07 Mei 2011

Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Semuanya menjadi kenangan dan nostalgia semasa menuntut di Indonesia dari tahun 1986 hingg 1992. Senarai makanan dibawah menjadi kegemaran saya dan isteri selama berada disana. Begitu juga makan kegemaran ini pasti menjadi pilihan utama bila kami berulang ke sana untuk urusan perniagaan.

1. Soto
http://buchorynews.files.wordpress.com/2009/07/soto.jpg

2. Sate
http://rezhadf.files.wordpress.com/2009/02/sate-met-pindasaus.jpg

3. Ayam Bakar
http://inforesep.com/wp-content/uploads/2010/01/ayam-bakar-manis-pedas-inforesep.jpg

4. Ayam Kremes
http://img.photobucket.com/albums/v602/ami_catz/SayapAyamKremes.jpg

5. Nasi Goreng
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhCWMSrzrx0ZZjFsVmYxHDVrOwWJHMXIyHdWTwB0YhYiC8CGwrEZAP0XLGwWV1uBiqeic4AUSWDM7oMf2zY4333swpPqQE8m4qwsgUYHN5ciZuHI39Q7nLkNuuNP9MmZnKpkp81hiesBwTD/s1600-r/Nasgor.JPG

6. Bakso


7. Rendang
http://nanbija.files.wordpress.com/2009/07/rendang-daging-full1.jpg

8. Mie Ayam
http://jongjava.com/web/images/stories/gayahidup/Kuliner/jan_10/mie_ayam_pedas.jpg

Jamil Khir yang songsang.

04 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Oleh: WFAUZDIN NS

SEMALAM satu perhimpunan telah diadakan di Masjid Negara selepas Solat Jumaat bagi menentang sebarang bentuk politik fitnah dan lucah di negara ini. Perhimpunan yang dianjurkan oleh beberapa NGO itu kemudiannya membawa memorandum bantahan tersebut ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) agar kes video seks atau tuduhan zina yang kununnya melibatkan DS Anwar ini diadili mengikut Hukum Syarak bukan dengan cara Jahil iaitu bersumpah laknat.

Dipetik melalui Agenda Daily, Jamil Khir menyatakan bahawa masjid tidak boleh digunakan untuk menunjukkan amarah bertujuan politik. Erti kata, Jamil Khir tetap istiqomah bahawa masjid bukan tempat berpolitik dalam kata lain politik tiada kena mengena dengan agama. Mungkin jika ada umat Islam yang tidak suka cara Jahiliyyah diamalkan di negara ini, jangan gunakan masjid tetapi gunakan padang bola atau pusat hiburan untuk meluahkannya.

Jamil Khir orang Umno dilantik menjadi Senator, dan Umno sejak dari azali lagi memang mengasingkan politik dari agama. Jadi, kenyataan Jamil Khir memang tepat sebagai ahli Umno tetapi jahil sebagai Muslim. Di dalam isu video seks yang kununnya melibatkan DS Anwar, kes ini telah dirujuk ke Mahkamah Syariah atas kes Qazaf yang bertepatan dengan ajaran Al-Quran sendiri. Adakah Jamil Khir bersetuju kes ini diadili mengikut Islam?

Ini ulasan atau komen Jamil Khir bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera di dalam hal ini seperti yang dilaporkan di dalam Agenda Daily, " Mengulas perkara itu, Jamil Khir berkata isu itu tidak sewajarnya dibebankan kepada JAWI tetapi diserahkan kepada polis dan pendakwa raya untuk menyiasat dan mengambil tindakan. "Seperti kebiasaan, sebelum sesuatu tindakan diambil, ia akan diuruskan oleh pihak penguatkuasa yang akan melakukan kajian dan penelitian. "Selepas proses tersebut, ia akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya yang akan melihat kekuatan kes sebelum dibawa ke Mahkamah Syariah. Saya rasa jika hendak diserahkan kepada JAWI, ini tanggapan yang salah," katanya-(Agenda Daily-6/5/2011).

Kekuatan kes apa yang dimaksudkan oleh Jamil Khir itu? Sumpah laknat Eskay secara terang-terang merupakan satu tuduhan melakukan zina tidak lagi mempunyai kekuatan kes? Sebelum ini, di dalam kes fitnah Liwat melibatkan DS Anwar dan juga Saiful, terdapat juga kekuatan kes yang mana ada dakwaan menuduh berlakunya liwat dan kes ini pun telah di rujuk kepada Mahkamah Syariah, tetapi tangan siapa yang menjadi Iblis sebagai penghalang?

Mengapa susah sangat untuk Jamil Khir berterus terang bahawa di negara ini tidak mengguna pakai Al-Quran sebagai rujukan berkaitan kes-kes seperti ini? Mengapa perlu berputar-putar untuk mengelirukan umat Islam semata-mata untuk memuaskan kehendak pemimpin yang sememangnya terkenal dengan anti Islam? Sebelum ini Jamil Khir juga pernah berkata biarlah Eskay mahu bersumpah laknat di masjid. Apabila beliau berkata demikian, samalah juga dengan beliau berkata biarlah orang mahu memuja nombor ekor di dalam masjid asalkan baca Bismillah terlebih dahulu.

Inilah tokoh agama yang ada di dalam Umno, dan inilah parti yang merayu siang dan malam mahu PAS bersamanya. Sebab itu saya katakan, DAP lebih baik dari Umno setidak-tidaknya DAP sekarang sudah tahu menjaga adab di dalam masjid. Memang tepat dan bijak PAS menolak Umno untuk dijadikan kawan kerana berkawan dengan orang jahil yang tidak boleh diajar ini membuang masa sahaja. /wfauzdin.blogspot.com

Sumpah orang jahil apa kesannya?

04 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Oleh Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Kalau kita pernah pergi ke Makkah, kita akan berhadapan dengan sikap orang Arab yang berniaga. Setiap ayat yang hendak diucapkan pasti dimulakan dengan sumpah. “Wallahi ya akhi” sudah biasa dibibir mereka. Sudah jadi kelaziman dalam perbualan mereka. Dan pada peniaga ini sumpah cari makan namanya. Kalau tidak, pembeli tidak yakin dengan barang jualannya.

Pasangan yang sedang bercinta, kerap juga bersumpah. Ada yang sumpah hendak hidup semati, juga sumpah tidak ada kekasih lain dan sumpah untuk buat itu dan ini demi cinta, kononnya. Inilah sumpah orang yang bercinta. Sumpah ini kadang-kadang sumpah palsu bagi tujuan mengambil hati kekasihnya. Mereka ini tidak tahu kesan kalau melakukan sumpah palsu.

Ada juga pasangan yang bergaduh membuat sumpah. Sumpah untuk tidak berjumpa lagi, sumpah untuk tidak berkahwin dan sebagainya. Inilah sumpah orang yang bergaduh, sumpah waktu marah. Sumpah ini kadang-kadang gagal ditepati. Apabila hati reda mereka berbaik semula.

Seseorang yang hendak dibicarakan di mahkamah, mereka diminta bersumpah untuk bercakap benar. Maka sebelum bicara dimulakan dengan sumpah yang dipimpin oleh petugas mahkamah. Sumpah itu dilakukan di hadapan hakim. Sumpah di mahkamah ini boleh memberi kesan jika mereka memberi maklumat palsu.

Walaupun bentuk-bentuk sumpah di atas tidak termasuk dalam perintah syarii tetapi sumpah yang diungkapkan jika dilanggar, dia telah berdosa. Walaupun sumpah ini hanya sumpah sesama manusia yang mereka sendiri kena adili tetapi Allah tetap melihat dan mendengar. Maka jika mereka engkar, mereka akan tanggung risiko sendiri. Maka bagi mengelak risiko pelanggaran, batalkan sumpah itu dan bayar kifarat.

Tetapi realitinya, umat Islam tidak faham lalu berkali-kali bersumpah dan berkali-kali pula melanggarnya. Bayangkan kalau setiap kali melanggar sumpah perlu membayar kifarat, berapa banyak yang mereka perlu tanggung dosa.

Sumpah syarii

Seterusnya sumpah yang dilakukan di hadapan Allah. Biasanya seseorang itu bersumpah itu dan ini jika mereka berjaya mendapat impiannya. Sumpah ini juga dipanggil nazar. Sumpah ini wajib mereka laksanakan. Jika mereka gagal melaksanakan sumpah itu, mereka wajib membayar denda iaitu kifarat nazar.

Wajib membayar kifarat sumpah dengan takhyir dan tartib, ertinya memilih dengan mengikut urutan seperti berikut:

1. Memerdekakan hamba atau budak; jika tidak, maka
2. Memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang fakir miskin; jika tidak
3. Puasa tiga hari.

Ada satu lagi sumpah iaitu “ila’” namanya. Ini sumpah suami untuk tidak mahu mensetubuhi isterinya dalam tempoh tertentu. Selepas habis tempoh ila’ itu dia perlu ceraikan isterinya, kalau tidak hakim boleh menceraikan isterinya bagi pihaknya. Tetapi kalau dia batalkan sebelumnya dengan mensetubuhi isterinya maka dia perlu membayar kifarat.

Akhir sekali sumpah laknat yang dalam fiqhnya disebut “li’an”. Sumpah ini hanya untuk pasangan suami isteri. Iaitu apabila suami yang menuduh isterinya berzina atau isteri menuduh suami berzina, maka mereka telah melakukan satu kesalahan kecuali kalau mereka berjaya membawa empat orang saksi. Jika tidak ada saksi, pihak yang menuduh wajib bersumpah li’an bahawa isterinya berzina atau suami berzina.

Jika tuduhan itu tersasar, sedangkan dia sudah bersumpah maka layaklah dia menerima hukuman Allah seperti yang disumpahkan. Tapi ingat sumpah ini hanya untuk suami isteri sahaja. Bapa mentua, ipar tidak boleh bersumpah dalam kes ini apatah lagi orang luar.

Ketiga-tiga jenis sumbah yang terakhir ini adalah termasuk dalam sumpah syarii. Jika mereka tersalah maka hukuman hanya Allah sahaja yang tahu. Jadi, orang yang beriman harus berhati-hati dengan sumpah ini, tidak harus dimain-mainkan kerana kifaratnya amat berat.

Cara sumpah li’an

Sumpah li’an ini dikenakan kepada pihak yang membuat tuduhan zina dalam kalangan suami isteri tetapi mereka gagal membawa empat orang saksi. Maka suami hendaklah bersumpah naknat sebanyak empat kali. Selepas selesai sumpah suami, isteri bolehlah bersumpah balas menafikannya sebanyak empat kali juga. Tetapi kalau suami sahaja yang bersumpah, isteri wajib dikenakan hukuman hudud.

Ungkapan sumpah itu pelbagai iaitu: “Saya bersaksi dengan Allah bahawa saya dalam kalangan orang yang benar pada apa yang saya tuduhkan ka atas isteri saya (sebut nama) dengan berzina.”

Atau: “Bahawa anak ini atau itu anak zina bukan anak saya.”

Dan pada akhir kedua-dua sumpah itu hendaklah disambungkan dengan ungkapan ini: “Maka ke atas saya laknat Allah jika saya dalam kalangan orang yang berdusta.”
Isteri pula selepas itu harus bersumpah menafikannya: “Saya bersaksi dengan Allah bahawa (sebut nama suami) dalam kalangan orang yang berdusta yang menuduh saya sebagai orang yang berzina.” Kemudian akhirinya dengan, “ke atas saya kemurkaan Allah jika adalah dia dalam kalangan orang yang benar.”

Jika selesai upacara sumpah itu, terlepaslah mereka berdua daripada hukum hudup iaitu qazab terhadap suami dan rejam terhadap isteri. Walau bagaimanapun hubungan suami isteri selepas itu tercerai secara automatik. Juga ternafi anak itu nasabnya walaupun sememangnya anak itu anaknya. Seterusnya diharamkan mereka berkahwin semula.

Tetapi pada hari ini, jarang kita dengan suami isteri yang melakukan li’an mungkin kerana tidak tahu atau tidak mahu. Walau bagaimanapun kita sering mendengar suami atau isteri yang membuat tuduhan terhadap pasangan masing-masing. Mereka ini secara tidak langsung telah melakukan qazab. Bayang berapa banyak dosa yang mereka lakukan dalam hal ini setiap hari.

--
Dicatat Oleh Blogger ke Fikrah Islamiah

Seminar Maqasid Syari'ah di Shah Alam.

Presiden PAS, YB. Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sedang membentangkan kertas kerja bertajuk Maqasid Syari'ah.







03 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 7 Mei:- PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Pusat menganjurkan satu Seminar Maqasid Syari'ah yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan SSAAS di sini.

Peserta Seminar sekitar 700 orang adalah terdiri dari AJK Syura Ulamak, AJK PAS Pusat, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, ADUN-ADUN , wakil badan Perhubungan Negeri, Wakil PAS Kawasan dan wakil Ngo dari seluruh negara.

Program yang akan berlangsung sehingga jam 2.00 petang itu dihadiri oleh Presiden PAS, YB. Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebangai pembentang utama kepada kertas kerja bertajuk Maqasid Syari"ah.

Selepas Pembentangn kertas kerja tersebut akan diulas oleh dua pengulas iaitu oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, YB. Dato' Ustaz Haji Harun Taib dan pengulas kedua pula ialah Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan And Razak yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Jihad perangi rasuah omong kosong Umno BN

03 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 7 Mei: Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata jihad perangi rasuah yang lancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin baru-baru ini adalah kenyataan berunsur politik dan pembohongan baru demi mengembalikan sokongan rakyat kepada BN.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata untuk memerangi rasuah secara menyeluruh, sewajarnya gejala ini dibendung sehingga ke akar umbi.

“Rakyat tidak akan lupa dengan bukti berupa dokumen mengenai komisen RM400 juta pembelian pesawat dari Russia, Sukhoi yang diberi kepada bekas Setiausaha Agung Umno dan komisen sejumlah RM520 juta (100 juta Euro) kepada Abdul Razak dalam pembelian dua kapal selam untuk Kementerian Pertahanan,” kata Idham ketika ditemui di sini.

Tambahnya, BN berbohong kepada rakyat untuk berusaha memerangi amalan rasuah dengan jihad dan mengaku ia merupakan prioriti BN sedangkan ianya adalah omongan kosong semata-mata.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menegaskan rakyat perlu didedahkan dengan rasuah besar yang berlaku dalam negara oleh BN di mana perjanjian pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai berbilion dollar itu dimeterai oleh Datuk Seri Najib sendiri selaku Menteri Pertahanan pada 2002.

“Pembelian dua kapal selam itu jelas wujud elemen rasuah, dan hingga hari ini Najib masih belum membersihkan namanya dari tuduhan kemungkinan wujud rasuah berjumlah RM520 juta untuk dua kapal selam tersebut,” katanya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, Umno BN adalah sinonim dengan amalan rasuah yang diketahui umum oleh rakyat, tetapi bersorak kepada rakyat bahawa mereka pejuang sejati menentang rasuah.

Beliau menambah, walaupun tidak dinafikan tindakan dilakukan kepada pengamal rasuh namun biasanya yang akan ditangkap kemudian dibicara adalah rasuah yang bernilai ribuan ringgit.

“Amat malang di negara ini apabila kes rasuah yang melibatkan pemimpin dalam BN bernilai ratusan juta dibiarkan begitu sahaja.

“Saya yakin rakyat tidak semudahnya boleh menerima pembohongan dari pimpinan tertinggi negara dalam isu ini. Rakyat perlu bijak menilai perbuatan pemimpin BN yang sentiasa berlakon dan berhelah untuk menipu rakyat,” ujarnya

06 Mei 2011

Muktamar PAS Tahun 2011 - Pemilihan

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Ada yang bertanya saya berhubung pemilihan yang akan diadakan semasa Muktamar tahun ini. Mereka bertanya, "Atas dasar apa perlu kami memilih dan siapa patut kami sokong?" Saya menjawab secara umum, "Pilih yang boleh menunaikan tanggungjawab yang datang bersama jawatan tersebut".

Seperti yang sering diingatkan, jawatan adalah tanggungjawab dan bukan penghormatan. Atau dalam istilah yang digunakan Ketua Pemuda PAS Pusat, 'takhlif laa tasyrif'. Ini bermakna, kita pilih seseorang itu dengan tujuan utama supaya dia memainkan sesuatu peranan, bukan sebagai pengiktirafan terhadap kehebatan dirinya. Ini adalah lebih-lebih lagi sekiranya jawatan tersebut bersifat "eksekutif" atau untuk "execute" iaitu melaksanakan sesuatu tugas atau peranan.

Dalam PAS, semua jawatan AJK PAS Pusat adalah bersifat "executive". Mungkin itu sebabnya ianya disebut sebagai Jawatankuasa KERJA PAS Pusat. Penekanan diberi kepada perkataan KERJA! Maknanya, seseorang yang dipilih untuk menyandang mana-mana jawatan dipilih kerana dipercayai dia boleh membuat kerja yang perlu dibuat oleh seseorang yang menyandang jawatan tersebut. Sekiranya kemudiannya dia didapati tidak mampu atau tidak sesuai untuk kerja berkenaan, maka dia boleh ditukar.

Ini sebenarnya semangat di sebalik kata-kata "takhlif laa tasyrif". Sekiranya atas dasar penghormatan, atau "tasyrif", ianya penganugerahan atas sebab kehebatan seseorang dalam bidang tertentu. Maka anugerah itu adalah atas sebab apa yang telah dan sedang dilakukan dan ianya tidak menuntut sesuatu prestasi atau perlaksanaan selain dari apa yang telah dicapai.

Sebagai contoh, tokoh perniagaan untuk tahun 2011 adalah berdasarkan pencapaian seseorang peniaga pada tahun berkenaan dan walau apa sekalipun yang berlaku selepas itu, beliau yang dianugerah tokoh perniagaan 2011 tetap merupakan tokoh pada tahun tersebut, walaupun pada 2015 katakan, dia bankrupt! Dalam erti kata lain penganugerahan itu tidak mewajibkan beliau melakukan sesuatu, termasuk meneruskan prestasi cemerlang dalam perniagaan beliau.

Pemilihan atas dasar "takhlif" pula mengambil kira kerja yang perlu dilakukan dan orang yang dianggap paling mampu untuk melakukannya. Oleh itu, dua aspek penting perlu diambil kira semasa membuat pilihan. Yang pertama kerja atau tanggung jawabnya dan yang kedua kemampuan calon-calon yang dicadangkan.

Dalam soal kerja untuk setiap jawatan, ianya dijelaskan secara umum di dalam perlembagaan. Sebagai contohnya, kerja atau tanggung jawab Presiden dinyatakan dengan jelas sebagai lima tugas utama, iaitu, secara ringkas:

1. Melaksana pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan

2. Bertanggung jawab atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas JK PAS Pusat

3. Melantik SUA, Penolong SUA, Bendahari dan lain-lain di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat JK PAS Pusat.

4. Mengambil apa-apa jua langkah demi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli JK PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing

5. Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat JK PAS Pusat dan Jk Harian PAS Pusat.

Adalah jelas dari yang di atas bahawa jawatan Presiden menuntut peranan tertentu dan bukan sekadar anugerah atas kehebatan atau ketokohan seseorang. Ianya adalah jawatan yang bersifat eksekutif atau untuk membuat kerja tertentu.

Begitu juga semua jawatan yang terdapat di dalam JK PAS Pusat!

Setelah dipilih maka prestasi mereka yang dipilih dipantau selama tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, apa-apa kekurangan dan kelebihan perlu disuarakan dengan ikhlas dan terbuka dalam muktamar tahunan atau apa-apa program muhasabah parti yang diadakan.

Teguran dan kritikan ini tidak wajar dianggap sebagai bersifat tidak hormat atau tidak wala' kerana seperti yang dijelaskan, mereka dipilih untuk melaksanakan sesuatu tugas, bukan sebagai penganugerahan sesuatu penghormatan atau darjat. Maka sekiranya perwakilan beranggapan tugas tersebut tidak dilaksanakan dengan baik oleh mana-mana pemimpin, maka perwakilan berhak untuk menegurnya.

Sekiranya selepas segala teguran dan nasihat, prestasi tidak berubah atau tidak mampu ditingkatkan, maka pada Muktamar tahun kedua, pejawat-pejawat yang tidak menyerlah dan tidak berprestasi baik boleh ditukar. Pengguguran dari jawatan tidak bererti seseorang itu tidak baik, tidak mantap imannya atau kurang 'alim, tetapi hanya bererti bahawa dia tidak sesuai untuk jawatan berkenaan.

Inilah sebabnya mengapa pilihan tidak wajar dilakukan semata-mata atas dasar menghormati ketokohan seseorang tanpa mengambil kira kemampuannya untuk memainkan peranan seperti yang diperlukan bagi jawatan tersebut. Sekiranya dia tidak berprestasi dengan baik, maka dia tidak akan ditukar atau ditegur disebabkan dia dipilih atas sebab ketokohan tertentu yang tetap dimilikkinya.

Ketokohan seorang pemidato, ulama', professional atau penulis tidak hilang di atas sebab dia bukan seorang pelaksana (executive) yang baik. Ketokohan tersebut tetap kekal pada dirinya tetapi dia tidak merupakan orang yang sesuai untuk jawatan pelaksana yang diinginkan dan diperlukan parti.

Orang yang dipilih dibebankan dengan tanggungjawab yang berat dan oleh itu, tidak wajar kita menzalimi seseorang yang kita tahu tidak mampu tetapi oleh kerana suka dan hormat, kita meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas bahunya. Itu bukan "suka" atau "hormat" pada seseorang. Sebaliknya ianya sesuatu penganiayaan.

Namun, lebih zalim lagi, setelah kita membebannya dengan tanggungjawab sebegitu berat, kita tidak pula membantunya.

Oleh itu saya menyeru kepada semua yang akan ke Muktamar PAS tahun ini untuk memahami apa yang kita lakukan semasa kita membuat pilihan. Semoga pilihan itu adalah yang terbaik bagi jawatan berkenaan dengan kita memberikan amanah itu kepada yang ahli padanya atau yang mampu melaksanakannya.

Kedua saya menyeru semua untuk menerima keputusan Muktamar dengan hati terbuka dan siapa sahaja yang terpilih, mereka hendaklah diberi sokongan yang padu dan tidak berbelah-bagi. Namun sekiranya walaupun dengan sokongan ini ada yang gagal menunjukkan prestasi yang diinginkan, maka ditukarnya selepas dua tahun.

Empat maut, dua parah lawan arus

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KERETA Proton Saga dipandu Wee, remuk dalam kemalangan membabitkan dua motosikal, lori dan kereta di Kilometer 11 Jalan Pasir Mas Tanah Merah di Kampung To’ Uban, kelmarin.

Motosikal bertembung dilanggar dua lori

PASIR MAS: Berpunca menunggang motosikal melawan arus, empat maut dan dua parah dalam kemalangan membabitkan masing-masing dua motosikal, lori dan kereta di Kilometer 11 Jalan Pasir Mas Tanah Merah di Kampung To’ Uban, di sini, malam kelmarin.

Kejadian 7.20 malam itu berlaku apabila motosikal ditunggang dua beranak, Ariff Che Mohd Zain, 35, bersama anaknya Alif Azhar Ariff, 12, menentang arus menyebabkan mereka bertembung dengan motosikal ditunggang dua sepupu, Chik Samsudin Mat Ghapar, 16 dan Mohd Faizal Fakaruddin, 16.

Berikutan kemalangan itu, dua lori dari arah sama tidak sempat mengelak sehingga menggilis tiga mangsa, Ariff, Chik Samsudin dan Mohd Faizal.
Ketiga-tiga mereka meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, dalam masa sama, sebuah kereta Volvo dipandu Huzaiudi Zainal Abidin, 36, dari Tanah Merah ke Pasir Mas cuba mengelak daripada melanggar mangsa di tempat kejadian.

Bagaimanapun, kereta itu bertembung kereta Proton Saga dari arah bertentangan menyebabkan pemandu kenderaan terbabit Wee Thai Kit, 40, maut di tempat kejadian.
Dua mangsa yang parah ialah Alif Azhar dan Huzaiudi.

“Semua mangsa meninggal kerana kecederaan teruk di kepala dan badan, manakala yang tercedera dihantar ke Hospital Pasir Mas dan kes ini akan disiasat mengikut Akta 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, abang Chik Samsudin, Khairin Fakaruddin, 18, berkata, beliau terkilan kerana adiknya tidak sempat bertemu ibu yang kini berada di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Chik Samsudin sering bertanya bilakah ibu mereka akan pulang daripada menjaga kakaknya yang bersalin di ibu negara.

Bapa Wee Tai, Wee Kan Hai, 69, berkata, ketika kejadian itu beliau dalam perjalanan ke rumah anaknya tapi tidak menyangka anaknya pula terbabit dalam kemalangan maut itu.

Berita Harian/-

'Belasah' pemuda: Pengarah sekolah digantung tugas

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Pengarah sebuah Sekolah Henry Gurney di Keningau, Sabah, telah dipindahkan dan digantung tugas sementara menunggu siasatan polis dan siasatan dalaman berhubung dakwaannya terbabit membelasah seorang pemuda pada lewat bulan ini.

Menurut akhbar tempatan, The Borneo Post dalam laporannya yang memetik sekretariat Jabatan Penjara dan ketua perhubungan awamnya, Supri Hashim berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan polis bagi menentukan hukuman yang setimpal ke atas pengarah itu.

Arahan itu berikutan dakwaan bahawa pengarah sekolah pemulihan akhlak berkenaan telah meminta sekumpulan rakannya bagi membelasah seorang lelaki berusia 23 tahun di sebuah kedai serbaneka sebelum tengah malam 29 April lalu.

Tindakan kumpulan berkenaan berjaya dirakamkan oleh kamera CCTV 24 jam yang dipasang di kedai berkenaan. Ia menunjukkan pemuda itu berulang-kali ditumbuk, tendang dan diterajang serta dipukul dengan pelbagai objek termasuk kerusi plastik dan tali pinggang.

Visual berkenaan sejak itu disebarkan secara meluas di Internet, khususnya di laman sosial Facebook.

Adalah dipercayai pengarah itu dan tiga yang lain ditahan pada 3 Mei lalu dan kenyataan mereka dirakamkan selepas mangsa, Ben Cheah Ping Xen, membuat laporan polis berhubung serangan ke atasnya itu.

Bapa mangsa, Cheah You Hock menuntut campur tangan "pihak berkuasa yang lebih tinggi" bagi memastikan “tindakan pantas dan bersesuaian” dikenakan ke atas pengarah itu dan rakan-rakannya.

Beliau juga merayu agar kes tersebut tidak ditutup begitu sahaja, lebih-lebih lagi ia dirakamkan di kamera keselamaatn kedai berkenaan dan tersebar di Internet.

Malaysiakini/-

Skirt: BAM, KBS patut bantah

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Menteri Belia dan Sukan (KBS) mengemukakan bantahan rasmi kepada Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) di atas keputusan mereka melaksanakan syarat wajib pemakaian skirt kepada pemain badminton wanita. DPPWP kesal kerana, BAM dan KBS tidak proaktif bagi membantah keputusan itu.

DPPWP melihat bahawa alasan yang digunakan oleh BWF yang mahu ianya dijadikan tarikan supaya lebih ramai penonton boleh hadir melihat pertandingan di gelanggang sebagai alasan yang tidak masuk akal dan remeh. Mereka sepatutnyanya menghormati hak wanita yang sepatutnya tidak diekspolitasi batang tubuh dan pemakaian mereka hanya untuk menarik penonton.

Sepatutnya BWF membincangkan tentang strategi peningkatan kualiti pemain wanita untuk menarik perhatian penonton, bukannya dengan cara memaksa mereka memakai skirt untuk dijadikan bahan pameran di tengah gelanggang.

DPPWP yakin, idea ini timbul selepas BWF melihat populariti dan promosi melampau media terdapat pemain-pemain tenis pada masa sekarang berbanding dahulu kerana fesyen skirt mereka. Tetapi itu bukanlah contoh terbaik yang patut dibawa ke dalam arena badminton yang mempunyai peminatnya yang tersendiri.

DPPWP berharap pertubuhan wanita dan NGO Malaysia bangkit menyuarakan isu ini kerana kita tidak mahu gambar-gambar jelek yang tidak sepatutnya, dirakamkan ketika saat perlawanan berlangsung. Rakaman itu pastinya mengaibkan pemain-pemain wanita yang secara tidak langsung dieksploitasi bagi menaikan kutipan jualan tiket dan jualan surat khabar berita sukan dengan gambar-gambar sensasi.

DPPWP juga melihat peraturan ini bakal menyekat pemain-pemain wanita Islam untuk melibatkan diri dalam sukan ini. Dan ini adalah diskriminasi melibatkan kepercayaan agama. Mengapa tidak BAM memulai contoh dengan bereksperimentasi mengadakan pertandingan kebangsaan dengan semua pemain Islam menutup aurat. Jika ahli sukan wanita dan lelaki di Iran boleh menunjukan prestasi yang baik dalam sukan menggunakan pakaian menutup aurat kenapa Malaysia tidak berani untuk melakukannya.

DPPWP berharap agar masyarakat sukan mendapat pembelaan yang sewajarnya dari agensi-agensi sukan di negara dan tidak sewenang-wenangnya dibiarkan terikat dengan peraturan tidak masuk akal oleh badan sukan antarabangsa.

Sekirannya BWF masih berkeras untuk menguatkuasakan arahan itu, DPPWP mendesak agar BAM memboikot Pertandingan Badminton Terbuka Singapura pada 14 Jun yang juga menjadi pertandingan pertama yang akan menguatkuasakan keputusan BWF ini. Dan seterusnya mengadakan kempen boikot secara terbuka supaya Persatuan di negara lain seperti China, Korea, Indonesia, Thailand dan sebagainya turut memboikot.

Harakahdaily/-
Oleh : Kamaruzaman Mohamad

Umno musuh nombor 1 negara

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Mei: Bagaimana PAS boleh bersatu dengan Umno sedangkan Umnolah yang 'menjajah' bumi dan rakyat Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, Umno bertindak zalim terhadap rakyat dan bumi Malaysia dengan mencengkam kebebasan rakyat dan bertindak tanpa keadilan kepada rakyat dan bumi Malaysia.

“Fatah dan Hamas boleh bersatu menentang Israel, mengapa Umno dan PAS tidak dapat bersatu membela umat Melayu?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Hamas setuju untuk bersatu dengan Fatah semata-mata atas tujuan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Israel.

Katanya lagi, penjajahan Israel zalim, yang mencengkam kebebasan rakyat Palestin dan penjajahan yang menidakkan keadilan sejati kepada rakyat dan bumi Palestin.

“Bagaimana boleh kami, PAS bersatu dengan golongan (yakni Umno) yang mengamalkan budaya rasuah, yang mempratikkan budaya politik samseng dan yang mempersendakan hukum Allah SWT?” soalnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Justeru, PAS tegasnya akan terus memperjuangkan untuk meminda Perlembagaan dan undang-undang negara agar badan keadilan dan perundangan (judiciary) benar-benar bebas dan Peguam Negara (AG) bertanggungjawab kepada Parlimen.

Selain itu, tambahnya SPR, SPRM dan ROS diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan pembentukan IPCMC dan diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

Kesimpulannya, kata beliau kembalikan supremacy of parliament yang telah dinodai oleh Kerajaan Umno BN semenjak merdeka lagi.

“Jika Umno jujur dia membentangkan pindaan perlembagaan dan undang-undang, kalau Umno itu ikhlas, maka pulangkan royalti minyak kepada rakyat Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Di samping, beliau juga mahu Umno BN menubuhkan Suruhanjaya-suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pembelian kapal selam Scopene, saham-saham allocation untuk Bumiputra dari 1970 sehingga sekarang dan siapa penerimanya, penggunaan pendapatan minyak dan gas negara daripada 2004-2009, kes kematian pegawai kastam, Sarbani dan kes PKFZ.

"Kami menentang parti Umno bukan kerana dia Umno, kami menentang parti Umno kerana mereka zalim, mereka menindas rakyat Malaysia, mereka merompak harta negara dan mereka (parti Umno bukan ahli Umno) adalah musuh nombor satu negara,” ujarnya.

Harakahdaily

Pencarian tetap diteruskan, guna kaedah alternatif

02 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SEREMBAN – Pencarian seorang lagi kanak-kanak dipercayai mati lemas di Hutan Lipur Ulu Bendul, akan diteruskan sehingga kanak-kanak itu ditemui.

Bapa saudaranya, Wan Aziz Wan Abdullah, 38, berkata, pihaknya kini berusaha mencari Nur Syaza Sakinah, 2, dengan menggunakan kaedah alternatif, selain menggunakan khidmat pasukan penyelamat.

Menurutnya, melalui seorang pakar perubatan tradisional ditemui, mangsa kemungkinan besar ditimbus pasir, atau berada di celah batu di Hutan Lipur itu.

“Memandangkan saiz badan Sakinah lebih kecil berbanding kakak-kakak-nya, maka kemungkinan besar dia tertimbus di sebalik pasir.

“Pasukan penyelamat telah dimaklumkan tentang perkara ini, dan pihak mereka kini berusaha mencari mangsa di seluruh kawasan berkenaan,” katanya.

Aziz berkata, walaupun sehingga kini masih belum ada sebarang tanda, namun beliau sekeluarga berdoa berharap Sakinah dijumpai tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin dalam kunjungannya bertemu ibu mangsa, Wan Azlela Wan Abdullah, berharap apa yang berlaku dengan keluarga ini dapat dijadikan iktibar.

“Saya simpati dengan apa yang berlaku terhadap keluarga ini,” katanya.

Sinar Harian/-

Anak syarikat kerajaan Kedah tanggung Puteri Umno

01 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 6 Mei: Sebuah anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC) didakwa telah menymbangkan dana tetap kepada Puteri Umno ketika Kewdah ditadbir oleh BN sebelum ini.

Ia melibatkan sumbangan dana syarikat milik kerajaan (GLC) itu kepada Pergerakan Puteri Umno Kedah yang berjumlah RM30,250 bagi tempoh Julai 2003 hingga Februari 2004.

Pendedahan ini dibuat melalui laman blog prokerajaan 'Kedah La Ni' dan turut disebarkan melalui laman sosial 'facebook' penyokong-penyokong kerajaan termasuk Exco Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Turut disenaraikan adalah butiran lengkap sumbangan syarikat kepada sayap Umno itu yang menyalahi matlamat penubuhan syarikat dan dikategorikan sebagai perbelanjaan tidak berkepentingan ketika pergerakan tersebut diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Suraya Yaakub (gambar).

Mengikut rekod perbelanjaan syarikat 2003, pergerakan itu menerima sumbangan cek berjumlah RM1,000 (27 Julai), RM7,000 (5 Ogos) dan RM1,000 (22 Disember). Manakala pada 2004 pula, mereka menerima RM7,000 (5 Januari), RM4,250 (24 Februari) dan RM10,000 (25 Februari).

Sidang Dun Kedah baru-baru ini dikejutkan dengan pendedahan penyelewengan dana GLC berjumlah hampir RM8 juta oleh pengurusan terdahulu hingga mengakibatkan STDC mengalami kerugian.

Susulan pendedahan itu Pemuda PAS Alor Setar telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 April lalu dan menyerahkan dokumen berkaitan penyelewengan bagi membantu siasatan.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Shubihi Muhamad Zain

Hamas Sedia Jayakan Perdamaian Dengan Fatah

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SEMENANJUNG GAZA 6 MEI : Sehari selepas menandatangani perjanjian memulihkan hubungan dengan kumpulan Fatah, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, berkata mereka sedia menghadapi apa saja untuk memastikan kejayaan perdamaian yang dicapai itu selepas kedua-dua pihak bertelagah selama empat tahun.

"Kami akan mula melaksanakan semua tuntutan perjanjian itu...membentuk kerajaan penyatuan, membebaskan tahanan dan menggerakkan semula Parlimen Palestin," katanya.

Beliau juga menyeru kumpulan bersenjata dalam kalangan rakyat Palestin supaya mematuhi gencatan senjata dengan Israel untuk memberi peluang kepada perjanjian perdamaian itu untuk dilaksanakan.

"Terdapat banyak ancaman kepada perjuangan rakyat Palestin dan semua ancaman ini dapat ditangani menerusi perdamaian," katanya.

Haniyeh yang mengetuai kerajaan pertama Palestin yang dibentuk oleh Hamas pada 2006 selepas memenangi pilihan raya Parlimen, mengesahkan bahawa beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan baru Palestin.

Semalam ratusan penyokong Hamas menyertai satu perhimpunan bagi meraikan penyatuan Palestin di bandar Nablus di Tebing Barat.

Ini adalah kali pertama penyokong Hamas berada di Tebing Barat sejak pihak berkuasa Palestin menghalang mereka datang ke situ pada 2007.

Petugas dari stesen televisyen milik pihak berkuasa Palestin dibenarkan untuk pertama kali membuat liputan di Semenanjung Gaza manakala wartawan dari stesen televisyen Hamas Al-Aqsa pula dibenarkan beroperasi dari Tebing Barat.

Penganalisis Palestin, Fahmi Abu Hadeed, bagaimanapun melihat penyatuan antara kedua-dua kumpulan itu akan berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, ini kerana masing-masing mempunyai program tersendiri.

Beliau juga berkata, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah tidak akan mengiktiraf sebuah kerajaan Palestin jika Hamas tidak mengiktiraf Israel. - BERNAMA

Guna Segala 'senjata' Tawan Selangor Semula - Najib

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 6 MEI : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan menggesa UMNO Selangor menggunakan segala 'senjata' yang ada dinegeri itu bagi merampas kembali Selangor daripada pentadbiran Pakatan Rakyat.

Beliau dipetik berkata demikian ketika berucap di 'Malam Pemimpin Bersama Rakyat- Rakyat Didahulukan' di Shah Alam, malam semalam.

"Kalau British kita boleh kalahkan kerana kita berjuang berhabis-habiskan, takkan lah Umno Selangor tidak boleh bangkit dari peristiwa itu (kekalahan pada pilihan raya umum lalu).

"Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan," katanya.

Najib juga meminta agar UMNO Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke- 13 kelak.

"Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas.

"Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah," katanya.

Tv Selangor/-




Kenyataan 'Flip- flop' Eskay Dipersoal

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 6 MEI : Kenyataan berubah- ubah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay berhubung dakwaannya sebelum ini bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam fitnah video seks, dilihat cenderung kepada ciri- ciri orang munafik dan tidak amanah.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata watak rakyat seperti Eskay ini bukan sahaja mencerminkan kerugian besar kepada negara bahkan ia mampu mengguggat keamanan negara.

"Selepas beliau membuat sumpah laknat itu, beberapa hari selepas itu pengakuannya berbeza, ini menunjukan beliau tidak amanah, jujur dan pembohong besar malah ciri-ciri munafik sudah pun ada pada sikapnya, inikah orang yang kita boleh angkat sebagai orang yang boleh dipercayai ?,

"Amat malang negara kita kerana mempunyai seorang pembohong besar seperti beliau," tegas Abdullah.

Beliau berkata demimkian ketika ditemui Tv Selangor di Ibu Pejabat Tv Selangor.

Kelmarin, Eskay menafikan beliau menuduh Anwar berzina...pengakuan yang bercanggah sama sekali dengan dakwaan beliau sebelum ini.

Eskay berkata beliau menjemput wartawan terpilih untuk menonton video itu di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu kerana mahukan mereka membuat penilaian sama ada pelaku dalam rakaman itu adalah Anwar.

Semalam, turut menyaksikan Trio Datuk T itu gagal menjawab apakah jam omega yang diserahkan kepada polis, terakam dalam video seks yang didedahkan pada 21 Mac lalu.

Mengulas persoalan ini, Abdullah Sani menjelaskan kegagalan Eskay dalam berhubung kewujudan Jam omega dalam klip video itu, sekali lagi membuktikan beliau seorang munafik dengan pelbagai persoalan yang tidak terjawab.

"Ini satu isu yang rapuh dan tidak kukuh dijadikan bukti, malah saya sifatkan ia sebagai resipi menyedapkan rasa tetapi tidak mampu diangkat sebagai bahan bukti penting, jadi isu jam omega sebanarnya bukannya isu," katanya.

Tv Selangor/-