ye... boleh tambah masa membakar untuk dapatkan permukaan yang garing)

5. Sejukkan kuih sebelum dipotong.

Selamat mencuba!

Friday, April 10, 2015

Bingka Pisang

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Alhamdulillah bersua lagi kita di hari Jumaat penghulu segala hari.  Bersyukur kerana masih dipinjamkan usia & bernafas hingga ke hari ini.  Allahuakbar.. Allahuakbar.. Allahuakbarrrr.... Aku bersyukur dengan segala nikmat pinjaman dari MU ya Allah... Alhamdulillah di atas segala rezeki yang kau berikan... amin..

Ok jom MaDiHaA kongsikan resepi Bingka Pisang yang MaDiHaA buat baru2 ni.  Sedap! Sememangnya MaDiHaA suka apa2 saja juadah yang diperbuat dari pisang.  Pisang dah terlajak masak ni.. jadi tak perlu letak gula banyak ye.  Sesiapa yang suka manis2 boleh tambah lagi sukatan gula untuk beberapa sudu... bagi MaDiHaA sukatan di bawah dah ok di tekak kami sekeluarga.

Jom cuba kalau ada pisang berlebih kat rumah tu ye.. guna apa2 pisang pun boleh.




BINGKA PISANG
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2  

2 1/2 cawan pisang lenyek
1 cwn tepung gandum
1 sudu besar tepong jagung
1/2 cawan gula pasir (kalau suka manis boleh tambah beberapa sudu gula lagi)
2 cwn santan sederhana pekat (dari 1 biji kelapa)
biji telur
1/4 sudu kecil garam
2 sudu besar butter yang dicairkan

Bahan tambahan
butter tambahan untuk loyang 
bijan hitam atau putih secukupnya

 Cara Menyediakan 1. Pukul ringan telur kemudian campur ke dalam santan berserta garam dan kacau seketika.
2. Dalam mangkuk mengadun, campurkan tepong gandum, tepong jagung serta gula pasir & kacau ratna menggunakan whisker. Tuangkan larutan santan sedikit demi sedikit sambil digaul rata.  

3.Masukkan pisang yang dilenyek tadi & gaul sebati.  Campurkan butter cair & gaul lagi hingga betul2 sebati.
4. Masukkan ke dalam loyang yang telah dilenser dengan butter.  Tabur bijan secukupnya. 5. Bakar 180C selama 1 jam atau sehingga masak.  (oven on atas bawah ye)
6. Jika menggunakan acuan bunga pecah 8, masukkan 1 sudu kecil butter ke dalam loyang & panaskan atas dapur gas hingga butter cair menggunakan api kecil.  Masukkan adunan bingka sehingga penuh, taburkan bijan & masak sekejap atas dapur gas selama 3 minit. Alihkan loyang bunga pecah 8 ke dalam oven suhu 175C dan bakar selama 50 minit atau sehingga masak.
7. Sejukkan dahulu sebelum di potong. 

Selamat mencuba!

Monday, March 2, 2015

Kek/ Bingka Ubi Kayu

Assalamualaikum & salam sejahtera...





Hari ni MaDiHaA nak kongsikan resepi Bingka Ubi Kayu yang agak berbeza sikit dari resepi bingka yang biasa.  Ini kerana dalam resepi diletakkan juga 2 sudu teh baking powder.  Yang sebenarnya.. nama resepi asal ialah Kek Ubi Kayu.  Tapi teksturnya tidaklah gebu seperti kek. Ia lebih kepada bingka... jadi memandai MaDiHaA letakkan nama resepi ni Kek/Bingka... Harap tuan resepi tak marah ye.  Resepi ni MaDiHaA ambil dari Fotopages kak Rusnah.  Sebenarnya... banyak juga resepi2 yang kak Rusnah kongsi menjadi ikutan MaDiHaA sebab agaknya mungkin citarasa kami ni sama kot.. hehe... Pantang kak Rus tayang gambar & kuih.. mesti nak cuba juga.  Tapi tak kurang juga masih banyak resepi2 yang tak sempat MaDiHaA nak kejar.. almaklumlah.. sifu ramai sangat di alam cyber ni kan.. nampak kat situ terliur, nampak kat sana terliur.. jadi kita buat mana yang termampu ajelah kan... ikut kemampuan badan & kemampuan poket.. hehe...


KEK UBI KAYU / BINGKA UBI KAYU
Sumber : Kak Rusnah Fotopages

Bahan2
4 cawan parutan ubi kayu yg siap diperah
1 cawan gula pasir
2 cawan santan pekat
1 cawan susu cair
4 biji telur
sedikit garam
3 sudu makan butter lembut suhu bilik
2 sudu teh baking powder
1 sudu teh vanilla
sedikit pewarna kuning

Cara2 Menyediakan
1. Panaskan ketuhar dan lengserkan acuan 8x8 dgn butter cair/minyak masak. (MaDiHaA guna 2 acuan. 1 acuan bunga pecah lapan & satu acuan loaf)
2. Pukul gula, butter dan telur sekadar sebati semuanya.
3. Masukkan parutan ubi, baking powder (ditapis), vanilla, santan, susu cair, pewarna kuning dan garam...sebatikan.
4. Tuangkan ke dalam acuan dan ratakan minyak yang timbul di permukaan dan bakar selama 1 jam dgn api atas bawah. (MaDiHaA guna suhu 180C)
5. Biar sejuk sebenar-benar sejuk baru elok bila dipotong.
6. Siap dihidangkan utk minum petang atau sarapan pagi.



Selamat mencuba!

Saturday, February 21, 2015

Bengkang Jawi Kacang Hijau



Assalamualaikum & salam sejahtera buat semua....

Hari ni entry express je ye.  Sebenarnya.. resepi ini MaDiHaA pernah kongsikan di Fotopages dah lama dahulu. Pada mulanya MaDiHaA begitu malas nak ulang kongsi resepi di Fotopages ke blog kerana ianya tentu mengambil masa yang lama memandangkan ada begitu banyak resepi2 yang MaDiHaA dah kongsikan di Fotopages sejak bertahun2 dahulu.  Tetapi oleh kerana beberapa bulan yang lalu berlaku masalah teknikal yang membuatkan laman Fotopages tidak boleh dilayari hingga berbulan2... buatkan hati MaDiHaA rasa begitu sedih kerana risaukan segala kandungan di situ akan hilang begitu sahaja.  Jadi untuk menyelamatkan sebahagian resepi2 yang pernah MaDiHaA cuba... MaDiHaA akan cuba transferkan semua resepi2 di Fotopages ke blog MaDiHaA walaupun ianya memerlukan masa yang agak panjang. Ia juga merupakan langkah untuk back up sekiranya FP mengalami masalah lagi.. MaDiHaA boleh mencari resepinya di blog.  Sayang rasanya sekiranya resepi2 yang pernah MaDiHaA cuba hilang begitu saja satu hari nanti...

Ok jom tengok resepi orang dulu2 ni.  Resepi ini MaDiHaA perolehi dari dapur Kak Rusnah.   Terima kasih Kak Rus. Orang2 lama mesti suka kuih2 macam ni.  Tapi orang muda2 mungkin tak ramai yang menggemarinya.  Jika ada yang ingin mencuba bolehlah salin resepi ye..




BENGKANG (Bingka) JAWI KACANG HIJAU
Sumber : Kak Rusnah

1 cawan tepung beras cap gajah berbadan ikan (Siam mari) (MaDiHaA guna tepong beras biasa jer)
½ cawan gula putih
½ sudu teh garam
½ cawan kacang hijau tanpa kulit yg telah direbus (rebus dulu baru sukat)
3 cawan santan
1 helai daun pandan

1. Semua bahan kecuali kacang hijau tanpa kulit diadun sebati dan dikacau atas api perlahan bersama simpulan daun pandan. (MaDiHaA kacau guna whisker.. cantik adunan tak bergentel)
2. Kacau lebih kurang 10 minit...bila dekat-dekat pekat...tutup api dan masukkan kacang hijau rebus tadi dan terus dikacau. Buang simpulan daun pandan dan tuang ke dalam acuan yang dilengser minyak (kak rus guna minyak sapi.. MaDiHaA guna minyak masak je)
3. Bakar dalam ketuhar yang 10 minit lebih awal dipanaskan (suhu 175C)....kalau dlm masa 40 minit atasnya masih putih bakar lagi sampai nampak kerak coklat2 gitu.
4. Tunggu sejuk barulah dipotong & hidang sebagai minum petang.

Selamat mencuba!

Wednesday, February 5, 2014

Bingka Labu Lemak Manis



Assalamualaikum & selamat petang....


Ada yang sedang pening memikirkan juadah untuk minum petang hari ni?  Apa kata buat bingka labu pula.  Mesti anak2 & suami suka.  Memang sedap sangat bingka labu ni.  Secukup rasa & lembut pun sedang2 je.  Pendek kata memang perfect lah! Memang pandai siapa yang mengolah resepi ni.  Moga mendapat pahala berpanjangan kerana berkongsi resepi yang sedap ni.  MaDiHaA mohon dihalalkan share kat blog MaDiHaA pula resepi ni ye.  Dah ramai yang mencubanya.  Terima kasih pada semua yang terbabit.  MaDiHaA copy dari blog Kak Nor.. TQ pada semua...




BINGKA LABU LEMAK MANIS
sumber : Yatie & Jun
sumber : Kak Nor@Secubit Garam & MaDiHaA aka Ratna
(Loyang bulat 9”)
BAHAN-BAHAN-Yatie guna loyang bulat 9 inci
2 biji telur
2 cwn santan (Yatie guna santan kotak kara 200ml, selebihnya tambah air biasa je)
1/2 cwn susu cair
2 cwn tepung gandum
1/2 cwn gula pasir halus
1/2 cwn susu pekat manis
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanilla
2 sudu besar butter/minyak sapi-Yatie guna minyak sapi
2 cwn labu- yg telah direbus, toskan dan dilecek
sedikit bijan utk tabur di atas permukaan kuih

CARA-CARA
Panaskan oven pada suhu 200C, lenser loyang dengan mentega, panaskan sebentar .
Satukan bahan2 diatas kecuali labu yg di lecek dan bijan dalam satu bekas, kacau dengan whisk hingga semua bersatu.
Tapis adunan tadi, kalau guna blender lagi senang. Tuangkan dlm mangkuk besar dan masukkan labu yg telah di lecek, kacau hingga rata.
Tuang dalam loyang yang telah di panaskan tadi.
Bakar selama 1 jam atau hingga masak. Kalau nak permukaannya berkerak, tambah masa pembakaran.
Biarkan kuih betul2 sejuk barulah di potong.**Labu tu sengaja saya tak blender sekali sebab suka tngk jalur2 labu yg tak hancur sangat masa kuih di potong. Rasa makin teruja nak menikmati kesedapannya.


Friday, December 21, 2012

Bingka Pandan / Kuih Bakar

Assalamualaikum & selamat petang...


Pagi sarapan Kek Pisang Bercoklat... apakata petang ni layan Kuih Bakar atau Bingka Pandan yang sedap ni untuk minum petang.... Cukup terasa lemaknya, manisnya & wangi daun pandan... memang syiokk!


Dipersilakan bagi sapa2 yang nak mencuba ye... insyaAllah sedap...

yang sebenarnya.. kuih ni dah lama dah MaDiHaA buat... kira aci la eh pos gambar lama.. hehe.. yang penting ianya hasil dari tangan sendiri bukan gambar curi kan kan kan?
 
Bingka Pandan / Kuih Bakar 
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
10 helai daun pandan ~ hiris halus & blend dengan 1 cawan air ~ perah ambil pati jadikan 1 cawan
3 cawan santan (jumlah cecair iaitu santan & jus pandan = 4 cawan)
4 - 5 biji telur gred A (kalau telur kecik.. buh 6 biji)
1 3/4 cawan gula
3 cawan tepung gandum
secubit garam
Bijan ~ disangai (ku tak bubuh)

Cara
1. Masukkan telur, gula & garam dalam satu bekas & kacau guna whisker hingga rata...
2. Terus masukkan santan & jus pandan dan kacau lagi hingga gula larut.
3. Masukkan tepung gandum secawan demi secawan dan kacau hingga rata.
4. Panaskan oven 175 - 180C & lengserkan keseluruhan dalaman acuan berlubang dengan 3 sudu besar minyak masak. (boleh juga guna acuan lain... tp masa membakar agak2lah yer..
5. Tapis adunan ke dalam bekas lain dan tuangkan ke dalam acuan.
6. Bakar guna api bawah selama 30 minit kemudian keluarkan kuih dan tabur bijan dan sambung bakar lagi dengan api atas & bawah selama 35 - 40 minit lagi atau sehingga masak.
7. Sejukkan terlebih dulu sebelum memotong.

Tuesday, July 31, 2012

Bingka Suji


Assalamualaikum...

Apa khabar semua? Harapnya semua pun sihat2 sentiasa ya.  Pagi tadi sempat juga MaDiHaA BW beberapa blog geng masak2.  Ada antaranya dah pun mulai membuat kuih raya.. Seronok pula tengok kuih2 raya yang kawan2 buat.. cantik & menarik!


Kat rumah pun kakak Dini ada juga bertanya tahun ni ibu nak buat kuih raya tak? Lalu ku jawap.. manalah ada hati ibu nak buat kuih raya kakak... sedangkan kita sendiri pun tak tau lagi nak beraya di mana... tak usah fikirlah pasal kuih raya... tak sampai hati ibu nak beria2 sambut raya sedangkan tokma masih lagi dalam keadaan yang tidak stabil ke sana ke sini bagai kucing kehilangan anaknya.. hmm.. entahlah.. tapi bila difikirkan balik.. kasihan pula pada anak2 yang teringin nak makan kuih raya kan... Bak kata teman2... apapun yang berlaku.. hidup harus diteruskan... Setiap tahun kalau ibu terasa rajin nak buat kuih raya.. kakak Dinilah yang selalu menolong ibu.. Tahun ini.. belum ada kepastian samada nak buat atau tak... tunggu & lihat sajalah..

Jom nak kongsi resepi kuih bingka yang sedap nih!  MaDiHaA ni kalau cerita pasal makanan semua pun sedappp.. hahaha.. Ehh.. tapi ni memang betul sedap.. kalau tak sedap kita diam2 je.. kalau sedap kenalah puji lebih2.. Tapi sedap atau tak tu sebenarnya bergantung pada selera masing2 jugalah kan.. Ada sesetengah orang kurang suka kuih2 jenis lembut macam ni dan dah tentu2lah dia akan kata kuih ni tak sedap.. hihi..


Ok kuih ni sebenarnya ku buat pada pagi Sabtu lepas untuk berbuka puasa. (buat pagi sebab petang nak ke Klang) Lepas hantar kakak Dini ke kelas tambahan singgah kedai untuk beli tahu pok untuk buat Tahu Anura kemudian sempat juga capai tepong suji & santan untuk buat kuih Bingka Suji ni.. Sempatlah godek & bakar sebelum jemput kakak Dini balik dari tuisyen.  Dah beberapa kali ku buat kuih ni sebabnya kuih ni kegemaran semua termasuk hubby!  Bukan senang en. abang nak makan kuih2 jenis macam ni.. tapi Bingka Suji ni dia suka la pulak.. Kalau nak baca cerita masa mula2 MaDiHaA buat dulu.. ada ceritanya kat sini.  Hehe.. memang kenangan.. kelakar pun ada.. tak boleh lupa bila hubby komplen kuih ni kenapa lembik.  Yelah.. apa tak lembiknya.. kuih baru je masak dah nak di'korek'nya.. haha.. Sebenarnya masa tu hubby tak tahan dengan bau Kuih Bingka Suji yang harum semerbak semasa kuih sedang di bakar. Tu yang panas2 dah nak di rasanya.. hihi...

 ni gambar lama masa mula2 buat dulu...
Bingka Suji
Resepi :  Chef Norzailina Nordin (terima kasih!)
Sumber : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
5 biji telur (MaDiHa guna gred A)
180-200 g gula kastor
250 g tepung suji
300 ml santan (dari 1 biji kelapa) (MaDiHa guna 200 ml santan kotak dilute dgn air menjadi 300 ml)
100 ml susu cair
6 - 7 helai daun pandan, hiris halus & dikisar dengan 150 ml air untuk jus pandan (air tu.. bukan air yg 550 ml tu tau!)
550 ml air
½ camt garam
140 g marjerin
50 g tepung gandum
1 camt vanila

Cara membuatnya:
1. Alas loyang 25 cm dengan foil. Lengser sedikit marjerin.
2. Pukul gula dan telur hingga sebati.
3. Tuang adunan telur ke dalam kuali, masukkan suji, susu cair, santan, jus pandan, garam dan air.
4. Kacau rata di atas api sederhana hingga pekat.
5. Ketepikan dari api, campurkan marjerin, tepung dan vanila. (MaDiHa ayakkan tepung sikit demi sikit terus ke dalam kuali sambil dikacau)
6. Kacau sebati kemudian tuangkan ke dalam loyang.
7. Bakar selama 1 jam dengan suhu 200C atau hingga keemasan. Gril sebentar biar permukaannya nampak garing (jika membakar api atas dan bawah, masa memasak singkat dan atasnya akan keperangan).

Selamat mencuba!

Friday, June 29, 2012

Bingka Crackers


Assalamualaikum...

Salam Jumaat buat semua...


Hari ni takmau bebel panjang2.. ada lagi sikit tugasan yang perlu disiapkan.. jadi kita ringkaskan ajelah entry hari ni ye... Terus dengan tujuan asal untuk berkongsi resepi Bingka Crackers yang sedap ni.


Bukan main lama simpan resepi ambil dari blog Kak Ummi Zaihadi tapi baru kali ni dapat dicuba.  Sampai Kak Ummi dah 2 kali buat (sebab sedap sangatlah tu kot.. hehe) barulah aku mencuba.. Terima kasih Kak Ummi & terima kasih penyumbang resepi yang asal Kh267tm@MyR.. mohon dikongsi resepi kat blog ini pula ye.. ada edit2 sikit ikut apa yang MaDiHaA buat tempohari...


Bingka Crackers
Resepi: Kh267tm @ MyR
Sumber : Jun-Yummylicious, Kak Ummi Zaihadi, MaDiHaA
 
 Bahan:-
  • 6 biji telur
  • 450 gram gula (akak letak 410 gram je, guna gula castor) MaDiHaA letak 400 gm gula pasir)
  • 170 gram tepung gandum
  • 2 sudu teh pandan paste (yang ni MaDiHaA tak letak tapi ganti dgn jus daun pandan spt sukatan di bawah)
  • 285 gram tepung cream crackers (kisar biskut cream cracker)
  • 1420 ml santan (MaDiHaA guna 800 ml santan pekat + 420ml air + 200 ml jus daun pandan)
  • 2 sudu besar minyak sapi
  • 1 sudu teh garam
  • bijan (Jun tambah)
Cara-Cara:-
1.   Kacau gula n telur hingga gula larut. masukkan tepung gandum, gaul sebati.
2.  Masukkan santan sedikit-sedikit dan kacau hingga santan habis.  Tapis. (MaDiHaA tak tapis)
3.   Masukkan tepung biskut cracker, kacau sebati.
4.   Masukkan garam, minyak sapi dan pes pandan. gaul sebati. (Step terakhir MaDiHaA masukkan batter ke dalam blender (sebahagian demi sebahagian) & kisar hingga batter halus & sebati.. cara ni dapat menghaluskan batter sekiranya ada biskut yg kurang hancur atau tepong2 yang bergentel)
5.  Masukkan ke dalam loyang yg bergris, masak sekejap atas dapur hingga pekat sikit (jun skip yg ni) - jun tabur bijan..(kebetulan bijan biasa habis..yg ade bijan hitam, bantai ajelah..tp cun plak eh? hihi..) - akak pun x masak, terus jek tuang dlm loyang bergris yang dipanaskan dulu selama 3 minit gitu... (MaDiHaA panaskan acuan bingka pecah 8 atas dapur sekejap bersama2 sedikit butter. Kemudian tuang batter & masak sekejap dengan api kecil hingga nampak kuih bahagian keliling (tepi) acuan nampak berubah warna lepas tu baru tabur bijan & masukkan ke dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dulu.. hasilnya.. bahagian bawah bingka pun cantik garing.. cara ni mungkin sesuai untuk acuan bingka pecah lapan je kot...)
6.  Masukkan ke dalam oven n bakar hingga masak pada 160'c selama 1- 1 1/2 jam, keluarkan dan biar sejuk baru potong. (masa membakar bergantung saiz loyang yang digunakan)


Selamat mencuba!

Monday, April 16, 2012

Bingka Cheese Berlauk

Assalamualaikum & selamat petang semua....

Bersua lagi sekali hari ni ye... tiba2 rajin pulak nak update hari ni.. layan jerlahh...


Buat Bingka Cheese Berlauk ni bila nampak Yatie Memories tayang tempohari.  Sebenarnya dah lama berkenan dengan resepi ni bila Kak Ummi dok tayang hari tu.. Cuma projek terpaksa ditangguhkan sebab dah kehabisan stok cheese!  Masa pegi kedai bakeri hari tu sempatlah sambar mozarella cheese sepeket. Bila Yatie tayang je hari tu.. terus mood nak membingka datang apalagi bila semua bahan2 ada dalam simpanan.  Daging kisar pun ada, kentang pun ada.. daun sup, daun bawang semua lengkap.. per lagi... projek jalan teruslah.. bukan seadunan.. tapi buat lebih sikit 1 1/2 adunan.. tamak kannn... hehehe... 

Kepada peminat kuih2 savoury sangat2 disarankan untuk mencuba. Sedap bebenor kuih ni.... anak2 semua suka... kat rumah dah sarapan.. berbekal lagi ke sekolah. Haziq yang agak memilih bab kuih2 ni tapi bila bagi kuih ni dia suka sangat2. Habis licin bekalan yang dibawa kat sekolah.  Cumanya.. en. hubby jer agak kureng sikit.. tapi bukan salah resepi yer.. en. hubby ku itu memang anti sangat dengan cheese2 ni... hehehehe... selalunya kalau kek2 bercheese dia memang tak suka. Cuma satu jer yang dia boleh terima makanan yang ada cheese iaitu pizza! Huh!! ingatkan dia suka bingka ni sebab dia memang lebih suka kuih2 savoury.. tp nampaknya kuih ni belum cukup utk memikat selera dia... takper takper... kitorang boleh jer perabiskan.. hehe.. Dapat juga bagi kat makcik sikit.. alhamdulillah...

Oklah untuk resepi yang best ni... nak ucapkan terima kasih banyak2 pada Kak Hanieliza atau sekarang lebih dikenali sebagai Chef Hanieliza. Thanks byk2 ye kak.. Tak lupa thanks pada Kak Ummi juga yg pertama kali menggodaku & bersusah payah menyalin resepi dari buku 1 Hari 1 Resepi dari Chef Hanieliza ni & akhir sekali terima kasih pada Yatie yg menggoda ku buat kali ke dua.. hehe... kepada semua.. mintak izin letak resepi kat sini yer.. 

Gambar mmg tak cun.. maklumlah pagi2 nak cepat macam2 nak disiapkan termasuk diri sendiri... tapi rasa bingka ni memang marbelesss.. tip top.. ehehhh..


Bingka Cheese Berlauk
Resepi : Chef Hanieliza (Buku 1 Hari 1 Resepi)

Bahan A (bancuhan tepung):
  • 1 cawan tepung gandum
  • 3 sudu makan tepung jagung
  • 3 cawan santan (boleh guna 1 cawan susu cair + 2 cawan air)
  • 1 sudu garam halus
  • 2 biji telor
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 2 sudu makan parutan Cheddar Cheese (MaDiHaA guna mozarella)
Bahan B (Inti):-
  • 200 gm daging kisar/cincang
  • 2 biji kentang - dipotong dadu
  • 1 labu bawang besar - dipotong dadu
  • 2 ulas bawang putih - cincang (akak tambah ni)
  • 1 batang kecil lobak merah - didadu (akak parut halus)
  • 1 sudu makan rempah kari (akak letak 2 sudu) (MaDiHaA lebihkan juga)
  • 2 biji cili merah (dihiris halus)
  • 5 tangkai daun sup (dihiris halus)
  • 1 pokok daun bawang (dihiris halus)
  • 1 sudu makan minyak masak
  • garam secukup rasa
Cara-Cara Membuat Bingka:-
1.     Kacau semua bahan kecuali Cheddar Cheese dan tapiskan ke dalam loyang saiz 8x8 inci yang telah dilenser dengan marjerin.
2.     Kemudian taburkan Cheddar Cheese tadi.
3.     Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180C selama 20 minit dahulu.
4.     Kemudian keluarkan dan tuangkan inti lauk dan rata-ratakan di permukaan bingka. Bakar lagi selama 30 minit/hingga masak.
5.     Sejukkan dan taburkan dengan cili merah, daun sup dan daun bawang yang dihiris. Potong dan hidangkan.

Cara Memasak Inti:-
1.     Panaskan minyak dan tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga layu.
2.     Masukkan daging kisar, kacau rata dan masukkan rempah kari dan kacau rata lagi.
3.     Masukkan kentang dahulu, diikuti dengan lobak dan garam secukup rasa. Masak hingga daging sedikit kering dan masak elok.
4.     Seimbangkan rasa dan tutup api. (*kalau terlalu banyak minyak, toskan inti daging sekejap). (akak masukkan sebahagian bahan hirisan semasa membakar, dan sebahagian lagi ditabur semasa menghidang).


Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...